THE WORLD OF ANITA ARUSZI

Everyone has a dream..but my dream is to wanna make ur happy..

Followers

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

Orked merenung wajahnya di hadapan cermin. Air yang terpasang dari pili di sinki sengaja dibiarkan mengalir. Dia tidak mampu menahan diri dari terkenangkan peristiwa di tasik tadi. Meski dia tahu itu hanyalah CPR, tapi entah  kenapa dia berasa amat malu. Lagi-lagi Idlan adalah anak ibu tirinya! Lainlah kalau dia yakin Idlan takkan ditemuinya lagi. Tapi berdasarkan hubungan antara ayahnya dengan ibu tirinya Maria, tak mungkin mereka takkan sering bertemu selepas ini.
            Orked meraba-raba bibirnya yang dibasahi air. Matanya bulat membayangkan bagaimana bibirnya sudah diterokai seorang lelaki. Gosh malunya! Cepat-cepat dia menepuk pangkal dahinya. Fikirannya yang bukan-bukan dengan cepat disingkirkan. Fokus Orked! CPR saja..bukan apa-apa pun. Lagipun kau kena ingat, dia anak ibu tiri kau aje! Lepas ni dia akan balik semula ke luar negara dan kau takkan menemuinya lagi! Jadi jangan tunjukkan yang kau ada feel apa-apa dengan apa yang dia dah buat.
            Orked segera menunduk ke dalam sinki lalu menadah air yang mengalir dari pili. Air tersebut dibawa ke mulutnya lalu dikumur berkali-kali. Dahinya berkerut. Terbayang lagi? Dia menggelengkan kepala. Tak boleh jadi ni! Dia mencapai berus gigi pula dan mula menggosok giginya buat kali ketiga malam ini!
            Ketika dia turun untuk bersarapan pagi itu, telinganya mendengar bunyi riuh rendah di meja makan. Dia tergaman melihat betapa ramainya orang di meja makan pagi itu. Siapa pulak ni?
            Dia tidak jadi mengatur langkah. Niatnya mahu kembali ke biliknya tapi suatu suara dengan segera menghentikan langkahnya. Hendak tak hendak dia terpaksa berpaling. Matanya berpapas pandang dengan Idlan yang sedang duduk di kepala meja menghadap ke arahnya.
          “Orked nak ke mana tu? Tak nak sarapan dulu?” Tanya Idlan. Serentak semua mata yang ada di meja makan menoleh ke arahnya. Dia terkulat-kulat sendirian. Segan bila setiap pasang mata memandangnya seperti sedang menilainya.
Melihat Idlan bangun lalu menarik sebuah kerusi di sampingnya, Orked mengeluh panjang. Dia segera merapati lelaki itu lalu duduk di kerusi yang seolah sudah dikhaskan untuknya.
            “So inilah Orked yang diceritakan tu?” Muncul satu suara ramah menegur. Orked menoleh. Seorang wanita dalam lingkungan usia 30an tersenyum ke arahnya. Dia memandang ke arah Idlan, bagaikan meminta penjelasan siapakah orang-orang yang tak dikenali berada di meja makan ketika ini.
            “Orked, kenalkan itu Kak Mara. Dia dengan suaminya memang selalu tinggal kat sini kalau abang Rezal nak pergi buat aktiviti memancing. Yang itu anak-anak Kak Mara dengan abang Rezal. Cici dan Fahmi.” Idlan memperkenalkannya.
            Dia hanya mengangguk. Untuk beramah-tamah dengan lebih mesra, itu memang bukan kepakarannya.
            “Orked tak apa-apa?” Mara bertanya.
            Dia menggeleng dengan dahi berkerut. Apa maksud wanita itu?
            “Semalam waktu kami pergi memancing, ada budak-budak cerita ada orang lemas kat tasik. Rupa-rupanya Orked yang lemas.” Rezal menyampuk dengan wajah tersengih-sengih.
            Kata-kata Rezal mengundang tawa sekumpulan anak muda yang sedang laju menyuap mee goreng ke mulut. Orked berpaling. Terdapat tiga orang lelaki dan dua gadis muda sedang duduk saling berhadapan tidak jauh dari Rezal.
            “Itu Fikri, Halil dengan Irfan. Yang di hadapan mereka tu Anna dan Ira. Mereka pelajar universiti yang datang nak buat kajian tentang pokok-pokok herba dekat hutan hujung kampung ni. Rasanya usia Orked tak jauh berbeza dengan diaorang.Kalau Orked bosan, mereka boleh jadi teman berbual Orked.” Ujar Idlan.
            Orked menoleh ke arah sekumpulan pelajar di hadapannya. Kebanyakannya tersenyum ramah dan melambai ke arahnya kecuali Anna. Gadis itu memandang tajam ke arahnya. Riak wajah gadis cantik itu bagaikan tidak menyenangi kehadirannya di situ. Ah lantak kaulah! Macam aku kisah pun! Gerutu Orked seraya mengalihkan pandangan. Entah kenapa mee goreng dan nasi goreng yang ada di hadapan meja lebih menarik perhatiannya dari orang-orang yang tak dikenalinya di rumah itu.
            “Orked nak makan apa? Nanti Mak Tun sendukkan.” Muncul Mak Tun dari arah dapur lalu meletakkan pinggan di hadapannya.
            “Tak apa Mak Tun, nanti saya sendukkan untuk dia.” Pintas Idlan seraya berpaling ke arahnya.
            “Orked nak rasa yang mana? Nasi goreng atau mee goreng?” Soal Idlan.
            Orked tidak menjawab. Serta-merta dia merampas senduk di tangan Idlan membuatkan lelaki itu tergaman. Mak Tun juga ikut terkejut. Mujurlah yang lain-lain tidak perasan kerana asyik berbual sesama sendiri.
            “Tak payah, aku boleh buat sendiri.” Getus Orked agak kasar.
            Idlan hanya membiarkan. Dia nampak renungan Mak Tun yang seolah tidak menyenangi sikap Orked terhadapnya. Namun Idlan hanya tersenyum ke arah orang tua itu. Melihat Orked mencapai mangkuk nasi goreng, dia segera menuangkan secawan kopi untuk Orked. Kali ini gadis itu tidak pula membantah.
            Seorang lelaki separuh umur melangkah masuk. Kehadirannya menggamit perhatian orang-orang di meja makan tidak terkecuali Orked.
            “Itu suami Mak Tun, Pak Man.Bisik Idlan di tepi telinganya. Orked tidak memberi reaksi. Lagipun dia tidak ingin melayan Idlan ketika marahnya masih menebal terhadap lelaki itu.
