Followers

Sunday, January 30, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 39

            SURIA membalikkan tubuhnya ke kanan dan ke kiri berulangkali. Sukar benar dia mahu melelapkan matanya. Fikirannya kacau. Mahu berbual dengan ayahnya, lelaki itu masih belum pulang meskipun jarum jam sudah menunjukkan angka sebelas  malam.
            Bosan berkeadaan begitu, dia segera bingkas bangun dari katilnya. Tak sudah rasanya matanya terkelip-kelip memandang siling bilik sedangkan dia masih belum mengantuk. Selimut yang membaluti sebahagian tubuhnya dilontar ke tepi sebelum dia melangkah maju ke beranda biliknya. Pandangannya dilontar keluar. Kelopak matanya dipejam rapat. Cuba melarikan mindanya dari terus berfikir tentang kes pembunuhan Masyitah yang belum selesai.
Ingatannya sengaja dialih ke arah Nazrul dan Izwan, dua lelaki yang muncul di dalam hidupnya sejak akhir-akhir ini. Dia terbayangkan Nazrul yang kacak serta lembut melayannya, serta Izwan yang agak serius dan sering menyakitkan hatinya. Semenjak akhir-akhir ini, masanya banyak dihabiskan dengan kedua lelaki itu. Seorang ketua di pejabatnya, manakala seorang pula lelaki yang dianggap saingannya dalam menyelesaikan kes. Suria tersenyum sendiri. Kenapa pula aku tiba-tiba membandingkan mereka berdua? Gila agaknya aku ni!
            “Suriaa……” Tiba-tiba, satu bisikan halus muncul di cuping telingannya. Dia membuka matanya. Selajur jua, hembusan angin dingin menyapa wajahnya membuatkan dia terpaku.
            “Suria…kau milikku. Datang padaku Suria…..” Bisikan itu berulang. Suria berpaling secepat kilat. Ruangan kamar tidurnya kosong. Dia tidak melihat sesiapa pun di situ. Peluh renek mula membasahi tubuhnya. Hatinya berdebar-debar. Suara halus gemersik itu diyakini bukan sekadar datang dari imaginasinya semata.
            “Suria…”
            “Siapa? Siapa kau? Kenapa kau ganggu aku?” Dia memberanikan diri bertanya sambil matanya liar mengawasi sekeliling kamar tidurnya. Beberapa saat kemudian,  nafasnya seolah terhenti sebaik terpandang sesusuk tubuh di tepi almari pakaiannya. Wajah itu tidak jelas kelihatan di bawah bayangan cahaya lampu tidur yang agak malap di biliknya. Suria terpaku. Wajahnya pucat lesi menatap lembaga tak dikenali yang tiba-tiba muncul di biliknya. Masyitahkah?
            “Masyitah?” Dia memberanikan diri menegur meskipun kakinya kian longlai. Suara ketawa tiba-tiba meletus keluar. Hinggar-binggar di telinganya. Tiba-tiba sahaja dia merasakan kepalanya pusing.
            “Aku bukan Masyitah sayangku. Aku Mahira…” Bisik suara itu. Meskipun lembaga itu berdiri agak jauh darinya, namun suara itu kedengaran begitu hampir di telinganya membuatkan kepalanya terus berdengung.
            “Mahira?”
            Lembaga itu tiba-tiba mara ke hadapan menampakkan diri, Suria ternganga tidak percaya. Perempuan itu! Perempuan yang dilihatnya di kawasan perkuburan di Kampung Pendang tempohari.
            Wajah itu cantik dengan bibir merah menyala yang mengiurkan. Rambut wanita itu panjang mengurai sehingga ke pinggang. Dari tempatnya berdiri, Suria dapat melihat dengan jelas kuku-kuku tajam wanita itu mengelus pada rambut panjangnya. Namun sebaik mata hitam bersinar itu jatuh ke wajahnya, Suria tiba-tiba jadi gugup semula. Dia mula teringat pada susuk lembaga berambut panjang yang dilihatnya di luar beranda biliknya tempohari.
            Wanita itu ketawa lagi. “Kenapa? Kau takut padaku?”
            Suria melarikan anak matanya. Serentak dia memegang permukaan dadanya. Entah kenapa dadanya dirasakan berbahang. Semakin lama semakin panas. Wanita itu menghampirinya lebih dekat. Jari jemari wanita itu tiba-tiba menyentuh pipinya. Suria memandang wanita itu sambil menahan sakit. Tubuhnya seperti hendak meletup.
            “Kau..apa kau d..dah buat pada aku?” Dia menekan dadanya. Ya Allah! Sakitnya!
            “Aku hanya memberi apa yang patut kau perolehi Suria. Sesuatu yang patut kau miliki sejak dulu. Kuasa yang akan menyatukan kita berdua buat selama-lamanya.” Bisik wanita itu sambil tersenyum lebar.
            Suria memejamkan matanya sambil menyeringai kesakitan. Dia sudah tidak tertahan menanggung kesakitan. Tubuhnya seperti dibakar dari dalam. Suara ketawa wanita itu semakin sayup di telinganya. Dia akhirnya rebah di beranda biliknya, tidak sedarkan diri.
*  *  *  *
            “Dah berapa lama dia begini?” Suara lelaki itu sayup-sayup singgah di gegendang telinganya. Dia cuba membuka mata namun kepalanya terasa ngilu. Terasa pedih seperti baru sahaja dilapah dengan pisau tajam. Matanya terus dipejamkan cuba menahan rasa sakit yang mencengkam seluruh urat sarafnya. Hanya telinganya yang masih mampu menangkap suara-suara di sekelilingnya.
            “Sejak aku jumpa dia pagi tadi. Semalam aku bermalam di Banting. Pagi ni baru aku balik ke rumah. Tiba-tiba aku nampak dia begini.” Suara ayahnya Baharom pula muncul. Suria memaksa diri. Matanya dibuka perlahan-lahan. Wajah yang pertama muncul bukan wajah ayahnya, tapi wajah seorang lelaki berjambang yang tidak pernah dilihatnya selama ini.
            “Ayah..”panggil Suria lemah. Baharom memandang anaknya dengan wajah rungsing. Timbul rasa kesalnya kerana meninggalkan Suria seorang diri di rumah. Kalau bukan kerana keretanya meragam, tentu dia tidak akan bermalam di Banting.
            “Suria kenapa ayah?” Wajah itu nampak bingung.
            “Suria pengsan agaknya. Ayah pun tak tahu apa dah jadi. Balik saja ke rumah, ayah nampak kereta Suria di luar garaj. Ayah naik atas nak cari Suria, terus nampak Suria terlantar kat atas lantai. Suria kenapa sayang?” Soal Baharom ingin tahu.
            Suria tidak terus menjawab. Dia mengagahi diri, lalu bangun bersandar pada kepala katil. “Suria pun tak tahu apa dah jadi ayah. Suria keliru.” Bisik Suria resah. Dia teringat mimpinya semalam. Mimpikah itu? Atau sememangnya wanita bernama Mahira yang ditemuinya semalam benar-benar wujud?
            “Suria tak sihat?” Tanya Baharom.
            Anak gadis itu menggeleng. Namun wajah itu jelas pucat seperti mayat. Tiba-tiba anak mata Suria mengarah pada lelaki bertubuh besar di sisi Baharom. Dia mengerutkan dahi. Hairan dengan kehadiran tetamu tidak dikenali di bilik tidurnya.
            Baharom yang menyedari reaksi Suria segera menarik nafas panjang. Dia menoleh memandang lelaki di sampingnya. “Suria, ini kawan ayah Apache.” Baharom memperkenalkan dalam keadaan serba salah. Bagaimana harus dinyatakan pada Suria siapa Apache yang sebenarnya?
            Lelaki itu sekadar tersenyum.
Suria membalas senyuman Apache dengan wajah berkerut. Selama 25 tahun dia menemani lelaki itu, dia kenal maklum dengan semua teman-teman ayahnya. Tapi lelaki itu belum pernah dilihatnya sebelum ini.
            “Panggil pakcik saja cukuplah,” ujar Apache tiba-tiba. Anak gadis itu tidak berkata apa-apa hanya mengangguk. Tiba-tiba wajah Suria berubah dengan cepat. Matanya tiba-tiba menuju ke arah jam dinding di belakang ayahnya. Mulutnya melopong. Dia bingkas bangun dari katil. Serentak dia mendesis kesakitan. Kepalanya dipegang perlahan. Baharom yang melihat terpinga-pinga.
            “Nak ke mana ni?”
            “Suria nak pergi kerja ayah. Dah lewat ni.” Ujar Suria resah.
            “Isk budak ni, kerja apa kalau sakit macam ni? Dah jangan nak mengada-ngada. Suria berehat saja kat rumah hari ni. Tadi ayah dah call stesyen tv tu beritahu Suria tak sihat.” Ujar Baharom. Mendengar penjelasan lelaki itu, Suria tidak jadi turun dari katil. Sebaliknya dia termenung panjang. Peristiwa malam semalam berada di setiap inci  kepalanya. Mahira! Nama itu disebut berulangkali dalam hati.

