Followers

Wednesday, August 25, 2010

Hujan Rindu - Bab 9

“Ini gambar Zurin dengan keluarga semasa raya tahun lepas. Yang sebelah abang Yuzer tu kak Zaza. Abang Yusman masa ni tak boleh balik raya sebab ada kat oversea.” Cerita Zurin sambil menunjukkan foto album keluarganya. Sesekali Anum Dahlia tertawa mendengar cerita lucu Zurin tentang keluarganya. Sedikit sebanyak, hatinya rasa terhibur.

“Ini gambar abang Yuzer masa kami nak hantar dia sambung belajar di UK. Tapi bila sampai kat airport, baru dia sedar yang dia lupa nak bawa buku-bukunya. Ayah marah betul pada dia masa tu. Cuai. Terpaksalah kami poskan barang-barang selebihnya ke universitinya.” Zurin ketawa ketika bercerita. Entah kenapa apabila diingatkan semula situasi di airport ketika itu, dia akan ketawa pecah perut. Wajah ayahnya yang merah padam serta wajah ibunya yang beristighfar panjang sehingga kini menjadi usikan di antara mereka adik beradik.

“Ayah Zurin macamana orangnya?” Tanya Anum Dahlia tiba-tiba. Entah kenapa, dia lebih berminat untuk mendengar tentang Taufik dari cerita-cerita tentang Yuzer. Entah di mana dia pernah melihat wajah pakcik Taufik sebelum ini? Renungan lelaki itu padanya sebentar tadi bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

“Ayah baik walaupun kadangkala garang dengan kami. Tapi dia paling sayangkan kak Zaza, agaknya sebab kak Zaza baik sejak kecil. Tak degil macam Zurin dan abang Yuzer.”

“Kak Anum macam pernah jumpa dengan ayah Zurin, tapi tak ingatlah di mana.” Akhirnya terkeluar juga persoalan yang menjadi tandatanyanya.

“Agaknya kak Anum pernah lihat foto ayah di rumah Nek Jah kut. Lagipun ayah pernah hampir ada kaitan dengan makcik Sufiyah dulu,” ujar Zurin sambil tersengih. Anum Dahlia terkedu. Baru dia teringat foto mama dengan lelaki yang ditemuinya dalam almari di ruang tamu rumah Nek Jah dan Tok Anjang. Pasti lelaki itu adalah pakcik Taufik, bekas tunangan mama yang tak jadi. Patutlkah lelaki itu asyik merenungnya. Mirip sangatkah aku ni dengan mama?

“Tak apalah kak Anum, kalau kak Anum mengantuk tidurlah dulu. Zurin nak pergi mandi kejap,” ujar Zurin seraya bingkas bangun. Tuala yang tersangkut di kepala kerusi segera dicapai, lalu dia segera melangkah ke bilik air. Tak lama kemudian, kedengaran air mencurah laju dari paip. Anum Dahlia tersenyum. Macam-macamlah dengan budak Zurin ni. Dia kembali mengadap gambar-gambar dalam album Zurin. Setiap helaian album dibelek satu persatu.

Dalam salah satu gambar, Anum Dahlia tertarik melihat Nek Jah dan Tok Anjang bergambar bersama keluarga Zurin dan beberapa wajah yang tak dikenalinya sewaktu menyambut hari raya. Masing-masing nampak ceria. Dalam gambar yang lain, Nek Jah sedang tersenyum simpul diapit oleh Zurin dan adik beradiknya yang lain. Tanpa sedar Anum Dahlia mengukir senyuman. Seperti mana kebahagiaan itu terpapar pada gambar, begitu jugalah yang dirasakannya ketika ini.

Melihat album keluarga itu, entah mengapa perasaan Anum Dahlia tiba-tiba terguris. Kebahagian yang tertera pada kepingan-kepingan gambar itu membuatkan hatinya sayu. Meskipun orang-orang di dalam gambar itu nampak riang bersama, namun masih ada yang kurang. Masih ada yang tidak lengkap dalam gambar tersebut. Mama! Bisik Anum Dahlia lemah. Sepatutnya gambar mama juga tertera di situ, lengkap bersama keluarga yang mama rindukan selama ini.

* * * *

Yuzer berjingkit perlahan-lahan melewati ruang tamu. Dia tidak mahu mengejutkan sesiapa, apatah lagi dia tahu ayahnya pulang hari itu. Pasti lelaki itu ada di rumah sekarang ini. Asalnya selepas kenduri, dia ingin terus pulang ke rumah. Namun Husni sepupunya berkeras agar mereka berborak-borak kosong sebelum pulang. Leka berbual sehingga dia tidak sedar jarum jam sudah merangkak ke pukul 12 malam. Itupun dia berkeras mahu pulang biarpun Husni dan Mak Longnya tak sudah-sudah memujuk dia bermalam di situ.

Apabila melintasi bilik Zurin, langkah Yuzer terhenti seketika. Lampu di bilik Zurin masih belum terpadam Dia mengerutkan dahinya. Entah apa yang dibuat oleh Zurin sampai sekarang belum tidur lagi? Mengulangkaji pelajarankah? Dia tersenyum nakal. Timbul rancangan jahat dalam kepalanya ingin mengejutkan Zurin.

