Followers

Monday, January 11, 2010

Tiada Sepertimu 5

DIA masih tekun menyelesaikan beberapa kerja yang terbengkalai di biliknya. Makanan tengahari yang dihantar oleh salah seorang pekerjanya sebentar tadi langsung tidak disentuh. Hanya air sahaja yang luak. Memang sudah menjadi prinsipnya sejak dulu, jika bekerja harus bersungguh-sungguh. Dan itulah yang selalu dilakukannya untuk sampai ke tahap sekarang.
Matanya masih ralit meneliti laporan perbelanjaan bulan lepas yang menunjukkan peningkatan dari segi jumlah keuntungan serta pusingan modal. Bibirnya melukis senyuman lega. Tak sia-sia dia berpenat lelah selama tiga tahun, jika hasil yang diperolehinya sebaik ini. Kadangkala datang juga rintangan sewaktu dia mula-mula berniaga dulu..tapi dia tidak mudah melatah atau putus semangat. Setiap rintangan dihadapi dengan azam dan kesungguhan. Dan Alhamdulillah..segala-galanya menjadi lancar selepas itu.

Tiba-tiba pintu di hadapannya ditolak kasar dari arah luar. Lamunan singkatnya terus ranap dalam sekelip mata. Suatu wajah menjengah masuk dengan wajah cemas. Matanya membuntang melihat kerut resah gadis di hadapannya.

“Apasal ni?” Tanyanya hairan.

“Encik Keifli, ada customer bergaduh kat depan. Hakim dengan Kak Ros dah cuba leraikan, tapi tak boleh buat apa-apa.” Beritahu Kristine, gadis cina Sabah berperawakan kalut. Keifli tergaman. Bergaduh? Malas mahu bertanya dengan lebih lanjut, Keifli segera menutup fail di hadapannya seraya meluru keluar dari bilik.

Dari jauh dia melihat beberapa pekerja dapur sedang asyik terintai-intai dari celah pintu. Suara riuh rendah dari luar, cepat ditangkap oleh gegendang telinganya. Dia segera menguis bahu salah seorang pekerja. Melihat kehadiran Keifli, Umie tersenyum simpul lalu segera memberi laluan.

Keifli turut sama menjengah bersama pekerja-pekerjanya. Dari jauh, dia nampak jelas pertengkaran dua wanita di hadapan seorang lelaki separuh umur yang kelihatan serba salah.

“Nak report ka bos?” Bisik Amran dengan loghat utaranya yang pekat.

“Kenapa tu? Perang dunia kedua ke?”

“Huih ini bukan perang dunia kedua dah, tapi dah jadi perang torpedo US dengan Iraq.” Sampuk Ruzaini, salah seorang tukang masak di restoran De’Raya.

“Apa kes?”

“Depa tu berebutkan jantan tua tu, bos. Isteri muda tu datang makan-makan, lepaih tu muncul pulak isteri tua tu dok marah-marah. Apa lagi cabai naik ke mulut la.” Amran galak bercerita.

“Pandailah kau ni Am,” rungut Umie sambil mencebikkan mulutnya.

“Yang mana satu isteri tua tu? Yang rambut kerinting tu ke?” Mata Keifli terperosok pada seorang wanita yang nampak lebih tua dari yang seorang lagi.

“Dak aihh, yang tua tu isteri muda. Yang muda tu pulak isteri tua.” Amran membetulkan sangkaan Keifli.

“Await jadi lagu tu, Am?” Keifli tiba-tiba berloghat utara pula sambil menggaru kepala.

“Dunia ni bos, macam-macam ada.” Balas Amran. Keifli terkeheh-keheh ketawa. Pekerjanya yang seorang itu memang kuat loyar buruknya. Dia faham sangat dengan sikap Amran itu.

Perlahan-lahan Keifli melangkah keluar, mendekati aura-aura ribut yang tidak menampakkan tanda-tanda mahu berhenti. Dia tercegat di hadapan wanita-wanita itu. Dari situ dia dapat mendengar setiap bait-bait kata yang mengancam pihak lawan.

