Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 1

KUALA LUMPUR 2005
“Bali, pulau pelancongan popular di dunia, digegarkan dengan lima letupan bom di tiga kawasan padat pelancong di pantai Jimbaran, Nusa Dua dan Kuta hari ini, mengorban-kan sekurang-kurangnya 32 orang. Kira-kira 101 lagi cedera, kebanyakannya rakyat asing. Setakat tengah malam ini, dua mangsa terbunuh dikenali pasti sebagai warga Australia dan Jepun. Letupan berlaku pada waktu hampir sama kira-kira pukul 6.50 petang waktu tempatan di sekitar restoran pinggir pantai Jimbaran dan berdekatan Hotel Four Seasons, Jimbaran, dua letupan berdekatan Hotel Westin, Nusa Dua dan di depan pusat membeli-belah Matahari serta Restoran Raja di Kuta. Laporan awal menyebut letupan di Restoran Raja mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 25 yang lain, manakala enam terbunuh dan 16 cedera di kawasan restoran Jimbaran. Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada polis tetapi beberapa pihak mengaitkan dengan kelompok Jemaah Islamiyah (JI). Menurut stesyen berita Metro TV….”
Dia menutup televisyen, pantas. Remote control di tangannya dicampak kasar ke atas meja, sebelum dia menghempaskan tubuhnya ke dada sofa. Hatinya resah berkecamuk. Dia masih tidak mampu mendengar nama Bali diulang di telinganya, biarpun hampir 3 tahun Bali ditinggalkan bersama kenangan silam. Saat-saat indah yang dicarinya di Bali 3 tahun dulu, rupa-rupanya satu memori buruk yang saban waktu menjadi igauan tidurnya.
Dia melangkah ke arah jendela. Tirai jendela diselak. Matanya leka memerhatikan pemandangan dari luar jendela apartmentnya. Dia bagaikan terlihat-lihat wajah Nurlaila menunggunya di kawasan letak kereta di bawah apartment. Melambai-lambai ke arahnya dengan wajah girang tatkala dia membuka tirai jendela.
Waktu itu, dia hanya akan tertawa melihat gelagat gadis itu. Kenakalan Nurlaila memang menghiburkan. Namun semuanya telah berlalu. Nurlaila tidak akan lagi menunggunya di situ seperti dulu. Dan dia tidak dapat lagi menatap wajah Nurlaila setiap hari. Hatinya seolah ditusuk sembilu setiap kali memandang potret wajah Nurlaila di kamar tidurnya. Dia seolah menjadi gila setiap kali memikirkan hidupnya kini sepi tanpa gadis yang dicintainya.
“Maaf, bapak tidak dibenarkan masuk ke mari…”
“Please, kawan-kawan saya berada di cafe itu sewaktu kejadian. I just want to make sure,” dia bersuara gementar.
“Saya mengerti masalah bapak. Beginilah, di ruang kamar hadapan, ada dititipkan senarai nama-nama pelancong yang terlibat. Bapak boleh lihat nama teman-teman bapak di sana. Permisi, keadaan di Sanglah ini masih gawat.”
Dia ditinggalkan sendirian. Riffki memandang suasana ruang Rumah Sakit Sanglah yang hiruk pikuk dengan bunyi tangisan dan jeritan mangsa-mangsa yang cedera. Dia tidak tahu apa lagi yang patut dilakukannya. Apabila dia berpaling, sebuah troli baru sahaja melepasinya. Hatinya tergerak untuk berpaling.
“Jat…..” Tangannya cepat memegang hujung troli, menahan dari terus ditolak. Dia menghampiri tubuh seorang lelaki yang basah dengan darah. Hatinya menjadi tidak keruan melihat luka besar di tubuh dan kulit kepala Izzat yang hampir terkopak.
“Jat, ini aku Jat, kawan kau… Riff. Jat..” Tubuh Izzat digerak-gerakkan. Dia nampak mata temannya itu berkelip-kelip memandangnya.
