Followers

Sunday, May 9, 2010

Arina : Bab 1

Manila, Filiphina 2009

SEBUAH jeepney berhenti tepat di hadapan pintu masuk Greenhills, sebuah pusat beli belah terkemuka di bandar Makati, salah sebuah dari 14 buah bandaraya di Manila.

Seorang gadis berusia 20an memakai blouse dan sekadar berjeans keluar dari jeepney, salah sebuah pengangkutan awam yang utama di Kalakhang Manylla seperti yang disebut oleh orang-orang tempatan di situ yang bererti Manila yang besar dan maju. Di belakangnya, muncul pula seorang anak muda yang memakai cap dengan tulisan Hollywood diterap pada kulit topi.

“Berapa?” Si gadis bertanya pada supir jeepney menggunakan bahasa tagalog. Lelaki itu tersengih.

“15 pesos.” Ujarnya.

“Tak mahu. Saya akan bayar kamu 10 peso saja.” Si gadis menggelengkan kepala. Senyuman lelaki itu terhenti. Dia memandang si gadis dan anak muda di hadapannya dengan wajah mencuka.

“Okay..okay, eight pesos.” Dia menadahkan tangan. Mengalah pada kedegilan gadis itu. Si gadis melirik lelaki muda di sampingnya seraya tersengih. Setelah bayaran bertukar tangan, si supir itu segera membawa jeepneynya beredar dari kawasan pusat beli belah itu.

“Kedekutnya kakak.” Lelaki muda yang memakai cap itu ketawa kecil.

Dia menjegilkan matanya. “Ini bukan kedekut, ini namanya berpada-pada. Orang tu tahu kita ni pelancong, sebab tu dia sengaja nak ambil kesempatan.” Tukas Arina menggunakan bahasa melayu pula.

Chayi hanya ketawa. Tak mahu mengaku pulak dah!

Kedua-duanya segera memasuki pintu masuk Greenhills Shopping Centre yang merupakan antara pusat beli belah yang terbesar di Manila.

“Kita nak beli apa kak?” Tanya Chayi pada Arina yang sudah bingung mahu ke mana dahulu. Mereka melangkah sesuka hati tanpa hala tujuan. Gadis itu langsung menoleh.

“Kita belilah apa-apa yang patut untuk ayah dengan Mak Lang. Lagipun esok kan kita dah nak balik Malaysia. Tapi sebelum tu jom, kita ke sana sekejap.” Arina memuncungkan mulutnya ke arah Caribelle’s Money Changer yang terletak di hadapan mereka. Dia mahu menukar bekalan matawang pesos nya yang sudah hampir kehabisan.

Setelah dia menukar sejumlah matawang peso, Arina segera mendapatkan Chayi yang menanti di luar. Anak muda itu tersenyum penuh makna.

“Lepas ni bolehlah belanja Chayi makan ya kak,” Chayi tersengih-sengih sambil memegang perutnya. Arina merenung anak muda itu. Ada-ada saja adiknya yang seorang itu.

“Tadi kan kita dah makan kat kedai orang Mindanao tu?” Dia memperingatkan Chayi.

“Ala itu tadi, sekarang dah lapar balik.” Rengek Chayi. Arina hanya mampu ketawa dengan gelagat anak muda itu.

“Okeylah nanti kita cari fast food yang halal kat sini. Sebelum tu jom kita singgah kedai tu dulu.” Ajak Arina sambil mengalihkan pandangannya ke arah sebuah kedai perhiasan.

Chayi tidak memberi sebarang komen. Kakinya diatur mengekori kakaknya ke arah kedai perhiasan tersebut. Kedai tersebut khas menjual beraneka jenis jam tangan dan perhiasan yang diperbuat dari manik-manik dan batu permata.

“Apa khabar?” Seorang wanita Filiphina menegur mereka dengan wajah ramah. Arina dan Chayi serentak berpaling.

“Baik, terima kasih.” Ujar Arina.

“Boleh saya bantu?”

“Kami nak tengok-tengok dulu.” Sambung Chayi pula.

“Silalah, semua barang-barang ni dihasilkan oleh orang-orang tempatan kat sini.” Ujar wanita itu, mempromosikan barangan-barangan perhiasan di kedainya.

“Cantik.” Puji Arina. Dia sendiri tertarik melihat design jam tangan yang diperbuat dari manik-manik mutiara dan kristal. Ianya walaupun tidak berjenama namun tetap cantik dan unik.

“Cantiklah jam tangan ni, kak. Kita beli satu untuk Mak Langlah” Chayi bersuara. Arina tersenyum lalu mengangguk.

