Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 13

Seorang lelaki separuh umur yang agak bergaya melangkah masuk. Riffki menoleh. Dahinya berkerut memerhatikan lelaki yang tak dikenali itu, begitu asyik memerhatikan foto-foto di dinding studionya.
Apabila lelaki itu berpaling, pandangan mereka bertaut. Lelaki itu tersenyum memandang Riffki. “Is this your studio?” Soalnya.
“Ya tapi saya minta maaf Encik…” Riffki memandang lelaki itu dengan teliti.
“Hazmin. Megat Hazmin Iskandar.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
“Ya Encik Hazmin, err sebenarnya studio saya ni belum dibuka untuk orang ramai. Tapi kalau encik berminat dengan fotografi, encik boleh datang semula dalam 2 minggu lagi. Sebab pada masa itu, saya akan adakan pameran di sini.” Ujar Riffki sopan.
“Pameran?”
“Ya, sekarang kami masih sibuk dengan persiapan. Oh ya sebentar.” Riffki menghilang seketika. Tak lama kemudian dia muncul semula. Sekeping kad diserahkan pada lelaki itu.
“Ini kad jemputan perasmian pameran saya nanti. Harap Encik Hazmin dapat datang memberi sokongan.” Ujar Riffki.
Lelaki itu tersenyum. Kad yang sudah beralih tangan dibaca sepintas lalu.
“Riffki Aidan Amiruddin. Ada kaitankah dengan Dato’ Amiruddin Bakri, the owner of Mutiara Global empayar?”
Riffki tergaman. “Do you know my father?”
“Belum pernah berjumpa, tapi namanya selalu saya dengar. Kalau Encik Riffki ada masa, sudi keluar lunch dengan saya esok?”
Riffki terdiam. Dia memerhatikan lelaki yang berdiri di hadapannya. Siapa dia sebenarnya? Apa mahunya?
“Saya harap benar dapat bertemu dan bercakap dengan Encik Riffki. Mungkin kita boleh berbincang fasal urusan perniagaan.”
“Saya tak rasa ianya perlu sebab saya hanya ada studio ini. Mungkin tak sesuai dengan urusan yang Encik Hazmin maksudkan. Lagipun saya agak sibuk dengan urusan pameran saya. Maafkan saya,” Riffki menolak dengan baik. Lelaki itu dilihatnya terdiam. Lama anak matanya merenung ke arah Riffki, membuatkan Riffki dihujani seribu pertanyaan.
“Tak apalah, kalau macam tu. Mungkin lain kali saja. Oh ya, ini kad saya. Kalau Encik Riffki berubah fikiran, telefonlah saya bila-bila masa sahaja.” Sekeping kad dikeluarkan dari dalam poketnya. Riffki mengambilnya tanpa banyak soal.
“I will. Thank you.” Riffki menghantar lelaki itu sehingga ke pintu. Dia melihat lelaki itu menuju ke sebuah BMW yang telah menunggu di suatu sudut jalan. Seorang lelaki membukakan pintu kereta untuknya. Tiba-tiba lelaki itu berpaling, seolah-olah menyedari mata Riffki masih tertumpu ke arahnya. Dia tersenyum sebelum memasuki kereta. Tak lama kemudian, kereta itu bergerak keluar ke jalan besar meninggalkan perkarangan studio.
Riffki merenung kad di tangannya.
“Megat Hazmin Iskandar Megat Abdullah. Managing Director MegaView Holding?” Dahi Riffki berkerut kehairanan. Entah kenapa, firasatnya kuat menyatakan lelaki itu datang bukan sekadar untuk melihat foto-foto di studionya. Matanya seolah memberitahu, ada sesuatu hal yang diinginkannya.
* * * *
Hazmin termenung panjang sambil menatap ke luar tingkap. Renungannya jauh. Entah mengapa dia rasa tenang tiba-tiba. Pertemuan dengan Riffki sedikit sebanyak menggembirakan hatinya. Riffki Aidan. Kacak orangnya, serta berbakat dalam seni. Sama macam ibunya. Bezanya Ratna suka melukis, tapi anak muda itu kelihatan lebih gemarkan bidang fotografi. Tapi kedua-duanya tetap berada dalam laluan yang sama.
Ratna, kalaulah masa dapat diputar kembali. Akan aku tebus setiap kesalahanku padamu. Hazmin memejamkan matanya, cuba membayangkan saat-saat indahnya dulu bersama Ratna. Tanpa disedari, airmatanya menitis jua di pipi. Kenapa? Kenapa kau tak boleh berpura-pura mencintaiku? Kenapa kau harus mencintai Amir sahabat baikku sendiri? Apa lebihnya dia dan apa kurangnya aku, Ratna? Bisik hati kecilnya.
