Followers

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)
Ekslusif dan tidak dijual di kedai buku, hanya di blog dan fb penulis sahaja :untuk memesan : email arr_nita@yahoo.com/ FB : Anita Aruszi

BLURB CINTA BUKAN LARANGAN (New)

Tajuk : Cinta Bukan Larangan
Penulis : Anita Aruszi
Harga : RM32.90
Penerbit : GN Publishing
ISBN : 978-967-10425-3-3
M/s : 803ms
Genre : Cinta dan Kekeluargaan

Tagline
Cinta Ini Terlarang..
Ibarat Buah Khuldi Yang Haram Disentuh Adam…

Diaz dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba merogol gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?


Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya
Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA

Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN


Friday, January 4, 2013

Mencari Kiblat Cinta : Bab 28


            KAKINYA menyusun langkah lemah menyusuri denai kecil dari jalan besar yang dilaluinya, menuju kawasan perumahan yang menempatkan taska milik Kamila. Sebaik sampai di hadapan rumah dua tingkat yang dipenuhi dengan pelbagai karikatur kartun disney, langkahnya tiba-tiba terhenti.

            Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Mak Minah yang mempelawanya tinggal bersama mereka. Pak Maidin juga melahirkan harapan yang sama. Tapi kerana Kamila, dia terpaksa menolak meskipun hatinya teringin menanti Naufal di rumah pasangan suami isteri itu.

            “Nira dah bekerja sekarang ni Pak Maidin. Nira kerja dekat taska. Pemiliknya baik hati. Dia bukan setakat beri Nira kerja, tapi dia juga sediakan tempat tinggal untuk Nira.” Ujarnya memberitahu pasangan suami isteri itu. Dia tahu, Pak Maidin dan Mak Minah risau dengan keadaannya.

            “Alhamdulillah syukur kalau Nira selesa kat situ. Tapi kalau Nira nak kerja semula dengan kami kat warung tu, bila-bila masa datanglah. Sejak dua menjak ni, Pak Maidin tak berapa sihat. Kaki ni pun terpaksa bertongkat sebab Pak Maidin tergelincir tempohari sampai putus urat.” Ujar Pak Maidin.

            “Nira kalau boleh memang nak bantu Pak Maidin. Tapi tak elok rasanya pergi begitu sahaja dari taska sedangkan Puan Kamila tu baik sangat dengan Nira. INSYA  ALLAH kalau Nira ada masa, Nira akan bantu Pak Maidin dan Mak Minah kat warung tu macam dulu.” Ujarnya seakan memberi janji. Pak Maidin tidak banyak soal hanya mengangguk setuju.

            Dia memandang beg plastik besar di tangannya. Hatinya sudah tidak sabar mahu menatap isi kandungannya. Barang-barang itu adalah barang-barang lama peninggalan arwah ayah dan ibunya. Itu sahaja yang diambilnya dari rumah Pak Maidin tadi. Selebihnya dia berjanji mahu datang lagi dan mengambilnya secara berdikit-dikit.

            Ketika dia mahu membuka pintu pagar taska itu, sebuah kereta Mercedez Benz berwarna hitam gelap berhenti di belakangnya. Dia segera menoleh.

            “Cik Evy…” Wajahnya berubah. Hatinya berdebar-debar ketika melihat wanita itu. Tugu di dalam dirinya terasa bagaikan mahu runtuh.

            Evelyn tidak bersuara. Sepasang mata milik wanita itu, liar menerjah ke seluruh pelusuk wajahnya. Merenung dari atas ke bawah bagaikan sedang mentafsir setiap kekurangan dirinya.

            “You ada masa sekarang?” Evelyn merenung tajam ke arah gadis bertudung litup itu. Wajah itu semakin manis. Tidak lagi pucat seperti mula-mula gadis itu masih dipenjarakan. Kebebasan sememangnya membuatkan seseorang nampak lebih menarik dan bersemangat. Dan seri di wajah itulah yang tidak disenanginya dan menghadirkan sekelumit iri di hatinya selama ini.

            “Masuk dalam kereta. Ada benda I nak cakap dengan you.” Pinta wanita itu dengan wajah serius.

Danira tidak berganjak. Timbul keraguan di hatinya untuk mengikut wanita itu. Apatah lagi dia tidak tahu apa tujuan Evelyn mahu bertemunya.

            Evelyn menatapnya tajam Wajah itu jelas tidak senang dengan kedegilannya. Ada dengus kasar menerpa keluar dari bibir Evelyn. “You takut I apa-apakan you?” Evelyn meninggikan suara, namun tetap dengan nada sinis. Danira terpegun.

            “Setelah apa yang Joshua sanggup buat untuk you, you ingat senang sangat ke I nak calarkan reputasi I ni semata-mata untuk banduan macam you?” Getus Evelyn tanpa berdolak dalih.

Danira tersentap. Banduan? Harga dirinya jatuh ke tempat yang paling rendah dengan hanya satu perkataan itu sahaja. Kata-kata Evelyn benar-benar membuatkan dia rasa terhina. Nafasnya ditarik perlahan. Belajar untuk bersabar Nira! Bukankah itu yang kau lakukan selama ini?