“Maaf pak, pesakit ini harus segera operation.” Atendan hospital mencelah namun Riffki seakan tidak peduli.
“Jat, where’s Laila? Tell me where she is?” Suara Riffki meninggi. Matanya basah dengan airmata. Mulut Izzat bergerak-gerak seperti ingin menyatakan sesuatu. Riffki segera mendekatkan telinganya, hampir di wajah Izzat.
“Ss..s..she’s…gg..gone!” Bisikan Izzat meskipun perlahan, tetap jelas di telinganya. Dia terkedu. Kepalanya digelengkan. Hatinya tidak mahu percaya.Tak mungkin!
Izzat mengangkat tangannya perlahan-lahan. Riffki terpegun melihat seutas rantai di celah jejari Izzat yang berlumuran darah. Dadanya berdebar kencang. Dia memaksa dirinya menyentuh rantai di tangan Izzat. Rantai Nurlaila! Apabila dia kembali memandang Izzat, tangan lelaki itu sudah terkulai layu. Riffki tersentak.
“Maaf pak, teman bapak ini sudah tiada.” Beritahu lelaki berpakaian serba putih itu seakan simpati.
Riffki terkejut. Dia terduduk lemah di suatu sudut. Fikirannya kacau. Hatinya tersayat pedih. Sukar dia mahu menghadapi kenyataan itu, sedangkan baru siang tadi dia bergurau senda dengan Izzat. Seolah-olah baru semalam dia berjanji mahu menanti Nurlaila di Bali. Kenapa bencana ini harus terjadi? Dan kenapa hanya dia yang terselamat?
Rantai Nurlaila dipandang sepi. Rantai berbentuk dua hati yang bertaut itu adalah hadiah ulangtahun kedua perkenalan mereka, darinya untuk Nurlaila beberapa bulan yang lalu. Masih tergambar di kotak fikirannya wajah girang Nurlaila menatap rantai pemberiannya.
“Untuk Laila?”
“Habis untuk siapa lagi?”
“Riff pakaikan..?”
Dan dia hanya tertawa mendengar permintaan gadis itu.
Suara deringan telefon mengejutkan lamunan Riffki. Dia tersentak. Hampir jatuh rantai yang dipegangnya, namun nasib baik dia cepat tersedar. Rantai itu disimpan kembali dalam kotak di dalam laci mejanya, sebelum dia bergegas mendapatkan telefon yang masih berdering.
“Hello.”
“La tak keluar lagi? Dah lama kami tunggu ni.”
“Tunggu di mana? Kita ada janji nak jumpa ke malam ni?” Dia mengerutkan dahinya.
“Alamak apa ni Riff? Kita kan dah plan nak jumpa kat tempat biasa. Khyril baru sampai dari London petang tadi. He wants to meet us.“
Riffki segera menepuk dahinya. “Alamak, sorry Kian, aku lupa la. Okey sekejap lagi aku datang.” Balasnya ringkas sebelum meletak gagang telefon.
Setelah mandi dan siap berpakaian, Riffki terus memandu keluar dari kawasan perkarangan apartmentnya menuju ke Hotel Istana. Sebaik memberi kunci keretanya pada penjaga petak parking, dia terus menuju ke lobi restoran mencari kawan-kawannya. Dari jauh, dia terlihat rakan-rakannya duduk di suatu meja yang agak tersorok.
“Sorry guys, I’m late.” Dia segera mengambil tempat duduk di hadapan dua pemuda yang berpakaian agak kemas.
“Apa kena kau ni Riff? Kan kita dah janji nak jumpa malam ni. Nasib baik ada awek cun kat meja depan tu, kalau tidak bosan juga nak menunggu kau. Tu hah, Fresh orange tu pun kami dah orderkan.“ Ujar seorang lelaki berambut panjang separas bahu.
“Sorry Kian, tak dapat nak elak aku lupa. So how’s London?“ Matanya beralih ke arah Khyril yang hanya tersengih.
