Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 24


            Kaki Duha Maisara melangkah tenang masuk ke wad psikiatrik itu. Beberapa sukarelawan yang bersamanya, ada yang kelihatan takut-takut. Malah seorang gadis tak berenggang-renggang memegang tangannya, sejak pertama kali menjejakkan kaki ke situ. Duha Maisara hanya tersenyum memerhatikan gelagat gadis di awal usia 20an itu.

            “Takutlah Lily kak,” ujar gadis itu separuh berbisik.

            Duha Maisara tertawa kecil. Kalau takut, kenapa datang juga menjadi sukarelawan, detik hati Duha Maisara.

            “Kalau bukan sebab doktor Zafran, tak mahulah Lily ke sini. Tentu malam ni Lily tak boleh tidur,” ujar gadis itu lagi. Mendengar nama Zafran disebut, Duha Maisara seakan tersentak. Betulkah kerana Zafran, maka gadis itu sanggup mengikutnya sehingga ke mari?

            Duha Maisara tersenyum tiba-tiba. Selama ini dia tidak pernah menduga bahawa dalam-diam Zafran mempunyai peminat sendiri.

            “Akak kenal dengan doktor Zafran?” Tanya gadis itu tiba-tiba.

            Duha Maisara menggeleng. Dia acuh tak acuh memandang gadis itu.

            “Ha itu pun doktor Zafran. Handsome kan kak?” Gadis itu menunjukkan ke suatu arah. Duha Maisara menoleh. Zafran memang kelihatan kacak berbaju putih labuh menutup kemeja yang dipakainya di sebelah dalam.

            “Adik ni kenal macamana dengan doktor Zafran?” Giliran Duha Maisara pula menyusun buah bicara.

            “Kenal masa dia datang ke universiti tempohari, beri taklimat fasal kerja sukarela ni. Lily dan kawan-kawan tertarik dengan ‘speech’ dia, sebab tu kami nak join. Akak ni dari universiti mana?”

            Duha Maisara terdiam. Terkedu dia jadinya bila gadis itu menanya dia dari universiti mana. Sedangkan dia hanya lepasan STPM yang hanya bekerja di kedai buku pada hari siang dan berlabuh di Blue Ocean bila malam menjelma.

            “Kakak tak sempat habis belajar dik,” jawab Duha Maisara akhirnya. Gadis itu terdiam. Lama dia merenung ke wajah Duha Maisara yang nampak muram.

            “Maaf kak, Lily tak sepatutnya tanya.” Ujar Lily serba-salah.

            “Tak apa, memang salah kakak. Kakak yang malas belajar, sebab tu kakak tak ke mana. Lily dah ada peluang belajar di menara gading, Lily belajarlah bersungguh-sungguh ya. Jangan sia-siakan peluang yang ada,” nasihat Duha Maisara.

            “Insya Allah kak, Lily tahu bukan senang nak belajar di universiti ni. Lily akan berusaha sungguh-sungguh,” janji gadis itu.

            Tanpa sedar, Zafran sudah ada di belakang Duha Maisara, mendengar setiap inci bicara kedua gadis itu. Entah mengapa, mendengar nada suara sedih bertamu di bibir gadis Duha Maisara, Zafran mengeluh. Apakah selama ini Duha Maisara benar-benar sedih kerana tak dapat melanjutkan pelajaran meskipun cemerlang dalam STPM? Meksipun airmuka itu sentiasa riang di hadapannya, namun siapa yang tahu jika hati Duha Maisara menyimpan seribu kepahitan selama hidup dengannya.

            “Abang nak Duha sambung belajar.” Tegas keputusannya.

            “Tak boleh. Selagi Yan tak habis belajar, Duha tak boleh lanjutkan pelajarannya,” bantah ayahnya Bustaman.

            Dia memandang lelaki itu berkali-kali. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

            “Ayah, ini masa depan Duha sendiri. Tak ada kena mengena dengan masa depan Yan. Ayah tak boleh halang Duha dari sambung belajar.”

            “Siapa kata aku tak boleh? Dia kena ikut aku keluar bekerja. Jika tidak, mana datangnya duit untuk belikan buku-buku kamu dan sediakan duit belanja untuk kamu di universiti?”

            “Duit biasiswa Yan dah cukup untuk menampung kehidupan Yan. Jika berjimat, Yan masih mampu membeli buku-buku dan peralatan lain.” Dia berkeras. Entah kenapa hatinya benar-benar mendidih kerana ayahnya tidak mengizinkan Duha Maisara menyambung pelajaran.

