Followers

Thursday, May 7, 2020

Beautiful Lie (Bab 13)


ADRIANA membuang pandang ke luar kereta. Langsung tidak berkutik sedari tadi. Sesekali Yasmin menoleh ke arah gadis di sampingnya. Diam sahaja ni kenapa pulak? Masih risaukan hal tadi barangkali! Fikir Yasmin.
                “Kau fikir fasal Mirza ke?” Tanya Yasmin tersengih.
                Adrina terpisat-pisat. Nama Adham Mirza semakin alergik buat dirinya. Sebal dia setiap kali memikirkan budak kaya sombong itu.
                “Jangan kisahkan dia. Dia tu memang macam tu. Bercakap ikut suka dia aje. Kau kena kuat untuk hadapi budak macam tu.” Nasihat Yasmin.
                Adriana melirik ke arah wanita itu. Selamba sahaja wanita itu menasihatinya, walhal wanita itu pun bukan boleh dipercayai sangat.
                “Lagi satu kakak nak pesan kat kau Rian. Jangan dilayan sangat Tuan Fahrin tu. Tugas kau cuma mengajar Mirza, itu sahaja. Kalau Tuan Fahrin ajak kau ke mana-mana, tolak sahaja pelawaan dia. Faham?”
                Adriana ketawa kecil. Lucu mendengar bicara Yasmin kali ini.
                “Yang kau ketawa ni kenapa? Salah kakak cakap?” Yasmin melirik tajam.
                “Kenapa? Kak Yas cemburukan Rian? Takut Rian pikat buah hati Kak Yas tu?” Adriana memulang paku buah keras.
                Yasmin terdiam.
                “Kalau Kak Yas cemburu, kenapa cari Rian?”
                “Sebab kakak tahu kau perlukan duit. Kebetulan Tuan Fahrin nak cari tutor untuk anaknya.” Ujar Yasmin dengan suara mendatar.
                “Kita berdua tahu bukan itu sebab sebenarnya kan? Rian ni cuma alat Kak Yas untuk agenda terancang Kak Yas tu. Apa yang Kak Yas rancangkan sebenarnya? Pikat Tuan Fahrin atau tipu duit dia?” Sindir Adriana.
                Yasmin mengetap bibir. Mulut perempuan ni semakin lancang dari hari ke sehari. Kalau dahulu, Adriana tahu juga takut setiap kali berhadapan dengannya. Tapi selepas apa yang terjadi 2 tahun lalu, entah mana datangnya keberanian anak gadis itu. Tapi apa pun, itulah yang membuatkan dia suka pada Adriana. Gadis itu mengingatkan dirinya pada masa lalunya.
Dahulu dia juga gadis naif seperti Adriana. Sepanjang hidupnya dia lurus seperti sudip. Hanya tahu mengalah dan menangis. Tapi pengalaman hidup membuatkan dia terjebak dalam dunia baru. Kalau bukan kerana masa silamnya yang kelam, belum tentu dia akan jadi sekuat seperti sekarang. Dahulu dia hanya Yasmin, gadis miskin yang ibunya seorang pembantu rumah. Tapi sekarang dia adalah hostess untuk golongan kaya dan berpengaruh. Malah dengan usahanya selama beberapa tahun, dia memiliki pengaruh dalam rangkaian kelab-kelab malam, malah mempunyai saham dalam beberapa buah syarikat yang kukuh dalam Bursa Saham. Kenalan-kenalannya adalah mereka yang berstatus. Dia mempunyai aset dan harta yang cukup banyak dalam bentuk rumah, hartanah dan wang tunai. Dan dengan wajah cantik yang dimilikinya, dia mampu mendapatkan apa sahaja yang diidamkannya. Duit, bukan satu-satunya benda yang dimahukannya pada Fahrin Attar. Bukan!
“Buat sahaja kerja kau Rian. Jangan campur urusan kakak dengan Tuan Fahrin. Kakak dah cakap dengan kau bukan, tujuan kau datang ke rumah tu bukan untuk memikat sesiapa atau menyerahkan kehormatan diri. Tujuan kau datang sebab Adham Mirza. Tuan Fahrin mahu dia berjaya dalam peperiksaannya tahun ini. Itu syarat utama untuk dia ke luar negara tahun depan.” Ujar Yasmin.
“Dan sejak bila kakak ambil berat fasal pelajaran seseorang?” Getus Adriana sinis.
