Followers

Saturday, April 26, 2014

Lelaki Itu Untukku : Bab 18


ORKED meminggir diri di suatu sudut. Memerhatikan suara riuh rendah yang sedang menyanyikan lagu ucap selamat buat Idlan yang menyambut harijadinya yang ke 25 tahun. Dari jauh dia melihat Idlan tersenyum hambar dikelilingi orang ramai. Lelaki itu seperti sengaja memaksa untuk senyum, walhal dia tahu hati Idlan sengsara. Kalau dia jatuh ke tempat Idlan sekalipun, mana mungkin dia sanggup menyambut harijadinya pada tarikh yang sama dia kehilangan orang tersayang. Namun walaupun begitu, lelaki itu cuba berlagak selamba. Menghargai susah payah orang-orang yang mempersiapkan kek harijadinya pada majlis ringkas dan barbeque yang diadakan di laman rumah.

            “Ayah abang meninggal sebab abang, Orked. Semuanya sebab abang.”

            Dia masih ingat kata-kata Idlan petang tadi. Kata-kata yang menjemput simpatinya pada lelaki itu, sekaligus melontarkan ego dalam dirinya ke dalam jurang yang dalam.

            “Ayah adalah segala-galanya bagi abang. Idola, mentor dan seorang teman. Sebab itu abang tak sanggup tinggalkan dia dan mama abang. Tapi hasratnya besar nak lihat abang berjaya dan bergelar arkitek macam dia. Dia nak abang belajar di luar negara, jadi dia uruskan segala-galanya tanpa pengetahuan abang. Bila abang dapat tahu, abang marah sangat. Abang merajuk hati dengan ayah, mula fikir yang dia langsung tak sayangkan abang selama ini.” Cerita Idlan sebak.

            “Suatu hari dia rancangkan sambutan harijadi untuk abang. Tapi abang hilangkan diri dari rumah dan diam-diam tidur di rumah kawan. Abang protes kerana tidak mahu dihantar ke luar negara. Ayah bimbang dan cari abang di merata-rata tempat tapi gagal temui abang. Selepas seminggu abang dapat tahu ayah ada kat hospital. Bila abang ke hospital, keadaan ayah abang dah nazak. Abang dapat tahu rupa-rupanya ayah abang dah lama mengidap kanser. Patutlah dia beria-ia nak abang ke luar negara sebab dia tak mahu abang jadi lemah sebab dia. Abang sempat bercakap-cakap dengan ayah buat kali terakhir, pegang tangan ayah dan kucup dahinya. Semalaman abang duduk di sisi ayah, temani dia. Tapi keesokan harinya, ayah abang dah tak ada di dunia ni. Semuanya salah abang Orked. Kalaulah abang tak degil, dan ikut sahaja kehendak dia lebih awal, tentu dia masih hidup untuk beberapa tahun lagi.” Bisik Idlan sebak.

            Kasihan Idlan! Tentu hati lelaki itu menderita kerana kehilangan orang tersayang dalam hidup, sama sepertinya yang sepi tanpa kehadiran seorang ibu. Tapi sekurang-kurangnya ayah Idlan menyayangi lelaki itu. Lain pula halnya dengan ayahnya sendiri yang jelas-jelas membencinya!

            Suara jeritan Maira berteriak pada suaminya mengejutkan dirinya dari lamunan. Orked mengangkat wajahnya lalu menoleh ke suatu arah.

            Laman rumah itu kini diterangi dengan api jamung yang meliuk-liuk. Sengaja Pak Man memasang jamung tersebut berbanding dengan menerangi tempat itu dengan lampu kalimantan. Lebih klasik! Gurau orang tua itu. Di hadapan laman rumah itu juga kini terdapat sebuah meja besar yang memuatkan pelbagai jens makanan pembuka selera. Hasil gotong-royong pada sepanjang hari itu membuahkan suasana yang ringkas tetapi meriah.

            Orked sahaja yang mematung diri di majlis itu. Sekadar menjadi pemerhati tidak bergaji majlis sambutan harijadi lelaki itu. Hendak sama-sama bergembira, dia tidak pernah tahu bagaimana caranya. Sesekali matanya melontar pandangan sebal ke arah Anna yang asyik berkepit di sisi  Idlan. Berbulu matanya melihat lentok manja Anna yang asyik mahu rapat ke dada bidang Idlan. Melihat wajah Idlan yang serba tidak kena, dia mula merasa kasihan. Bodoh! Perempuan macam tu pun tak reti nak urus! Getus Orked sambil mencebik bibir.

