Followers

Tuesday, December 28, 2010

Blue Sunset : Bab 19

DIA masih kecil ketika itu. Baru berusia dalam lingkungan 6 tahun. Tapi dalam usia sekecil itu, dia seakan-akan boleh membaca rentak hubungan ayah dan ibunya. Di meja makan atau di ruang tamu, kedua-duanya tidak ubah seperti orang asing. Saling tidak mempedulikan antara satu sama lain. Dan jika kedua-duanya mula membuka mulut, setiap perbualan itu pasti akan diakhiri dengan pertengkaran.

Dia benar-benar sudah muak melihat itu semua. Ibunya seorang wanita yang tidak betah tinggal di rumah menguruskan rumahtanga. Wanita itu suka bercampur gaul dengan ramai orang. Ayahnya pula lelaki yang terlalu sibuk untuk memberi perhatian pada isteri cantik yang ditinggalkan di rumah. Apatah lagi ketika itu ayahnya baru mula bertugas di hospital awam. Dari hari ke sehari, keretakan rumah tangga mereka mula menjejaskan keharmonian rumah yang didiaminya.

Suatu hari, ketika dia baru pulang dari bermain bersama teman-temannya di kawasan perumahan itu, matanya terpandang kereta ayahnya di parkir garaj. Teruja dengan kepulangan si ayah, dia lantas bergegas masuk ke dalam rumah. Tapi apa yang dilihatnya benar-benar memeranjatkan! Di hadapannya, barang-barang kaca dan pasu-pasu bunga yang pecah berderai, bersepah di atas lantai.

Dia mengalih wajah. Terlihat sesusuk tubuh sedang mematung diri di atas sebuah sofa di ruang tamu. Perlahan-lahan dia mendekati ayahnya.

“Ayah?”

Lelaki itu menoleh. Tapi dengan titisan airmata yang berjurai di pipi.

Hatinya terkesima memandang keadaan ayahnya ketika itu. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia teringatkan ibunya.

“Mama mana ayah?”

Dia mahu mencari wanita itu. Tapi ayahnya terlebih dahulu menarik rapat tubuhnya lalu dirangkul erat. Dia terpinga-pinga dengan tindakan aneh ayahnya. Pelbagai perasaan menyelubungi dirinya ketika itu. Ada perasaan bimbang, tidak sedap hati dan sekaligus resah.Yang nyata matanya asyik mengintai kelibat ibunya dari belakang bahu lelaki itu.

Melihat seorang wanita turun dari tingkat atas sambil membimbit sebuah bagasi besar, serta-merta dia menolak tubuh ayahnya.

“Mama nak pergi mana ni?” Suara kecilnya bertanya.

Wanita itu tidak menjawab. Pandangan mata wanita itu tumpah ke arahnya. Renungan ibunya nampak sayu. “Mama nak pergi Zahar.” Bisik wanita itu.

Dia terpempan. Kata-kata ibunya membuatkan dahi kecilnya berlapis.

“Mama nak pergi mana?” Soalnya dengan wajah bingung.

“Mama nak tinggalkan rumah ni sayang.” Ujar wanita itu seraya tunduk di hadapannya. Satu kucupan singgah di dahinya. Sejurus wanita itu bangkit semula lalu membetulkan posisi. Belum sempat ibunya mahu beredar, secepat kilat dia meraih pinggang ibunya lalu mendakap wanita itu sekuat hati.

“Tak boleh. Mama tak boleh pergi! Zahar sayang mama. Zahar tak mahu mama pergi.” Rengeknya sambil mengemaskan pelukan.

“Zahar duduk dengan ayah ya. Mama nak pergi sekejap aje. Nanti mama balik.” Wanita itu beralasan dengan harapan pinggangnya dilepaskan. Namun dia seakan tidak peduli.

“Zahar!” Tengkingan wanita itu membuatkan dia tersentak. Bulat matanya memerhatikan ke arah ibunya yang mencerlung tajam ke wajahnya.

“Zahar, mari dekat ayah.” Ayahnya tiba-tiba mencelah.

“Mama jangan pergi. Jangan tinggalkan Zahar.” Rayunya berkali-kali dengan harapan wanita itu akan mengubah fikirannya. Baju ibunya ditarik sekuat hati sehingga kerunyuk.

