Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 17


            Nashriq berdiri di tepi ketika doktor muda itu memeriksa keadaan Suraya. Dia memandang wajah Suraya yang tidak bermaya. Entah apa kena anak gadis itu, tiba-tiba sahaja pengsan di dalam biliknya. Lepas ini tentu heboh satu pejabat mengatakan aku membuli dia, bisik Nashriq.

            Nurse, kalau tak salah cik ni pesakit doktor Halim kan?”

            Nashriq berpaling ke arah doktor muda bercermin mata itu. Dia hairan mendengar kata-kata lelaki itu. Lebih-lebih lagi mendengar jururawat itu mengiyakan.

            “Kalau begitu, bawa pesakit ni ke wad kosong di tingkat tiga. Lepas tu panggil doktor Halim ke sana.” Arah lelaki itu sambil menyarungkan stetoskop kembali ke lehernya. Nashriq tercengang melihat troli katil yang membawa Suraya ditolak bersama dengan air yang mengalir ke badannya melalui tiub intravena.

            Mata doktor muda itu mengarah ke arah Nashriq. Bibir lelaki itu tersenyum. “Jangan bimbang, dia tak apa-apa. Mungkin dia pengsan kerana penat atau ‘stress’. Kalau encik nak tengok dia, encik boleh ke tingkat tiga.” Ujar lelaki itu hendak beredar.

            “Sekejap doktor, boleh saya tahu apa penyakit dia?” Soal Nashriq.

            Lelaki itu terpana. Tak lama dia kembali tersenyum. “Dah saya katakan tadi, dia cuma penat. Keadaan ini boleh membawa kepada pengsan atau koma sementara. encik tak perlu risau.”

            “No bukan itu yang saya nak dengar. Tadi doktor kata, gadis tadi pesakit doktor Halim. Apa maksud kata-kata doktor tu? Apa penyakit gadis itu sebenarnya?”

            Doktor itu tergaman mendengar pertanyaan Nashriq. Diam-diam dia melirik ke arah lelaki di hadapannya. Apa kaitan lelaki itu dengan gadis tadi? Pasangan kekasihkah? Tapi jikalau kekasih, masakan dia hanya memanggil ‘gadis itu’ dan bukannya nama yang menunjukkan kemesraan.

            “Maaf encik, saya tak boleh bincangkan hal-hal pesakit yang bukan dibawah pengawasan saya. Kalau encik nak tahu, encik boleh jumpa Doktor Halim di unit  Kardiologi Pediatrik.” Ujar lelaki itu.

            Nashriq tergaman. Unit Kardiologi? Itu wad untuk pesakit jantung. Takkan dia….Nashriq tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Dia tersandar lemah di dinding batu, mengadap ke arah luar jendela. Namun renungannya singgah kosong. Fikirannya ketika itu hanya dipenuhi wajah Suraya.

            Apakah Suraya pengsan tadi kerana aku? Kerana terkejut dengan kata-kataku yang sering melukakan hatinya. Nashriq kesal. Kalau dia tahu gadis itu mengidap penyakit, tentu dia takkan berkasar dengan Suraya seperti itu.

            “Naz….” Panggil suatu suara diikuti derapan sepatu melangkah pantas. Nashriq menoleh. Kelibat ibunya muncul bersama Dato’ Mustadza dan Sachary yang berwajah cemas.

            “Naz, apa dah jadi?” Tanya Dato’ Mustadza sudah tidak sabar ingin tahu. Tadi ketika dihubungi oleh Nashriq, dia tidak sempat bertanya panjang lebar, saat hati tuanya berkemut dengan sebeban resah.

            “Dia pengsan dalam pejabat saya tadi, Dato’.” Ujar Nashriq muram.

            “Habis mana dia sekarang?”

            “Tingkat tiga, di Wad Kardiologi.” Balas Nashriq. Wajah Dato’ Mustadza dan Sachary kelihatan terkejut. Namun kedua-duanya tidak lagi bertanya, sebaiknya segera melangkah deras, beredar dari situ. Nashriq hanya mampu memerhatikan.

            “Puas hati Naz sekarang?” Bisik Engku Latifah setelah ditinggalkan berdua dengan Nashriq. Nashriq terdiam. Dia tahu apa yang mahu dikatakan oleh wanita itu. Memang salahnya. Dia tidak akan membela diri atas apa yang telah berlaku. Setiap kesalahan itu akan dia telan.

            “Katrina cerita pada umi tentang apa yang berlaku. Dia kata Naz marahkan Suraya sebelum kejadian. Betul apa yang umi dengar ni?” Soal Engku Latifah separuh geram.