“Okey, Chayi pilihlah. Kakak ikut je.” Arina mengangguk.

Setelah hampir sejam menghabiskan masa memilih, akhirnya mereka sepakat bersetuju membeli beberapa buah jam yang diperbuat dari kristal. Chayi pula membeli seutas jam tangan lelaki yang dihiasi manik-manik mutiara berwarna hitam. Arina sendiri membeli beberapa utas gelang tangan yang cantik untuk dihadiahkan buat kawan-kawannya di Malaysia.

“Terima kasih, datang lagi.” Wanita si pemilik kedai itu menghantar mereka sehingga ke muka pintu.

“Kakak nak belikan baju untuk ayah. Chayi fikir macamana?” Arina meminta buah fikiran adiknya ketika melintas sebuah kedai menjual pakaian lelaki. Lagipun mereka telah menyediakan cenderamata untuk yang lain-lain, tetapi masih belum membeli apa-apa untuk ayah mereka.

Wajah Chayi acuh tak acuh sahaja memandangnya. “Suka hati kakaklah.” Jawab anak muda itu.

Arina merenung wajah Chayi seketika.

“Tak baik marah lama-lama dik. Apa-apa pun dia tetap ayah kita.” Nasihat Arina. Suaranya lembut memujuk.

Chayi membisu. Arina tersenyum sambil memeluk bahu anak muda itu. Dia sememangnya terlalu menyayangi adiknya itu. Dan kerana itu dia terlalu mengerti akan isi hati adiknya Chayi. Meskipun mengatakan tidak, namun jelas di mata Arina…anak muda itu masih tersinggung dengan ayah mereka.

Semuanya kerana peristiwa beberapa bulan yang lalu. Chayi yang mengikut kawan-kawannya meraikan parti harijadi salah seorang teman kolejnya di sebuah kelab malam, tiba-tiba ditangkap pihak berkuasa apabila kelab malam itu diserbu malam itu. Tak fasal-fasal Chayi dan kawan-kawannya terpaksa diangkut ke dalam trak polis. Mereka dituduh mengambil pil khayal hanya apabila salah seorang dari teman adiknya ditemui dengan beberapa biji ecstasy.

Dan inilah yang mendatangkan baran ayahnya meskipun Chayi telah beberapa kali menegaskan yang dia tidak pernah mengambil pil-pil tersebut. Malah dia juga tidak tahu kawannya Azam, sering mengedarkan pil-pil tersebut pada beberapa teman kolej mereka yang lain. Tapi sikap ayahnya yang tidak usul periksa menuduh, membuatkan anak muda itu benar-benar berjauh hati, sehinggakan sudah beberapa bulan Chayi tidak bertegur sapa dengan ayah mereka.

“Kak, Chayi nak pergi toilet sekejap. Kakak tunggu sini tau.” Ujar Chayi dengan wajah berkerut. Tanpa menunggu balasan, anak muda itu segera bergegas pergi ke arah sebuah tandas awam ataupun disebut banyo oleh penduduk-penduduk di Kota Manila ini.

Sementara menanti Chayi, Arina termenung panjang. Esok mereka akan menaiki penerbangan terawal Cebu Pacific Air dari Ninoy Aquino International Airport langsung ke Kuala Lumpur. Sewaktu datang tempohari, mereka datang melalui Kota Kinabalu, Sabah. Tapi kali ini penerbangan mereka akan terus langsung ke Kuala Lumpur. Dia sendiri sudah tidak sabar-sabar lagi mahu pulang setelah hampir seminggu berada di bumi Manila.

Arina merenung kosong pada suasana di ruang legar upper level di Greenhills itu. Tak ada istimewa sebenarnya kedatangannya ke Filiphina itu kecuali untuk menziarahi pusara ibunya Madina. Kata ayahnya, ibunya meninggal sewaktu dia masih kecil. Pemergian wanita bernama Madina itu berpunca kerana sakit, namun sakit apa ayahnya tidak pernah menjelaskannya.

Leka termenung, tiba-tiba dia dikejutkan sesuatu. Serentak, plastik-plastik di tangannya segera terlucut dari tangan. Pantas matanya berpaling ke suatu arah. Lelaki yang melanggarnya turut berpaling. Arina terpempan. Seorang lelaki berpakaian kot labuh serba hitam sedang memandang tepat ke wajahnya.

Dia yang berasa marah kerana dirinya tiba-tiba sahaja dirempuh tidak jadi mahu mengherdik lelaki itu. Apatah lagi renungan lelaki itu terus berlabuh di wajahnya. Cepat-cepat dia tunduk lalu mengutip barang-barangnya yang terjatuh dan terkeluar dari plastik sebelum ianya dipijak oleh orang-orang yang lalu lalang di kaki lima itu.