            “Wah sedapnya bau. Ni yang Pak Man tak sabar nak tumpang semangkuk ni.” Ujar orang tua itu seraya duduk di hadapan Idlan. Serentak mata Pak Man membulat pandang ke arah Orked. Dia tercengang. Wajah itu kelihatan asing di matanya. Dia menjeling ke arah Idlan.
            “Siapa ni Id?”
            Orked Pak Man. Adik saya.” Jawab Idlan tersengih.
            Pak Man mencerlung ke arah anak gadis itu bersungguh-sungguh. Raut wajah masam mencuka di hadapannya ditatap agak lama membuatkan Orked agak kurang senang.
            “Tak ada rupa kamu pun.” Ujar Pak Man.
            “Memang lah tak ada bang, ini kan anak suami baru Maria.” Sampuk Mak Tun pula seraya menyenduk mee goreng ke pinggan suaminya.
            “Ohh..” bunyi nada suara Pak Man mula mendatar. Orked terkebil-kebil memandang lelaki itu yang mula acuh tak acuh terhadapnya. Tapi kerana sikapnya memang tak suka diberi perhatian, maka dia juga tidak kisah dengan orang tua di hadapannya.
            “Hari ni kami nak pergi memancing lagi. Idlan dengan Orked nak ikut tak?” Pelawa Mara. Ibu beranak dua itu memang tak putus-putus berborak sedari tadi. Sepanjang masa makan, hanya suara Mara yang riuh rendah.
            Idlan menoleh. Cadangan Mara dirasakan kena pada masanya. Lagipun dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu melayan Orked sepanjang gadis itu berada di situ.
            “Orked nak pergi?”
            Orked tidak menjawab. Dia sendiri tidak pasti. Lagipun dia bukannya kenal sangat dengan pasangan suami isteri yang kaki havoc itu.
            “Idlan pergi sekali lah. Lagipun kalau ada apa-apa berlaku, Idlan boleh jadi saver untuk Orked.” Seru Rezal lalu ketawa besar. Yang lain-lain ikut ketawa.
            Darah Orked menyirap. Wajahnya merah padam! Kata-kata Rezal membuatkan dia berpaling ke arah Idlan. Lelaki itu tersenyum serba tidak kena di hadapannya.
            “Tempat ni kecil. Semua yang berlaku kat sini, pasti ada yang tahu.” Bisik Idlan cuba menjelaskan. Dia tidak mahu Orked terus buruk sangka terhadapnya.
            Orked mengetap bibir. Geram! Dengan senyap dia makan nasi gorengnya dengan wajah membiru. Bengang sekaligus malu menjadi bahan usikan dan tawa orang-orang di rumah itu.

            Orked menggerutu dengan wajah berang. Mak Tun yang sedang merawat bunga di laman rumah langsung tidak ditegur. Dia menonong masuk membuatkan orang tua itu tercengang. Hairan melihat gelagat anak gadis itu yang terburu-buru masuk ke dalam rumah.
            “Apahal pulak budak ni? Kena sampuk ke?” Keluh Mak Tun. Namun dia tidak berhasrat mahu menjaga tepi kain orang lain. Kerjanya diteruskan merawat bunga-bunganya yang tumbuh subur di sekeliling rumah itu.
            Orked menghempas pintu bilik sekuat hati. Dia benar-benar berang kini. Apa yang dilakukan oleh Idlan padanya benar-benar tak masuk akal. Perlukah sampai begitu?
            Dia mengetap bibir. Sebaik teringatkan bibirnya saling bersentuhan dengan bibir Idlan, entah kenapa wajahnya merona merah. Pipinya terasa hangat. Cepat-cepat dia menekup pipinya dengan kedua-dua jari jemarinya. Malunya! Mana dia nak sorokkan mukanya dari lelaki itu lagi? Kepalanya sengaja ditekup pada permukaan bantal sambil dia menyumpah Idlan yang telah meragut sisa maruahnya yang masih tertinggal. Bodoh! Bangang! Orked tak sudah-sudah mengeluarkan kata-kata kesat.
            Tiba-tiba daun pintu biliknya diketuk dari luar. Orked menoleh. Ini mesti lelaki bangang tu! Gumam Orked sakit hati.
            “Orked..” Panggil Idlan dari luar bilik.
            Orked mengetap bibir. Geram! Dugaannya benar-benar tepat. Idlan pasti cuba menjelaskan tindak-tanduknya sebentar tadi. Kau ingat aku akan percaya dengan alasan CPR tu?
            “Orked ini abang, please buka pintu ni. Abang nak jelaskan pada Orked fasal tadi.” Pujuk Idlan. Dia tidak mahu salah faham gadis itu berlarutan terhadapnya. Lagi-lagi mereka akan tinggal serumah selepas ini.
            “Tadi tu memang betul Orked lemas. Abang cuma nak selamatkan Orked. Tapi bila tengok Orked tak sedar-sedar, abang jadi bimbang. Sebab tu abang buat macam tu.” Jelas Idlan lagi.
            Orked enggan ambil peduli. Kedua-dua belah telinganya ditekup sekuat hati. Dia sudah berikrar takkan mengambil peduli apa jua penjelasan lelaki itu. Huh lelaki semua sama! Tahu nak ambil kesempatan aje! Dia sempat mengutuk Idlan dengan wajah mencemik.
            “Orked janganlah marah lagi. Jom kita keluar makan. Sejak tengahari tadi, Orked tak makan apa-apa kan?” Pujuk Idlan lagi. Kali ini dia cuba menggunakan psikologi pula untuk memujuk gadis itu.
            Dia menekup telinganya pada permukaan pintu. Aikk takkan senyap aje? Idlan mengeluh panjang. Tak laparkah gadis itu sedangkan sepanjang pagi ini, Orked belum menjamah apa-apa makanan? Aduh! Apa patut dia buat untuk memujuk gadis berhati batu itu? Sedangkan cara paling lembut tidak berkesan, apa lagi ikhtiar yang boleh dipakai?
            Mata Idlan tiba-tiba membulat. Dia tersenyum simpul. Idea cantik dah datang! Dia segera mengetuk pintu bilik gadis itu lebih kuat dari tadi.
            “Orked, keluarlah..abang nak cakap sesuatu ni.”
            Diam.
            “Orked, abang tahu Orked malu dengan peristiwa tadi. Kalau Orked nak tahu, abang pun malu jugak. Selama hidup abang, ini first time abang cium perempuan. Abang cuma nak cakap yang….”