“Boss, are you okay?” Zainal di sisinya menegur. Dia hairan melihat lelaki itu seolah-olah tidak bermaya. Wajahnya kelihatan tidak bersemangat.
“I’m okay Zainal. You dah siasat fasal Dato’ Amiruddin?”
“PI yang saya upah tu sedang mengumpul maklumat. Dalam dua tiga hari lagi, saya akan serahkan pada bos.”
“Good. Siasat juga fasal rangkaian perhotelan Mutiara Global. I want to know everything, siapa klien-kliennya dan siapa ahli-ahli lembaga pengarah. Everything.”
“Baik bos.” Zainal akur meskipun hatinya sering tertanya-tanya, kenapa Hazmin Iskandar amat berminat dengan Mutiara Global milik Dato’ Amiruddin Bakri. Sedangkan lelaki itu baru sebulan pulang ke Malaysia. Apa kaitan lelaki itu dengannya? Musuh ketatkah? Dia menjeling Hazmin Iskandar. Lelaki itu termenung panjang.
* * * *
Nurul Hijjaz sedang menyemak senarai-senarai jemputan yang akan dijemput ke majlis pameran Riffki, apabila menyedari kelibat lelaki itu tiba-tiba muncul. Wajah lelaki itu nampak kusam keletihan. Dia terus meluru ke arah anak tangga.
Apabila ternampak Nurul Hijjaz di mejanya, Riffki tidak jadi naik ke atas. Dia melangkah ke arah ruang tamu, lalu melabuhkan diri di sofa berhadapan meja kerjanya. Matanya ralit memerhatikan Nurul Hijjaz menyudahkan tugasnya.
Nurul Hijjaz menyedari dirinya menjadi tumpuan. Dia agak kurang senang hati menjadi sasaran mata Riffki. Rasa lemas bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Dia melirik anak muda itu. Mata Riffki terus terpaku pada wajahnya. Nurul Hijjaz sudah tidak tahan.
“Will you stop it?”
“Stop what?” Riffki tersengih.
Nurul Hijjaz tahu Riffki faham apa yang dimaksudkannya. Hanya dia berpura-pura tidak mengerti.
“Stop staring at me, will you?”
Riffki ketawa kecil. Dia tahu Nurul Hijjaz rasa malu. “Kenapa? Salahkah aku merenung? Bukankah kau juga selalu merenung aku dalam diam-diam?”
Nurul Hijjaz tergaman. Geram dia apabila melihat lelaki itu tersenyum. Riffki sengaja menyakat. Dia suka melihat wajah Nurul Hijjaz yang merah padam setiap kali marah.
“Boleh aku tanya sesuatu?” Soal Riffki.
“Apa?”
“Pada malam kita bertemu buat kali pertama, apa sebenarnya yang kau buat di bilik hotel tempohari?”
Nurul Hijjaz terdiam. Dia masih ingat, peristiwa itulah yang membuatkan Riffki tersalah anggap dirinya. Perlukah dijelaskan pada lelaki itu?
“Kerja.” Jawab Nurul Hijjaz sepatah.
“Kerja? Ada banyak jenis kerja, kerja yang macamana?” Wajah Riffki serius. Dia memang benar-benar ingin tahu apa yang membuatkan dia tersilap, menyangkakan Nurul Hijjaz seorang pelacur.
“Salah seorang pelanggan besar kami dari Singapura datang dan menginap di hotel itu. Saya datang untuk berbincang dengannya mengenai barang-barang yang telah ditempah. Itu saja. Lagipun kalau betul saya datang nak buat jahat, buat apa datang berdua.” Sindirnya.
Riffki tertawa. Baru dia faham letak duduk perkara sebenarnya.
“Awak pula buat apa kat situ?” Nurul Hijjaz sengaja menanya. Dia cuba hendak mengenakan Riffki, tapi lelaki itu tetap berlagak tenang.
“Betul kau nak tahu?”
Nurul Hijjaz terdiam. Dia mula serba salah. Sebenarnya dia sengaja bercakap kosong. Lagipun tak ingin dia tahu apa yang Riffki buat dalam bilik hotel bersama seorang perempuan. Malah membayangkannya pun dia tidak mahu.