            “Cik Evy baliklah, saya tak fikir kita ada apa-apa urusan lagi. Lagipun antara saya dan Joshua tak ada apa-apa. Dia hanya peguam saya dan saya hormati dia. Lepas ni saya takkan jumpa dia lagi kalau Cik Evy tak suka.” Danira membalikkan tubuh kecilnya. Niatnya ingin beredar dari situ, namun suara Evelyn sekali lagi menghentikan langkahnya.

            “Ikut I ke hospital, jumpa Joshua.” Ujar wanita itu.

            Danira terpempan. Hospital? Perlahan-lahan dia membalikkan tubuh. Wajah Evelyn ditatap separuh bingung. Apa maksud wanita itu? Kenapa Joshua ada di hospital?

*  *  *  *

            Langkah wanita itu, diekori menuju ke wad kelas pertama di sebuah hospital swasta di ibukota. Sepanjang perjalanan, Evelyn langsung tidak mahu menjelaskan apa-apa yang boleh menghuraikan tanda tanya di hatinya tentang Joshua. Apabila mereka sampai di hadapan sebuah bilik, langkah Evelyn tiba-tiba terhenti. Danira kaget. Wanita itu tiba-tiba berpaling ke arahnya.

            “Joshua ada kat dalam. You masuk, I tunggu kat sini saja.” Arah Evelyn dengan wajah serius. Danira terpinga-pinga memerhatikan wanita itu beredar ke arah bangku yang tersedia di luar bilik itu. Hatinya cuak memikirkan apa sebenarnya yang telah berlaku pada Joshua. Tombol pintu di hadapannya segera dipulas.

            Sebaik daun pintu renggang, dia memberanikan diri melangkah masuk. Matanya dengan segera terpandang sekujur tubuh yang terbaring di atas katil. Sebaik wajah itu berpaling, dia terkesima. Joshua! Hatinya serta-merta gementar melihat kesan-kesan lebam yang mewarnai wajah Joshua.

            “Danira..” Wajah Joshua serta-merta berseri sebaik menyedari kehadiran Danira di muka pintu. Lelaki itu cuba bangun dari pembaringan, namun Danira cepat-cepat menahan.

            “Josh, tak usah. Awak tengah sakit tu.” Larang Danira.

            “Bantu saya naikkan bed ni.” Pinta Joshua.

Danira menurut. Sebaik kepala lelaki itu berada dalam keadaan yang lebih selesa, Danira menarik kerusi lalu duduk di samping Joshua. Lelaki itu memandangnya tidak berkelip.

            “Kenapa boleh jadi macam ni Josh? Cik Evy kata awak masuk hospital disebabkan saya. Apa maksud dia cakap macam tu? Macamana awak boleh cedera?” Soal Danira bertubi-tubi. Dia ingin tahu cerita sebenar dari mulut Joshua. Melihat kesan-kesan lebam di wajah Joshua serta balutan simen di kaki lelaki itu, hatinya jadi sayu.

            Joshua terdiam. Dia mengeluh panjang mendengar kata-kata Danira. Separuh hatinya terasa jengkel dengan sikap Evelyn yang sengaja mahu membesar-besarkan cerita mengenai kecederaannya.

            “Josh please, tolong terus terang dengan saya. Saya benar-benar bimbangkan awak.” Rayu Danira tetap berdegil ingin tahu.

Joshua meneliti raut wajah manis di hadapannya. Danira kelihatan bersungguh-sungguh ingin tahu. Tapi apakah dia sendiri bersedia untuk bercerita kisah malam itu? Malam yang membuatkan dia terlantar lemah tidak berdaya seperti sekarang ini?

“Saya kena pukul Nira.” Perkataan itu terkeluar juga dari mulutnya. But I’m fine. Saya masih kuat.” Sambung Joshua sambil tersenyum hambar. Kejutan di wajah Danira membuatkan dia serba-salah.

            “Siapa yang pukul awak Josh?” Soal Danira dengan wajah serius.

            Joshua terdiam. Dia tidak mahu membicarakan tentang lelaki-lelaki yang memukulnya. Semua itu tidak penting berbanding dengan Danira yang muncul di hadapannya. Hampir dua minggu lamanya dia tidak bertemu gadis itu, entah kenapa ada sekelumit rasa rindu singgah di lubuk hatinya. Kesakitan yang dialaminya tidak seberapa berbanding rasa gembiranya sebaik bertemu gadis itu.

            “Josh..”

“Saya tak apa-apa Nira. Sungguh!”

“Jangan nak bohong. Beritahu saya hal sebenarnya. Betul ke awak kena pukul sebab saya?” Soal Danira lagi. Bersungguh-sungguh dia mahu menyelongkar cerita yang berat mahu dituturkan lelaki itu.

Joshua terdiam. Dia termenung jauh mengenangkan peristiwa malam itu. Sebenarnya dia sendiri tidak nampak jelas rupa lelaki-lelaki yang menyerangnya di hadapan bangunan firma guamannya malam itu. Ketika itu dia baru hendak pulang ke rumah setelah menyelesaikan sedikit kerja di pejabat.

