Followers

Thursday, April 1, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 2

Peti sederhana besar berukiran tulisan aneh itu dipandang teliti. Sejak dia menemukan peti tersebut dalam perigi buta itu, dia mula merasakan ada sesuatu yang aneh tentang peti tersebut. Bagaikan ada satu suara yang berbisik di telinganya menyuruh dia membuka peti tersebut. Dia bagaikan dipukau. Suara itu tergiang-giang meskipun ketika itu pelajar-pelajarnya ada berdekatan. Tapi tidak seorang pun yang menampakkan tanda-tanda mendengar bisikan halus itu.

“Tunggu apa lagi Prof, bukalah peti tu,” suruh Hamdan yang sudah tidak sabar. Yang lain-lain turut mendekatinya. Selepas mereka makan malam dan solat Maghrib, mereka berkumpul semula untuk melihat peti aneh itu.

Profesor Umar mengucap kalimah Allah di dalam hati. Entah kenapa timbul perasaan gementar dalam dirinya, namun perasaan was-wasnya sama banyak dengan perasaan ingin tahu. Sebaik kotak itu dibuka, tak semena-mena singgah udara kencang di sekeliling mereka. Obor yang mereka pancangkan di sekeliling khemah terliuk-liuk diganggu angin yang tiba-tiba muncul meskipun cuaca kelihatan baik-baik saja. Masing-masing saling berpandangan. Rahima dan Sariah memegang tangan masing-masing sambil memeluk tubuh.

“Rahima…saya takutlah,” bisik Sariah di telinga Rahima. Gadis itu terdiam. Wajahnya turut resah. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan cuaca malam itu.

Angin kencang itu berputar ligat hampir lima minit lamanya sebelum berhenti secara tiba-tiba. Farid dan Amri menarik nafas panjang. Zakaria sudah bangun membetulkan api obor yang ada di antaranya sudah terpadam. Hanya Hamdan yang masih memandang ke arah peti di tangan Profesor Umar.

Sebilah keris berkepala naga merah terdapat di dalam. Keris itu nampak sudah lama dan berkarat. Di kepala keris, terdapat seutas tali yang terikat dengan sekeping kertas kecil. Boi rawi garate di o moguna nasa. Sikbo..erumu…

“Ini bahasa Nias kuno.” Profesor Umar menarik nafas panjang setelah meneliti isi kandungan kertas kecil itu. Dahinya berkerut. Ada rasa aneh singgah menyusup perlahan di hatinya.

“Apa maksud kata-kata itu Prof?” Soal Farid ingin tahu.

“Saya sendiri tak berapa faham bahasa ini. Cuma saya kenal sedikit-sedikit. Tapi saya kenal orang yang boleh menterjemahkan bahasa ini.” Balas Profesor Umar sedikit resah.

Kata-kata Profesor Umar membuatkan pelajar-pelajarnya terdiam.

“Kalau macam tu, lebih baik kita simpan semula benda-benda ni semua dalam peti tu Prof. Lepas tu kita pulangkan ke dalam perigi tu.” Usul Rahima yang mula terasa bimbang. Kata-kata Said sebelumnya menerpa ke dalam fikirannya dan memberi pelbagai gambaran buruk.

“Bungkusan kain kuning tu apa Prof?” Sariah pula bertanya. Profesor Umar menjengah. Dia tidak perasan ada bungkusan kain kuning yang diikat dalam bentuk bunjut di dalam peti tersebut.

Sebelum sempat Profesor Umar berkata apa-apa pun, Hamdan tiba-tiba mengambil bungkusan kain kuning itu tanpa disuruh.

“Hamdan, jangan!” Larang Profesor Umar.

Namun anak muda itu tidak peduli lalu terus membuka bungkusan kain kuning itu. “Tak ada apa-apa pun Prof. Pasir dan habuk saja.” Komen Hamdan. Bungkusan kain kuning itu dikembalikan ke dalam peti.

Profesor Umar mengeluh panjang. Kesal dengan sikap melulu Hamdan.