“As usual, tak ada yang berubah. Dah lama tak jumpa kau, dah setahun kan?“
Riffki sekadar tersenyum hambar.“Kau nampak semakin sihat.“ Tegur Riffki apabila melihat tubuh Khyril yang agak berisi.
Lelaki itu tergelak kecil.“Mana tak sihat, kalau hari-hari sental makanan India kat sana. Itu saja yang aku boleh telan. Kian kata sekarang ni kau buat ’job’ bebas. Habis studio kau macamana?“
Riffki terdiam. “Kian suruh kau balik semata-mata nak pujuk aku?”
Khyril memandang lelaki itu tidak berkelip sebelum mengalih pandangan ke wajah Kian yang hanya menjungkit bahu.
“Dah tiga tahun Riff. Tiga tahun tu bukannya masa yang pendek. Jangan bazirkan masa lagi, cukuplah mengenang apa yang dah pergi. Kau kena fikirkan kerja kau, matlamat hidup kau.”
“Matlamat apa? Matlamat hidup aku dah tak ada.” Riffki merenung teman-temannya satu persatu.
“Hanya Lailakah satu-satunya matlamat hidup yang kau mahukan?” Mata Khyril menentang berani. “Dulu sewaktu kau nak buka studio tu, kau tak ada sokongan dari sesiapa pun. Tapi kau berjaya juga. Kenapa? Sebab kau dah sasarkan matlamat kau di situ. Impian kau pada studio tu. Kau dah lupa semua tu Riff?”
Riffki hanya membisu.
“Jangan kuburkan sesuatu yang telah menjadi sebahagian dari hidup kau, Riff. It’s not worthy. Sudahlah, aku tak berniat nak menyinggung perasaan kau. Lagipun kita datang ni nak berjumpa sambil minum-minum. Lupakan sajalah apa yang aku cakap tadi. Good friends?” Khyril menghulurkan tangan.
Riffki mendongakkan wajahnya memandang Khyril. Lama dia mencuri pandang wajah lelaki itu. Akhirnya dia tersenyum. Huluran tangan Khyril di sambut erat. Khyril tertawa. Dia tahu hati rakannya itu mudah sejuk.
“Oh ya, kami ada hadiah istimewa untuk kau.”
“Hadiah?” Riffki tercengang. Hari ini bukan harijadinya, jadi apakah hadiah yang dimaksudkan oleh kedua temannya itu? Dia ingin bertanya, tapi kehadiran seorang gadis jelita menarik perhatiannya. Dia memandang gadis yang baru muncul itu dari atas ke bawah. Pakaiannya ketat dan singkat. Dia menoleh ke arah Kian dan Khyril yang tergelak besar.
“Riff, kenalkan ini Misha. Kau masih ingatkan dia ni? Model of the Year 2002. Kau pernah rakam gambar dia sewaktu pertandingan itu. Ingat lagi?” Kian tersenyum.
“Ya, aku ingat. Hi.” Dia menyapa gadis itu.
“Hi, lama tak nampak you. Ke mana menghilang?” Soal Misha manja.
“Ada di KL ni cuma you aje yang tak jumpa.”
“Okeylah Riff, aku dengan Khyril ada kerja sikit nak buat. So you two have a nice chat. Oh ya sebelum terlupa…”
Riffki memandang tenang kunci yang baru diletakkan oleh Kian di atas meja.
“Bilik ni dah dibayar. Enjoy it.” Kian berbisik di telinganya. Riffki tersenyum. Kedua-dua temannya itu segera beredar dari situ. Dia memandang kedua-dua temannya itu seketika, sebelum pandangannya beralih ke arah Misha yang melirik manja ke arahnya.
“Berapa banyak diaorang bayar you untuk teman I?”
Gadis itu tertawa. Dia mencapai gelas fresh orange milik Riffki yang baru separuh isinya, sebelum menghirup bakinya. “Duit tak penting asalkan I dapat menemani you. Itu saja dah cukup.”
“Kenapa?”