            Pintu di hadapannya tiba-tiba dikuak kasar menyerlahkan wajah Orked yang merah padam. Idlan mengeluh lega. Menjadi juga idea dia meskipun agak otai. Namun renungan tajam Orked di wajahnya membuatkan dia jadi kecut perut. Wajah itu kini seakan-akan sedang bersedia mahu membunuhnya! Dia tersengih seraya mengangkat tangan.
            Sorry..abang terpaksa cakap macam tu sebab nak suruh Orked keluar. Demi Allah, abang sebenarnya memang berniat nak buat CPR tadi, bukannya ada niat lain.” Dia mengakuinya. Cuba menyakinkan gadis itu akan perkara sebenarnya.
            Orked mendengus. Ikut hatinya mahu sahaja dia lancarkan satu penumbuk padu ke wajah Idlan. Biar bengkal-bengkil muka lelaki itu, supaya lelaki itu tahu balasan kerana telah membuatkan airmukanya jatuh.
            “Kenapa tak cakap kuat lagi biar semua orang dalam rumah ni tahu?” Herdik Orked kasar. Bengang betul dia dengan kata-kata Idlan yang seakan mempersendakannya. Senyuman lelaki itu yang menyebalkan beserta ungkapan kata maaf, menunjukkan lelaki itu langsung tidak serius dengan kata-katanya.
            Idlan ketawa kecil. “Dahlah tu, jangan nak marah-marah lagi. Dah sehari suntuk Orked marah-marah, takkan tak tahu penat. Jom kita masuk dapur. Makan!” Ujar lelaki itu lalu menarik tangannya. Dia terkesima. Hendak dilepaskan tangannya, Idlan semakin mengemaskan pautan. Sudahnya dia hanya mampu membiarkan dirinya dihela sesuka hati. Lagipun dia sudah tidak larat mahu membantah atau bertengkar dengan Idlan, apatah lagi perutnya sudah berkeroncong minta diisi.
*  *  *  *
            Idlan termenung panjang di beranda rumah. Menghadap ke arah langit kirmizi yang kemerah-merahan di ufuk barat. Matanya asyik meneliti setiap pelusuk kawasan rumah dua tingkat yang bersambung dengan beberapa buah rumah di bahagian belakang. Ianya sengaja dibina begitu oleh ayahnya kerana niat lelaki itu mahu menjadikan rumah itu homestay sudah lama direalisasikan. Hanya sayang sebelum sempat rumah itu siap sepenuhnya, ayahnya pergi dijemput ilahi kerana masalah jantung.
            Sebelum dia keluar negara, dia sempat menyatakan hasrat hatinya pada ibunya untuk menguruskan perniagaan homestay. Tapi entah kenapa wanita itu melarang. Malah sebaik dia pulang dari luar negara, hatinya ingin sekali menetap di rumah milik ayahnya. Tapi ibunya sejak awal-awal lagi menjemputnya di lapangan terbang dan membawanya pulang ke rumah suami barunya, Uncle Hamdan. Hendak tak hendak dia terpaksa akur, sekadar untuk menjaga airmuka ibunya di hadapan lelaki itu.
            Bunyi air berdesir di bilik sebelah membuatkan Idlan berpaling dan memasang telinga. Dahinya berkerut. Sudah hampir satu jam Orked berada di dalam bilik air. Lamanya! Takkan tak siap-siap mandi dari tadi.
            Mengenangkan gadis itu entah kenapa dia tersenyum sendiri. Orked Harlina, anak kepada ayah tirinya itu memang sangat keras kepala. Tapi dalam tempoh 24 jam dia meluangkan masa bersama-sama gadis itu, entah kenapa dia yakin, hati nurani gadis itu tidak sekeras rupa permukaan yang ditunjukkannya. Dia juga yakin, gadis itu hanya memerlukan lebih perhatian dari orang-orang di sekelilingnya. Jauh di sudut hati dia tahu, masih ada yang luhur dan murni di hati Orked. Jika tidak masakan Orked bergegas mahu menyelamatkan anak muda belasan tahun yang disangkakannya lemas.
            Mujur dia sempat sampai tepat pada masanya. Jika tidak entah apa yang mungkin berlaku pada gadis itu. Mulanya dia agak terkejut apabila mendengar jeritan dua anak muda itu yang menjerit meminta tolong. Apabila dia sampai ke tebing tasik, dilihatnya kepala Orked sudah tenggelam timbul.
            Melihat situasi mencemaskan itu, tanpa membuang masa dia segera terjun ke dalam tasik lalu berenang menghampiri Orked. Mujur dia sempat mencapai tubuh gadis itu lalu ditariknya ke tebing dengan bantuan dua anak-anak muda yang tinggal di kampung berhampiran.
            “Dia dah banyak telan air. Buat CPR bang.” Suara remaja yang menyuruhnya membuat CPR membuatkan dia ketawa lagi. Terasa lucu menyengat jiwa tatkala niat baiknya disalahertikan. Tak fasal-fasal dia dipanggil Sex Maniac.
            Dia memang pernah mengikuti kursus bantuan kecemasan anjuran universitinya suatu ketika dahulu. Tapi inilah kali pertama dia melakukannya. Lebih-lebih lagi dia melakukannya pada seorang gadis. Memang dia segan juga pada dua anak muda remaja yang berada di situ ketika itu. Kalau bukan mengenangkan keadaan Orked ketika itu serta gesaan anak muda itu, entah belum tentu dia sanggup melakukannya.
Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya dia ketika bibirnya bertaut dengan bahagian paling lembut pada seorang gadis. Tipulah dia kalau dia mengatakan tidak merasa apa-apa. Ketika melakukannya, dadanya bergetar hebat. Jantungnya berdegup lebih kencang bagaikan remaja yang baru pertama kali mabuk cinta. Tapi sebagai seorang lelaki yang lebih dewasa dari Orked dan dari dua remaja itu, dia berusaha mengawal diri. Lantaran dia menyedari bahawa itu semua hanyalah perasaan sementara yang terbawa-bawa di dalam keadaan darurat.
            Dia melirik lagi ke arah bilik sebelah yang masih belum padam lampunya. Malah bunyi air di bilik itu masih jelas kedengaran. Dia tahu gadis seperti Orked pasti berasa malu dengan apa yang telah berlaku petang tadi. Dia pun segan juga sebenarnya dengan gadis itu. Tapi apa boleh buat, benda dah nak jadi!