“Nak yang detail atau yang ringkas?” Riffki mengusiknya lagi. Dia menjeling nakal. Wajah Nurul Hijjaz dilihatnya sudah merah padam. Gila! Bodoh! Berbagai sumpah seranah terhambur dari kepala Nurul Hijjaz.
“Kawan-kawan aku bayar perempuan tu untuk aku. Kononnya nak menghiburkan hati aku. Tapi aku menolaknya. Perempuan itu keluar selepas 5 minit kami masuk.” Jelas Riffki. “Percaya?” Matanya mengawasi gerak geri Nurul Hijjaz.
Gadis itu tidak menjawab. Dia sekadar mengangkat bahu. Matanya memandang Riffki yang kelihatan serius. Entah…apakah dia harus percaya cakap lelaki itu? Lagipun itu bukan kali pertama dia bertembung Riffki dalam keadaan mencurigakan. Bagaimana dengan gadis yang ditemuinya di apartment Riffki tempohari? Atau perempuan yang menghantar pesanan ringkas dalam mesin peti simpanan suara di studionya?
“Tentu kau tak percaya kan? Aku pun tak harap kau percaya..” Riffki tersenyum sebelum bingkas dari sofa. Kakinya mula melangkah ke suatu arah.
“Kenapa nak jelaskan pada saya?” Soal Nurul Hijjaz tiba-tiba.
Langkah kaki Riffki terhenti. Dia terdiam. Perlahan-lahan dia berpaling lalu menatap Nurul Hijjaz. Renungannya singgah lama di wajah itu.
“Kenapa kau pun nak jelaskan pada aku? Ada perbezaankah antara tanggapan pertama aku pada kau dengan apa yang kau jelaskan?” Senyuman itu singgah lagi. Namun senyuman yang terpamer nampak sinis di mata Nurul Hijjaz. Dia menarik nafas panjang. Melihat Nurul Hijjaz diam sahaja, Riffki memusingkan tubuhnya lalu beredar dari situ.
Nurul Hijjaz hanya mampu memandang lelaki itu beredar ke tingkat atas. Dia tunduk merenung kertas di hadapannya, tapi fikirannya menerawang jauh. Kata-kata Riffki membuatkan dia resah. Apakah lelaki itu tahu apa yang dirasakannya?
Selama ini dia tidak pernah merasai satu perasaan yang aneh sepertimana dia berhadapan dengan Riffki. Bersama lelaki itu, perasaannya saban hari berkecamuk. Adakala dia benci, marah, malah tidak percaya pada lelaki itu. Tapi adakala juga dia menyenangi lelaki itu, merinduinya dalam diam. Dia tidak dapat menahan dirinya dari tertarik pada sifat Riffki yang kasar dan angkuh. Entah apa sebenarnya sudah terjadi padanya agaknya? Sakitkah aku ini? Mengapa hatiku tertarik dengan lelaki sinikal seperti itu?
Deringan ‘true tone’ dari telefon bimbitnya, mengejutkan Nurul Hijjaz. Dia terburu-buru mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja. Melihat nama Hafifah terpapar di skrin telefon, Nurul Hijjaz segera menjawabnya. Beberapa saat mendengar suara Hafifah, wajah Nurul Hijjaz berubah. Dia terduduk lemah bagaikan tidak percaya. Oh tuhan!
* * * *
“Hai sayang, miss me?” Natasya tiba-tiba muncul di situ, tepat di hadapan matanya. Riffki sedikit terkejut, pantas dia bangun. Dia tidak sedar sejak bila Natasya sampai, kerana dia terlena di atas sofa semasa menonton football match di televisyen.
“Tasya, macamana you masuk?” Riffki bertanya sambil menggosok-gosokkan matanya yang terasa sedikit pedih.
“I nampak kereta you tadi, jadi I ingat you pasti ada kat sini. Ha sekarang I dah berdiri di depan you ni.” Jawab Natasya seraya tertawa.
“Teruklah you ni, pintu langsung tak kunci. Kalau ada pencuri macamana? Habis dikautnya semua foto-foto you, baru you tahu.” Natasya tersenyum.
Mata Riffki membulat sebaik mendengar kata-kata gadis itu. Tak kunci? Tiba-tiba dia teringatkan Nurul Hijjaz. Tadi sewaktu dia naik, Nurul Hijjaz masih di bawah menyiapkan kerja-kerjanya. “Masa you masuk tadi, tak ada orang lain?” Riffki bertanya.
