Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 8

Dia meninjau-ninjau dulu dari tingkap studio. Semasa di jalan masuk, dia sudah terlihat kereta Riffki diparking di suatu tempat khas. Namun entah mengapa, hatinya masih ragu-ragu untuk melangkah masuk. Dia meramas tangannya sekuat hati. Nafas ditarik, cuba mengumpul keberanian. Hijjaz, untuk apa kau mesti takutkan lelaki itu? Dia sama sahaja seperti lelaki lain.
Mendengar suara hatinya berbisik begitu, Nurul Hijjaz memberanikan diri menolak daun pintu. Tak berkunci? Dia terpana. Dia melangkah masuk perlahan-lahan melintas ruang kerja, cuba mencari susuk tubuh Riffki tapi tak ditemui. Mana dia? Bukankah keretanya ada di depan sana?
Nurul Hijjaz mendongak. Dia masih belum berkesempatan menjengah tingkat dua studio itu. Pasti lelaki itu berada di atas. Nurul Hijjaz terus mendaki tangga menuju ke tingkat dua. Dia terpempan. Keadaannya amat berlainan dengan ruang di tingkat bawah. Keadaan di atas cukup teratur dengan sebuah sofa dan set tv. Seolah-olah seperti sengaja diubahsuai sebagai ruang tamu. Di suatu sudut lain terdapat sebuah meja berbentuk bar dan sebuah peti ais. Nurul Hijjaz tersenyum. Kalau nak tinggal di sini pun sesuai sangat. Sebuah bilik yang terletak di hujung sekali menarik perhatiannya. Dia memberanikan diri melangkah. Tombol dipulas perlahan-lahan. Dia amat ingin tahu apa sebenarnya yang ada di bilik tersebut.
Sesusuk tubuh yang sedang berbaring di atas katil membuatkan Nurul Hijjaz tergaman. Dia cepat-cepat menutup pintu bilik. Riffki kelihatan lena tidur di katil itu. Alamak, macamana ni? Nurul Hijjaz memejamkan matanya. Gementar. Dia tidak berani bergerak dari situ. Perlukah aku mengetuk pintu bilik itu untuk menyedarkannya?
Agak lama Nurul Hijjaz berada di hadapan pintu bilik Riffki. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Takkan aku harus menunggu sehingga dia bangun? Habis macamana dengan kerja aku yang masih berlambak di pejabat tu? Akhirnya Nurul Hijjaz buat keputusan untuk balik saja. Namun sebelum sempat dia mahu melangkah turun, pintu di belakangnya tiba-tiba terbuka.
Nurul Hijjaz serentak berpaling. Langkahnya seakan kaku sebaik terpandang kelibat Riffki dengan baju t’shirt putih sedang keluar. Matanya asyik melilau seolah-olah mencari seseorang. Tapi apabila terpandang Nurul Hijjaz berdiri di salah satu anak tangga, dia kelihatan terkejut. Matanya merenung Nurul Hijjaz yang keresahan.
“Dah lama sampai?”
“Baru saja.” Nurul Hijjaz tunduk.
“Aku nak mandi dulu. Kau tunggu di bawah,” ujarnya sebelum menghilang ke dalam biliknya. Dahi Nurul Hijjaz berkerut. Dia bermalam di bilik itukah? Takkan tak pulang ke rumah? Sarat kepala Nurul Hijjaz dengan seribu pertanyaan.
Sementara menanti lelaki itu bersiap, Nurul Hijjaz berjalan-jalan di sekitar studio yang masih belum habis dijelajahinya tempohari. Dia gemar melihat foto-foto yang terpampang di dinding studio milik Riffki. Lelaki ini memang berbakat. Walaupun perangainya teruk, tapi sebenarnya dia memang seorang seniman. Dalam diam-diam, Nurul Hijjaz tidak dapat mengawal diri dari memuji lelaki itu.
Beep…Hello Riff, Tasha sini. Sorry sebab tergesa-gesa balik pagi tadi. Tasya lupa hari ni, Tasya ada meeting dengan bos. Lain kali kita keluar ‘dinner’ sama-sama okay. Bye sayang. Beep.”