            Idlan segera mencempung gadis itu naik ke tebing. Sesudah itu dia membaringkan Orked beralaskan rumput-rumput hijau. Melihat gadis itu tidak sedarkan diri, Idlan semakin cemas. Dia memeriksa nadi di pergelangan tangan gadis itu. Masih ada tapi lemah!
            Dia dah banyak telan air. Buat CPR bang.” Suruh suatu suara.
            Idlan berpaling ke arah dua remaja lelaki yang turut berada di situ. Kalau bukan kerana kedua-duanya, mana mungkin dia sedar Orked lemas di tasik itu.  Tapi untuk melakukan bantuan pernafasan, entah kenapa dia jadi serba-salah.
            “Tunggu apa lagi bang, buatlah. Nanti mati pulak dia.”Gesa salah seorang anak muda itu. Idlan memandang wajah Orked yang pucat membiru. Rambut gadis itu yang menutup mata diselak dengan jarinya. Sekali lagi dia memeriksa nadi Orked. Tidak kedengaran apa-apa. Idlan gugup. Tidak! Aku tak boleh biarkan dia mati.
            Idlan segera bertindak. Tubuh Orked yang kaku dibetulkan posisinya. Tengkuk anak gadis itu didongakkan sedikit dengan menolak dagu Orked ke atas. Sesudah itu dia membuka mulut Orked untuk membuka saluran pernafasan.
            Hidung gadis itu dipicit sebelum dia mula melekapkan mulutnya ke mulut gadis itu lalu menghembus udara sebanyak dua kali. Dia melakukannya beberapa kali. Melihat keadaan Orked masih sama, Idlan meneruskan tindakannya. Tapi ketika dia mahu menghampiri wajah gadis itu, mata Orked tiba-tiba terbuka.
            Idlan terkejut. Dia tidak sempat melarikan wajahnya. Matanya berbalas pandang dengan Orked yang terkebil-kebil sedang menatapnya.
            “Kau buat apa ni?” Bisikan gadis itu menyentuh telinganya.
            “Err..abang..abang cuma..” Tiba-tiba sahaja Idlan tergagap-gagap. Seolah-olah dia baharu sahaja melakukan kesalahan besar. Aduh! Yang aku gagap ni kenapa pulak? Itu kan perkara emergency. Yang terpaksa dilakukan atas dasar untuk menyelamatkan gadis itu. Hati kecilnya cuba memujuk diri sendiri.
            “Orked lemas tadi. Abang tak ada jalan lain. Abang terpaksa buat CPR.” Idlan berterus terang seraya tersengih.
            Pang! Habis bercakap, satu tamparan singgah di pipi kirinya. Idlan terkejut lalu meraba pipinya yang berbekas. Dia melontarkan pandangan ke arah Orked yang bingkas bangun dengan wajah merah padam.
            “Sex Maniac! Lain kali jangan harap aku nak percaya pada kau lagi.” Usai mengherdik Idlan, Orked segera berlari ke arah rumah tumpangan itu. Meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga dengan wajah bingung.
            Suara ketawa mengalihkan perhatian Idlan dari kelibat tubuh Orked yang semakin jauh. Dia menoleh. Dua remaja lelaki itu tersengih-sengih memandang ke arahnya.
            “Kasihan abang. Nak buat baik, tak fasal-fasal kena pelempang pulak. Siapa awek yang garang sangat tu?” Tanya salah seorang darinya.
            “Brutal betul. Macam singa!” Ulas yang seorang lagi.
            Idlan tersenyum gelihati. Komen anak-anak muda itu ditelan dengan wajah lucu. Sesekali singgah perit di pipi kirinya angkara tamparan Orked yang menyengat. Mesti lepas ni lebam, bisik hati kecilnya seraya meraba pipinya.
            “Hebat abang ni. Tiga kali ciuman aje, dia dah sedar.” Usik anak muda itu lagi.
            Idlan menjeling. “CPR…” Idlan membetulkan panggilan lelaki muda itu.
            Kedua lelaki muda itu ketawa besar. “Ya..ya betul CPR..” Gelak kedua-duanya seraya mengenyitkan mata. Mahu tak mahu Idlan turut sama ketawa. Sekadar melayan kedua-duanya yang begitu ramah tamah dengannya.
            “Ingat, lain kali jangan nak main-main macam tu lagi. Tak fasal-fasal ada orang salah sangka.” Pesan Idlan sebelum beredar.
            “Sorrylah bang, kami memang tak sengaja. Nak main-main aje, tak sangka pula dia nak cuba tolong sampai diri sendiri lemas. Ucapkan maaf dari pihak kami ya.” Ungkap salah seorang dari anak muda itu yang bertubuh kurus runcing.
            “Insya Allah.” Idlan mengangguk lalu bersalaman dengan kedua-duanya sebelum mereka berpisah haluan.
            Sebaik kelibat kedua-duanya menghilang, Idlan menoleh ke arah bumbung rumahnya yang kelihatan dari kawasan tebing tasik itu. Entah kenapa dia menarik nafas panjang. Setelah insiden sebentar tadi, pasti akan lebih sukar untuknya memujuk anak gadis itu. Takkan baru satu hari, kau dah mengaku kalah Id! Hati kecilnya memprovok diri sendiri.
            “Dia gadis yang sukar dijangka.” Bisik Idlan sebagai jawapan kepada hatinya. Bukankah lebih baik kalau Orked seperti Nadya yang lemah lembut dan penyayang.
            Tapi jika Nadya gadis yang sempurna, kenapa kau meninggalkannya di London? Kenapa tidak kau bawa dia pulang ke mari untuk diperkenalkan pada mama kau sebagai calon isteri? Kenapa? Sekali lagi suara hatinya muncul.
            Idlan menarik nafas panjang. Tiada jawapan muncul di bibirnya kali ini!

            Selepas sehari suntuk berada di homestay arwah ayahnya, barulah Idlan menelefon ibunya petang itu dan memberitahu di mana mereka berada. Seperti dijangkakan, ibunya Maria terkejut besar mendengar kata-katanya.
            “Kenapa tak balik ke rumah?’ Soal Maria seakan tidak bersetuju dengan tindakan Idlan kali ini.
            “Tak apalah mama, Id bawa Orked ke rumah lama kita dulu. Biarlah dia tenangkan fikirannya kat sini. Lagipun Mak Tun dan Pak Man kan ada kat sini. Mereka boleh tolong tengok-tengokkan Orked.” Ujar Idlan.
            “Id buat mama risau.” Keluh Maria.