“Kamu semua jangan sentuh peti ni. Kita kena bawa kotak ni balik ke makmal dulu. Tengok kalau ada apa-apa yang merbahaya pada benda ni. Rahima..Sariah..kamu dah ambil sampel tanah dan habuk pada perigi tu?” Lelaki itu mengalihkan pandang ke arah dua anak gadis dalam kumpulannya. Serentak kedua-duanya mengangguk.

“Bagus, jangan lupa buat ujian Fission Track . Kita kena tahu sejak bilakah perigi ini mula wujud di sini. Kita juga harus mengesan asal usul keris ni.” Ujar Profesor Umar memberi arahan.

“Bagaimana dengan gua Bukit Jawa?” Celah Farid pula.

“Kita teruskan kemudian saja. Saya nak kita semua berkemas dan keluar dari kawasan ni esok pagi. Kita terus pulang ke universiti.” Profesor Umar membuat keputusan.

Anak-anak muda itu berpandangan sesama sendiri. Timbul rasa hairan dalam diri masing-masing mengenai keputusan yang dibuat oleh lelaki itu. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu bergegas mahu pulang, sedangkan tugas pencarian mereka masih belum tamat? Kesemua mereka hanya diam membisu, meskipun di kepala masing-masing sudah sarat dengan pelbagai pertanyaan.

Profesor Umar bangun dari tempat duduknya lalu segera melangkah masuk ke dalam khemahnya untuk berehat. Peti tersebut dibawanya bersama. Namun dia sempat mengerling ke arah Hamdan yang masih terdiam di tempatnya.

* * * *

Malam itu tidur Profesor Umar diganggu mimpi aneh. Dia bermimpi dirinya dikepung oleh api yang marak. Dia cuba meloloskan diri dari api itu. Tapi setiap kali dia mencuba tubuhnya berjaya disambar. Badannya terasa sakit dan pedih-pedih.

Dalam mimpinya, dia bertemu seorang perempuan berpakaian serba hitam. Rambutnya panjang mengurai sehingga ke pinggang. Namun wajah perempuan itu gagal dipandang kerana tubuh perempuan itu membelakanginya, berada di hadapan api marak yang mengepungnya.

“Tolong…..tolong saya,” jerit Profesor Umar bagaikan histeria. Saat itu dia benar-benar rasa takut. Silap-silap haribulan api itu bakal membakar rentung tubuhnya. Jika tidak dibakar sekalipun dia pasti mati jika terhidu asap yang banyak. Namun jeritannya hanya dibuat endah tak endah. Tubuh wanita itu tidak bergerak walau seinci pun.

“Tolong saya cik….tolong padamkan api ni.” Rayu Profesor Umar.

“Aku akan padamkan api ini tapi ada syaratnya.” Perempuan itu tiba-tiba bersuara tanpa menoleh. Profesor Umar tergaman. Syarat? Syarat apa?

“Hindarkan Naga Sari dari bungkusan kain di dalam peti itu.” Ujar perempuan itu. Dia terkedu mendengarnya. Naga Sari? Apa maksud wanita itu?

“Keris itu. Jauhkannya dari bungkusan kain itu.” Ulang wanita itu lagi.

“Baiklah, aku akan buat apa saja yang kau suruh. Tapi tolonglah lepaskan aku.” Dia bersetuju tanpa berfikir panjang.

Sekelip mata api yang mengepungnya ghaib entah ke mana. Dia terpegun. Matanya dilarikan ke arah perempuan berpakaian serba hitam itu. Perempuan itu tiba-tiba memusingkan tubuhnya. Dia menahan nafas. Terkejut melihat wajah perempuan itu buruk sebelah. Sebelahnya lagi tidak terjejas apa-apa. Dia berkalih pandang, tidak sanggup melihat wajah perempuan itu. Bibir perempuan itu mengorak senyum sinis bagaikan tahu apa yang bermain di kepalanya.

“Tunaikan janji kau.” Bisik perempuan itu. Dia terasa lemah. Kata-kata berbaur ugutan itu ditelan dengan debaran di dadanya.

“Kalau aku enggan?” Dia cuba menduga.

