Followers

Sunday, September 13, 2009

Sayangku Casper : Bab 5

KELOPAK matanya terpisat-pisat cuba dibuka. Namun cahaya yang mencelah masuk melalui jendela bilik yang renggang menyukarkan pandangan. Dia bangun perlahan-lahan. Selimut tebal yang membungkus tubuhnya dilontar begitu sahaja ke tepi.

Dia memerhatikan sekitar biliknya. Fikirannya menerawang. Entah kenapa dia bagaikan dapat merasai kehadiran seseorang di situ. Suara ayahnya terdengar-dengar di fikiran. Meskipun dalam keadaan terlena, dia mampu merasai rambutnya dielus-elus. Apakah semalam ayahnya benar-benar ada di biliknya, atau dia hanya bermimpi? Matanya menerjah ke sekitar biliknya. Cuba mencari tanda-tanda kehadiran lelaki itu di biliknya.

Melihat sebuah kotak hitam berbungkus cantik dan dihiasi reben berwarna pink muda terletak di atas meja, dia tiba-tiba tersenyum. Ayah! Jadi dia tidak bermimpi! Ayahnya benar-benar pulang semalam.

Tia meluru ke arah mejanya. Kotak hadiah itu digoncang berkali-kali. Apa agaknya ya? Teddy bear? Gaun? Barang kemas? Dia cuba meneka. Tapi kalau duit pun lagi bagus! Boleh juga dia membeli makanan yang lebih baik untuk disumbat ke perutnya dari sekadar sekeping roti kosong yang kerap ditelannya.

Kerana diserang rasa ingin tahu, Tia tergopoh-gapah merungkai reben pink yang mengikat kotak sederhana besar itu. Penutup kotak itu dibuka lalu dijengah isinya. Sebuah buku sederhana tebal dikeluarkan dari dalam kotak. Memoir in Paris. Tia mengerutkan dahinya sebaik membaca tajuk yang terpapar pada buku tersebut. Dia menyelak helaian pertama. Buku itu berbentuk bibliografi dan menyenaraikan hampir semua tempat-tempat menarik di Paris.

Selena Casper. Si penulis bibliografi itu seorang wanita dan menulis pelbagai kisah-kisah yang berlaku di Paris sewaktu musim panas sepanjang Ogos 1985. Semua kisah-kisah itu ditulis dalam bentuk jurnal. Ketika dia hendak membelek halaman seterusnya, sekeping sampul surat jatuh ke ribanya. Tia tergaman.

Dia segera mengutip sampul surat tersebut lalu membeleknya. Isi di dalamnya dikeluarkan. Melihat sekeping tiket kapal terbang MAS terdapat di dalam sampul surat itu, Tia tercengang. Ini tiket terbuka! Lidahnya kelu sebaik melihat destinasi di dalam tiket tersebut adalah Paris, kota bersejarah yang cukup indah. Untuk siapa tiket ini? Untuk akukah? Hati kecilnya tertanya-tanya sendiri.

Tia membaca namanya yang terpampang di paparan tiket tersebut dengan wajah tidak percaya. Dirinya bagaikan bermimpi. Dia benar-benar tidak mengerti dengan hadiah yang diterimanya dari ayahnya.

Tiba-tiba dia terfikir untuk mencari ayahnya. Mungkin lelaki itu boleh menjelaskan persoalan yang kini makin sarat di benaknya. Persoalan pertama, untuk apa tiket dan buku itu diserahkan padanya? Persoalan kedua, apa kaitan buku itu dengan tiket kapal terbang itu? Aneh! Desis hati kecil Tia.

Dia cepat-cepat beredar ke bilik air untuk membersihkan diri. Beberapa minit kemudian, dia sudah bersiap dan menukar pakaian. Beg sandangnya yang tersangkut di kepala kerusi dicapainya lalu dikemaskan di bahunya.

Terburu-buru dia keluar dari biliknya. Matanya asyik mengintai kelibat ayahnya, namun lelaki itu tidak kelihatan. Di ruang dapur, dia bertembung pula dengan Karin. Gadis itu seperti biasa tak pernah bermanis muka dengannya. Tapi dia langsung tidak ambil hati. Untuk apa dia melayan seribu macam kerenah Karin yang bukan-bukan, sedangkan ada hal yang lebih penting dari itu?

“Kak, ada nampak ayah tak?” Dia bertanyakan Karin.

“Aku tak tahu! Carilah sendiri!” Balas Karin agak kasar. Gadis gempal itu terkedek-kedek berlalu meninggalkannya di ruang tamu.

Tia mengeluh panjang. Dia segera membuka langkah ke arah ruang tamu. Di situ dia melihat ibu tirinya Halijah sedang duduk bersantai di atas sofa. Halijah menjeling tajam ke arahnya sebaik melihatnya di situ.

