Followers

Wednesday, December 26, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 25


SEORANG wanita berketurunan Cina menolak daun pintu lalu melangkah masuk ke dalam wad kelas satu yang dihuni seorang lelaki. Melihat lelaki itu terbaring dengan mata terpejam rapat, dia hanya mampu menggelengkan kepalanya.

            Termos berisi bubur yang direneh dari rumahnya diletakkan di atas meja. Melihat bekas bubur di atas meja yang masih belum terusik sejak semalam, dia menarik nafas panjang. Dia duduk di birai katil, merenung wajah lelaki itu berkali-kali.

            Tiba-tiba kelopak mata Joshua terbuka. Evelyn tergaman.

            “Dah lama you sampai?” Tegur Joshua. Lelaki itu berusaha untuk bangun. Evelyn segera membantu dengan meletakkan pelapik di belakang kepala lelaki itu. Dia ingin Joshua merasa lebih selesa.

            “I singgah sekejap aje. Lepas ni I nak balik ke pejabat semula.” Beritahu Evelyn.

            “You dah jumpa Danira?” Joshua tiba-tiba bertanya. Evelyn merengus kasar. Lagi-lagi Danira! Tidak ada perempuan lainkah yang mahu disebut Joshua selain Danira?

            “Dia dah selamat keluar dari penjara, kalau itu yang you mahu tahu. Thanks to you.” Sahut Evelyn sinis. Sedikit pun tidak terniat di hatinya mahu memberitahu Joshua tentang Danira yang tinggal di tingkat atas di Sissy Kindergarden.

            “I nak jumpa dia Evy. Please, tolong I cari dia.” Rayu Joshua.

Evelyn menatap lelaki itu dengan wajah bosan. Entah kenapa, gelodak hatinya sering terbakar dengan sikap Joshua yang tidak mahu faham-faham. Perasan cemburunya melupa-luap mengenangkan Joshua yang lebih mengambil berat tentang Danira berbanding dirinya. Padahal selama enam tahun ini, dia sentiasa di sisi Joshua ketika lelaki itu diberhentikan kerja dan dicemuh beberapa tahun yang lalu.

            “Lepas you jumpa dia you nak buat apa? Bermadu asmara dengan dia?” Sindir Evelyn.

Joshua menatap wajah di hadapannya tidak berkelip. Renungannya menikam tajam ke wajah Evelyn yang bertutur tidak beralas. Sikap Evelyn terhadap Danira sejak dulu tidak pernah berubah. Sentiasa keras!

            “Dia tak bersalah Evy. Dia teraniaya.” Suara Joshua meninggi. Dia benar-benar tidak suka mendengar kata-kata Evelyn itu.

            “Teraniaya? Habis Firdaus macamana? Dia kawan kita Josh! I bukan kisah dia salah atau tidak. I cuma marahkan you yang sanggup memperjudikan masa depan you untuk dia. Dan sekarang nyawa pun you nak korbankan? Hebat betul cinta you untuk dia!” Tukas Evelyn.

            “Cukup Evy!” Herdik Joshua dengan wajah menyinga. Dia semakin hilang sabar mendengar kata-kata Evelyn. Kenapa sejak akhir-akhir ini, dia merasakan Evelyn seperti sengaja mahu mencari fasal dengannya? Ada sahaja yang tidak disenangi oleh wanita itu hingga sering mencari gaduh dengannya.

            “I tahu apa yang you marahkan. Tapi I tak suka you hina Danira. She’s our client and our responsibility.” Joshua mengingatkan Evelyn.

Evelyn terdiam. Dia tahu lelaki itu tidak menyenangi kata-katanya. Tapi tahukah Joshua bahawa dia benar-benar terpukul bila mendapat khabar bahawa lelaki itu teruk dibelasah di hadapan firma guaman mereka dua minggu yang lalu? Malah sepanjang malam dia berjaga di wad kecemasan dengan perasaan bimbang, takut-takut Joshua akan pergi meninggalkannya.

Sehingga kini Joshua tidak mahu berterus terang dengannya tentang kejadian yang berlaku. Tapi Evelyn tahu, semua itu pasti ada ada kena mengena dengan kes Danira. Kini gadis itu sudah bebas di luar tembok penjara. Sebaliknya Joshua pula terlantar di katil hospital dengan seluruh tubuh bengkak-bengkil.

            “You kena ingat Josh, Danira tu cerdik orangnya. Sepertimana dia pandai memprovok you, dia juga tentunya pintar untuk melakukan lebih dari itu. I cuma tak mahu you tertipu dengan wajah baik dia.” Evelyn cuba berlembut kali ini.