Perlahan-lahan Yuzer menolak daun pintu bilik. Dia terlihat kelibat Zurin sedang tertidur di meja study. Kepalanya digelengkan. Budak ni tidur rupanya! Yuzer tersengih.

Perlahan-lahan dia menyusun langkah menghampiri Zurin. Apabila sampai di belakang gadis itu, tangannya didepakan ke arah Zurin. Dengan sekuat hati dia memeluk bahu gadis itu kuat-kuat. Zurin yang terjaga dari tidurnya tergaman. Yuzer hanya tertawa. Namun dapat dirasakan tubuh Zurin menolaknya agak kuat.

Apabila gadis itu memusingkan wajahnya, tindakan Yuzer tiba-tiba terhenti. Dia tercengang melihat Anum Dahlia berada di hadapannya, bukan Zurin seperti yang disangkanya. Wajah gadis itu merah padam memandangnya.

“Kenapa kau…?”

Pang! Belum sempat Yuzer menghabiskan kata-katanya, pipinya berbahang panas. Rahangnya perit. Dia terkejut besar. Bulat matanya mencerlung gadis itu. Dia memegang pipinya yang terasa hangat. Wajah Anum Dahlia direnung tajam. Entah mengapa hati Yuzer tiba-tiba mendidih Darah panas sudah meruap ke mukanya.

Tanpa berfikir panjang, dia pantas mendorong tubuh Anum Dahlia ke arah dinding, membuatkan Anum Dahlia hampir terjerit dengan tindakannya. Namun tangan Yuzer lebih pantas menekup mulut gadis itu. Dia bimbang gadis itu menjerit dan menyebabkan ibu dan ayahnya terjaga dari tidur. Yuzer mendekatkan dirinya ke arah Anum Dahlia. Wajah gadis itu ditatap berani.

“Apa..apa yang awak nak?” Bisik Anum Dahlia separuh gugup apabila tangan Yuzer beredar dari mulutnya. Dia bimbang dengan reaksi Yuzer. Bagaimana kalau lelaki itu berniat buruk terhadapnya? Lagipun dia bukannya sengaja mahu menampar Yuzer. Itu tindakan spontan yang lahir dari dirinya kerana dikejutkan begitu tadi.

Yuzer tidak menjawab. Matanya masih meratah wajah Anum Dahlia tidak berkelip. Dia tahu Anum Dahlia takut dengannya. Inilah masanya untuk dia mempermainkan gadis itu. Tanpa sedar sebuah rancangan nakal terlintas di kepalanya. Yuzer tersenyum simpul.

“Awak..saya nakkan awak,” bisiknya perlahan di telinga gadis itu membuatkan Anum Dahlia terpaku. Dia cuba meloloskan dirinya namun pegangan Yuzer lebih kuat melekat di bahunya.

“Kenapa, takut? Masa tampar saya tadi awak tak takut?” Ugut lelaki itu. Perlahan-lahan jari-jemari Yuzer naik ke wajah Anum Dahlia, mengelus lembut pipi yang gebu tanpa cacat cela itu. Anum Dahlia semakin gementar. Dia memejamkan matanya. Dalam hati dia rasa menyesal kerana mencari fasal dengan lelaki itu. Bodohnya aku! Bukankah Zurin selalu mencanang perangai buruk abangnya itu?

Melihat mata Anum Dahlia terkatup rapat, Yuzer tersenyum senang. Dia tahu pasti gadis itu ketakutan. Padan muka! Siapa suruh kau berlagak berani dengan aku!

Tiba-tiba Anum Dahlia membuka matanya. Yuzer terpegun. Jaraknya dengan wajah Anum Dahlia hanya beberapa inci, membuatkan dia dapat menikmati wajah itu dari jarak dekat. Tanpa disedari, Yuzer bagaikan terpaku seketika. Kelopak mata Anum Dahlia cantik dengan alis yang terbentuk indah. Bibir gadis itu merah biarpun tanpa lipstick. Diam-diam Yuzer akui, Anum Dahlia memang tergolong gadis yang menawan. Tidaklah terlalu cantik, tapi gadis itu memang kelihatan manis. Hati Yuzer terbuai tanpa sedar.

“Kak Anum! Tolong ambilkan Zurin syampu yang baru beli siang tadi. Ada atas almari dekat meja study.” Jerit Zurin sayup-sayup.

Yuzer tergaman. Suara Zurin! Dia memandang Anum Dahlia yang turut memandangnya. Anak mata gadis itu menghala ke arah bilik air yang terkatup rapat. Yuzer mendengus perlahan. Bagaimana dia boleh tidak sedar Zurin berada di bilik air ketika itu. Mujur anak gadis itu tidak nampak apa yang telah berlaku. Jika tidak, mampus dia!

Anum Dahlia memandang Yuzer yang turut memandangnya. Lelaki itu melepaskan pegangannya perlahan-lahan. Namun mata mereka masih bertaut. Anum Dahlia merasakan dadanya berdebar-debar tidak keruan.

“Kak Anum dengar tak?” Laung Zurin lagi.

