SEPASUKAN polis telah dihantar ke sebuah rumah di Jalan Gasing. Dari IP address yang diperolehinya dari laptop Suria, Izwan cuba menjejaki dari mana datangnya email yang dihantar kepada gadis itu. Tapi khabar dari Kordi yang mengikuti operasi benar-benar mengecewakannya. Menurut Kordi, rumah yang dimaksudkan itu hanyalah sebuah rumah kosong yang hampir sepuluh tahun tidak berpenghuni. Begitulah yang dimaklumkan oleh tuan punya rumah itu, seorang guru sekolah rendah yang menetap di kawasan berhampiran.
“Bagaimana dengan komputer atau apa-apa devices yang boleh disambungkan pada internet?” Soal Izwan ingin tahu.
“Tak mungkin tuan, rumah tu langsung tak ada sambungan elektik. Tak mungkin IP signal tu datangnya dari alamat yang kita cari tu.” Sahut Kordi dari dalam telefon. Izwan mengeluh. Dia mengadap ke arah jendela yang terbentang luas. Matanya merenung jauh. Perkhabaran dari Kordi benar-benar mengecewakannya.
Sejurus dia mengalihkan anak matanya. Sebingkai potret yang terhias di atas mejanya ditatap lama. Wajah Rauda yang sedang tersenyum manis terpampang di situ. Memang senyuman isterinya itu tidak pernah lekang dari bibir biarpun terlantar hampir sebulan lamanya di hospital. Malah sehingga ke saat-saat terakhir pun, Rauda masih ingin menghiburkan hatinya.
“Wan, Rauda nak Wan janji dengan Rauda.”
“Apa dia sayang?”
“Walau apa saja yang berlaku pada Rauda, Wan kena teruskan hidup Wan. Wan kena kuat.” Bisik Rauda lemah.
Dia memejamkan matanya. Kesedihan yang bertaut di hatinya cuba dilontar keluar. Sebagai lelaki, meskipun dia mempunyai ego untuk tidak menangis di hadapan orang lain, namun jauh di sudut hati dia masih seorang insan yang lemah. Yang mempunyai sekeping hati yang rapuh.
“Janji Wan..”Rauda memandangnya seolah menagih jawapan.
Dia memejamkan matanya. Tak sanggup mendengar kata-kata Rauda begitu. Tidak sayang! Sememangnya aku tidak mahu hidup tanpamu. Apalah ertinya dunia ini jika kita tak boleh bersama seperti dulu?
“Tuan Izwan kena faham, pembedahan ni berisiko kerana peluru itu berada begitu hampir dengan saraf tunjang serta salur pembuluh darah. Kalau Puan Rauda selamat sekalipun, kemungkinan besar dia akan lumpuh atau koma.” Penjelasan Doktor Zainal bagaikan satu tamparan hebat buat dirinya.
Rauda akhirnya menghembuskan nafas terakhir semasa pembedahan berlangsung. Berbulan-bulan lamanya dia cuba menerima kenyataan itu. Mungkin inilah yang sebaiknya untuk Rauda. Dia lebih rela Rauda pergi dari membiarkan isteri kesayangannya menderita. Tapi dalam diam-diam, sebenarnya dia tidak pernah berhenti merasa tersiksa dengan pemergian Rauda. Tidak walaupun setelah lima tahun berlalu.
* * * *
“Sayang, Wan maybe lambat sikit hari ni, mungkin Wan tak boleh temankan Rauda shopping. Wan ada taklimat tengahari nanti.” Dia masih ingat dialog-dialog terakhirnya bersama Rauda ketika itu.
Rauda tertawa kecil. “Tak apa, Rauda faham. Lagipun kita kan cuma nak cari hadiah untuk birthday mama. Tak apa Wan, Rauda pergi sendiri aje.” Bisik Rauda lalu tiba-tiba mencium pipinya. Dia tergelak besar.
“Sayang, ingat sikit..ini balai polis, bukan rumah kita.” Dia mengusik Rauda. Rauda segera mencebikkan bibirnya. Dia ketawa kecil lalu keluar dari perut kereta. Pintu kereta dihempas perlahan, seraya dia tunduk ke arah cermin kereta yang terbuka hampir separuh. Wajah ayu Rauda ditenung tidak pernah puas.
“Kalau Wan habis taklimat awal, Wan cari Rauda dekat Mall tu nanti okey?” Dia meminta persetujuan Rauda. Bibir Rauda pantas menghadiahkan senyuman. Jelas isterinya itu senang sekali dengan cadangannya.