            Idlan hanya tersenyum. “Id dah besar panjang mama. Id boleh jaga diri sendiri, mama janganlah risau. Cuma satu aje Id minta, mama tolonglah jelaskan pada Uncle Hamdan tentang tindakan Id ni.” Pinta Idlan. Dia memang risau dengan anggapan lelaki itu jika tahu ke mana dia membawa Orked pergi.
            “Insya allah sayang, nanti mama bagitahu dia. Tapi bila Id nak balik ke mari?” Soal Maria.
            “Tengoklah dalam dua tiga hari lagi.”
            “Balik cepat sikit Id, mama belum habis rindu nak tengok Id.” Sayu suara Maria berbisik. Idlan terdiam. Kata-kata ibunya membuatkan lidahnya kelu seribu bahasa. Apakah ini hanya mainan perasaannya? Tapi sejak dia balik dari London seminggu yang lalu, sikap ibunya benar-benar berbeza. Perhatian yang diberikan wanita itu juga kelihatan berlebihan terhadapnya.
            Ketika dia menamatkan perbualan, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Orked sedang berdiri di penjuru sudut. Gadis itu pasti sedang memasang telinga mendengar perbualannya dengan ibunya sebentar tadi.
            Dia tersenyum memandang ke arah Orked yang sedang memerhatikannya.
            “Orked lapar? Nak makan?” Soalnya lembut.
            Orked menggeleng. Mata anak gadis itu terus meratah wajahnya tidak berkelip.
            “Kenapa Orked pandang abang macam tu? Abang handsome ke?” Seloroh Idlan seraya tersengih.
            “Kau telefon rumah ke tadi?” Soal Orked tanpa mempedulikan kata-kata Idlan yang berbaur lelucon
            Idlan hanya mengangguk. “Kita kena beritahu mereka. Walau macamana sekalipun, mereka tetap ibu bapa kita.” Sahut Idlan tenang.
            “Kau ingat mereka ambil peduli?” Herdik Orked dengan wajah merah padam. Hatinya geram mendengar kata-kata Idlan yang membocorkan rahsia mengenainya pada ayahnya.
            “Tak kisahlah mereka peduli atau tidak. Tapi abang peduli fasal Orked.” Wajah Idlan serius ketika menuturkan kata-katanya.
            Orked mengetap bibir. Wajah pemuda di hadapannya ditenung tajam. “Kau kena ingat sikit. Kau tu bukan abang aku! Jangan nak berlagak macam kau ni abang aku!” Teriak Orked, tiba-tiba naik berang.
            “Memang abang bukan abang kandung Orked. Tapi bila mak ayah kita kahwin, secara lahiriah Orked sudah jadi adik abang, tanggungjawab abang.” Balas Idlan.
            “Aku tak ingin jadi adik kau. Jadi jangan campur urusan aku lagi. Kalau tak, aku akan keluar dari rumah ni.” Ugut Orked.
            Idlan terdiam. Kata-kata gadis itu membuatkan dia mengeluh panjang.
            “Kenapa Orked tak mahu percaya pada abang? Abang benar-benar ambil berat fasal Orked.” Keluh Idlan.
            Orked mendengus kasar. Kata-kata Idlan malas mahu diambil peduli. Selama hidupnya dia tidak pernah dipedulikan ayahnya sendiri. Hari ini tiba-tiba sahaja seorang lelaki yang tidak pernah dikenali cuba mengambil hatinya. Untuk apa? Kenapa? Dia sudah muak mendengar kata-kata sebegitu. Hakikatnya selama hidupnya tidak pernah ada seorang pun yang mahu mengambil berat tentangnya.
            “Orked nak ke mana tu?” Idlan bertanya sebaik melihat gadis itu angkat kaki dari situ.
            Orked berpaling dengan wajah sinis. Aku nak keluar jalan-jalan kat sini. Kenapa? Tak boleh?”
            “Orked tak kenal jalan-jalan kat sini. Nanti sesat! Abang temankan ya?”
            “Tak payah susah-susah. Aku takkan ganggu kau dan tolong jangan ganggu aku, boleh tak?” Herdik Orked lalu melangkah keluar dari situ. Meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga dengan wajah bingung.
*  *  *  *
DIA hanya mengikut arus kaki tanpa tahu ke mana hala tujuannya. Dia sebenarnya masih bingung dengan tempat ini. Kat mana sebenarnya aku ni? Dia hanya tahu dirinya kini sudah jauh meninggalkan Kuala Lumpur. Tempat yang sedang dikunjunginya sekarang tidak ubah seperti sebuah desa yang sepi dari hiruk-pikuk kota. Tapi dia benci dengan kesunyian yang dirasakannya. Dia benci dengan suasana di tempat itu yang seperti berkabung. Sepi ini membuatkan hatinya lebih pedih. Jiwanya lebih kusut.
            Meskipun ini yang dimahukannya, lari jauh dari kemelut duka yang dihadapi sepanjang pencariannya, anehnya kenapa dia tidak merasa gembira? Kenapa tidak sedikitpun hatinya merasa lapang berada di tempat ini? Mungkin tempat yang terlalu sunyi tidak sesuai untuknya. Tempat yang sunyi hanya membuatkan fikirannya menjadi kosong. Dan fikiran yang kosong hanya akan membuatkan ianya terisi dengan pelbagai kenangan yang menyakitkan. Dia lebih menyenangi suasana riuh rendah dan rancak. Kerana itu dia sering mengunjungi kelab malam bersama teman-temannya. Entah kenapa bunyi muzik yang rancak dan kuat lebih menyenangkan dari suasana yang sunyi sepi seperti ini!
            Lama berjalan, kakinya sampai di sebuah tasik yang cukup indah. Di tebing tasik, terdapat banyak pohon-pohon Zubaidah yang menjadi penyeri tebing. Dia duduk berlunjur kaki di situ. Ketenangan air tasik di hadapannya diraut dengan fikiran melayang. Sesekali dia menggerakkan kakinya dan memercikkan air tasik sehingga membentuk beberapa pusaran kecil. Sejuk! Hati kecilnya bertingkah. Mula menyenangi apa yang sedang dilakukannya.
            Entah kenapa tiba-tiba hatinya tergerak untuk mandi-manda di situ. Pandangannya dilontar di sekelilingnya. Setelah pasti tidak ada yang melihatnya di situ, Orked perlahan-lahan turun ke tepi tebing. Dia meranduk air ke tengah-tengah tasik, lalu menyelam buat beberapa saat. Ketika dia timbul semula, wajahnya terasa benar-benar segar. Kedinginan air tasik itu mampu menghalau hangat tubuhnya yang dirasakan berbahang.