“Kau jangan nak cari fasal dengan aku. Kau yang rampas laki aku.”

“Siapa yang rampas siapa ni? Laki aku tu bercinta dengan aku dulu. Sejak zaman sekolah lagi. Secara teknikal, sebenarnya kau tu yang perampas.” Tuduh isteri muda.
“Macamana ni Encik Keifli?” Rosnah berbisik di telinga Keifli. Entah sejak bila wanita itu muncul di sampingnya. Keifli terdiam. Dia segera merapati kedua-dua wanita itu. Wajah kedua-dua madu itu dipandang silih berganti.

“Puan, maaf saya menganggu. Boleh tak kalau puan-puan berdua selesaikan hal ni secara aman. Kalau puan-puan tak keberatan, kami ada bilik rehat di tingkat atas.” Pujuk Keifli dengan nada lembut.

“Awak ni siapa?” Isteri tua yang berwajah muda itu memandang ke arahnya.

“Saya Keifli, pemilik restoran ni.” Ujar Keifli sopan. Walau bagaimana hiruk-pikuk sekalipun restorannya, namun hati pelanggan mesti dijaga. Sudah tertera kalimah itu dalam diari semua peniaga sepertinya.

“Itulah abang dah cakap, jangan bergaduh. Malu orang tengok ni. Apa-apahal kita bincang kat rumah,” Si suami yang berkepala hampir botak menyampuk dengan wajah resah.

“Oh baru tahu malu. Dulu you tak malu nak kahwin lain. Anak dah dua, you cari jugak girlfriend lama you ni.” Sanggah wanita yang agak bergaya itu.

Lelaki itu terdiam. Cakap isterinya langsung tidak dibantah. Macam ni pun boleh pasang sampai dua, detik hati Keifli. Dia seperti hendak tergelak.

“Begini puan, saya rasa baik puan-puan dan encik naik ke tingkat atas. Berbincang baik-baik secara damai. Malam ni saya berbesar hati nak belanja encik suami isteri bertiga merasa hidangan istimewa di restoran kami. Encik tak perlu bayar, ini hadiah dari saya dan semua pekerja-pekerja De’ Raya.” Usul Keifli masih dengan nada sopan.

Lelaki itu terdiam. Entah kenapa dia rasa malu berhadapan dengan orang-orang di sekelilingnya. Nampak sangat dia bukan suami yang baik kerana tidak mampu mendamaikan kedua-dua isterinya yang bercakaran.

“Tak apalah Encik Keifli, terima kasih atas niat baik Encik Keifli tu. Tapi rasanya baik kami beredar dari sini. Kasihan orang lain pun jadi terganggu sebab masalah rumahtangga saya ni.” Ujar lelaki itu lemah. Dia memandang kedua-dua isterinya silih berganti.

“Abang nak balik. Kalau kamu berdua tak rasa malu dengan kejadian hari ni, teruskanlah bergaduh sampai esok. Kalau tidak, ikut abang pergi dari sini.” Tegas lelaki itu seraya mengatur langkah beredar dari situ. Kedua-dua wanita itu terjerit-jerit memanggil suami mereka sambil tolak menolak mengejar sang suami.

“Wah bestlah bos ni, cakap macam tu pun dah boleh selesaikan masalah,” Puji Hakim yang menjadi pemerhati setia. Rosnah turut tersenyum. Diam-diam dia kagum pada lelaki yang menjadi majikannya itu. Sudahlah ada karisma, pandai pula menyusun bicara. Sekejap sahaja masalah yang nampak rumit jadi mudah di hujung suara Keifli.

Keifli hanya tersenyum. Sebenarnya dia bukan berniat mahu menghalau pasangan suami isteri itu. Malah dia ikhlas dengan kata-katanya, namun apakan daya kalau niat baiknya ditolak mentah-mentah.