            Setelah teruk dia dibelasah, salah seorang lelaki berbadan besar itu mencampakkan sesuatu ke mukanya. Beberapa duit yang terikat dan masih baru dilontar ke arahnya.

            “Ini duit yang bos aku kasi untuk kau. Upah untuk tugas kau membebaskan Danira. Lepas ni kau jangan jumpa lagi dengan perempuan tu, atau aku takkan lepaskan kau. Lagi satu jangan cuba-cuba nak menyoal perempuan tua tu lagi. Kau takkan dapat apa-apa dari dia.” Ugut lelaki berbadan besar itu.

Dia terkial-kial cuba bangun. Lebam dan bengkal-bengkil di seluruh mukanya menyukarkan dia mengecam lelaki-lelaki yang menyerangnya.

            “Kenapa? Kenapa aku tak boleh jumpa Danira? Siapa kamu semua?” Dia bertanya dengan nafas tersekat-sekat.

            “Siapa kami tak penting. Yang penting ialah kau jaga nyawa kau sendiri. Danira kepunyaan bos aku. Kalau kau berani jumpa dia lagi, kerjaya kau dan kawan-kawan kau akan musnah di tangan kami. Lagipun kau tentu tak mahu jadi macam kawan kau yang mati katak tu kan?” Suara lelaki berbadan besar itu sinis. Di antara dua lelaki lain yang turut berada di situ, lelaki berbadan besar itu seolah-olah mendominasikan keadaan.

            Dia terpegun. Kata-kata terakhir lelaki itu membuatkan dia terpinga-pinga. Nafasnya tersekat-sekat.

“Memang bukan Danira yang bunuh dia bukan? Kau dan orang-orang kau yang bunuh dia!” Tuduhnya melulu.

            Kata-katanya menimbulkan rasa tidak puas hati lelaki berbadan besar itu. Apabila lelaki itu mengeluarkan sebatang kayu hoki dari dalam perut van, dia sudah kecut perut. Wajah lelaki berbadan besar itu bengis menatap ke arahnya. Dan sekali lagi bagaikan satu ulang tayang, dia dibelasah lagi seperti tadi. Tak cukup dengan itu, lelaki itu memukul kakinya dengan batang kayu hoki membuatkan dia meraung kesakitan.

Akibatnya tulang kakinya disahkan doktor patah dan perlu disimen. Mujurlah seorang pengawal keselamatan bangunan itu yang bertugas shift malam menemuinya yang ditinggalkan nyawa-nyawa ikan. Jika tidak, pasti dia takkan berpeluang lagi bertemu Danira.

            “Nira, awak sebenarnya tahu siapa yang bunuh dia kan?”

            Kata-kata yang tercerna keluar dari bibir Joshua membuatkan Danira tersentak. Dia memandang lelaki itu dengan dahi berkerut. Tidak habis-habis lagikah soal siasat lelaki itu selama ini? Dia sudah bosan mengulang perkara yang sama di hadapan Joshua.

            “Kalau awak tahu, beritahulah saya Nira.” Pujuk Joshua.

            “Apa gunanya Josh? Saya kan dah bebas sekarang ni.” Balas Danira acuh tak acuh.

            Joshua terdiam. Betul juga! Apa gunanya dia mengenang kisah lama? Apa yang sudah berlaku takkan mampu diundur lagi.

Belum sempat dia mahu mengatakan sesuatu, pintu bilik itu tiba-tiba terbuka luas. Seorang wanita separuh umur melangkah masuk diikuti Evelyn dari belakang.

            “Mummy!” Joshua terkejut besar.

Danira turut menoleh. Matanya bertingkah pandang dengan seorang wanita dalam lingkungan usia pertengahan yang agak bergaya. Namun sorot mata wanita itu tajam memandang ke arahnya. Dia mula berasa tidak enak untuk terus berada di situ lebih lama.

            “So inilah perempuan yang Josh kejar-kejar tu?” Sinis nada suara yang keluar dari bibir semerah delima itu.

            “Mummy...” suara Joshua agak keberatan.

            “Sebab tu Josh tak mahu ikut mummy berhijrah ke Canada? Sebab perempuan ni?” Soal Madam Jenny dengan suara meninggi.

            Joshua terdiam. Dia menoleh ke arah Danira yang kelihatan panik dengan kehadiran ibunya yang tak disangka-sangka. Dia sendiri hairan bagaimana ibunya boleh tahu perihal Danira. Ini pasti kerja Evelyn, gumam Joshua kesal. Pantas matanya dilarikan ke arah Evelyn yang terpaku di suatu sudut.

2 comments:

Anonymous said...

Je veux, il est facile de changer les couleurs de modèle; une zone de la galerie; calendrier et bien sûr la région de blogging devrait être facile à gérer / mettre à jour. Des noms et des liens serait grandement apprécié ..

Anonymous said...

Bila nak smbg..xsbr nak tahu kesudahannya n_n

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!