“Hmm…siapa yang tak kenal Riffki Aidan, photographer terkenal, anak bongsu pemilik empayar perhotelan terbesar.”
“Jadi status I lebih menarik minat you?” Riffki cuba menduga.
“Tak juga, rupa you pun menarik minat I.” Balas Misha nakal.
Riffki tergelak besar. Perempuan ni memang berani.
“Jadi you juga rela walaupun tak dibayar?” Duga Riffki lagi.
Gadis itu tertawa manja. Perlahan-lahan dia bangun, sambil mengutip kunci di hadapan Riffki. Seolah-olah memahami apa yang dimahukan oleh gadis itu, Riffki turut bangun dari kerusi yang didudukinya. Mereka berjalan beriringan menuju ke dalam perut lift.
Sebaik pintu lift terbuka, kedua-duanya melangkah masuk. Riffki segera menekan butang menuju ke tingkat 13. Namun sebelum sempat pintu lift tertutup, sekaki payung terjulur masuk dari celah-celah pintu lift, menghalang ia dari tertutup.
Muncul seorang gadis bercermin mata bulat dan berambut tocang, masuk ke dalam lift. Dia tersenyum memandang Riffki. Riffki hanya memandang sekilas, sebelum menekan kembali punat butang lift. Tapi gadis itu menahan.
“Sekejap ya encik, ada seorang lagi kawan saya nak masuk…” gadis itu tersengih-sengih. Apabila dia memandang gadis seksi di sisi Riffki, dahinya berkerut. Apatah lagi menyedari lengan Riffki dipaut kemas oleh gadis itu.
“Yes boss, saya dah ada kat sini. Don’t worry okay.” Muncul seorang gadis berpakaian kasual di pintu lift. Dia melangkah masuk. Sebelah tangannya membimbit file bag. Riffki acuh tak acuh dengan kemunculan gadis yang baru masuk itu. Namun telinganya sempat menangkap perbualan kedua-duanya.
“So macamana?”
“Bos suruh kita layan klien tu baik-baik. Dia suruh klien tu bayar dengan cek.”
“Berapa?”
“Mereka dah runding harga awal-awal lagi.”
“Siapa nak masuk?”
“Dua-dua masuk.”
Riffki tersenyum simpul mendengar perbualan itu. Dia memandang gadis berambut panjang yang membelakanginya. Cantikkah orangnya? Kalau tak cantik, masakan melayan klien sehingga ke hotel bertaraf 5 bintang. Tentu mahal bayarannya. Zaman sekarang, pelacur kelas atasan pun mampu hidup mewah hanya dengan layanan satu malam sahaja.
Sebaik pintu lift terbuka, kedua-dua gadis itu melangkah keluar. Riffki tergaman. Hai takkan sama tingkat kut. Pandai betul kawan-kawannya memilih bilik di tingkat itu.
“Riff, you tunggu apa lagi?” Misha bersuara sambil meliuk-liuk manja di sisinya. Dia hanya tersenyum sebelum mula melangkah. Apabila sampai di bilik no. 5, dia terhenti. Matanya sempat menjeling dua gadis yang berdiri di hadapan bilik yang hanya selang 3 buah darinya. Tapi matanya lebih tertumpu pada seraut wajah lembut yang turut memandangnya. Dahinya berkerut. Wajah itu seperti pernah dilihatnya.
“Riff, jomlah masuk sayang.” Misha menarik tangannya. Mahu tak mahu Riffki terpaksa membiarkan dirinya ditarik ke dalam. Wajah gadis itu hilang dari pandangannya.
“Tengoklah tu, miang betul. Harap muka aje handsome, perangai zero.” Cebik gadis bercermin mata pada temannya. Gadis di sebelahnya hanya tersenyum. Tadi, entah mengapa dia tersentak memandang wajah pemuda itu buat kali pertama. Wajah itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini, tapi dia tidak ingat di mana.
Mulanya disangkakan lelaki itu mungkin salah seorang dari teman-teman lamanya tapi bila difikirkan semula, tak mungkin pula. Tak mungkin ada di antara teman-teman yang dikenalinya, berani membawa perempuan sehingga ke bilik hotel.