Tanpa disedari, gerak geri Suria menjadi santapan mata Baharom. Dia menjeling Apache yang mengisyaratkan agar mereka keluar dari bilik itu segera.
            “Kenapa Pache?” Tanya Baharom sebaik mereka sudah berada di luar bilik Suria.
            “Ada sesuatu di bilik Suria, aku dapat rasakan sesuatu” Ujar Apache.
            “Apa dia?” Baharom kelihatan bimbang.
 “Aku tak pasti apa dia. Tapi aku dapat rasakan ada satu kuasa kuat yang berada bersama Suria.” Ujar Apache sambil memandang lelaki itu.
            “Dia?”
            “Mungkin.” Apache termenung panjang. Dia sendiri merasakan tubuhnya berbahang apabila berada berdekatan dengan Suria, walhal bilik gadis itu dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Mungkinkah kisah lama akan berulang seperti dulu?
            “Seeloknya kau keluarkan semua cermin-cermin perhiasan dalam bilik Suria. Jangan letakkan apa-apa pun walaupun hanya sekadar cermin kecil. Satu cermin kecil yang ada di bilik Suria boleh membawa dia terus pada budak tu.” Ujar Apache separuh berbisik.
Baharom terdiam. Membuang cermin-cermin itu bukan masalah besar baginya. Yang menjadi soal adalah bagaimana dia mahu menerangkan perkara sebenarnya pada anak gadisnya. Diam-diam Apache memusatkan pandangan ke arah Baharom. Kerutan di wajah lelaki itu difahaminya. Dia tahu apa sebenarnya yang sedang dibimbangi lelaki itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!