Keifli memusingkan tubuh, mahu beredar ke pejabatnya. Masih ada banyak urusannya yang masih belum selesai. Tapi belum sempat dia melangkah, matanya terpandang seraut wajah yang sedang tercegat memerhatikannya dari sebuah meja. Langkah Keifli tidak jadi diatur. Dia terkesima memandang gadis itu. Macam kenal! Dahinya berkerut, agak lama. Seketika kemudian, bibir Keifli mula melemparkan senyuman. Gadis malam semalam, detik hati kecilnya. Kenapa dia ada di sini? Mahu singgah makankah?

Dia ingin melangkah menuju ke arah gadis itu, namun gadis itu tiba-tiba berpaling. Keifli melihat gadis itu mengambil tempat duduk di sudut anjung berdekatan kolam buatan kecil, mengadap ke arah sekeping potret besar lukisan pelukis tempatan. Dia tidak jadi meneruskan langkah. Obviously gadis itu sedang mengelak darinya, hati kecilnya berdetik begitu. Mustahil gadis itu tidak perasan akan kehadirannya. Bukankah mata yang bulat bersinar itu memandang tepat ke arahnya sebentar tadi? Dia tahu gadis itu masih mengingatinya. You know me but you don’t want to get know me.

Keifli tersenyum sendiri. Dia memahaminya. Langkahnya segera diatur ke pejabatnya tanpa menoleh. Sedikit pun dia tidak sedar, langkahnya diintai sepasang mata yang tekun menilik.

* * * *

SEGELAS mug besar berisi kopi diletakkan di hadapan Zara bersama sepiring jelly. Dia terpinga-pinga menatap mug lebar yang agak cantik itu. Kopi di dalamnya masih berasap, mengeluarkan aroma yang cukup enak.
“Sorry, rasanya saya tak ada pesan kopi ni.” Ujar Zara pada si pelayan. Namun pelayan lelaki itu hanya tersenyum simpul.

“Maaf cik, rasanya ini kali pertama cik datang makan kat sini kan?” Tanya pelayan itu. Zara terkedu, namun lambat-lambat kepalanya dianggukkan. Macamana dia tahu?
“Biasanya kalau pelanggan restoran ni datang makan tengahari di sini atau makan hidangan petang, kami akan sediakan kopi percuma dan sedikit desert. Ini memang prinsip restoran ni sejak dulu,” jelas pelayan itu. Barulah Zara faham kedudukan sebenarnya. Hmm.. not bad konsep restoran ni, diam-diam dia memuji.
Belum jauh pelayan itu beredar, Zara tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dia pantas memanggil pelayan tersebut.
“Err sekejap, boleh saya tanya sesuatu?” Pinta Zara. Pelayan itu mengerutkan dahi. Pertanyaan yang bakal diluahkan oleh gadis itu membuahkan risaunya, takut perkhidmatan yang diberikannya tidak memberi kepuasan. Namun dia sabar menanti kata-kata gadis itu.

“Saya nak tahu, lelaki tadi tu siapa?” Tanya Zara sedikit serba salah. Malu juga ada kalau-kalau pertanyaannya disalah ertikan oleh pelayan itu.

“Lelaki yang mana satu?” Kerutan di wajah pelayan itu semakin melebar.

“Yang pakai kemeja lengan panjang berjalur kelabu tu. Lelaki yang bercakap-cakap dengan pasangan suami isteri yang tengah bergaduh tadi.” Jelas Zara.

“Ohh..itu Encik Keifli, pemilik restoran ni.” Pelayan itu tersengih.

Zara terkedu. Pemilik restoran? Pada mulanya dia ragu-ragu, apakah lelaki yang nampak tenang meleraikan pelanggan yang bergaduh tadi benar-benar lelaki yang ditemuinya malam semalam? Namun setelah bertentang mata dengan lelaki itu tadi, dia mula yakin. Apatah lagi lelaki itu juga seolah-olah mengenalinya. Mujurlah dia cepat-cepat berpaling. Berpura-pura tidak kenal rasanya lebih baik dari dia berhadapan dengan lelaki itu. Malu kerana peristiwa semalam masih menebal di mukanya. Tak mungkin dia akan membiarkan lelaki itu terus mentertawakan kebodohannya semalam.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!