            Nashriq mengangguk. Dia tidak akan menafikan kenyataan itu. Memang dia terlalu ikutkan perasaan tadi. Memarahi Suraya sesedap hati. Langsung perasaan gadis itu tidak diambil kira.

            “Kenapa Naz buat dia macam tu? Macamana kalau apa-apa jadi pada Suraya? Susah kita nak berhadapan dengan Dato’ Mustadza nanti.” Ujar Engku Latifah. Mendengar kata-kata uminya, darah Nashriq sedikit menyirap. Lagi-lagi wanita itu mementingkan hubungannya dengan  Dato’ Mustadza berbanding anak sendiri. Entah sampai bila ibunya itu akan mengambilkira perasaannya pula?

            Kalau bukan sebab ibunya tiba-tiba mengaitkan soal perkahwinannya dengan Suraya, mana mungkin dia akan seberang itu. Asalnya dia ke bilik wanita itu untuk bertanya soal tanah keluarga Munif yang dijual oleh wanita itu pada syarikat asing. Namun belum sempat mulutnya mahu berbicara, ibunya lebih pantas mencelah. Bercerita tentang impiannya untuk bermenantukan anak Dato’ Mustadza. Dia pula jadi radang tiba-tiba. Cakap wanita itu dibangkang keras. Itulah yang mewujudkan perang besar di pejabat petang tadi.

            “Sudahlah tu, mari kita pergi jenguk Suraya dulu,” usul wanita itu akhirnya, malas mahu memanjangkan sengketa. Hendak tak hendak Nashriq terpaksa mengekori wanita itu ke arah pintu lift. Sebaik lift terbuka, Nashriq dan Engku Latifah segera melangkah masuk. Nashriq menekan butang lift ke tingkat 3.

            Dari jauh, seorang gadis berlari-lari anak mengejar pintu lift yang hampir tertutup. Mendengar bunyi sepatu gadis itu bergegas, Nashriq segera menekan punat lift, menahan pintu lift dari tertutup. Gadis itu melangkah masuk. Nashriq segera berundur ke belakang. Namun apabila matanya tertumpu ke arah gadis itu, Nashriq terpana. Gadis Blue Ocean! Detik hati Nashriq seperti tidak percaya. Apa dia buat di sini? Melawat teman yang sakitkah?

            Gadis itu seolah tidak perasan akan kehadirannya di dalam lift itu. Namun dia tidak nampak tangan gadis itu menekan punat lift. Barangkali dia juga mahu ke tingkat 3, duga Nashriq. Sebaik pintu lift terbuka, Nashriq melambatkan langkahnya. Dia nampak kelibat gadis itu membelok ke kanan sebaik keluar dari pintu lift.

            “Naz, cepatlah…kamu buat apa lagi tu?” Rungut Engku Latifah. Nashriq segera mengekori langkah ibunya menuju ke wad kelas pertama. Dia sempat berpaling memandang langkah gadis itu yang semakin menjauh. Hatinya dipenuhi tandatanya.

*  *  *  *

            Suraya yang sudah sedar hanya memerhatikan kelibat Nashriq di hujung katil. Wajah lelaki itu sugul.

            “Nasib baik Suraya tak apa-apa, risau auntie tengok keadaan Suraya.” Ujar Engku Latifah. Tangannya mengusap perlahan rambut Suraya yang berombak-ombak. Anak gadis itu hanya senyum.

            “Saya tak apa-apa puan, terima kasih sebab sudi datang melawat saya. Saya sedar masa puan terlalu berharga untuk dibazirkan kerana saya.”

            “Ishh kenapa panggil puan, panggil auntie saja cukup.” Engku Latifah mencelah. Suraya terdiam. Matanya beralih pandang ke arah Nashriq yang diam membisu. Engku Latifah yang menyedari renungan Suraya terhadap Nashriq tiba-tiba tergelak kecil.

            “Suraya jangan ambil hati dengan kata-kata Naz ya. Di ni memang macam ni, di mulut lain di hati lain. Suraya maafkanlah dia,” pujuk Engku Latifah. Gadis itu mengangguk.

            “Bukan salah Nashriq saya masuk hospital auntie. Memang saya tak sihat sebelum ni,” jelas Suraya. Dia bimbang Nashriq dimarahi kerananya.

            “Baguslah kalau begitu, risau hati auntie lihat keadaan Suraya macam ni.”