            Joshua terdiam. Kata-kata Evelyn tidak sedikit pun memudarkan kepercayaannya terhadap Danira. Dahulu dia memang tertarik dengan keperibadian Danira. Tapi bukan itu sebabnya dia bersetuju membela Danira hampir enam tahun yang lalu. Tapi biarlah semua itu kekal menjadi rahsianya. Baginya Evelyn tidak perlu tahu apa-apa.

Dia sedar keputusannya untuk membela gadis itu mendapat tentangan ramai ketika itu. Malah tugasnya tidak pernah mudah apabila ada sahaja yang menghalang usahanya untuk membantu gadis itu. Joshua tahu, ramai rakan-rakannya membantah dia mewakili Danira. Malah Evelyn juga salah seorang yang paling kuat menghalangnya.

 “Kenapa Josh? Kenapa you buat keputusan macam ni? Masa depan you cerah di firma Tengku Amar. Why do you have to destroy everything?” Evelyn benar-benar tidak mengerti tindakannya ketika itu. Dia sendiri tidak mengharapkan Evelyn memahaminya.

Enam tahun yang lalu dia pernah kalah di tangan Ismail Habib, peguam berpengalaman kenalan Tengku Amar. Namun dia tidak pernah putus asa. Enam tahun lamanya dia berusaha membebaskan Danira. Dan kini kesempatan itu muncul bila seorang lelaki misteri menghubunginya beberapa bulan yang lalu. Menawarkan pembebasan Danira dengan saksi dan bukti baru.

Beberapa hari kemudian, seorang wanita tua dan anaknya singgah di pejabatnya dan menyerahkan rakaman kamera video yang menunjukkan bagaimana Firdaus diheret dalam keadaan lemah oleh beberapa orang lelaki. Lelaki itu teruk dibelasah sehingga lembik di kawasan belakang sebuah bangunan terbiar.

Menurut wanita itu, dia dan anaknya berniaga tidak jauh dari kawasan itu apabila mereka terserempak sebuah kereta berwarna hitam berhenti di pinggir jalan. Beberapa orang lelaki dilihat mengeluarkan sebuah bungkusan yang bergerak-gerak. Kerana musykil dengan apa yang mereka lihat, wanita tua itu dan anaknya segera mengintip gerak geri lelaki-lelaki itu, Ketika itulah mereka melihat kelibat Firdaus dikeluarkan dari dalam guni yang menyelubunginya. Lelaki itu segera diseret ke bahagian belakang bangunan. Manakala anak lelaki wanita itu sempat merakam kejadian tersebut dengan kamera digital yang dibawanya ketika itu. Tapi imej lelaki-lelaki yang sedang memukul Firdaus langsung tidak dapat dilihat kerana rakaman itu agak kabur. Malah isi kandungan video itu juga tidak lengkap dan tidak menggambarkan seluruh kejadian.

Apabila ditanya apakah kedua beranak itu nampak Danira di tempat kejadian, kedua-duanya menggeleng. Rasa hairan mula berputik di fikirannya. Ternyata penjelasan wanita itu dan anaknya saling bercanggah dengan kisah yang pernah diceritakan Danira padanya. Dia juga ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang menelefonnya ketika itu.

Amaran lelaki itu agar dia tidak bertanya apa-apa, langsung tidak diendahkannya. Hanya kerana dia cuba menyoal wanita tua dan anaknya yang menjadi saksi kes Danira, dirinya pula menerima padah. Tiga lelaki berbadan besar yang memukulnya di hadapan bangunan pejabatnya, tidak putus-putus memberi amaran agar dia jangan menyibuk. Malah dia diberi amaran agar menjauhi Danira!

Joshua mengeluh panjang. Ada sesuatu menyelinap ke dalam fikirannya, namun dia tidak berani mencongak sebarangan. Hatinya kuat mengatakan lelaki yang menelefonnya pasti tahu apa sebenarnya yang berlaku enam tahun dahulu. Kalaulah dia boleh mengenalpasti lelaki-lelaki di dalam rakaman tersebut, pasti dia dapat mencari pembunuh sebenar Firdaus!

“Video tu bagaimana? You dah hantar video tu pada Stephen?” Joshua menoleh ke arah Evelyn. Wanita itu mengeluh panjang, namun mengangguk jua akhirnya. Joshua menarik nafas lega. Entah kenapa dia nekad mahu mengenalpasti lelaki-lelaki di dalam rakaman video itu yang disyakinya membunuh Firdaus. Dan ketika ini hanya Stephen, teman lamanya di Amerika Syarikat sahaja yang juga merupakan pakar video mungkin boleh membantunya memperbaiki imej di dalam rakaman tersebut.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!