“Yang degil sangat ni kenapa? Berapa kali mama nak bagitahu Zahar ni?” Herdik mamanya dengan suara meninggi. Tiba-tiba sahaja wanita itu menolak tubuhnya membuatkan dia hilang keseimbangan diri lalu jatuh ke atas kaca-kaca yang bertaburan di atas lantai. Dia meraung sekuat hati.

Ayahnya terkejut besar ketika itu. Lelaki itu pantas meluru ke arahnya lalu meraih tubuh kecilnya. Dia mengongoi kesakitan, sedangkan wanita itu hanya terpaku memandangnya.

“Apa yang you dah buat ni Lin? Kenapa hati you ni keras sangat?” Tengking ayahnya benar-benar berang.

“I..I tak sengaja.” Ibunya tergagap-gagap cuba mempertahankan diri.

“You boleh sakitkan hati I, tapi jangan sesekali cederakan anak kita, darah daging you sendiri. Apa yang you buat ni tak ubah macam binatang. Sedangkan binatang pun masih tahu sayangkan anaknya.” Gumam ayahnya dengan nada geram.

Ibunya tidak membalas. Mata wanita itu terpaku pada darah yang melekat di tangan suaminya. Hati wanita itu terasa belas. Namun bunyi hon yang bertalu-talu di luar rumah membuatkan dia serba-salah.

“Maafkan I, Hakim. I kena pergi dari sini sebelum I jadi gila. You jagalah Zahar baik-baik. Maafkan mama Zahar.” Bisik wanita itu lalu melangkah keluar dari rumah itu.

“Mama!” Dia berteriak nyaring. Tangisannya pecah lagi. Hatinya memahami pemergian wanita itu bukan sekejap seperti yang dikatakan. Tapi pemergian itu adalah buat selama-lamanya. Dan mulai hari itu dia kehilangan seseorang yang dipanggil ibu.

* * * *

Zahar meneliti tubuhnya yang tidak berbaju di hadapan cermin. Dia membalikkan tubuh lalu memusingkan kepalanya sedikit, menghadap ke arah cermin besar di hadapannya. Di belakang bahu kanannya, terdapat sejalur parut sepanjang 5 cm. Parut itu adalah bukti betapa hatinya pernah dikecewakan suatu ketika dahulu.

Ketika dirinya tercedera ketika itu, ibunya langsung tidak ambil peduli lalu mengambil keputusan pergi mengikut seorang lelaki. Ternyata lelaki yang dicintai ibunya lebih penting berbanding dirinya di hati wanita itu. Sedikit pun kesakitan dan darah yang memenuhi pakaiannya, tidak melembutkan hati wanita itu.

Bertahun lamanya dia cuba melupakan segala sengsara yang dialaminya. Mujur ada ayahnya yang sentiasa memberi semangat dan dorongan. Malah neneknya Rukiyah juga mula berpindah dari kampung ke rumah besar itu untuk menemaninya. Segala-gala di rumah itu kian berubah. Malah dia juga tidak seceria dulu meskipun ayahnya sedaya upaya cuba meluangkan masanya untuknya jika tidak bertugas di hospital.

Zahar menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Matanya terpejam rapat. Kata-kata jururawat berbadan gempal itu tergiang-giang di telinga. Dia tahu nama Sri Jalena adalah nama ibunya sewaktu bergelar aktress. Pelakon hebat yang telah memenangi banyak anugerah di Festival Filem. Siapa sangka wanita yang selalu kelihatan ramah ditemuramah di kaca televisyen benar-benar seorang pelakon yang bijak memainkan peranannya.

Benci! Zahar mengetap bibir. Kenapa fikirannya terus dibelenggu bayang wanita itu? Dia sudah bersumpah tidak mahu memaafkan wanita itu buat seumur hidupnya. Tapi kenapa dengan tiba-tiba sahaja, perasaannya bercelaru setiap kali dia mendengar tentang wanita itu? Kenapa?