            Angkara sakit mata memerhatikan gelagat gadis itu dan Idlan, membuatkan Orked mengambil keputusan mahu masuk tidur sahaja. Tapi belum sempat dia hendak berganjak, Idlan tiba-tiba memanggilnya. Dia berpaling ke arah lelaki itu. Dari jauh, Idlan tak sudah-sudah melambai ke arahnya. Anna di sisi lelaki itu turut memandang ke arahnya dengan wajah mencuka.

            Hendak tak hendak dia terpaksa melangkah ke arah Idlan.

            “Orked dah makan? Nak makan kek?” Tanya Idlan tersenyum.

            Dia hanya mengeluh. Itu sahaja ke yang mahu ditanyakan lelaki itu? Buang masa sungguh! Dia berpaling, dengan hasrat mahu meneruskan niatnya sebentar tadi, namun pegangan tangan Idlan tiba-tiba melekat di penjuru lengannya. Orked terkesima dibuatnya.

            “Jangan pergi, temankan abang kat sini.” Pinta Idlan.

            Wajah Orked berkerut. Matanya berbalas pandangan dengan Idlan. Anehnya seperti ada isyarat tertentu di wajah lelaki itu. Beberapa ketika kemudian, barulah dia memahaminya. Ternyata Idlan benar-benar tidak selesa berada bersama Anna.

            Mata Orked berlari pula ke arah Anna. Jelingan tajam anak gadis itu membuatkan dia seperti mahu ketawa besar. Dasar minah tak sedar diri! Tak sedar-sedar ke yang Idlan tak suka, kenapa asyik terhegeh-hegeh di sisi Idlan?

            “Orked nak cakap sesuatu dengan abang.” Suara Orked keluar, membahasakan Idlan abang seperti yang diminta Idlan sebelumnya. Dia dapat melihat wajah Idlan berubah mendengar panggilannya.

            “Orked nak cakap apa?” Tanya Idlan, menumpukan sepenuh perhatian ke arah Orked yang kelihatan serius.

            Orked tidak meneruskan bicara, sebaliknya matanya beredar ke wajah Anna yang cemberut. “Do you mind?” Soal Orked sinis.

            “Nak cakap, cakap ajelah. Bukan luak pun aku ada kat sini.” Tak disangka-sangka Anna berdegil tidak mahu pergi.

Telinga Orked berdesing. Diikutkan hatinya hendak sahaja dia mencepuk muka anak gadis kerek itu. Tak faham bahasa langsung! Nama aje pelajar universiti tapi otak bingai, rungut Orked.

“Memang tak luak pun. Masalahnya aku nak cakap hal peribadi dengan abang Idlan. Tak reti bahasa ke?” Cebik Orked.

“Apa yang peribadi sangat? Nak luah perasaan ke?” Soal Anna separuh menyindir.

Wajah Orked semakin tegang. Pulak dah! Nampak sangat Anna cemburu dengan hubungannya dengan Idlan yang tak ada apa-apa benda tu.

“Kalau ya kenapa? Kau iri ke?” Balas Orked tidak mahu kalah.

“Tolong sikit. Abang Idlan mana suka perempuan kasar dan biadap macam kau ni. Lainlah macam aku.” Bentak Anna.

Orked ketawa kecil. Dasar minah perasan! Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Kau memang tak pernah simpan cermin ya? Ke kau nak pinjam cermin aku? Tolonglah suluh sikit muka kau tu, banyak cantik.” Getus Orked seraya menjuihkan mulutnya.

“Memang aku cantik.” Pintas Anna seraya memegang lengan Idlan lebih erat.

“Eiii..perempuan ni memang nak kena ni.” Orked semakin hilang sabar. Anna sempat mencebik ke arahnya, menambahkan lagi panas di hatinya.

            “Anna, abang nak cakap dengan Orked. Alone. Boleh tak Anna tinggalkan kami berdua?” Pinta Idlan mulai masuk campur apabila bunga-bunga pertengkaran seakan mahu bermula antara kedua-dua gadis itu.

            “Tapi bang..” Anna bersuara.

            Please..abang ada hal penting nak cakap dengan Orked. Anna pergi tolong Mak Tun tambahkan air di meja tu lagi baik.” Pintas Idlan sebelum sempat Anna meneruskan kata-katanya. Mendengar kata-kata Idlan, wajah gadis itu semakin mencuka. Dalam keadaan terpaksa, gadis itu beredar jua akhirnya.

Orked hanya tersengih memerhatikan wajah empat belas gadis itu. Ketika dia mengalihkan pandangan, mata Idlan sudah menikam wajahnya.

            “Orked nak cakap apa?” Soal Idlan lembut.

            Orked merenung lelaki itu sambil tersenyum sinis. “Tak ada apa-apa.”