“Makcik, ayah mana?” Tanya Tia sudah tidak mampu bersabar. Entah kenapa dia yakin ayahnya benar-benar balik semalam. Jika tidak, masakan kotak hadiah itu boleh berada di biliknya. Tak mungkin ada orang lain selain ayahnya yang akan menghadiahkan sesuatu padanya.

“Kamu tak payah susah-susah nak cari dia Tia. Dia tak ada kat sini.” Jawab Halijah selamba.

“Tapi semalam ayah balik kan makcik?” Dia memberitahu dengan niat meminta kepastian tentang kepulangan mengejut lelaki itu semalam. Tidakkah wanita itu tahu tentang kepulangan ayahnya?

“Memang dia balik sekejap, tapi lepas tu dia keluar semula. Katanya dia outstation lagi.” Ujar Halijah seraya mencebik.

Tia terdiam. Tubuhnya menggeletar mendengar kata-kata Halijah. Tiba-tiba dia merasakan kekecewaan yang amat sangat. Perasaan hampanya menjengah lubuk hati tatkala dia mendengar kata-kata wanita itu. Bukankah ayah baru balik? Kenapa lelaki itu harus meninggalkannya lagi buat kali ketiga dalam bulan ini? Ayah, Tia rindukan ayah! Kenapa ayah layan Tia macam ni?

“Dah…..jangan nak buat muka sedih kamu tu pulak kat sini pulak. Buat menyemak mata aku aje.” Getus Halijah dengan wajah sinis. Karin yang baru muncul hanya tersengih-sengih mendengar kata-kata ibunya.

“Tak apalah makcik, Tia nak pergi kolej ni.” Tia cepat-cepat membalikkan tubuhnya. Airmata yang bergenang di penjuru matanya hampir mengalir keluar.

“Nanti!” Panggil Halijah dengan suara keras.

Tia tidak jadi melangkah pergi, sebaliknya dia menunggu wanita itu membuka mulut. Entah apa lagi yang dimahukan oleh ibu tirinya itu? Nak suruh aku beli kiwi lagikah atau nak suruh aku belikan Pizza Hut untuk tembolok anak gadisnya tu?

“Hari ni kamu pergi kolej naik bas aje. Aku dengan Karin nak pakai kereta.” Perintah Halijah dengan wajah sedikit terbeliak.

“Nak pergi mana mak?” Karin tiba-tiba menyampuk.

“Pergi mana lagi? Nak pergi spa la, mak nak mandi rempah nak bagi berseri-seri muka mak ni.” Canang Halijah tersenyum-senyum.

Tia tidak memberi sebarang reaksi. Perbualan kedua-dua beranak itu sudah malas mahu dicampurinya. Diam-diam dia keluar dari ruang makan tanpa disedari oleh Halijah yang sibuk bercerita tentang spa milik seorang kenalannya yang baru dirasmikan beberapa hari yang lalu.

“Tia nak ke mana tu? Tak nak naik kereta ke?” Tegur Pak Amid, pemandu yang sudah lama berkerja dengan keluarganya. Lelaki tua separuh umur itu sedang mengelap permukaan cermin hadapan sebuah BMW berwarna hitam metalik.

Tia menoleh. “Tak apalah Pak Amid, Tia naik bas aje hari ni.” Ujar gadis itu.

“Eh kenapa pulak? Kan Pak Amid selalu hantar Tia ke kolej hari-hari.” Lelaki itu mengerutkan dahi. Hairan mendengar kata-kata Tia yang lain macam saja nadanya.

“Tak payahlah Pak Amid, hari ni Tia nak naik bas. Nak biasakan diri! Tia pergi dulu ya.” Ujar gadis itu seraya menghampirinya lalu mengucup tangannya.

Pak Amid hanya mampu memandang Tia yang sudah keluar dari pintu pagar rumah dua tingkat di Taman Seri Indah itu. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya. Ini mesti kerja perempuan tak berperi kemanusiaan tu! Gumam Pak Amid kesal. Entah apalah majikannya yang handsome tu pandang pada Halijah yang pendek dan bersuara lantang macam pontianak mengilai, keluh Pak Amid bingung.

“Amid, siapkan kereta. Kejap lagi hantar saya ke spa Datin Maimon!” Jerit Halijah dari dalam rumah. Suara yang all out!

Pak Amid terkejut beruk! Kus semangat! Cepat-cepat dia mengurut dada. Mati katak aku kalau hari-hari kena sergah dengan cik puan yang berlagak maut tu! Cebik Pak Amid dengan mulut terherot-herot menahan bengang.

2 comments:

agent_sesat said...

alamak2..x sabar...baru start baca yg nie..walaupun sebenarnya duk tggu Blue Sunset..hehehe....

aqilah said...

kesian tia. moga2, hero terkejut2 tu akan mengubat hati tia.........

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!