Bunyi deruan enjin kenderaan yang masuk ke perkarangan rumahnya, membuatkan dia membuka mata lalu beredar ke arah tingkap. Langsir tingkap dikuak sedikit. Matanya mengintai kelibat ayahnya yang sedang keluar dari perut kereta. Wajah lelaki itu kelihatan penat dan tidak bersemangat. Melihat lelaki itu, entah kenapa dia terfikir sesuatu. Apakah lelaki itu tahu tentang Sri Jalena? Lagipun berita tentang pelakon terkenal yang berada di hospital pasti menjadi buah mulut kakitangan hospital. Mustahil ayahnya tidak tahu! Hujah Zahar di dalam hati!

* * * *

Dengan langkah perlahan dia turun ke tingkat bawah. Matanya sempat mengintai bayang ayahnya. Tapi dia gagal mencari lelaki itu. Selalunya ayahnya akan melepaskan lelah buat seketika di ruang tamu sebelum naik ke biliknya untuk mandi dan bersolat. Hanya selepas itu baru lelaki itu akan turun semula untuk minum petang atau makan malam. Tapi kali ini ayahnya tidak berada di tempat yang sepatutnya.

Tiba-tiba dia terfikir untuk mencari ayahnya di kawasan laman belakang rumah. Tempat mereka sekeluarga sering beristirehat di waktu petang. Barangkali ayah ada kat sana! Bisik hati kecilnya. Tanpa bertangguh dia segera menyusun langkah ke suatu arah. Tepat seperti yang diandaikan, lelaki itu sedang duduk di salah sebuah bangku di laman belakang rumah. Di situ juga tempat neneknya sering bercucuk tanam beberapa pohon anak lada dan terung panjang.

“Ayah!” Tegur Zahar. Ayahnya langsung tidak menoleh. Renungan lelaki itu kelihatan jauh. Melihat gerak-geri ayahnya, Zahar terus menarik kerusi lalu duduk di sisi lelaki itu. Gerak-geri Zahar berjaya mencuri tumpuan Hakim. Dia menoleh.

“Zahar?”

“Ayah menungkan apa tu? Ralit sangat Zahar tengok.” Sapa Zahar seraya merenung wajah ayahnya yang kelihatan muram.

“Tak ada menungkan apa-apa pun. Saja nak hilangkah letih kat sini.” Hakim tersenyum hambar.

“Tadi Zahar ke hospital lawat Makcik Kamelia. Hantarkan bubur yang nenek reneh untuk makcik.” Ujar Zahar sambil tidak melepaskan terjahan matanya dari raut wajah ayahnya. Sengaja dia menekankan perkataan hospital itu untuk mencari perubahan di wajah lelaki itu.

Hakim terdiam sebentar.

“Asalnya Zahar janji dengan Amir nak jumpa dia dekat kelab squash hari ni, tapi tiba-tiba tak jadi. Balik dari hospital, terus mood Zahar dah tak ada nak jumpa Amir.” Selamba Zahar mencanang begitu.

“Tak ada mood?” Dahi Hakim berkerut.

“Haah tak ada mood. Tiba-tiba aje Zahar terasa nak balik rumah dan tidur aje.” Ujarnya.

Hakim menarik naafs panjang. Mungkinkah Zahar sudah tahu tentang ibunya? Tapi kenapa reaksi anak muda itu biasa-biasa sahaja? Ah mungkin tak ada apa sebenarnya! Aku sahaja yang membayangkan yang bukan-bukan! Hakim cuba menyedapkan hati sendiri.

“Ayah pun macam tak ada mood aje? Kenapa?” Zahar cuba menduga.

Hakim terpisat-pisat memerhatikan anaknya. “Eh tak adalah, ayah okey je. Nenek mana?” Sekali lagi Hakim cuba memesongkan perhatian anaknya.

“Nenek pergi rumah Mak Teh.” Ujar Zahar merujuk kepada adik perempuan ayahnya yang tinggal di Damansara. Hakim tidak memberi sebarang komen.

Diam-diam Zahar melirik si ayah. Entah kenapa hatinya kuat mengatakan, kebisuan ayahnya pasti ada kena mengena dengan Sri Jalena. Dia pasti ayahnya sudah tahu tentang Sri Jalena yang ditempatkan di hospital yang sama.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!