            Dia berenang dengan senang hati. Aneh juga! Baru sebentar tadi dia menggumam suasana desa itu yang dirasakan membosankan. Kini dalam sekelip mata air tasik itu mampu membuahkan kegembiraannya.
            Ketika sekali lagi dia timbul di permukaan air, tiba-tiba telinga Orked mendengar bunyi teriakan, sayup-sayup kedengaran. Dia segera berpaling. Sejauh hampir 50 meter, dia terpandang sesusuk tubuh sedang tenggelam timbul tidak jauh dari tempat dia berada. Ada orang lemas! Hati kecil Orked berbisik.
            Tanpa memikirkan keselamatan dirinya, dia segera berenang ke arah lembaga yang terkapai-kapai itu. Tapi baru beberapa meter berenang, kakinya tiba-tiba kejang. Dia terkejut. Pergerakannya di dalam air sudah terumbang-ambing. Kegagalan menguak dengan kakinya menyebabkan tubuhnya sedikit demi sedikit gagal diapungkan. Dia cuba menggunakan kedua-dua tangannya. Tapi kedua-dua tangannya juga seperti lemah dan tidak mampu menolak arus air tasik itu. Akibatnya sedikit demi sedikit, dia mula tenggelam.
            Orked mahu menjerit. Tapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Dia tidak mampu bersuara. Dadanya berdebar-debar. Matanya dipejamkan. Apakah aku akan mati? Dia semakin ketakutan. Melihat daratan yang hanya separas hidungnya, dia kian pasrah.
            “Kematian itu pasti akan berlaku Orked. Mati itu pasti!” Bisikan suatu suara menerpa ke telinganya. Dia terus memejamkan matanya. Tubuhnya terasa kaku tidak berupaya. Wajah uminya tiba-tiba muncul di fikiran. Wanita itu datang dengan senyuman seindah bidadari. Berpakaian putih yang mempunyai dua kepak di belakang. Ketika wanita itu menghulurkan kedua-dua tangannya, dia seperti terpukau.
            “Datang pada umi Orked. Umi akan selamatkan Orked.” Ujar wanita itu.
            Dia tersenyum. Tiba-tiba sahaja ketakutannya menghilang. Huluran tangan wanita itu disambut. Hatinya pasrah dan rela mahu mengikut wanita itu.

            Panas yang membahang di wajahnya membuatkan dia membuka kelopak matanya. Cahaya matahari yang mencelah masuk dari arah hadapan menganggu penglihatannya. Dia segera melarikan wajahnya dari terus diganggu sinar matahari itu. Tapi sebaik melihat kelibat seseorang sedang tidur di sebelahnya, serta-merta dia kaget. Terpaku! Tangannya diangkat tinggi mahu memukul lelaki di sampingnya.
            Tapi sejurus kemudian, dia menjatuhkan tangannya. Wajah lelaki itu direnung lama. Baru dia teringat siapa lelaki itu. Idlan! Riyaz Idlan! Dia menyebut nama itu berulangkali seraya merenung wajah lelaki itu lebih dekat. Hmm..boleh tahan juga dia ni! Bisik hati kecil Orked. Padanlah Mira boleh angau dalam tempoh beberapa jam sahaja!
            Tiba-tiba Idlan membuka matanya seraya menguap. Orked cepat-cepat membalikkan tubuhnya. Pura-pura tertidur. Tapi dia dapat mendengar keluhan lelaki itu meniti dari bibir. Dalam keadaan mata masih terpejam rapat, Orked dapat merasakan seseorang sedang membuka pintu kereta di sebelah tempat duduknya. Sejurus sepasang tangan kekar tiba-tiba menjamah pinggangnya. Orked sudah tidak mampu berpura-pura lagi. Dia membuka mata serentak menjerit nyaring! Tangannya sudah kucar kacir memukul sana sini.
            “Orked, ini abanglah. Aduh!” Suara Idlan kedengaran.
            Orked berpaling. Melihat wajah Idlan yang merah padam, dia segera menutup mulutnya. Alamak! Wajahnya pucat memandang ke arah Idlan yang asyik mengosok-gosok dadanya.
            “Kuatnya Orked pukul. Kalau macam ni, CM Punk dengan The Ogre pun boleh kalah.” Sahut Idlan dengan wajah berkerut. Aduh! Senak dadanya kena tumbukan gadis itu.
            “Siapa suruh kau ambil kesempatan?” Orked pura-pura membela diri.
            Idlan tercengang. Kata-kata Orked membuatkan dia separuh bingung. Tiba-tiba Idlan ketawa besar sampai senak perut. Terasa lucu dengan salah faham kali ini.
            “Maaf dik kalau abang spoil imaginasi Orked yang tinggi melangit tu. Tadi tu abang cuma nak tolong angkat masuk rumah aje. Takkan nak biarkan Orked tidur kat sini sampai tengahari nanti.” Ujar Idlan bersama sisa-sisa tawanya.
            Wajah Orked mula membiru mendengar penjelasan Idlan yang bersahaja. Malunya dia kerana diketawakan Idlan sampai begitu sekali. Dia mengigit bawah bibir kerana terasa benar bodohnya kelakuannya sebentar tadi.
            “Dah lah tu, jom kita keluar. Mujur Orked dah sedar, tak payahlah abang angkat lagi Orked masuk ke dalam.” Pelawa Idlan.
            Orked mengalihkan pandangan. Baru dia perasan di hadapannya kini terdapat sebuah rumah besar yang agak cantik dengan landskap taman dan air terjun di bahagian laman rumah. Rumah itu dibina dengan gabungan konsep moden dan tradisional. Cantik! Bisik hati kecil Orked tanpa disedari.
            “Kita kat mana ni?” Soal Orked. Menuntut penjelasan yang rasional dari Idlan. Matanya tak habis-habis menyorot suasana di sekeliling rumah itu yang kelihatan sepi.
            “Orked yang kata nak pergi jauh dari rumah kan? So abang bawa Orked ke sini. Betul-betul jauh dari rumah.” Bisik Idlan di tepi telingannya. Dia menelan liur. Entah kenapa kata-kata lelaki itu membuatkan dia gusar. Matanya memerhatikan ke arah Idlan yang kelihatan selamba. Dia cuba mencari segaris kejujuran di wajah lelaki itu. Mungkin lelaki itu adalah anak kepada ibu tirinya. Tapi siapa boleh menjamin lelaki itu bukan dari kategori psiko atau pembunuh bersiri contohnya!
            “Aku nak balik.” Tiba-tiba  sahaja dia menyebut begitu.