            “Habis Orked kata tadi nak cakap dengan abang.”

            “Itu taktiklah, takkan itu pun aku nak kena ajar. Itu aje caranya kalau nak suruh minah sengal tu pergi. Takdelah dia asyik nak menempel aje kat kau. Rimas aku tengok.” Rungut Orked membebel tanpa disedari.

            “Rimas?’ Idlan sudah tersenyum-senyum.

            “Yalah rimas tengok dia asyik berkepit aje dengan kau 24 jam kat rumah ni. Macamlah tak ada lelaki lain kat dunia ni.” Orked terus merungut-rungut.

            Idlan tiba-tiba melempiaskan tawanya. Ketawanya bergema kuat sehinggakan Maira dan Mak Tun yang duduk berhampiran menoleh.

Orked mengigit bibir dengan dahi berkerut seribu. Kenapa ni? Buang tebiat ke?

            “Betul ke Orked rimas tengok abang dengan Anna? Atau jangan-jangan Orked cemburu tak?” Idlan sengaja mengusik.

            Kata-kata Idlan membuatkan Orked tergaman. Serentak biji matanya menjegil tajam ke arah lelaki itu. Memang tak sayang mulut!

            “Cemburu? Please…lainlah kalau kau tu boyfriend aku.” Selar Orked sambil memasamkan mukanya. Dia tidak suka mendengar kata-kata Idlan itu.

            Then kita jadi pasangan kekasihlah. Mulai sekarang!” Cadang Idlan selamba.

            Orked menelan liur. Kata-kata Idlan membuatkan dia tercengang-cengang. What?

            Lagipun siapa yang nak halang? Antara kita pun bukan adik beradik kandung pun. Jadi tak salah kalau kita bercinta kan? Macamana? Mahu?” Renungan Idlan menikam tepat ke arah gadis itu.

            Orked menarik nafas panjang. Gila! Apa punya cadangan tu? Idlan benar-benar bercakap sesuatu yang tidak masuk akal kali ini. Bulat biji matanya memerhatikan ke arah Idlan yang sudah tersenyum-senyum memandang ke arahnya.

            Sejenak ketawa Idlan meletus keluar. Orked terpinga-pinga jadinya. Dia langsung tidak mengerti apa sebenarnya yang sudah merasuk fikiran lelaki itu?

            “Orked ni memang kelakar la. Abang baru gertak sikit terus muka tu jadi macam tu. Abang buat joke aje lah. Macam tu pun dah takut.”gelak Idlan.

            Orked menarik nafas panjang. Cis! Ingatkan lelaki itu betul-betul serius tadi. Tapi anehnya kata-kata lelaki itu sebentar tadi membuatkan hatinya berdebar saling tidak keruan. Aduh! Kenapa dengan hatinya saat ini? Please Orked, ingat sikit siapa Idlan Riyaz itu.

            “Dahlah tu, jom kita pergi makan kek. Orked belum rasa lagi kek abang kan? Sedap kek tu. Kak Mara dengan Mak Tun memang superb kali ini.” Ujar lelaki tu seraya tiba-tiba menarik tangannya.

            Orked terkedu. Hendak membantah dia tidak berdaya. Mahu tak mahu dia terpaksa mengikut sahaja lelaki itu ke arah meja kek.

*  *  *  *

DIA masuk ke dalam rumah sambil mulutnya membebel-bebel. Ising kek yang comot di mulutnya juga dikesat-kesat dengan hujung jari. Tak semena-mena Idlan menolak kek tersebut masuk ke dalam mulutnya. Mulanya dia enggan mahu menyentuh kek harijadi Idlan, tapi Idlan lebih pintar memaksanya sehingga dia tidak berupaya menolak suapan kek tersebut.

Dari jauh Maira dan suaminya Rezal asyik tersenyum-senyum memerhatikan gelagat mereka. Mak Tun ikut menyaksikan adegan lucu itu sambil ketawa kecil. Begitu juga dengan yang lain-lain. Hanya Anna sahaja yang mencerlung tajam ke arahnya seperti hendak ditelannya. Malu dengan situasi tersebut, cepat-cepat dia angkat kaki masuk ke dalam rumah.

            Ketika dia menghela langkah ke arah dapur, telinganya tiba-tiba menangkap bunyi deringan telefon. Orked mengerutkan dahinya lantas tercari-cari. Siapa punya telefon ni? Beberapa saat kemudian, matanya mengesan sebuah telefon bimbit terdampar di atas meja kopi di ruang tamu. Dia segera mengutip telefon tersebut. Ini telefon Idlan! Bisik hati kecil Orked. Dia mengecam telefon itu kerana sudah beberapa kali Idlan menggunakannya di hadapannya.