Yasmin merenung tajam. Dia tahu Adriana sengaja mahu mencabar kesabarannya. Dia mahu bersuara, tetapi panggilan telefon yang diterimanya membuatkan dia terpaksa menjawab panggilan tersebut dahulu. Beberapa saat berlalu, wajahnya berubah keruh.
“Teruk ke keadaan dia?”
Diam.
“Baik, kau suruh dia tunggu aku kat situ. Jangan ke mana-mana.”
Yasmin memutuskan panggilan telefonnya. Wajahnya berkerut. Adriana di samping wanita itu tertanya-tanya. Kenapa agaknya?
“Jojo, kita ke Espionage Hill sekarang.” Ujar Yasmin pada pemandunya.
“Ada apa-apa yang tak kena ke Kak Yas?” Tanya Jojo.
Yasmin hanya diam. Mulut tidak berbicara, tapi hatinya sebenarnya risau. Dia berpaling ke arah Adriana yang kelihatan tertanya-tanya. Niat hati mahu menghantar Adriana pulang, tapi hal yang tiba-tiba muncul mendadak membuatkan dia terpaksa menguruskan dahulu hal ini.
Sorry, kau kena ikut kakak sekejap. Kakak ada hal.” Ujar Yasmin dengan wajah serius.
Adriana mahu bertanya, tapi melihat wajah wanita itu keruh semacam, dia terpaksa mendiamkan dirinya. Namun dia kesal juga kerana bersetuju mengikut Yasmin tadi. Sepatutnya dia pulang dengan menaiki teksi atau bas sahaja!
*  *  *  *
PINTU di hadapan mereka terbuka, menyerlahkan seraut wajah yang kelihatan cemas memandang ke arah mereka. Yasmin melangkah masuk, sedang dia hanya mampu terpaku di hadapan pintu. Hatinya ragu-ragu mahu melangkah masuk ke rumah orang yang tidak dikenali. Bahkan yang membuka pintu itu lelaki, lagilah dia cemas.
                “Mana dia?”
                “Ada kat ruang tamu Kak Yas.” Ujar lelaki itu.
                Yasmin berpaling ke arahnya dengan wajah berkerut.
                “Apa yang kau buat tu?” Tanya Yasmin dengan wajah serius.
                Dia hanya menggeleng, tanda tidak mahu mengikut wanita itu masuk. Tapi entah dari mana datangnya sepasang tangan yang menolak tubuhnya ke dalam. Dia terkedu saat menyedari Jojo sudah berada di belakangnya.
                Yasmin enggan mempedulikannya lalu mengikut lelaki yang membuka pintu tadi ke suatu arah. Jojo turut mengekori kelibat Yasmin. Adriana tercengang-cengang, tidak tahu apa yang harus dilakukannnya. Pintu sudah ada di belakangnya. Boleh sangat kalau dia mahu balik sahaja. Tapi entah kenapa, hati di dalam teringin juga mahu tahu apa yang membuatkan Yasmin kelihatan cemas dan datang ke apartmen mewah itu.
                Didorong perasaan ingin tahunya yang menebal, hendak tak hendak dia meneruskan langkahnya yang tergendala. Semakin dekat, suara Yasmin yang sedang marah-marah semakin jelas kedengaran.
                Adriana tergaman melihat Yasmin dan beberapa orang lelaki sedang menghadap sesusuk tubuh yang terbaring di atas sofa. Adriana menjengah tapi dia gagal melihat wajah lelaki yang sedang terbaring itu. Kenapa dengan lelaki itu? Sakitkah dia?
                “Kau yakin ini kerja orang-orang Barto?”
                “Ya Kak Yas. Kami pergi kutip duit di kelab malam Barto petang tadi. Alih-alih si Airis ni   terus bertumbuk dengan budak-budak Barto tu. Salah seorangnya keluarkan pisau terus tikam Airis.” Cerita lelaki kurus keding yang duduk berdekatan Jojo.
                “Melampau! Barto ni semakin berani buat aku marah. Berapa baki hutang Barto tu?”
                “Lebih kurang tiga puluh lima ribu termasuk faedah Kak Yas.”
                “Baik. Dia berani main kasar ya, aku akan pastikan dia bayar setiap sen hutang dia termasuk  faedah-faedahnya sekali. Kamu berdua ikut aku, kita ke kelab Barto tu sekarang.” Arah Yasmin.