            Idlan ketawa kecil. “Lucu! Sekejap nak pergi jauh dari rumah. Sekejap nak balik pulak. Ni kalau jawab dalam periksa, cikgu pun pening nak semak jawapan.”  Sindir Idlan.
            Namun dia tidak mempedulikan kata-kata Idlan itu. Hatinya tiba-tiba  menyangsikan kejujuran Idlan. Dia meraba-raba sesuatu dari dalam beg sandangnya. Yes! Ada! Nasib baik pepper stray itu masih ada di dalam beg sandangnya. Dia sudah berkira, kalau Idlan cuba melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya, dia akan menyembur serbuk lada itu ke wajah lelaki itu.
            Namun belum sempat Orked merencanakan rancangannya, tiba-tiba muncul seorang wanita tua di belakang Idlan.
            “Dah lama sampai Idlan?” Tegur wanita itu.
            Idlan berpaling. Sebaik dia melihat wanita itu, dia segera berteriak gembira. Tangan wanita itu segera dicapai lalu dikucup.
            “Baru aje Mak Tun. Saya bawa tetamu ni.” Ujar Idlan seraya melirik ke arah Orked yang tercegat kaku seperti patung. Wanita itu turut menoleh ke arah anak gadis itu.
            “Siapa ni?”
            “Ini Orked, adik saya.” Jawab Idlan. Perkataan ‘adik’ sengaja disebut kuat-kuat. Ini kerana dia tahu Orked berbulu mendengar kata-katanya. Hampir dia hendak ketawa melihat wajah Orked yang sebal ketika memandangnya.
            “Oh adik..” Wanita itu tersenyum simpul.“Berapa lama kamu bercadang nak menginap kat sini?” Soal Mak Tun.
            “Entahlah Mak Tun. Cadangnya sehari dua sampai kerja saya kat sini selesai.” Ujar Idlan.
            Wanita itu mengangguk. “Duduklah selama mana kamu mahu Idlan. Rumah ni pun milik kamu. Mak Tun ni cuma menjaganya saja.”
            “Mak Tun sudi menjaga rumah ni, saya sangat berbesar hati Mak Tun. Kalau tidak rumah arwah ayah ni akan terbiar begitu aje.” Tukas Idlan tersenyum.
            “Amanat ayah kamu, kenalah Mak Tun tunaikan. Dia lelaki yang baik, sayangnya arwah pergi dulu.” Keluh wanita itu.
            Orked yang mendengar perbualan itu hanya terpisat-pisat. Dia langsung tidak memahami maksud perbualan kedua-duanya. Selebihnya dia malas mahu mengambil tahu. Namun begitu,hatinya berasa tenang sedikit mendengar wanita tua itu menetap di rumah itu. Jadi tidaklah dia dan Idlan berdua-duaan seperti yang terasuk di fikirannya sebentar tadi.
            Bawalah adik kamu ni masuk dulu. Mak Tun nak ke belakang sekejap kutip sayur-sayuran buat lauk kita malam ni.” Canang orang tua itu.
            “Ada sesiapa menginap kat sini Mak Tun?” Tanya Idlan.
            “Ada satu keluarga dengan sekumpulan budak-budak kolej yang nak pergi memancing kat tasik. Hari ni tak ramai sangat. Tapi minggu lepas sampai tak menang tangan Mak Tun dengan Pak Man kamu.” Ujar wanita itu lalu beredar dari situ.
            Idlan berpaling. Melihat tingkah Orked yang sedang memerhatikannya dengan wajah cemberut, dia hanya mampu tersenyum.
            Tadi tu Mak Tun, penjaga rumah ni. Dia tinggal kat sini dengan suami dia, Pak Man.” Jelas Idlan tanpa dipinta.
            “Rumah siapa ni?” Tanya Orked ingin tahu.
            “Ini rumah peninggalan arwah ayah abang. Mak Tun dan Pak Man, kenalan lama ayah abang. Dah lama mereka menetap  kat rumah ni. Abang tak sampai hati nak suruh mereka pindah.” Jelas Idlan.
            “Tadi kau kata ada orang lain menginap kat sini? Siapa?” Entah mengapa Orked tiba-tiba berminat ingin tahu.
            Idlan tersenyum lalu mengangkat beg Orked yang tersimpan dalam bonet kereta. “Sebenarnya tempat ni homestay. Ayah abang beli dan bina tempat ni sebab ini satu-satunya impian dia. Dekat kawasan ni ada air tasik buatan, ada laluan untuk jungle trekking. Kalau Orked suka, ada kolam renang kat belakang rumah siap dengan tennis court lagi. Nanti abang bawa Orked jalan-jalan sekitar kawasan ni.”
            Orked terdiam. Tanpa berkata apa-apa, dia segera mengeluarkan beg sandangnya.
            “Orked boleh duduk kat sini bila-bila masa sahaja Orked suka. Tapi kalau Orked tak suka tinggal kat sini, sekarang juga abang boleh bawa Orked balik.” Getus Idlan seraya melirik ke arah anak gadis itu.
            Tapi melihat anak gadis itu melangkah masuk ke arah pintu rumah yang sudah terbuka luas, mahu tak mahu Idlan tersenyum kecil. Dia tahu berbanding tempat itu dengan rumah gadis itu, Orked pasti akan memilih tinggal di tempat yang sunyi itu.
*  *  *  *
            Bulat matanya memerhatikan susunatur bilik yang ditempatinya. Bilik itu cantik sekali meskipun dihias oleh perabot yang sudah kelihatan usang. Orked melemparkan beg sandangnya ke tepi dinding lalu menghempas diri ke atas katil. Matanya merayap ke atas siling bilik itu. Terkial-kial memandang ke suatu titik. Merenung jauh pada sesuatu yang menghambat perasaannya.
            Kelopak matanya dipejamkan. Wajah ayahnya segera terbayang-bayang di layar mata. Entah apa reaksi lelaki itu jika tahu dia enggan pulang ke rumah sebaik keluar dari lokap. Pasti lelaki itu berang! Malah jika ayahnya ada di hadapannya sekarang, sudah pasti pelempang lelaki itu akan naik ke pipi licinnya.
            Tiba-tiba sahaja hatinya sayu. Kesedihan berpupuk di jiwa. Bukan niatnya mahu menyakiti hati lelaki itu. Malah jauh sekali untuk dia menyusahkan ayahnya seperti ini. Tapi jika ini satu-satunya jalan untuk dia menarik perhatian ayahnya, maka dia lebih rela dibenci. Sekurang-kurangnya lelaki itu akan memandang dan mengingatinya meskipun dengan perasaan marah.