Mata Natasya mencerun. Dia memandang Riffki agak curiga. Orang lain? Siapa yang dimaksudkan oleh lelaki itu? “Kenapa? Ada perempuan lain ke kat dalam studio you ni?” Wajah Natasya masam mencuka. Dia mula rasa tidak senang hati.
Riffki dilihatnya termenung panjang, seolah-olah tidak mendengar pertanyaannya. “Riff, apa yang you fikirkan ni?”
Riffki memandang Natasya. Dia yakin, gadis itu langsung tidak tahu apa-apa tentang Nurul Hijjaz. Tapi hatinya merasa curiga. Kenapa Nurul Hijjaz tergesa-gesa pergi tanpa memberitahunya terlebih dahulu? Malah pintu studio tak dikunci seperti selalu, sedangkan gadis itu mempunyai kunci pendua studionya. Tak mungkin Nurul Hijjaz secuai ini kerana selama ini, gadis itu nampak bertanggungjawab orangnya. Ke mana dia pergi sebenarnya, fikir Riffki dalam resah yang berpanjangan.
* * * *
“Bagaimana dengan datuk kak Pipah? Datuk tak apa-apa?” Soal Nurul Hijjaz bertalu-talu dengan wajah cemas. Dia segera berkejar ke situ sebaik menerima panggilan Hafifah. Wajah Hafifah resah. Nurul Hijjaz juga mulai gelisah. Dia sudah tidak sabar mahu tahu.
“Tok Ayah pengsan di biliknya tadi.” Hafifah memberitahu.
“Apa? Pengsan? Hijjaz nak tengok datuk,” sahutnya cemas. Tangan Hafifah pantas memegang pergelangan tangan Nurul Hijjaz, cuba menahannya pergi.
“Datuk Hijjaz masih kat hospital. Maaf sebab kakak tak beritahu awal tadi. Kakak takut kalau kakak beritahu Hijjaz, nanti Hijjaz terus meluru ke hospital. Hijjaz pun tahu kan Tok Ayah tak suka Hijjaz datang?”
Nurul Hijjaz terdiam. Dia terduduk lemah. Airmatanya mulai bergenang di kelopak mata. Hafifah turut melabuhkan diri di sisinya. Bahu gadis itu dipeluk, cuba menenangkan perasaan gadis itu.
“Apa sakit datuk kak?”
Hafifah tidak bersuara. Dia rasa sebak hendak meneruskan kata-kata. Pasti kata-katanya akan membuatkan Nurul Hijjaz bertambah sedih.
“Cakaplah kak,” rayu Nurul Hijjaz. Wajah Hafifah dipandang tepat.
“Menurut doktor, Tok Ayah ada penyakit jantung yang serius. Sebab tu kakak tak bagi Hijjaz ke hospital. Kakak takut kalau Tok Ayah nampak Hijjaz, dia mengamuk lagi. Hijjaz faham kan?” Pujuk Hafifah lembut. Rambut gadis itu dielus-elus perlahan, lagak seorang ibu.
Mendengar kata-kata Hafifah, Nurul Hijjaz tergaman. Sakit jantung? “Kenapa selama ni tak ada orang beritahu Hijjaz yang datuk sakit jantung?”
“Kami pun baru tahu Hijjaz. Dah enam tahun Tok Ayah kat rumah tu, baru hari ni kami tahu. Hijjaz kan kenal Tok Ayah tu. Mana dia nak bercampur gaul dengan orang lain. Makan minum pun kena diasing-asingkan. Kalau tidak berlaparlah datuk Hijjaz tu kalau tak dihantarkan makanan ke biliknya. Sabarlah ya.”
“Apa patut Hijjaz buat kak? Meskipun datuk tak suka tengok Hijjaz, tapi takkan Hijjaz nak biarkan saja dia kat hospital tu seorang diri?”
“Itu Hijjaz jangan risau, Umar dengan Faizal kan ada. Mereka boleh bergilir-gilir temankan Tok Ayah di hospital. Hijjaz jangan bimbang ya. Oh ya, kalau Hijjaz nak tahu fasal Tok Ayah, Hijjaz jumpa doktor Kamal di jabatan ortopedik.” Ujar Hafifah.
“Hijjaz nak tengok datuk kak, tolonglah Hijjaz,” rayu Nurul Hijjaz lagi. Tak sampai hati pula Hafifah melihatnya.
“Kalau betul Hijjaz nak tengok datuk Hijjaz tu pergilah, tapi jangan sampai dia tahu. Kalau tak, entah apa kesannya pada diri dia nanti. Hijjaz faham kan?”
