Followers

Saturday, January 15, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 38

            Sebaik keretanya menghampiri kawasan pagar rumahnya, mata Suria segera terpandang sesusuk tubuh yang sedang bersandar di badan kereta berhadapan dengan pagar rumahnya. Dia mengecilkan matanya cuba memerhatikan gerangan lelaki yang berada di situ. Sebaik terlihat kelibat Nazrul, hati Suria mula berdebar-debar. Apa lelaki itu buat di rumahnya malam-malam begini?
            Nazrul mengangkat mukanya sebaik menyedari sebuah kenderaan berhenti betul-betul di sisi keretanya. Suria keluar dari perut kereta dengan wajah gusar.
            “Kenapa awak datang Nazrul, ada hal apa?” Soal Suria sambil mendekati lelaki itu. Risau juga dia jika ada sesuatu yang penting yang mahu disampaikan lelaki itu. Apatah lagi wajah lelaki itu kelihatan serius benar.
            “Suria ke mana sepanjang hari ni?” Soal Nazrul dengan suara keras. Suria terkedu. Pertanyaan Nazrul membuahkan risaunya. Otaknya ligat berfikir alasan apa yang sesuai diberikan pada lelaki itu. Wajah Nazrul yang merah padam dipandang serba tidak kena.
            “Saya tanya wartawan-wartawan lain, mereka kata Suria tak masuk pejabat sejak lunch sebab Suria sibuk uruskan kes tu. Betul?”
            “Maaf sebab tak sempat nak maklumkan pada awak, saya benar-benar ada hal tadi.” Jawab Suria serba-salah.
            “Suria benar-benar buat saya risau. Kalau saya tahu Suria terlalu taksub dengan kes ni sampai melalaikan kerja lain, lebih baik saya tukar wartawan lain.” Rungut Nazrul separuh mengugut. Suria membulatkan matanya. Dia tidak rela jika ditukarkan sekali lagi.
            “Saya ada hal di balai polis tadi.” Ujar Suria berterus terang.
            “Balai polis? Kenapa?” Nazrul tercengang.
            “Saya jumpa dengan Tuan Izwan berkenaan kes tu.” Jawab Suria meskipun bukan semuanya benar. Dia tidak mahu lelaki di hadapannya itu tahu bahawa dia bersama dengan Izwan sehari suntuk mengekori lelaki itu sehingga ke ‘lubang tikus’.
            Nazrul terdiam mendengar penjelasan Suria. Dia mengeluh kecil.
            “Kalau macam tu tak apalah, Suria masuk rehat dulu. Saya pun dah nak balik.” Ujarnya dengan suara mendatar. Suria terpinga-pinga.
            “Saya ingatkan awak datang ke sini sebab nak cakap sesuatu dengan saya.” Kata-kata itu terluah jua dari bibirnya tanpa disedari. Suria terkesima. Melihat langkah Nazrul tidak jadi diatur ke arah keretanya, dia mula berasa serba-salah.
            Pandangan Nazrul bertaut dengan wajahnya yang gelisah. Lelaki itu tidak bersuara. Renungan sepasang mata milik lelaki itu terus menikam ke wajahnya, membuatkan dia semakin gugup.
            “Suria…” Panggil seseorang dari suatu arah. Suria tersentak lalu menoleh. Melihat kelibat Izwan tiba-tiba muncul di situ, cukup untuk membuatkan dia tergaman. Nazrul turut berpaling ke arah lelaki bertubuh tinggi lampai yang sedang melangkah ke arah mereka.
             “Tuan Izwan, kenapa tuan boleh ada kat sini?” Sapa Suria dengan senyuman yang sengaja dibuat-buat. Di dalam hati dia gelisah bukan kepalang. Kehadiran Izwan benar-benar mencemaskannya.
Izwan terkejut mendengar panggilan Suria terhadapnya berubah drastik. Dia turut berpaling ke arah Nazrul. Dahinya berkerut serta-merta ketika memandang lelaki itu.
            “Oh ya Naz, perkenalkan ini Tuan Izwan dari PRDM. Tuan, ini Ketua Operasi di KZM. My boss actually.” Suria memperkenalkan kedua lelaki itu dengan dada berbahang.
            Nazrul dan Izwan saling berpandangan sesama sendiri. Pandangan kedua-duanya saling bertaut. Nazrul terkesima. Entah kenapa ada sesuatu pada wajah lelaki itu yang membuatkan dia tidak mampu melarikan anak matanya.
“Saya Nazrul. Ketua Suria di KZM Channel.” Nazrul memperkenalkan diri seraya mengunjukkan salam terlebih dahulu.
            “Izwan.” Balas Izwan lantas menyambut huluran salam lelaki itu. Seperti Nazrul, dia juga tidak putus-putus memandang lelaki di hadapannya.
            “Kenapa Tuan Izwan datang?” Suria mencelah. Entah kenapa dia merasa tidak selesa berdiri di hadapan rumahnya dan diapit oleh dua orang lelaki. Nanti apa pula kata jiran-jirannya. Izwan menoleh ke arah Suria.
            “Aku datang nak pulangkan telefon kau ni. Tadi kau tertinggal dalam kereta aku.” Ujar Izwan lantas menghulurkan telefon bimbit milik gadis itu. Suria tergaman. Serta-merta hatinya jadi sebal. Jantungnya seolah tersentap. Dia tidak berani menoleh ke arah Nazrul.
            Thanks.” Jawabnya lalu cepat-cepat mengambil telefon dari tangan Izwan. Nazrul hanya menjadi pemerhati adegan yang baru berlangsung. Dia memandang ke arah Suria, namun gadis itu langsung tidak menoleh ke arahnya.
            “Tak apalah kalau macam tu. Err…Nazrul…Tuan Izwan, saya masuk ke dalam dulu ya.” Dia meminta diri lalu dengan pantas melangkah ke dalam rumah.
            Kedua-duanya menoleh ke arah kelibat Suria yang mula menghilang ke dalam rumah. Sejurus kemudian, pandangan kedua-duanya dilontar semula. Kali ini lebih lama dan bersifat menyelidik.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!