Langkah Nurul Hijjaz terhenti. Dia berpaling. Pesanan yang baru di dengarinya membuatkan dia tergaman. Matanya beralih ke arah Riffki yang baru turun. Entah mengapa, saat itu dia merasa benar-benar jijik mahu memandang lelaki itu. Baru dia faham kenapa mata lelaki itu asyik mencari-cari sesuatu sebaik keluar dari biliknya tadi. Pasti dia mencari gadis yang telah menemaninya sepanjang malam.
“Awal datang hari ni,” tegur Riffki sambil memegang dua gelas mug. Salah satunya dihulurkan ke arah Nurul Hijjaz. Gadis itu menyambut tanpa sebarang kata. Riffki segera menuju ke arah telefon, lalu menekan punat mesin peti simpanan suara. Dan untuk kali kedua, Nurul Hijjaz terpaksa mendengar pesanan itu sekali lagi. Dia melihat lelaki itu tertawa kecil mendengar mesej yang diterimanya. Mata Riffki sempat melirik ke arah Nurul Hijjaz yang membisu sedari tadi. Wajah gadis itu kelihatan kelat.
“Duduklah, kita bincang fasal pameran,” ujarnya lalu menuju ke meja kerjanya. Hendak tak hendak, Nurul Hijjaz terpaksa jua mengekori lelaki itu.
“Berapa semuanya koleksi foto-foto yang Encik Riffki ada untuk pameran ni?”
“I’m not sure, maybe around 200 to 300 photos. So what was your planning to do?”
Nurul Hijjaz tidak terus menjawab. Matanya asyik memerhatikan keluasan studio itu. Luas tu memanglah luas tapi memang mustahil untuk menempatkan kesemua koleksi foto-foto lelaki itu.
Apabila dia mengalihkan pandangannya ke arah lelaki itu, dia perasan mata Riffki masih melekat di wajahnya.
“Tak apalah Encik Riffki, nanti saya rancangkan bagaimana nak uruskan pameran ni. Ada tema tertentu yang Encik Riffki fikirkan untuk pameran ni?” Soal Nurul Hijjaz.
Riffki terdiam. Matanya menoleh ke suatu potret besar terpampang di dinding di kanannya. Wajah Nurlaila kelihatan tersenyum memandangnya.
Nurul Hijjaz turut mengekori arah mata lelaki itu. Turut merenung potret yang sama dalam bebola mata lelaki itu. Sudah lama dia ingin tahu tentang gadis di dalam potret itu. Siapakah dia? Kenapa potretnya diletakkan di suatu sudut yang agak istimewa, bagaikan mahu sentiasa di hadapan matanya.
Apabila dia merenung wajah Riffki, dia terlihat bagaikan ada garisan luka di mata itu. Untuk seketika, Nurul Hijjaz bagaikan terlupa seketika kebenciannya pada lelaki itu. Lupa pada setiap tingkahlaku Riffki yang dirasakannya melampau.
“Bagaimana kalau temanya SEJUTA WAJAH SATU CINTA?” Mata Riffki tidak berganjak dari foto yang ditatapnya.
Hmm...SEJUTA WAJAH SATU CINTA? Boleh tahan juga idea dia. Pasti cinta yang dimaksudkannya itu ada dalam foto itu. Nurul Hijjaz memandang potret besar di sudut dinding. Turut sama merenung wajah gadis yang tersenyum girang. Alangkah bertuahnya dia. Cinta sebagaimanakah yang kau miliki dari seorang lelaki seperti dia? Samakah Riffki Aidan yang berada di hadapanku ini dengan lelaki yang mencintaimu?
* * * *
Dia benar-benar tidak mengerti sikap lelaki itu. Sekejap dia berkelakuan seperti seorang lelaki playboy yang menjulang setiap gadis bagaikan piala. Sesaat kemudian dia berubah menjadi seorang lelaki lain. Kenapa dirinya sentiasa berbeza di mataku?
“Dia tak pernah beritahu you siapa Laila? Kalau you nak tahu Laila tu teman wanita Riff…”
Nurul Hijjaz teringat kembali kata-kata salah seorang gadis yang pernah ditemuinya di majlis malam itu. Laila. Pasti potret itu potret Laila, kekasih hatinya. Tapi mana dia sekarang? Kalau betul dia terlalu mencintai Laila, kenapa dia masih berpoya-poya dengan perempuan lain? Kalau benar dia tahu bercinta, kenapa hatinya kelihatan dingin dan beku? Kenapa dia tega membuatkan orang-orang di sekelilingnya membencinya?