                “Habis si Airis ni macamana Kak Yas?”
                Yasmin terdiam. Matanya bulat memerhatikan lelaki yang tidak sedarkan diri di atas sofa di ruang tamu itu. Wajah lelaki itu kelihatan pucat lesi.
                “Kita bawa Airis ke hospital ya Kak Yas?”
                “Kau gila ke apa Diman? Kan dia kena tikam ni.” Marah Jojo.
                “Habis nak biar dia mati kat sini?” Marah lelaki kurus keding itu pula.
                Yasmin tunduk, menyelak sedikit t-shirt yang dipakai lelaki itu sehingga ke paras dada. Melihat luka tikaman besar tu sepanjang lebih kurang 5cm dengan kedalaman luka 2cm di bahagian rusuk kanan, dia mengeluh panjang. Mujurlah tidak di bahagian perut. Tapi luka lelaki itu harus dijahit.
                Yasmin tiba-tiba berpaling. Matanya menyorot ke arah Adriana yang kelihatan bingung, tidak tahu hujung pangkal. Dia mengerling ke arah Diman yang kelihatan gelisah.
                “Carikan aku peti First Aid, jarum dan juga tali tangsi. Bawa sekali kain bersih dan air. Cepat.” Pinta Yasmin.
                Diman yang menerima arahan itu kelam-kabut menyediakannya. Mujurlah dia suka memancing, jadi tidak ada masalah mencari tali tangsi seperti yang Yasmin mahukan. Sekejap sahaja barang-barang itu berada di atas meja kopi di situ.
                Yasmin bangun lalu melangkah ke arah Adriana. Lengan gadis itu ditarik ke arah sofa. Adriana terpanar melihat keadaan lelaki itu. Darah yang memenuhi pakaian lelaki itu membuatkan tubuhnya tiba-tiba mengigil. Ya ALLAH! Apa dah berlaku pada lelaki tu?
                “Kau rawat dia Rian. Semua alat-alat tu dah ada kat situ. Bersihkan luka dia dan jahit.” Arah Yasmin.
                Adriana tercengang mendengar kata-kata Yasmin. Apa? Dah gilakah Yasmin? Mana mungkin dia boleh melakukannya. Jahit luka? Tengok darah pun dia sudah takut, inikan pula hendak menjahit luka lelaki itu.
                Melihat Yasmin mahu beredar dengan dua lelaki itu, Adriana segera menghalang wanita itu.
                “Kak Yas nak ke mana?”
                “Aku ada hal penting. Aku terpaksa tinggalkan kau kat sini. Lelaki atas sofa tu, dia orang aku yang paling penting. Aku nak kau selamatkan dia, buat apa sahaja asalkan dia selamat. Kejap lagi aku balik semula ambil kau.” Suruh Yasmin.
                “Tapi Rian tak pandai. Rian..”
                “Jarum tu jangan lupa sterilkan dulu. Nanti mati pulak dia.”
                “Tapi kak, Rian…”
                Gedegum. Bunyi pintu dikatup kuat membuatkan Adriana terduduk lemah. Ya ALLAH! Apa yang patut aku buat? Terketar-ketar dia memandang ke arah lelaki yang masih tidak sedarkan diri di atas sofa di ruang tamu. Hatinya menggerutu antara rasa marah dan risau saling berbaur. Tak guna Yasmin! Berani dia buat macam ni pada aku! Aku bukan jururawat, doktor pun bukan. Apa yang aku tahu fasal menjahit luka? Gumam Adriana cemas.
                Bagaimana kalau dia pergi sahaja dari sini? Ini bukan masalah dia. Tak ada kena mengena langsung dengan dirinya. Perlahan-lahan Adriana bangun lalu menghela langkah ke muka pintu. Tapi belum sempat dia mahu mendekati pintu, langkahnya tiba-tiba terhenti. Dia berpaling seraya mengigit bibirnya. Bagaimana kalau lelaki itu mati semata-mata kerana dia lari? Apakah itu akan menjadi tanggungjawabnya?
                Adriana mengeluh. Hendak tak hendak dia berpatah balik ke arah lelaki itu. Wajah lelaki itu ditatap sekilas lalu. Agak lama dia meraut wajah itu dengan teliti. Orangnya agak kacak, berkulit kuning langsat dan agak tinggi kerana hujung kakinya melebihi paras sofa yang menjadi tempat baringnya.