Ah zaman sekarang, semua orang berani berbuat mungkar! Halal haram langsung tak kenal, desis hatinya. Dia malas mahu mengambil tahu perihal orang lain. Kini yang penting, projek yang hendak dijalankannya berjaya. Tidaklah Encik Hambali bewajah muram sendu setiap kali berbincang soal Krafria Galeria dengannya.
* * * *
Riffki memerhatikan di sekeliling bilik yang nampak mewah. Dia tertawa lepas. Pandai rakan-rakannya itu mengatur rancangan. Dia membuka kotnya lalu dicampak ke atas kerusi. Remote control dicapai sebelum dia menekan punat televisyen. Bergema bunyi televisyen memenuhi suasana bilik yang tadinya sunyi.
Misha tergelak kecil. Diam-diam dia asyik merenung wajah Riffki yang asyik menatap televisyen. Sudah lama dia idamkan wajah jejaka tampan bermata redup yang pernah ditemuinya beberapa tahun yang lalu. Sewaktu itu, dia baru berjinak-jinak dalam dunia peragaan. Ketika itu Riffki ditugaskan mengambil foto-foto model baru yang akan merebut gelaran Model of the Year dan dia adalah salah seorang darinya.
Pertama kali bertentang mata dengan Riffki, dia sudah tertarik pada lelaki itu, meskipun dunia fesyen ketika itu riuh memperkatakan hubungan antara Riffki dengan seorang model jelita.
Perlahan-lahan Misha menghampiri Riffki. Tangannya melingkar berani di tengkuk lelaki itu. Dia tahu Riffki pasti tidak akan menolaknya. Dia mendekatkan bibirnya di wajah lelaki itu. Reaksi Riffki menyakinkan dirinya untuk bertindak lebih berani. Butang pakaian lelaki itu dilerai satu persatu.
“Selain I, sudah berapa ramai lelaki you layan?” Laju soalan itu meluncur dari bibir Riffki. Lelaki itu kelihatan selamba memandangnya. Misha tersentak.
“Apa maksud you?”
“Tentu I bukan satu-satunya lelaki yang you dekati kan? Kita sama-sama tahu itu.” Mata Riffki menjunam tajam ke wajah Misha.
“You ingat I ni pelacur?” Misha menjarakkan diri. Kata-kata Riffki membuatkan dia mula gelisah.
“Don’t get me wrong, but is this what you do right? Tapi I tak kata you pelacur unless you are.”
“Riffki Aidan!” Misha meninggikan suara.
Riffki tertawa sinis. Dia merenung wajah Misha yang merah padam seperti udang dibakar. Dia tahu gadis itu berang dengan kata-katanya.
“Bezanya you dengan yang lain ialah you tak minta bayaran. Sedangkan gadis-gadis lain berebut mahukan bayaran atas khidmat yang mereka berikan.”
Misha terpegun. Kata-kata dari mulut lelaki itu cukup pedas menghiris hatinya.
“You sangka I akan tidur dengan you? Please, cerminlah diri you dulu. Kalau I mahukan perempuan sebagai teman tidur pun, I akan pilih sendiri. Bukan dengan perempuan yang ‘low standard’ macam you ni.”
Misha dapat merasakan, ada air jernih menghambur keluar dari kelopak matanya. Cepat-cepat airmata yang menitis di cerun pipinya, diseka dengan jarinya. Dia merenung lelaki itu dengan wajah marah.
“You dan kawan-kawan you memang sama-sama gila!” Jeritnya sebelum berlalu pergi. Berdentum bunyi pintu bilik dihempas gadis itu. Riffki tergelak kecil. Dia membutangkan semula kemejanya, sebelum berbaring di tilam empuk itu. Matanya dipejamkan. Sesaat kemudian, wajah Nurlaila terbayang di ruang matanya. Oh tuhan, aku tidak berupaya untuk melupakannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!