Nurul Hijjaz mengangguk. Dia faham maksud Hafifah. Kalau kedatangannya boleh membahayakan nyawa datuknya, dia rela menatap wajah datuknya dari jauh. Itu sudah cukup baginya.
* * * *
Nurul Hijjaz mengesat pipinya yang masih basah. Dari sebalik cermin kaca, matanya tak putus-putus merenung lelaki tua yang terbaring lesu di katil hospital. Seplastik air terpaksa dimasukkan melalui saluran darahnya. Kata doktor yang merawat, keadaan datuknya masih lemah. Mereka terpaksa menunggunya sedar sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.
Saat itu, Nurul Hijjaz ingin benar berada di samping datuknya. Dia teringin hendak menjaga lelaki itu, teringin untuk menyuapkan bubur, menukarkan baju untuk datuknya malah teringin juga mengusap uban-uban putih di kepala Tok Ayah. Tapi semua itu tak dapat dilakukannya sebagai seorang cucu. Apa ikhtiar yang dia ada supaya kehadirannya diterima lelaki itu? Nurul Hijjaz tidak sanggup kehilangan satu-satunya waris yang masih ada dalam hidupnya. Datuknya, adalah satu-satunya insan yang boleh membuatkan dia rasa hidupnya tidak seorang.
“Jantung datuk cik Nurul bemasalah, perlukan pembedahan injap jantung. Kalau ia lambat dirawat, saya khuatir kesihatannya akan terjejas.” Jelas Doktor Kamal yang merawat datuknya.
“Tolonglah doktor, rawatlah datuk saya dengan apa cara sekalipun. Saya tak kisah asalkan dia sihat sepenuhnya.”
“Insya Allah, itu dah memang tugas saya. Kita ada banyak pakar-pakar jantung di IJN dan saya sendiri telah banyak mengendalikan kes-kes seperti ini. Tapi sebelum itu biarlah saya jelaskan pada cik Nurul, bahawa pembedahan ini mungkin memakan kos yang agak tinggi juga.” Jelas Doktor Kamal.
“Kos? Berapa?” Nurul Hijjaz memasang telinga.
“Saya anggarkan antara lima puluh ribu hingga tujuh puluh ribu.”
Nurul Hijjaz terkedu. Liam puluh hingga tujuh puluh ribu? Mana dia nak cari wang sebanyak itu? Simpanan dia di bank pun tak sampai lima belas ribu. Dia meraup wajahnya. Fikirannya benar-benar rungsing.
“Hijjaz.” Nurul Hijjaz tersentak. Dia berpaling. Hafifah datang bersama Faizal, salah seorang petugas di rumah warga tua.
“Kak, abang Faizal…” Nurul Hijjaz menyapa.
“Apa doktor cakap?” Faizal memandang gadis di hadapannya.
“Doktor kata, datuk kena buat pembedahan pemindahan injap jantung. Hijjaz dah sain surat kebenaran. Minggu depan datuk akan dipindahkan ke IJN.”
“Berapa kos pembedahan?” Soal Faizal lagi. Dia memang mengetahui perkara itu kerana beberapa tahun yang lalu, ibunya juga pernah menjalani pembedahan jantung di IJN. Dia tahu kosnya tentu tidak mudah.
“Doktor Kamal cakap tadi antara lima puluh hingga tujuh puluh ribu.” Balas Nurul Hijjaz perlahan. Hafifah dan Faizal saling berpandangan.
“Hijjaz ada duit tu?’ Soal Hafifah.
Nurul Hijjaz terdiam. Dia memandang kedua-duanya silih berganti. Seketika kemudian dia tersenyum. “Tak usahlah abang dan kakak bimbang, Hijjaz akan usahakan.”
Hafifah mengeluh. Dia tahu tak mungkin Nurul Hijjaz mampu mengadakan duit sebanyak itu. Dia hendak menolong pun dia sendiri tidak berkemampuan.
“Hijjaz jangan bimbang, nanti kami bincang dengan pengetua, tengok kalau-kalau dia boleh bantu. Mungkin kita boleh adakan kutipan derma,” cadang Faizal. Dia mengerti hati gadis itu rungsing.
Nurul Hijjaz mengangguk. Dadanya kian sebak. Dia tidak mampu menahan airmata yang kian lebat menitis. Dia rasa takut. Takut kehilangan orang yang disayanginya. Oh tuhan, jangan kau rampas satu-satunya insan yang ada dalam hidupku.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!