Siapa dia pada Yasmin? Hati Adriana tertanya-tanya. Dia masih ingat lagi dialog Yasmin sebentar tadi. Orang yang Yasmin pentingkan?
 Dia memandang ke arah barang-barang yang disepahkan lelaki kurus keding itu tadi. Ada jarum, tali, gunting dan juga sekotak peti First Aid. Beberapa helai tuala juga ada di situ bersama sebesen air.
                Dia mendekati lelaki itu lebih rapat. Terketar-ketar tangannya cuba menyelak t-shirt yang membalut tubuh lelaki itu. Tapi melihat liang luka yang masih berdarah itu, tangannya dilepaskan mendadak. Wajahnya pucat lesi. Ya ALLAH! Teruk luka ni. Lelaki ini sepatutnya dirawat di hospital.
                Cepat-cepat dia mencari telefon bimbit dari dalam kantung begnya. Sejurus dia mendapat telefon bimbit itu di tangannya, dia segera menekan nombor kecemasan. Tapi sesaat kemudian panggilan itu ditamatkan. Kelopak matanya dipejamkan. Tenang Adriana! Kau tak boleh telefon nombor kecemasan atau cuba-cuba bawa lelaki ini ke hospital. Takkan kau tak dengar kata-kata lelaki bertubuh besar tadi. Luka kena tikam akan jadi kes polis. Dia menggeleng. Telefon bimbitnya disimpan kembali.
                Apa patut aku buat? Ya, dia patut membuka pakaian lelaki itu yang dibasahi darah terlebih dahulu. Betul! Dia segera duduk berteleku di sisi lelaki itu. Berfikir-fikir sejenak apa yang harus dimulainya dahulu.
                Melihat ada sebilah gunting di atas meja, dia mengambilnya. Dia ragu-ragu sebentar, tapi mengenangkan dia sudah tidak ada pilihan lain lagi, maka dia segera mengunting pakaian lelaki itu.
                Sebaik tubuh di hadapannya terdedah, Adriana terpaku. Matanya tak berganjak dari tubuh berotot tegap itu. Tapi bukan tubuh six packs itu yang menarik perhatiannya, sebaliknya dia lebih kecut perut melihat tatoo yang memenuhi sebahagian tubuh lelaki itu, dari dada sehingga ke lengan. Seumur hidupnya inilah kali pertama dia melihat tatoo di tubuh seseorang dari jarak dekat.
                Dia menelan liur. Siapa agaknya lelaki ini? Samsengkah? Harap-harap bukan pembunuh atau perogol kerana sudah terlalu banyak masalah yang dihadapinya. Dia tidak mahu menambah sebarang masalah lagi. Selesaikan tugas ini cepat Adriana supaya kau boleh cepat pulang! Bisik hati kecilnya.
                Tali yang ada diambil lalu dicucuk pada jarum jahit. Dia menarik nafas panjang. Tangannya terketar-ketar memandang tubuh di hadapannya. Siapa sangka dia akan melakukan kerja-kerja begini. Dia mengelap tubuh lelaki itu dengan tuala basah beberapa kali sebelum dia kembali menyentuh jarum yang digeruninya. You can do it Adriana! Just do it and go home. Begitulah rentak fikirannya ketika ini.
Ketika jarum jahit di tangannya semakin dekat dengan kulit lelaki itu, tiba-tiba sepasang tangan menangkap jari-jemarinya. Adriana terpaku. Dia berpaling, lalu bertentang mata dengan sepasang mata yang entah sejak bila terbuka luas dan memerhatikannya. Renungan lelaki itu begitu dalam menjamah serata wajahnya, membuatkan dia gelisah serta cemas.
“Jarum tu..” bisik lelaki itu lemah.
Adriana terdiam. Kenapa dengan jarum ni?
“Kau dah steril jarum tu? Baik kau buat sebelum kau buat aku mati percuma.” Ujar lelaki itu dengan wajah  berkerut-kerut menahan sakit.
Adriana tercengang-cengang. Baru dia teringat yang dia masih belum mensteril jarum itu seperti yang disuruh oleh Yasmin. Masya ALLAH! Nyaris-nyaris dia menggunakannya. Silap-silap haribulan lelaki itu boleh terkena jangkitan kuman. Adriana! Cuainya kau!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!