“Keengganan kau akan aku balas dengan hukuman setimpal, Umar.” Bisik perempuan itu seraya ketawa halus. Dia menelan liur. Gugup. Wanita itu memanggil namanya, tapi panggilan itu dirasakan seperti panggilan maut. Gerun dan menggentarkan perasaan.

“Profesor….bangun! Bangun cepat!” Tiba-tiba suara perempuan itu bertukar garau. Dia segera membuka mata. Melihat Farid berdiri di hadapannya dengan wajah cemas, dia segera bingkas bangun. Rupa-rupanya dia masih berada di dalam khemahnya. Dia memandang suasana sekeliling dengan wajah bingung. Mimpikah aku tadi?

“Prof, ada sesuatu berlaku kat luar. Hamdan…dia…” Suara Farid terputus-putus. Anak muda itu kelihatan sukar mahu meneruskan kata-kata.

“Kenapa dengan Hamdan, Farid?” Soal Profesor Umar. Cemas.

“Baik Prof tengok sendiri. Dia…dia dah buat sesuatu. Sariah…Sariah dan yang lain-lain..” Farid semakin sukar mencerna perkataan.

Tanpa membuang masa, Profesor Umar segera keluar dari dalam khemahnya. Tapi sebaik matanya menatap satu satu kelibat tubuh yang sedang dipegang dan diikat oleh Amri dan Zakaria, dia terpegun. Wajah Hamdan seperti singa buas. Menderam dan merenung ke arahnya dengan mata bersinar-sinar garang.

Apabila matanya beralih arah, dia terpempan melihat mayat-mayat pekerja upahannya bergelimpangan di sana sini. Isi perut mereka terburai seperti dirodok benda tajam. Dia mula terasa mual, lantas memalingkan wajahnya. Tak sanggup melihat mayat-mayat mengerikan itu. Ya Allah! Profesor Umar mengucap panjang.

“Prof, Hamdan dah bunuh Sariah.” Tangis Rahima yang sedang memangku tubuh Sariah yang berlumuran darah. Profesor Umar terasa mahu pitam. Dia jadi bingung. Apa sebenarnya yang telah berlaku?

“Prof, Hamdan mengamuk tadi. Tiba-tiba dia bunuh semua pekerja-pekerja kita. Sariah nampak lalu menjerit panggil kami semua. Tapi Hamdan meluru kemudian dia tikam Sariah tepat di perut.” Cerita Zakaria dengan nafas termengah-mengah.

Pofesor Umar memandang Hamdan yang sudah lemah longlai. Deraman anak muda itu semakin perlahan. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil kebingungan. Perlahan-lahan Profesor Umar melangkah menuju ke arah Hamdan.

“Hamdan, kenapa? Kenapa kamu bunuh semua orang?” Profesor Umar mengesat peluh renek yang mula membahang di mukanya. Renungan Hamdan singgah di wajahnya. Nafas anak muda itu berombak-ombak.

“Dia…dia datang Prof….” Bisik Hamdan dengan nafas tersekat-sekat.

“Siapa? Siapa yang kamu maksudkan?”

“Dia…dia suruh saya bunuh orang-orang tu. Dia yang paksa saya buat. Saya tak berdaya Prof.” Ucap Hamdan lalu menangis dan mengongoi seperti anak kecil.

Kata-kata Hamdan disambut Profesor Umar dengan wajah berkerut. Ingatannya singgah pada mimpinya sebentar tadi. Apakah ‘dia’ yang disebut Hamdan adalah perempuan di dalam mimpinya?

“Keengganan kau akan aku balas dengan hukuman setimpal.” Kata-kata perempuan itu kini berlegar semula di dalam kotak fikirannya. Profesor Umar memegang kepalanya yang terasa pusing. Melihat mayat-mayat yang berlumuran darah di kawasan tapak khemah itu membuatkan dia hilang pertimbangan diri. Tubuhnya terjelepuk lemah. Rasa kesal menjemput diri kerana tidak mengendahkan kata-kata pekerjanya Said yang sudah mengingatkannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!