“Ya Zurin, nanti kakak ambilkan.” Ujar Anum Dahlia sedikit kuat. Apabila dia kembali memandang Yuzer, lelaki itu tersenyum kecil. Perlahan-lahan Yuzer melangkah keluar dari bilik itu. Sempat dikenyitkan matanya ke arah Anum Dahlia yang terpaku bagaikan patung.

Anum Dahlia meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Entah kenapa, dia rasa cemas. Dalam hati, berbakul-bakul sumpah seranahnya dihamburkan pada Yuzer yang berani memperlakukannya seperti itu. Tak takutkah dia, aku mencanangkan perangainya itu pada keluarganya? Tapi kalau keluarganya tahu, aku juga yang malu nanti. Silap-silap hari bulan makcik Zulaika dan pakcik Taufik menuduh aku pula yang cuba menggatal dengan anak bujang mereka. Anum Dahlia menarik nafas panjang. Dia memegang dadanya. Degupan jantungnya masih lagi kencang.

* * * *

Yuzer ketawa kecil sebaik melangkah masuk ke biliknya. Entah kenapa dia rasa lucu dengan tingkah Anum Dahlia yang serba tidak kena. Tapi dalam masa yang sama hatinya rasa terhibur menatap wajah gadis itu yang merah padam menahan malu. Pipi gadis itu nampak kemerahan-merahan tanpa blusher. Semuanya kerana usikannya yang agak melampau.

Dia sendiri terasa bagaikan mimpi dapat bertemu semula dengan gadis yang memarahinya di airport tempohari. Semuanya kerana perlanggaran yang tidak disengajakan yang menjemput kemarahan Anum Dahlia terhadapnya. Tapi sumpah ketika itu dia memang tidak sengaja. Dan sebaik dia terpandang gadis itu tempohari, matanya serta tubuhnya terus kaku. Tapi anehnya, egonya tidak pula goyah.

Dan pertemuan kali kedua mereka di kampung ini dalam diam-diam dianggap satu rahmat. Rahmat untuk dia terus mempermainkan gadis itu sesuka hatinya. Sekurang-kurangnya tidaklah dia bosan memerap di kampung ini semasa dia bercuti. Tapi apa yang dihairankannya, apa Anum Dahlia buat di rumahnya malam-malam begini? Ah! Mungkin Zurin yang mempelawanya bermalam. Yuzer malas mahu mengambil tahu. Esok-esok boleh ditanyakannya pada Zurin sahaja.

* * * *

Nek Jah termenung panjang di pelantar rumah, mengadap ke arah denai kecil dari rumahnya menuju ke jalan besar. Tok Anjang yang baru hendak masuk tidur, tergaman melihat kelibat isterinya di beranda rumah malam-malam begitu. Sangkanya wanita itu sudah masuk tidur, lagipun masa tidur mereka tidak pernah lebih dari pukul 11 malam.

“Jah, awak menung apa tu?” Sapa Tok Anjang sebaik mendekati wanita itu.

Nek Jah menoleh seketika. “Saya tunggu Anum.” Jawabnya.

“Kan Taufik dah kata Anum bermalam di rumah dia, yang awak nak risaukan tu kenapa pulak? Budak Anum tu tak ada apa-apa, luka pun tak.” Sanggah Tok Anjang dengan dengusan halus.

“Saya tahu itu bang aji. Tapi manalah tahu kalau-kalau Anum tak biasa tidur kat rumah Taufik dan Zue tu. Lagipun hati saya ni risau sangat, manalah tahu Anum tu terkejut dengan kejadian yang menimpanya tu.”

“Entahlah Jah, esok aku pergi jumpa si lebai tu suruh dia nasihatkan budak-budak muda kat kampung kita ni supaya jangan memandu macam pelesit. Tak hirau langsung keselamatan orang keliling. Mujur budak tu tak apa-apa. Kalau jadi apa-apa, macamana kita nak menjawab kat mak bapak dia nanti,” keluh Tok Anjang.

Meskipun dia nampak seolah-olah tidak kisah dengan kejadian yang menimpa Anum Dahlia, tapi sebenarnya dia turut sama mengambil berat. Lagipun kisah Anum Dahlia nyaris-nyaris dilanggar bukan kisah baru lagi di kampung Paya Mengkuang. Baru bulan sudah, Pak Saat yang membuka kolam ikan talapia di kampung mereka masuk hospital kerana kes langgar lari. Tahun lalu juga begitu. Dua beradik anak kepada Minah Montel di kampung itu juga nyaris-nyaris menjadi mangsa, mujurlah ada dia yang ternampak kejadian itu lalu sempat membantu. Kalau tidak pasti dua beradik itu menjadi arwah.

“Apalah nak jadi dengan budak-budak muda kat kampung ni. Baru dapat lesen dah nak tunjuk lagak. Bawa kereta macam pelesit. Ada ke jalan kampung ni nak dibuat macam litar lumba,” rungutan Tok Anjang meskipun perlahan tapi masih mampu ditangkap oleh cuping telinga Nek Jah. Terkelip-kelip matanya memandang suaminya yang asyik merungut tidak habis-habis.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!