“Wan, I love you so much.” Pengakuan Rauda membuatkan dia ketawa besar. Baru beberapa bulan mereka mengecap hidup berumahtangga, dan kemanisan itu benar-benar terasa. Sesungguhnya dia teramat bahagia memiliki Rauda sebagai sebahagian dari dirinya. Sifat Rauda yang periang amat kontras dengan dirinya yang agak serius.
“Sayang, I love you too. Jaga diri baik-baik ya.” Dia mengiringi pemergian Rauda dengan iringan mata yang tidak mahu lepas. Renungannya singgah lama ke arah kereta Rauda yang semakin menghilang dari pintu masuk bangunan PDRM itu.
“Hai Wan, dihantar isteri nampaknya.” Usik teman-temannya.
“Orang masih honeymoon katakan.” Fauzi teman sepasukannya bersuara, disambut gelak ketawa teman-temannya yang lain. Dia hanya mampu tersenyum. Pedulikan apa orang mahu kata. Asalkan dia tahu bahawa dialah lelaki yang paling bahagia dalam dunia ini. Cukup bahagia sebenarnya.
Dia mengadap taklimat tengahari itu tanpa sepenuh hati. Fikirannya asyik teringatkan Rauda. Cuti separuh hari yang dipohon dari ketuanya sejak kelmarin tidak boleh dipersia-siakan begitu sahaja.
Apabila mesyuarat selesai, dia orang pertama yang meluru keluar. Di muka pintu, dia bertembung dengan Dato’ Rafar, ayah mertuanya yang sudah lama memegang jawatan SAC. Lelaki itu kelihatan sibuk berbincang dengan seorang pegawai kanan polis di satu sudut. Melihat kelibatnya, Dato’ Rafar tersenyum. Malah lelaki itu sempat mengingatkannya tentang majlis ulangtahun isterinya Syoba.
Sebaik dia sampai di sebuah pusat beli belah di ibukota, dia segera menuju ke arah parking basement. Mujurlah dua tiga kali melilau mencari parkir, dia ternampak sebuah kenderaan baru sahaja dikeluarkan dari lot parkir yang berdekatan dengan pintu masuk pusat beli belah itu. Sambil meredah orang ramai yang memenuhi pusat beli belah itu, dia cuba menghubungi Rauda.
“Hello sayang, Wan ni. Wan dah ada kat mall ni. Rauda kat mana tu?” Dia terdiam seketika sebelum kembali menyambung. “Okey, nanti Wan follow kat sana. Rauda tunggu Wan kat Nando’s tu tau, jangan nak melencong ke mana-mana pulak.” Pesannya sambil tersenyum. Dia faham benar sikap Rauda yang gemar merayap.
Setelah beberapa minit melangkah, dia kini berhadapan dengan restoran makanan segera Nando’s. Dari jauh, kelibat Rauda antara nampak dan tidak apabila dihadang oleh kelibat seorang lelaki. Dia melambai-lambaikan tangannya dengan harapan Rauda melihatnya. Namun isterinya itu kelihatan ralit memandang ke suatu arah.
Bibirnya segera mengukir senyuman. Ada rancangan nakal singgah di benaknya. Perlahan-lahan dia mengatur langkah ke arah Nando’s, namun bahunya berselisih dengan seorang lelaki. Dia tidak sempat mengelak.
“Maaf.” Dia melontarkan kata-kata maaf. Lelaki berkemeja kotak itu hanya mengangguk lalu segera beredar. Dia mengeluh. Cuainya dia! Apabila anak matanya diluruskan, ekor matanya menangkap sesusuk tubuh wanita yang sedang berlindung di sebalik penjuru sebuah kedai berhampiran Nando’s. Matanya memerhatikan ke arah wanita berpakaian serba hitam itu dengan penuh minat. Dahinya berkerut. Ada sesuatu pada wajah wanita itu yang membuatkan matanya tertarik untuk terus memandang. Macam pernah jumpa!
Wanita itu meluruskan matanya ke suatu arah. Dia perlahan-lahan berpaling lalu mengekori ekor mata wanita itu. Serentak matanya terpanah ke arah tempat duduk Rauda. Dia terkesima. Apakah sasaran mata wanita itu Rauda atau lelaki berhampiran dengannya? Dia melontarkan pandangannya semula. Mata wanita itu sudah beralih arah. Seorang lelaki bertopi dan bercermin mata hitam tiba-tiba muncul.