Bagaimana dengan diriku? Adakah aku membencinya? Perasaan ketika bertemu lelaki itu kali pertama dulu, tidak seteruk semasa dia dihina di rumah lelaki itu tempohari. Tapi pertemuan seterusnya tidak pula sampai membuahkan benci. Hanya yang kuat bercambah di hatinya ialah perasaan ingin tahu. Lelaki itu membuatkan dia terlalu ingin tahu. Kenapa dia menjadi ‘lelaki jahat’ meskipun matanya penuh dengan cahaya cinta?
“Kenapa bersusah payah nak adakan pameran di sini kalau studio ni akhirnya akan ditutup?” Dia masih ingat pertanyaannya tempohari. Sangkanya lelaki itu akan melenting memarahinya, namun Riffki kelihatan tenang. Bibirnya mengukir senyuman tipis.
“Aku ingin mengingati seseorang selama-lamanya, biarpun sehingga aku tua dan akhirnya tubuh aku akan mereput sekalipun, aku mahu ingatan itu tetap ada sampai bila-bila pun.”
Dia memandang lelaki itu. Entah mengapa, bait-bait kata itu membuatkan dia yakin, Riffki tidak seperti lelaki lain.
“Kau pernah bercinta?” Lelaki itu menatapnya.
Nurul Hijjaz terdiam. Cinta? Semasa kecil dulu, dia pernah mengalami cinta monyet terhadap teman sekelasnya. Tapi nama pun cinta monyet, harapan apa yang boleh diimpikan?
“Kalau kau bercinta, bercintalah dengan lelaki yang baik. Jangan sesekali kau jatuh cinta pada lelaki seperti aku ni,” lelaki itu tersenyum sinis sebelum berlalu.
Nurul Hijjaz terpaku. Sukar dia hendak memastikan, apakah kata-kata Riffki itu satu kejujuran atau satu sindiran terhadapnya.
Selepas pulang dari studio Riffki, Nurul Hijjaz singgah kembali di pejabatnya. Dia harus mengambil beberapa dokumen untuk dibawa pulang. Setiap hari rutin hidupnya sama sahaja. Pergi kerja seawal pagi, dan pulang semula ke rumah yang sepi dan kosong itu. Malah kerja-kerja yang tak sempat diselesaikannya akan dibawa pulang ke rumah. Sekurang-kurangnya, dengan menyibukkan diri begitu, dia takkan merasa keseorangan.
“Tak nak balik lagi?” Tegur Tjuk Inn yang sibuk bersiap mahu pulang. Beg tangannya sudah digalas di bahu kiri. Nurul Hijjaz menoleh seraya tersenyum.
“Sekejap lagi, aku nak kemas barang-barang ni.” Ujarnya.
“Kalau macam tu, aku balik dululah. Hari ni Stanly nak ambil aku. Kitaorang nak pergi makan-makan di Bangsar.” Canang Tjuk Inn dengan wajah girang. Nurul Hijjaz tergelak kecil. Dia memang maklum dengan hubungan temannya itu dengan lelaki Cina berasal dari negeri yang sama dengan Tjuk Inn.
Leka dia mengemas barang-barangnya, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Nurul Hijjaz terkedu. Pantas dia mengerling nombor yang tertera pada skrin telefon. Melihat nama yang terpapar di monitor skrin, tangan Nurul Hijjaz terus berhenti berkemas. Dadanya berdegup kencang tanpa disedari!
* * * *
“Cuba Hijjaz tengok barang-barang tu, kalau-kalau ada yang Hijjaz mahu,” ujar seorang lelaki tua berkopiah putih.
Nurul Hijjaz terpaku menatap dua kotak barang-barang yang dikeluarkan oleh orang tua itu di ruang tamu. Terketar-ketar tangannya mahu menyentuh permukaan kotak tersebut. Airmatanya bergenang di kelopak matanya tanpa disedari.
“Ini barang-barang ibu ke Pak Aki?” Dia bagaikan tidak percaya.,
Pak Aki hanya mengangguk. Dia memandang isterinya Mak Senah yang baru keluar menatang sedulang minuman.
“Tapi dulu waktu Hijjaz tanya, datuk kata dia dah buang semua barang-barang peninggalan ibu?” Matanya menatap wajah pasangan suami isteri itu silih berganti.