            Nashriq yang mendengar perbualan ibunya dengan Suraya, mendengus kecil. Berang dengan sikap ibunya yang dirasakan berpura-pura. Daripada fikirannya terus bergelodak, baik dia keluar. Terkejut Suraya dan Engku Latifah melihat Nashriq tiba-tiba beredar meninggalkan bilik itu.

            Dia melangkah tanpa haluan di sepanjang wad itu lalu berhenti di suatu sudut. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari dalam poket. Dia ingin menelefon Erman, memberitahu dirinya di mana. Namun belum sempat Erman dihubungi, telinganya menangkap suatu suara sedang marah-marah. Nashriq terpegun.

            “Ayah, jangan macam ni. Ini semua takdir.”

            “Senangnya Sach cakap, tapi hakikatnya ayah yang merasa semua kekecewaan ini. Sampai hati Sach tak beritahu ayah tentang penyakit Sue.”

            “Bukan Sach tak mahu beritahu tapi Sue yang tak izinkan. You know her, right. Dia degil, keras kepala.” Sachary cuba memujuk ayahnya.

            “Sejak bila Sue sakit, Sach? Sejak bila?” Soal Dato’ Mustadza bertubi-tubi.

            Sachary terdiam. Sukarnya dia mahu berhadapan dengan ayahnya jika begini. Mata Sachary terpandang sesusuk tubuh dari jauh. Mata Sachary dan Nashriq saling menikam. Sachary mengeluh.

            “Ayah, Sue dapat tahu tentang penyakitnya sebelum dia masuk universiti lagi. Tapi dia berkeras tak mahu ayah tahu. Dia tak mahu ayah susah hati bila tengok keadaan dia macam tu. Dia selalu beritahu Sach, dia tak mahu orang layan dia macam pesakit. Dia benci dilayan begitu.”

            Dato’ Mustadza terpegun. Pilu rasa hatinya bila anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh, terpaksa menderita seorang diri. Apa guna dia sebagai seorang ayah jika tidak mampu membantu anaknya sendiri. Maafkan ayah Sue, ayah terlalu sibuk hingga lupa tentang Sue. Maafkan ayah! Keluh Dato’ Mustadza benar-benar kesal.

*  *  *  *

            “Dia mengidap penyakit kardiovascular. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan Suraya adalah dengan menjalani pembedahan koronari jantung. Tapi Suraya degil. Selama ini dia hanya bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengurangkan ketegangan berlebihan pada jantungnya.” Ujar Sachary sambil merenung jauh ke arah sepasang kanak-kanak yang sedang berlari-lari di kawasan hospital.

            “Kenapa dia tak buat pembedahan?” Tanya Nashriq ingin tahu.

            “Katanya dia takut dia mati ketika pembedahan. Dia tak sampai hati tinggalkan kami. Doktor Halim ada beritahu, ‘bypass surgery’ agak berisiko. Tapi dengan membiarkan Suraya begitu, juga adalah risiko bagi kami Naz.”

            “Kenapa?”

            “Suraya tak boleh menerima sebarang kejutan. Apa sahaja perkara yang mengejutkannya samaada gembira atau sedih, boleh membuatkan dia mendapat serangan mengejut. Bila-bila masa dia boleh ‘pergi’.” Ujar Sachary muram.

            Nashriq terdiam. Dia tak menyangka, gadis seriang Suraya akan berdepan dengan keadaan sebegini. Terbit rasa bersalah di hati Nashriq mengenangkan apa yang telah dilakukannya pada Suraya. Dia tidak tahu apa sahaja layanannya pada Suraya boleh merisikokan nyawa gadis itu. Oh tuhan! Kalaulah aku tahu hal sebenar.

            “Kau tahu, Sue suka kau Naz.” Sachary tersenyum.

            Nashriq tergaman. Dia memandang Sachary yang tergelak kecil.

            “Selepas makan malam tempohari, dia tak habis-habis bertanya ayah fasal kau. Sampai tak menang mulut orang tua itu nak menjawab. First time aku tengok dia macam tu. Selalunya Sue tak pernah serius mahu mengenali lelaki. Bagi dia, nyawanya bila-bila masa akan melayang. Dia tak kisahkan hidupnya langsung, kecuali menikmati setiap hari bagaikan hari terakhir.”

            Ucapan Sachary membuatkan perasaan Nashriq berkeping-keping. Selama ini dia salah sangka dengan Suraya. Dia menyangkakan Suraya salah seorang anak orang kaya yang menggunakan rupa dan status untuk memancing lelaki. Rupa-rupanya sikap nakal gadis itu bersebab. Entah kenapa perasaan simpati Nashriq tumpah pada Suraya. Dia mengerti kini.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!