“Paumanhin.” Tiba-tiba lelaki itu bersuara.

Arina tidak mempedulikannya. Dia tahu lelaki itu mahu meminta maaf darinya. Tapi saat ini, dia lebih mementingkan cenderamata yang dibeli untuk kawan-kawannya di Malaysia. Entah apa dah jadi dengan benda-benda tu semua. Jangan pecah sudahlah!

Tak semena-mena lelaki itu turut membantu. Arina memandang lelaki itu agak lama. Wajah itu sedap dipandang meskipun airmukanya agak serius. Kulitnya tidak putih dan tidak juga gelap, sama seperti lelaki-lelaki Filiphino yang dikenalinya seorang dua. Orang Filiphina ke? Handsome juga! Sebiji macam hero dalam drama-drama Filiphina yang sering ditontonnya di kaca televisyen.

Tiba-tiba lelaki itu menoleh. Arina nanar. Dia tidak sempat melarikan matanya. Pandangan lelaki itu terus meratah wajahnya yang mulai merah padam.

“Filiphino?” Tanya lelaki itu ingin tahu.

“No, I’m from Malaysia.”

Lelaki itu menatapnya agak lama, membuatkan Arina tergaman. Kenapa? Aku salah cakapkah?

“Awak boleh berbahasa tagalog?” Soal lelaki itu menggunakan bahasa ibundanya pula kali ini.

“Bolehlah.. sedikit-sedikit.” Balas Arina seraya tersenyum. Dia tidak berminat mahu menjelaskan dengan terperinci bagaimana dia boleh berbahasa tagalog walaupun dia orang Malaysia. Tidak penting untuk dia membosankan lelaki itu dengan cerita-ceritanya yang panjang lebar. No need for that!

Lelaki itu memandangnya lagi. Renungan mata lelaki itu menikam tepat ke wajahnya hingga membuatkan dia kelu. Perasaan hairan menerpa ke dalam fikiran. Apa sebenarnya yang dipandang lelaki itu sehingga sampai begitu sekali?

“Maaf, saya minta diri dulu.” Pinta Arina lalu melewati lelaki itu yang hanya diam membisu. Sambil beredar, sesekali dia berpaling ke arah lelaki itu. Anehnya lelaki itu tetap tercegat sambil memerhatikannya. Fikiran Arina mula dihimbau kerisauan. Jangan orang jahat sudahlah!

* * * *

SUDAH lama dia menanti di luar pintu tandas yang paling hampir. Namun kelibat Chayi tidak kunjung datang. Dia menatap ke arah jam tangannya yang menunjukkan waktu di Filiphina yang tidak jauh berbeza dengan Malaysia.

“Mana Chayi ni?” Rungut Arina, separuh bimbang. Takkan masuk tandas lama macam ni. Dah lebih setengah jam ni! Dia asyik mendongak ke arah kelibat lelaki-lelaki yang keluar masuk dari pintu tandas di hadapannya.

“Maaf, ada nampak tak seorang budak lelaki Malaysia di dalam?” Tanya Arina pada seorang lelaki yang baru keluar dari dalam tandas.

Lelaki itu menggelengkan kepala.

Arina tergaman. Tak ada? Mustahil! Dia yakin benar yang adiknya menuju ke tandas yang sama di hadapannya.. Lagipun itu sahaja tandas yang terdekat dengan tempat mereka berdiri tadi.

Tiba-tiba Arina teringat untuk menelefon ke telefon bimbit Chayi. Dia mula menekan keypad lalu mula mendengar. Namun tidak ada tanda-tanda panggilannya bersambung. Dia tidak putus asa. Sekali lagi dia mencuba. Kali ini dia dapat mendengar panggilannya bersambung. Gembiranya dia tuhan saja yang tahu apabila dia dapat mendengar deruan nafas Chayi di hujung talian.

“Chayi…Chayi kat mana ni? Dah puas kakak tunggu Chayi kat luar ni.” Ujar Arina. Chayi hanya berdiam diri.

“Chayi dengar tak ni? Keluarlah dik, kita pergi makan pulak.” Pujuk Arina. Dia mendengar sesaat dua, namun suara Chayi tidak singgah-singgah. Arina mula merasa ada yang tidak kena. Dia bimbang. Kenapa dengan Chayi? Kenapa adiknya itu hanya diam membisu?

“Chayi…kenapa Chayi diam? Cakaplah dik, jangan buat kakak takut.” Rayu Arina lagi. Tuhan! Apa sebenarnya sudah berlaku pada Chayi?