            Matanya terus mengerling ke arah paparan skrin. Nadya! Dahi Orked terus berkerut. Nama itu agak asing baginya. Siapa Nadya? Teman wanitanyakah?

            Gagang di tangannya tiba-tiba disentap seseorang. Serentak, deringan telefon itu terus berhenti. Orked mengalihkan pandangan. Terpacak di hadapannya Anna dengan wajah masam mencuka.

            “Kau nak apa?” Soal Orked acuh tak acuh.

            “Aku nak kau jauhkan diri kau dari abang Id. Aku tahu kau dan abang Id bukan adik beradik betul pun, so stay away from him.” Getus Anna dengan suara meninggi.

            Amaran gadis itu membuatkan Orked ketawa besar. Mak oii, macamlah aku takut dengar amaran tahap amatur tu. Dia merenung tajam wajah Anna yang cemberut. Memerhatikan  dengan teliti raut wajah gadis itu yang bermekap tebal dengan rambut sedikit ikal mayang yang diwarnakan sedikit coklat di hujungnya. Macam badut sarkas! Hati Orked terus menggerutu.

            “Yang kau ni mengada-ngada sangat kenapa? Kau ingat Idlan tu sukakan kau ke kalau aku tak ada? Well jangan harap.”

            Mata Anna terbeliak mendengar sindirannya. Merah padam wajah itu menahan marah.

            “Kalau aku tak duduk sini pun, aku boleh jumpa dia hari-hari di rumah. Kau lupa ke mak dia dengan ayah aku dah kahwin, so secara teknikal hubungan aku dengan dia lebih rapat dari hubungan kau dengan dia.” Getus Orked lagi sengaja mahu memprovok.

            “Gosh, kau memang tak tau malu.” Bentak Anna.

            “Gosh, kau memang tak tau malu.” Ajuk Orked dengan sengaja.

            Berang dengan ajukan Orked, Anna terus meluru ke arah gadis itu. Kedua-duanya jatuh ke arah sofa. Rambut Orked ditarik kasar. Orked menjerit kesakitan, lalu cuba menolak tubuh Anna yang menghimpitnya. Tak cukup dengan itu, wajah Orked ditampar beberapa kali. Orked sedaya upaya cuba mempertahankan dirinya. Dia menendang tubuh Anna sehingga gadis itu terjatuh ke belakang lalu melanggar bucu almari.

            “Astaghfirullahalazim, apa kena dengan kamu berdua ni?” Suara Pak Man tiba-tiba muncul mengejutkan kedua-dua gadis itu.

Orked terpanar. Di muka pintu kelihatan wajah Pak Man dan yang lain-lain tercengang-cengang memerhatikan ke arah mereka. Tak semena-mena, Anna tiba-tiba melontarkan tangisan yang agak kuat. Dari belakang Pak Man, muncul kelibat Idlan yang turut tergaman melihat apa yang sudah berlaku.

            Melihat kehadiran Idlan, Anna tiba-tiba meluru ke arah lelaki itu bersama esakan dan aimata.

            Abang Id, tengoklah apa yang Orked dah buat pada Anna. Dia pukul Anna, Abang Id.” Adu Anna.

Orked mengeluh panjang. Budak ni memang pandai bermuka-muka! Patutnya aku tampar sahaja muka tak tau malu itu! Getus Orked sebal.

            Mata Idlan beralih arah. Menatap ke arah Orked dengan wajah yang sukar dimengertikan.

Orked membalas tatapan itu dengan wajah tenang. Dia tahu tidak ada gunanya dia membela dirinya jika ruang untuk membela diri seakan tertutup terus melihat renungan lelaki itu terhadapnya. Baru sebentar tadi mereka berbaik-baik, kini segalanya musnah dalam sekelip mata. Malah setiap pasang mata kini merenung ke arahnya bagaikan dia objek prasejarah yang bakal dilupuskan.

            “Orked, betul ke apa yang Anna kata tu? Betul Orked pukul dia?” Soal Idlan dengan wajah serius.

Orked tersenyum sinis. Cakap apa pun tak guna! Tuduhlah apa sahaja! Orked sudah nekad untuk hanya berdiam diri.

            Melihat gadis itu acuh tak acuh memandangnya, tumpuan Idlan beralih ke arah Anna pula di sampingnya.

            “Betul Orked pukul Anna?” Soal Idlan pada gadis itu pula.

            Anna segera mengangguk sambil berpeluk tubuh, bagaikan baru sahaja mengalami trauma pahit. Idlan memandang kedua-dua gadis itu silih berganti.