“Maafkan Pak Aki Hijjaz, sebab tak beritahu kamu perkara sebenarnya. Memang datuk kamu suruh Pak Aki bakar semua barang-barang ni, tapi Pak Aki tak sampai hati. Entah kenapa, hati Pak Aki waktu itu kuat menyatakan yang suatu hari nanti, kamu akan kembali ke sini. Kamu tentu mahu tahu siapa ibu kamu, siapa diri kamu yang sebenarnya kan.”
“Mak Senah yang suruh Pak Aki kamu simpan barang-barang ibu kamu. Mak Senah tahu, sekeping gambar ibu pun kamu tak ada. Dalam kotak tu ada album-album lama, surat-surat ibu kamu. Semuanya masih tersimpan baik.” Sampuk Mak Senah.
Nurul Hijjaz menarik sebuah album yang kelihatan agak usang dan berdebu. Perlahan-lahan dia menyelak helaian pertama. Hampir gugur airmata Nurul Hijjaz melihat senyuman manis yang terpamer melalui potret wajah seorang gadis cantik yang seiras dengannya. Ibu, tahukah ibu, Hijjaz sudah terlalu lama menanti saaat-saat ini. Betapa Hijjaz teringin untuk menatap wajah ibu. Kenapa ibu tinggalkan Hijjaz seorang diri, tahukah ibu betapa sukarnya Hijjaz mahu menghadapi dunia ini sendirian?
“Hijjaz….,” Entah sejak bila Mak Senah sudah berada di sisinya, memeluk bahu anak gadis itu. Dia mengerti hati Nurul Hijjaz. Dia turut sebak melihat Nurul Hijjaz memeluk potret Akma.
“Kenapa datuk bohong pada Hijjaz, Mak Senah? Apa salah Hijjaz? Kenapa datuk benci sangat pada Hijjaz ni?” Matanya basah merenung perempuan tua yang asyik membelai rambutnya.
Mak Senah tidak menjawab. Matanya melirik suaminya yang tertunduk pilu. Mulutnya bagai terkunci rapat. Bagaimana mereka harus menerangkan segala-galanya pada Nurul Hijjaz? Apakah yang patut dikatakan? Kenyataan itu hanya akan membuatkan gadis itu terluka. Dapatkah Nurul Hijjaz menerima kelahirannya nanti?
* * * *
Dia masih merenung barang-barang peninggalan arwah ibunya. Surat-surat lama ibunya hampir dibasahi airmatanya. Setiap kali membaca semua surat-surat itu, dia tidak dapat menahan kesedihan.
“Ayah, ibu….Akma dah selamat sampai. Cuaca kat sini betul-betul sejuk. Lebih sejuk dari udara pagi kat kampung kita. Baju sejuk yang ayah belikan tempohari, Akma terpaksa pakai hari-hari semasa ke kelas. Kawan-kawan baru Akma kat sini semuanya baik-baik belaka. Akma janji, Akma akan belajar rajin-rajin dan tunaikan harapan ayah.”
“Ayah dan ibu sihat? Akma baru habis peperiksaan. Kawan-kawan Akma yang lain semuanya dah merancang nak pergi bercuti ke Eropah. Mereka ajak Akma sekali tapi janganlah ayah risau. Akma tak mampu nak ke sana. Cuti semester ini, Akma merancang nak bekerja sambilan. Lagipun kalau nak harapkan duit biasiswa Akma hanya cukup untuk membayar duit sewa rumah dan buku-buku. Ayah jangan bimbang, Akma takkan sesekali susahkan ayah. Akma sayangkan ayah dan ibu.”
Nurul Hijjaz menyapu airmata yang berlinangan di pipinya. Surat-surat ibunya terasa amat dekat di hatinya. Surat-surat itu menyedarkannya, bahawa ibunya terlalu amat menyayangi datuk dan arwah neneknya. Dia membaca surat-surat lain pula. Tapi isi kandungan sebuah surat menarik minatnya.
“Ayah..ibu, Akma telah bertemu seorang kawan baru. Dia sangat baik ayah. Dia amat mengambilberat tentang Akma. Sewaktu Akma mengalami masalah, hanya dia di sisi Akma yang sudi membantu. Akma rasa terhutang budi. Suatu hari nanti, insya Allah, Akma akan pertemukan dia dengan ayah dan ibu. Tentu ayah dan ibu pun akan menyukai dia seperti Akma sukakan dia….”