Tiba-tiba panggilan telefonnya terputus begitu sahaja. Arina terpegun. Cepat-cepat dia menghubungi Chayi semula, namun kali ini panggilannya tidak lagi bersambung.

Dia benar-benar bingung. Jangan-jangan ada perkara buruk berlaku. Pelbagai andaian menerpa ke dalam kotak fikirannya. Andai kata semua ini benar, apa patut dia buat? Tubuhnya mengigil bila terfikirkan pelbagai sangkaan buruk.

Di hadapannya, dia melihat seorang lelaki baru saja keluar dari pintu tandas. Arina mengetapkan bibir. Kedua-dua belah tangannya diramas berkali-kali. Rasa resah dan gelisah saling berbaur dalam dirinya.

Tanpa berfikir panjang, dia segera menerpa masuk ke dalam tandas lelaki. Beberapa orang lelaki yang berada di dalam terpegun melihat Arina menjengah masuk. Mata Arina meneliti setiap wajah, namun kelibat Chayi langsung tidak kelihatan. Dia semakin resah. Seorang lelaki warga asing yang ada di situ disapanya.

“Sorry..I’m looking for a boy. Do you see him?”

“What boy?” Lelaki itu bertanya.

“Malaysian, black hair, very tall and good looking.” Arina mendeskripsikan wajah Chayi. Ketiga-tiga lelaki itu saling berpandangan sesama sendiri. Beberapa saat berlalu, lelaki-lelaki itu sekadar menggelengkan kepala.

Arina keluar dari tandas tersebut dengan wajah lesu. Punah harapannya mahu menemui Chayi. Hatinya bergetar entah kenapa. Dia memandang suasana sekeliling Mall itu yang dipenuhi dengan bunyi hiruk pikuk suara manusia. Saat itu dia benar-benar tidak berdaya. Seolah-olah hidupnya sudah hilang ertinya. Kehilangan Chayi benar-benar membuatkan fikirannya rungsing.

* * * *

“DIA mungkin merayap ke mana-mana. Nanti tahulah dia cari Arin.” Ujar ayahnya ketika dia menelefon lelaki itu. Seperti biasa ayahnya akan mengambil mudah setiap kebimbangan yang dirasakannya.

“Tapi ayah, Chayi tak pernah buat macam ni sebelum ni. Dah dekat tiga jam dah dia hilang. Arin risau ayah.” Ujarnya dengan suara tersekat-sekat. Jika diikutkan hati, dia mahu menangis di situ juga.

Ayahnya diam. Nafas lelaki dihela kasar.

“Arin dah cuba contact handphone dia?”

“Dah ayah. Dah banyak kali Arin cuba, tapi dia tak angkat call.”

“Jangan-jangan Chayi sengaja main-mainkan Arin tak. Lagipun ini bukan kali pertama dia buat hal.” Nada suara lelaki itu berbaur tuduhan. Arina menarik nafas panjang.

“Ayah, Arin tahu Chayi takkan buat macam ni pada Arin. Arin kenal Chayi tu ayah. Arin bimbangkan benda lain.” Keluhnya sebaik teringatkan apa yang bermain di fikirannya ketika ini.

“Apa dia?”

Dia mengambil nafas sesaat dua sebelum mula menyambung kata-katanya. “Arin bimbang ada sesuatu yang tak baik berlaku ayah. Macamana kalau Chayi ditimpa malang?”

Fahrin Toh terdiam agak lama. Barangkali sedang memikirkan kemungkinan kata-kata anaknya.

“Kamu tunggu sikit masa lagi. Kalau dia tak muncul-muncul juga, call ayah semula. Ayah ada meeting ni sekejap lagi. Nanti kita cakap semula.” Putus lelaki itu akhirnya.

“Kita report polis ayah?” Cadang Arina.

“Belum cukup 24 jam, macamana nak report?” Sahut si ayah.

“Habis takkan nak tunggu selama tu, entah apa dah jadi pada Chayi kalau kita tunggu lebih lama.” Nada suaranya meninggi sedikit. Meningkah kata-kata ayahnya.

“Arin kena sabar sayang. Ayah yakin Chayi tu tak hilang seperti yang Arin sangkakan tu. Tunggu dia balik sekejap lagi. Okeylah, ayah kena pergi ni..meeting dah nak start.” Ujar lelaki itu lalu memutuskan talian.

Arina terkedu. Hampir tidak percaya dengan kata-kata ayahnya. Kenapa ayahnya tidak mahu percaya yang Chayi benar-benar ditimpa musibah?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!