            Dia memandang Duha Maisara yang hanya tunduk sejak tadi. Kebisuan Duha Maisara sedikit sebanyak merenggut kesedihannya.

            “Abang tetap nak Duha sambung belajar, jangan sia-siakan masa depan Duha demi abang,” bisiknya sayu.

            Perlahan-lahan Duha Maisara memanggung kepalanya. Mata gadis itu basah dengan airmata, namun bibirnya tenang mengukir sebuah senyuman.

            “Abang, cakap ayah tu betul. Duha bukannya pandai sangat belajar, lagipun kos pengajian abang di universiti tu mahal. Duha kasihan tengok ayah berhempas-pulas sorang-sorang untuk mencari duit. Tambah Duha seorang lagi, tentu ayah makin susah. Biarlah Duha bekerja dulu, ada peluang nanti Duha akan sambung belajar.” Ucap Duha Maisara sayup-sayup di pendengaran Zafran.

            Dia memejamkan matanya. Kelopak matanya terasa pedih. Entah kenapa kata-kata itu bagaikan baru semalam didengarnya, padahal sudah lima tahun berlalu. Dia membuka matanya, terpandang seraut wajah lembut yang sedang membantu menukar cadar katil pesakit. Wajah Duha Maisara kelihatan ceria. Namun apakah hatinya juga seceria wajahnya?

            Terlalu besar pengorbanan Duha Maisara terhadapnya selama ini. Mana mungkin dia mampu melupakan pengorbanan sebesar itu dari seorang gadis setulus Duha Maisara. Kehadiran Duha Maisara adalah sinar dalam kehidupannya yang tandus di sisi ayahnya. Kerana itu Zafran dalam diam-diam menanam ikrar mahu menyunting gadis itu suatu hari nanti. Akan dipastikan Duha Maisara menjadi miliknya.        Tak akan dibiarkan walau sezarah duka melewati hidup gadis itu lagi. Itu janjinya sejak dulu.

*  *  *  *

            Selepas menukar cadar baru, Duha Maisara membantu pula mengumpulkan cadar-cadar lama untuk dibasuh. Sesekali dia berbual-bual kosong dengan Lily yang lebih suka menemaninya melakukan kerja-kerja mengemas dan membasuh, berbanding mengawasi pesakit-pesakit untuk dibuat pemeriksaan.

            Sedang Duha Maisara asyik dengan kerjanya, deringan telefon di dalam beg sandangnya berbunyi minta diangkat. Dia mengerutkan dahinya. Hairan. Bukankah telefonnya tercicir entah ke mana. Namun dia membelek jua beg sandangnya, lalu mencari-cari telefon itu. Seketika senyuman kecil terukir di wajah Duha Maisara.

Entah sejak bila Zafran meletakkan telefon bimbitnya di dalam beg sandangnya. Namun panggilan itu tidak segera diangkat. Hatinya berkira-kira seketika. Perlukah aku jawab panggilan untuk Zafran? Dia merenung nombor yang terpapar di skrin. Nombor itu wujud tanpa nama pemanggil. Ah! Baik aku jawab. Manalah tahu ada panggilan penting untuk Zafran.

Dia segera meninggalkan Lily, untuk menjawab panggilan telefon. Namun belum sempat Duha Maisara mahu menyapa, dia mendengar suara di hujung talian.  Serta-merta tubuh Duha Maisara gementar. Ayah! Suara lelaki itu cemas, meminta Zafran segera menemuinya segera di rumah malam nanti.

“Yan, ayah benar-benar perlukan pertolongan kamu. Kali ini saja Yan, tolonglah ayah,” rayu lelaki itu cemas.

Menitik airmata Duha Maisara mendengar suara lelaki itu. Perlahan-lahan telefon bimbit milik Zafran disimpan kembali dalam beg sandangnya. Dia kegelisahan. Entah masalah apa lagi yang melanda lelaki itu. Sejak dulu hingga kini, hidup lelaki itu tak pernah surut dengan masalah. Entah bila ayah mahu berubah! Keluh Duha Maisara sendirian.

Duha Maisara memandang Lily yang masih ralit dengan kerjanya. “Lily, kakak nak balik dulu, ada hal penting. Lily sambunglah kerja tu sampai sudah ya,” pesan Duha Maisara. Gadis itu hanya mengangguk sambil melambaikan tangan ke arahnya.

Mulanya Duha Maisara ingin segera beredar, namun mengenangkan Zafran, dia membatalkan hasratnya. Tak fasal-fasal dia dimarahi lelaki itu jika beredar tanpa meninggalkan pesan. Duha Maisara segera memanjat tangga ke tingkat satu. Dia ingin mencari Zafran di situ, apatah lagi dia tahu ‘team’ lelaki itu berada di situ untuk membuat pemeriksaan kesihatan ke atas pesakit-pesakit di situ.