Dari tempat dia berdiri, dia dapat melihat dengan jelas lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya. Mata lelaki itu memandang ke arah wanita berpakaian serba hitam itu, bagaikan menanti isyarat. Kedua-duanya bagaikan berkomplot. Sebaik melihat sepucuk revolver berada di genggaman tangan lelaki itu, darahnya serta-merta menyirap. Dan sebaik lelaki itu menghalakan muncung revolvernya ke arah Rauda, hatinya mendahului meraung. Dadanya terus berombak kencang. Dia mencapai pistol di pinggangnya seraya meluru ke arah Rauda. Tapi….
Bang! Bunyi letupan menggegarkan suasana di ruangan pusat beli belah itu.
“Rauda!” Jeritannya berkumandang di segenap ruang pusat beli belah itu. Melihat Rauda rebah di hadapan matanya, dia bagaikan tidak percaya. Kakinya meluru ke arah isterinya, namun suasana panik yang menyelubungi pengunjung-pengunjung di pusat beli belah itu membuatkan suasana di situ menjadi kecoh. Tubuh Rauda dirangkul kemas dalam pelukannya. Nafas Rauda terputus-putus..
Seorang lelaki mara ke sisinya. Dia tidak memberi perhatian. Anak matanya hanya tertumpu pada Rauda yang seolah-olah mahu mengatakan sesuatu. “Jaga dia, saya dah panggil ambulan.” Bisik lelaki itu. Dia tetap merangkul isterinya tidak mahu lepas. Airmatanya semakin lebat bercucuran.
“Wan…” bisik Rauda dengan suara payah.
“Syy..don’t talk sayang. I’m here now.” Bisiknya dengan wajah sayu. Mata Rauda terpejam tenang. Nafasnya pula bertebar bagaikan angin tsunami. Sepantas kilat dia menoleh ke suatu arah. Wanita dan lelaki yang dilihatnya sebentar tadi kini sudah ghaib. Dia sudah tidak mampu menahan perasaan lalu menjerit sekuat hati. Raungannya bergema memenuhi setiap inci pusat beli belah itu.
* * * *
“Rauda!” Izwan menjerit nyaring. Nafasnya turun naik melawan resah yang berpanjangan. Seketika dia terpinga-pinga. Ruangan di bilik itu dipandang berkali-kali. Serentak nafasnya dilontar kasar. Rupa-rupanya dia masih di dalam biliknya. Di hadapannya terdapat timbunan fail-fail lama yang dibacanya sejak petang tadi.
Jam bulat di sudut dinding dikerling. Jarum jam sudah hampir mencecah pukul lapan malam. Izwan teringat yang dia masih belum menunaikan solat Maghrib. Dia bingkas bangun lalu melangkah keluar dari biliknya. Kebanyakan staf-stafnya sudah ramai yang pulang. Yang tinggal hanya beberapa orang anggotanya yang kelihatan ralit menyiapkan laporan.
“Dah nak balik tuan?” Tegur salah seorang kakitangannya. Izwan menggeleng kepala sambil tersenyum.
“Sekejap lagi. Saya nak solat dulu sebelum balik.” Jawab Izwan ringkas. Dia segera bergegas ke bilik solat lelaki di tingkat bawah. Selepas selesai menunaikan solat Maghrib, dia membetulkan kedudukannya di tikar sembahyang sebelum tangannya menadah separas dada. Memang setiap kali selepas solat, dia tidak lupa menyedekahkan al-Fatihah untuk arwah Rauda yang sudah pergi. Hanya dengan cara itu dia dapat merasakan kehadiran Rauda di sisinya. Hanya dengan cara itu juga, dia mampu mengenang isterinya yang sudah pergi mengadap Ilahi. Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan kepada rohmu sayang! Bisiknya dengan nada terharu.
Dalam tempoh lima tahun ini, dia belajar menerima ketentuan Allah dengan hati yang terbuka. Kematian Rauda dihadapi dengan tenang. Namun sebagai seorang manusia yang lemah, dia juga mendendami pembunuh isterinya. Wanita berbaju hitam serta lelaki yang memegang revolver itu sentiasa berada dalam fikirannya.
Beberapa tahun yang lalu, dia berusaha keras mencari wanita itu. Namun pencariannya menemui jalan buntu, biarpun sketches lakaran wajah wanita itu diedarkan pada semua anggota polis di setiap unit. Dia benar-benar hampa bila pihak polis menutup kes itu setelah beberapa tahun ianya gagal diselesaikan. Malah motif kejadian juga menimbulkan tanda tanya. Sampai kini dia sendiri tidak tahu apakah dendam antara Rauda dengan wanita itu. Kenapa wanita itu begitu tega membunuh isterinya?
link
link
No comments:
Post a Comment