            Tanpa disedari setitis airmatanya gugur di pelupuk mata. Orked cepat-cepat mengesat airmata yang bergenang di birai matanya. Dia tidak ingin menjadi lemah. Tidak! Aku tak boleh menangis sekarang. Bukan sekarang! Dia bingkas bangun lalu berpaling ke arah beg sandangnya. Isi beg itu dikeluarkan satu persatu sehingga tangannya menyentuh sebuah kotak kecil yang diperbuat dari seramik berwarna pink muda. Terdapat hiasan bunga ros kecil pada penutup kotak. Kotak itu adalah hadiah terakhir umi untuknya. Di dalam kotak itulah dia menyimpan setiap hasrat yang tak pernah tercapai.
“Janji dengan umi, apa sahaja yang ayah buat pada Orked, Orked kena sabar. Orked tak boleh lawan cakap ayah. Orked kena ingat pesan umi.” Suara uminya menerpa dalam ingatan. Meninggalkan seberkas luka yang sehingga kini masih menyengat dirinya setiap saat.
            “Maafkan Orked Umi, Orked bukan anak yang baik seperti yang Umi harapkan. Orked hanya gadis biasa yang sentiasa tercalar dengan sikap ayah yang tak pernah mahu memandang Orked!” Bisiknya pilu.
            Dia menutup mukanya lalu menangis teresak-esak. Kenangan manis bersama uminya terlalu dirindui. Hinggakan pada suatu tahap, dia merasa dirinya lebih baik mati dari dilayan seperti jasad yang kaku dan hina di pandangan lelaki itu.
            Idlan membatalkan hasrat untuk mengetuk pintu bilik di hadapannya. Perlahan-lahan dia menjatuhkan tangannya. Suara tangisan yang sayup-sayup di telinganya membuatkan dia menjarakkan diri dari bilik di hadapannya.
            Dia tidak menyangka, gadis yang nampak keras hati itu rupa-rupanya masih tahu menangis. Apa sebenarnya yang membuatkan gadis itu mengalirkan airmata? Masalah apakah sebenarnya yang membelenggu diri gadis seusia Orked? Dia teringatkan airmata yang mengalir di cerun pipi gadis itu pagi tadi. Apakah tangisan di dalam kereta itu sama maksudnya dengan tangisan yang ini?
            “Dia tidur agaknya.” Ujar Idlan ketika Mak Tun bertanya.
            “Hmm..penat agaknya tu. Tak apalah, kita makan dulu. Nampaknya hari ni kita berdua sahajalah. Tetamu-tetamu lain sejak awal-awal pagi dah keluar.” Keluh Mak Tun.
            “Pak Man ke mana Mak Tun?”
            “Dia ke kampung sebelah. Berubat orang sakit kat sana.” Ujar Mak Tun sambil menyenduk nasi lemak ke pinggan Idlan.
            “Tak sangka Pak Man masih pandai ubatkan orang. Bolehlah dia tolong ubatkan saya nanti.” Idlan tersenyum.
            Mak Tun menoleh. Wajah orang tua itu berubah mendengar kata-kata Idlan.
            Kamu tak apa-apa Idlan?” Mak Tun bertanya. Nada suaranya jelas risau.
            Idlan tiba-tiba ketawa. “Saya bergurau aje Mak Tun. Cuba Mak Tun tengok saya ni, saya okey je kan?” Idlan bercanda dalam gurauan.
            “Terkejut Mak Tun dengar kamu cakap begitu. Kus semangat.” Mak Tun menarik nafas panjang seraya menggelengkan kepalanya. Untuk seketika, dia benar-benar merasa bimbang apabila mendengar rentak bicara Idlan.
            “Saya okey je Mak Tun. Cuma ada seorang yang tak okey dalam rumah ni.” Sahut anak muda itu selamba.
            Siapa?” Mak Tun tercengang-cengang.
            “Yang kat dalam bilik tu.” Idlan menjuihkan mulutnya ke suatu arah.
            Mak Tun mula memahami siapakah yang dimaksudkan oleh anak muda itu.
            Dia benar-benar adik tiri kamu?” Tanya Mak Tun sekali lagi.
            Idlan mengangguk. “Takkan saya nak bawa mana-mana perempuan tak yang tak berkaitan datang ke mari. Nanti disergah Pak Man, masak saya nanti.” Gurau Idlan.
            Mak Tun ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar gurauan Idlan yang masih ceria seperti dulu.
            “Sebenarnya adik kamu tu kenapa?” Tanya Mak Tun sekadar ingin tahu.
Idlan terdiam. Keluhan kecil meniti dari bibirnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan pada wanita itu tentang Orked. Segala-galanya tentang gadis itu masih samara-samar baginya.
            “Dia baru keluar dari lokap semalam, lepas tu tak nak balik rumah pulak.” Beritahu Idlan berterus-terang.
            “Hah?” Mak Tun terpempan. Terkejut mendengar kata-kata Idlan yang selamba. Melihat wajah Mak Tun, Idlan tidak mampu menahan tawa. Terkeheh-keheh dia mengetawakan Mak Tun yang terlongo sejenak.
            Mak Tun ni mudah kena tipu la. Dari dulu sampai sekarang sama je.” Idlan ketawa kecil. Mak Tun terpinga-pinga.
            “Oh jadi kamu tipu Mak Tun la ni ya? Hmm pandai ya..” Tiba-tiba cubitan Mak Tun singgah di daging lengan Idlan. Idlan mengaduh sedikit, tapi masih ketawa. Melihat tingkah lelaki itu, mahu tak mahu Mak Tun turut melepaskan tawanya.
            Bunyi riuh-rendah itu sampai ke telinga Orked yang baru keluar dari biliknya. Dia merenung ke arah Idlan dan Mak Tun yang sedang ketawa. Entah kenapa, gerak-geri keduanya membuatkan dia serba-salah mahu meneruskan langkah dan menyertai kedua-duanya di meja makan. Seperti ada yang tak kena dirasakannya. Saat ini seluruh jiwa dan perasaannya kacau-bilau. Tapi kedua-dua manusia di hadapannya itu kelihatan riang dan gembira. Dan kegembiraan yang baharu sahaja disaksikannya itu entah kenapa menyakitkan hatinya.
            Meskipun aroma nasi lemak itu menarik-narik dirinya untuk ke meja makan menikmati sarapan, namun diam-diam dia segera melangkah pergi dari situ tanpa disedari sesiapa.