“Doktor ada nampak doktor Zafran?” Soal Duha Maisara pada seorang doktor wanita yang sedang memeriksa pesakit.

“Doktor Zafran? Kalau tak salah, tadi dia naik ke tingkat atas berjumpa dengan supervisor institusi rawatan ni. Cuba adik cari dia di situ,” jawab doktor wanita bertudung litup itu. Tanpa berlengah, Duha Maisara segera menapak ke tingkap atas. Dia ingin segera mencari Zafran. Namun puas mencari, kelibat bayang Zafran langsung tidak kelihatan.

Duha Maisara mengeluh panjang. Entah kemana lelaki itu menghilangkan diri? Dia ingin turun semula ke tingkat bawah namun langkahnya tidak jadi diatur sebaik terdengar suara jeritan berkumandang memenuhi ruang institusi itu. Duha Maisara tergaman. Entah kenapa, hatinya rasa tertarik untuk mencari arah suara itu.

Perlahan-lahan Duha Maisara melewati setiap bilik. Setiap ruang diintai cuba mencari suara yang dimaksudkan. Melihat beberapa jururawat bergegas ke sebuah bilik, entah kenapa rentak kaki Duha Maisara turut berubah. Dia segera berlari-lari anak ke bilik tersebut.

Dari hujung pintu yang sedikit renggang, Duha Maisara melihat Zafran dan beberapa petugas institusi itu cuba menenangkan seorang pesakit yang sedang meronta-ronta. Suara perempuan itu mendesah kuat, sambil cuba melepaskan diri dari pegangan petugas-petugas institusi itu. Rambut perempuan itu kusut masai menutup dahinya.

“Pegang dia, saya nak beri dia suntikan,” ujar Zafran pada dua petugas lelaki di sampingnya. Namun belum sempat Zafran mahu menyuntik tubuh perempuan itu, tiba-tiba perempuan itu menerpa ke arah Zafran, menyebabkan lelaki itu tersungkur jatuh.

“Abang!” Duha Maisara terjerit. Terkejut dengan apa yang berlaku. Zafran berpaling ke arahnya. Melihat Duha Maisara menerpa masuk, Zafran tercengang.

Namun langkah Duha Maisara terhenti sebaik terpandang sepasang mata merenungnya dari celah-celah rambut yang berjuntai. Tubuhnya tiba-tiba gementar. Kakinya pula seakan dipaku di lantai. Dan untuk seketika Duha Maisara bagaikan ingin pitam.

*  *  *  *

            “Apa pakcik nak buat pada Hana?” Dia bertanya dengan nada resah.

            “Apa aku nak buat pada kau? Aku nak jual kau kat seberang, biar kau jadi hamba abdi kat sana. Supaya kau jangan sesekali menjengukkan muka kau di sini lagi.” Lelaki itu ketawa terkeheh-keheh diikuti deraian tawa teman-temannya.

            “Tolonglah pakcik, jangan buat Hana macam ni. Hana tak mahu kena jual. Hana nak jumpa dengan mak.”

            “Dah aku katakan mak kau dah mampus. Sekarang giliran kau pula akan terima nasib  yang sama. Cepat Bim, bawa budak perempuan ni ke pelabuhan. Malam ni juga dia mesti dibawa ke seberang,” arah lelaki itu.

            Raihana mengundur selangkah dua. Dua lelaki yang menjadi orang suruhan lelaki itu perlahan-lahan hampir ke arahnya. Dia cuba menjerit, sepantas kilat mulutnya ditekup dengan tapak tangan kasar.

            “Oh nak jerit, kau ingat kalau kau jerit, orang akan dengar dan tolong kau. Sayang, ini kebun getah kat sempadan. Takkan ada orang dengar kalau kau menjerit sehingga keluar anak tekak sekalipun,” herdik salah seorang lelaki itu sambil tergelak besar.

Raihana terpegun. Dia memejamkan matanya. Nasibnya bagai di hujung tanduk. Dia tahu apa yang boleh dilakukannya hanyalah berserah pada Allah. Selain itu, dia tiada ikhtiar lain. Menangis airmata darah sekalipun, lelaki-lelaki itu takkan simpati padanya.