            “Takkan abang Id tak percayakan Anna. Memang perempuan tu yang pukul Anna. Dia marah-marah sebab Anna rapat dengan abang Id. Tengok lengan Anna ni lebam-lebam.” Ujar Anna sambil menunjukkan lengannya yang kemerah-merahan pada Idlan.

Idlan merenung lengan anak gadis itu sambil mengerutkan dahinya. Ada sesuatu melekat di lengan itu. Sejurus mata Idlan berlari pula ke wajah Orked. Pipi Orked yang kemerah-merahan turut ditatap teliti. Idlan menarik nafas panjang. Masya ALLAH! Orked! Bisik Idlan kesal.

            “Anna, selama ini abang layan Anna dengan baik. Abang anggap Anna macam adik abang sendiri. Tapi abang tak sangka yang Anna sanggup berbohong pada abang.” Getus Idlan seraya merenung gadis di sampingnya.

            Wajah Anna berubah. Kata-kata Idlan membuatkan semua orang kini menumpukan perhatian kepada lelaki itu tidak terkecuali Orked sendiri.

            Anak mata Idlan kembali ke wajah Orked. Wajah itu kelihatan serius.

Abang tak sangka Orked begini. Orang buat begini pada Orked, tapi Orked nak biarkan sahaja? Kalau orang fitnah Orked, stand up for yourself. Claim what is right for you. Bukan berdiam diri macam patung, dengar apa sahaja tuduhan orang pada Orked.” Marah Idlan pada gadis itu.

            Orked terkedu. Dia tidak mengerti maksud Idlan, juga tidak memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sangkanya Idlan mahu memarahinya kerana memukul Anna. Tapi sebaliknya pula kelihatan berlaku.

            “Anna, abang tahu Anna fitnah Orked. Kalau betullah Orked yang pukul Anna, sepatutnya kecederaan Anna lebih teruk dari Orked. Tapi kenapa muka Orked yang lebam-lebam seperti kena tempeleng?” Soal Idlan seraya merenung tajam ke arah gadis itu.

            Orked terpempan. Serentak baru dia menyedari kesan perit yang berbahang di pipinya angkara Anna yang menamparnya berkali-kali sebentar tadi.

            Wajah Anna pucat lesi. Dia tidak sangka tembelangnya pecah sepantas ini. Dia mulai gelisah dan tidak senang duduk apabila setiap pasang mata di situ mula beralih ke wajahnya.

            Abang, Anna….”

            “Dan lagi satu, ada beberapa helai rambut di lengan Anna. Rambut Anna panjang, tidak seperti rambut Orked. Jadi abang rasa Anna yang mulakan pertengkaran, tampar Orked dan tarik rambut Orked kan? Lepas tu Anna berpura-pura seolah-olah Anna mangsa di sini untuk mengelabui mata kami. Itu sebenarnya yang berlaku kan?” Tekan Idlan.

            Mak Tun dan Pak Man saling berpandangan. Maira dan suaminya Rezal sudah menggeleng-gelengkan kepala. Ira dan yang lain-lain turut kesal mendengar kata-kata Idlan. Hanya Orked sahaja yang terlongo. Dia tidak kisah langsung dengan situasi yang berlaku, namun dia masih tidak percaya melihat Idlan sedang mempertahankan dirinya. Betulkah lelaki itu mempercayainya kali ini?

            Anna tiba-tiba melempiaskan tangisnya. Malunya menebal kali ini kerana semua orang menganggap dia bersalah. Ira segera menuju ke arahnya lalu memujuknya.

            Keluhan Idlan meniti di bibir. Apabila dia mengalihkan pandangan, matanya bertembung dengan Orked yang sedang memerhatikannya. Pandangan gadis itu dibalas dengan senyuman. Dan entah kenapa dia melihat ada sekelumit senyuman singgah di bibir gadis itu untuknya. Hati Idlan terhibur. Manis senyuman itu bagaikan memberi petanda permulaan baru buat mereka. Dan dia benar-benar mengharapkan hubungannya dengan Orked akan lebih baik selepas ini.

 

6 comments:

Anonymous said...

aauwww... sweet....

kak edah said...

Yes so sweet thanks anita kak edah suka

Mazni Aznita said...

terima kasih..cerita ni dah diversicetakkan dan keluar di pesta buku antarabngsa 2014..

Unknown said...

dah kuar ke novelnya...penerbitan mn ya

Anonymous said...

abang idlan~~~

>>k<<

NorShiemah said...

saya sudah pun beli novel ini. beli combo 3 novel tetapi novel ini pertama sekali yang saya baca. Best! Teruskan uasaha!

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!