Nurul Hijjaz mencari-cari surat-surat lain pula, kalau-kalau ada cerita tentang teman istimewa ibunya lagi. Tapi dia hampa. Semua kandungan surat ibunya hampir sama. Nurul Hijjaz termenung panjang. Mungkinkah teman istmewa yang dimaksudkan ibunya tu adalah ayahnya?
Sedari kecil dia lahir tanpa menatap wajah ibu dan ayahnya. Dia selalu mendengar Pak Aki dan Mak Senah bercerita tentang ibunya. Tapi semua cerita-cerita itu hanya menyebut tentang ibunya Akma, tapi langsung tidak menyentuh soal ayahnya. Bukan dia tak pernah bertanya, hanya mereka yang tidak mahu memberitahu.
Dulu dia sangkakan ayahnya telah meninggal dunia, tapi gerak-geri kedua pasangan suami isteri itu menyakinkannya bahawa ayah kandungnya masih hidup. Tapi kenapa mereka terlalu berahsia? Malah Pak Aki kerap berpesan agar dia tidak bertanya soal ayah kandungnya pada datuknya. Besar sangatkah rahsia itu sehingga dia bukan sahaja tidak dibenarkan menyebut, malah memikirkan tentang ayah kandungnya sendiri pun tidak dibenarkan.
“Kenapa Pak Aki? Kenapa Hijjaz tak boleh tanya datuk?”
“Janganlah degil Hijjaz, dengarlah cakap Pak Aki ni. Datuk kamu tak suka.”
“Tapi kenapa?”
Waktu itu dia masih terlalu mentah. Keadaannya ketika itu membuatkan dia redha buat seketika soal mencari ayah kandungnya. Akhirnya soal itu terus luput sedikit demi sedikit dalam ingatannya.
Nurul Hijjaz beredar ke jendela. Hampir 25 tahun lamanya dia mencari. Mencari siapa dia, mencari salasilah dan akar umbi dirinya. Pada mulanya dia marah. Marah pada orang yang telah membuangnya di rumah anak-anak yatim. Marah kerana dalam usia mentah, dia sudah kenal segala ranjau dan duri. Marah kerana memikirkan pada usia remaja, tangannya sudah dipaksa bergelumang dengan air sabun setiap hari. Akhirnya dia buat keputusan untuk melupakan orang-orang yang telah membuangnya. Dia mahu melupakan terus peristiwa-peristiwa pahit yang terpaksa ditempuhinya. Waktu itu dia sangka segala-galanya akan berakhir dengan baik. Dan dia akan tetap bahagia.
Namun peristiwa di Bali 3 tahun yang lalu membuatkan dia sedar sesuatu. Mulanya dia sangka nyawanya akan dijemput tuhan, tapi tuhan telah memanjangkan hayatnya. Kenapa? Kenapa dia diselamatkan? Sepanjang malam dia memikirkannya. Akhirnya dia sedar, Allah telah memberikannya peluang untuk mencari dirinya yang telah hilang. Allah jua telah memberikannya kesempatan untuk mencari kembali orang-orang yang dikasihinya. Orang-orang yang pernah mengasihi ibunya.
Takdir itulah yang mendorong dia kembali ke Kampung Bonggol Titian setahun yang lalu, dan bertemu Pak Aki dan Mak Senah. Dari kedua pasangan suami isteri itu, dia mengetahui berita kematian ibunya dan berusaha menjejak datuknya di rumah warga emas. Kata Pak Aki, datuknya masuk ke situ secara sukarela hampir 6 tahun yang lalu.
Tapi kegembiraan bertemu satu-satunya datuknya, bertukar menjadi satu igauan ngeri. Lelaki yang disangkakannya akan memeluk erat bahunya, hanya memandangnya dengan perasaan benci. Malah turut mengeluarkan kata-kata kesat seolah-olah dirinya terlalu jijik dipandang. Nurul Hijjaz mengeluh. Hampir setahun lamanya dia cuba memujuk lelaki tua itu, tapi usahanya hampa belaka. Lelaki yang sangat disayangi ibunya itu rupanya-rupanya bukan lelaki penyayang seperti yang difikirkannya selama ini. Jangankan kata hendak mendengar suaranya, memandang wajahnya pun datuknya itu seolah tidak sudi.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!