Sebaik tubuhnya dihenyak di belakang lori kecil dengan mata tertutup, dia dapat mendengar enjin lori itu dihidupkan. Terjelepuk di suatu sudut dengan tangan dan mata yang tertutup, badannya kebas-kebas. Dari jarak perjalanan, dia tahu sudah berjam-jam kenderaan itu bergerak di atas jalan raya. Otaknya mula mencari ikhtiar.

Dia mula menggesel-geselkan kain penutup mata dengan hujung besi dalam lori tersebut. Beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya.

Matanya mendongak memerhatikan suasana yang sudah bertukar malam. Remang-remang senja kelihatan di dada langit. Bulat matanya memerhatikan sekitar ruang dalam lori itu. Akhirnya matanya menemui sebuah botol pecah. Dengan botol itulah dia cuba membuka ikatan tangannya. Mujurlah tangannya diikat di hadapan, bukannya di belakang.

Sebaik ikatan di tangannya terlerai, dia segera menyelak kain penutup lori. Dadanya berdebar-debar. Entah kenapa dia jadi takut untuk terjun. Bagaimana kalau nyawanya setakat malam itu sahaja. Tiba-tiba tanpa sedar, kakinya terlanggar sekotak kayu yang terletak di hujung sudut. Dia tergaman melihat isi kotak bertaburan jatuh di atas permukaan jalan raya. Serentak, lori itu dibrek mengejut.

Mendengar bunyi derapan sepatu tergesa-gesa turun dari badan lori, tanpa membuang masa dia segera melompat turun dari lori. Tanpa berlengah, dia berlari sekuat hati ke arah hutan kecil di tepi jalan. Melihat kelibat kecil Raihana yang semakin jauh melarikan diri, kedua-dua lelaki itu tergaman.

“Bodoh! Kejar dia, jangan sampai dia lepas!” Jerit salah seorang lelaki itu. Kedua-dua lelaki itu segera mengejarnya sehingga ke dalam kawasan hutan. Larinya semakin laju. Dia tidak boleh membiarkan dirinya ditangkap sekali lagi. Dia mahu pulang mencari ibunya.

Melihat jalan keluar di hadapannya, hatinya lega. Harap-harap ada kenderaan yang lalu lalang di situ sudi membantunya. Tanpa berfikir panjang, dia segera meluru pantas ke arah jalan besar di hadapannya. Sebuah van sederhana besar sedang meluncur laju ke arahnya. Dia tergaman. Serentak dia memejamkan mata sekuat hati. Tak lama kemudian, tubuhnya terasa dilambung dan dia tercampak jauh ke hadapan. Matanya sayup-sayup memandang. Pandangannya kian berbalam. Namun derapan-derapan sepatu terdengar jelas di telinganya. Oh tuhan, ambillah nyawaku jika itu yang Kau inginkan terjadi. Dia pasrah.

            Duha Maisara terjaga dari tidurnya. Matanya terbeliak. Dadanya turun naik  seperti sesak nafas. Dia cuba bertenang. Wajahnya diraup dengan kedua belah tangan. Namun keresahan hatinya langsung tidak mahu hilang. Mimpi itu datang lagi. Bertahun lalu dia cuba menghalau mimpi ngeri yang kerap dialaminya. Terlalu dia berusaha, akhirnya dia mampu tidur tenang. Namun hari ini, mimpi itu datang kembali.

Dia teringat peristiwa di institusi rawatan mental siang tadi. Renungan wanita itu sampai sekarang membuatkan dia sukar mahu melelapkan mata semula. Tubuhnya tiba-tiba gementar. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba keadaannya menjadi begitu, namun semuanya berpunca dari wanita itu.

“Mustahil!” Tanpa sedar bibir Duha Maisara berbisik sesuatu. Dia sendiri terkejut dengan kata-katanya. Apa yang mustahil sebenarnya? Mustahil kerana wajah wanita di pusat rawatan mental seiras dengan ibunya, atau mustahil kerana selama dua belas tahun ini, dia hidup dengan fikiran bahawa ibunya sudah meninggal dunia? Oh tuhan, dugaan apakah yang ingin kau berikan padaku di saat aku terasa diriku begitu lemah dan kerdil di sisiMu.

Apakah wanita itu benar-benar ibuku ya Allah? Mungkin selama ini aku dibohongi oleh mereka. Kami dipisahkan oleh keadaan yang memaksa. Ya Allah tunjukkan aku jalan keluar. Jika benar dia ibuku, berilah aku kekuatan untuk menghadapi keadaannya. Tak putus-putus Duha Maisara. Apa yang diharapkan hanyalah satu kebenaran. Dan dia bertekad mahu menyelongkar kebenaran itu mulai saat itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!