Followers

Saturday, September 11, 2010

Hujan Rindu : Bab 14

Dari hari ke sehari Anum Dahlia mula berubah menjadi pendiam. Dia sudah tidak banyak cakap seperti dulu. Makannya juga tidak berselera, membuatkan hati Nek Jah dihimpit kerisauan. Gadis itu kerap termenung bagaikan memikirkan sesuatu. Kadangkala Nek Jah melihat Anum Dahlia duduk tegak bagaikan patung di buaian gantung di halaman rumah.

“Cubalah abang aji tengok apa yang tak kena dengan budak Anum tu. Risau saya dibuatnya bang aji.” Ujar Nek Jah. Sekejap-sekejap matanya menjeling kelibat gadis itu. Sudahlah makan gadis itu sedikit sahaja sejak dua menjak ini. Kadang-kala dia terfikir, apakah Anum Dahlia sedang sakit?

Tok Anjang terdiam. Dia asyik memerhatikan reaksi Anum Dahlia yang kelihatan kaku, tidak bersemangat sejak akhir-akhir ini. Jauh berbeza dari mula-mula gadis itu datang dulu.

“Awak ada suruh Zurin tanyakan pada dia?”

“Dah, tapi dengan Zurin pun dia tak banyak cakap. Lagipun saya tak nak ganggu Zurin. Budak tu kan tengah sibuk dengan peperiksaan SPM.” Ujar Nek Jah.

“Tak apalah Jah, aku nak kebun dulu. Banyak pisang kita yang dah berbuah.”

“Habis Anum macamana?”

Tok Anjang acuh tak acuh, terus turun ke bawah. Dia sempat merenung ke arah Anum Dahlia yang seakan tidak menyedari kehadirannya di situ. Rungsing hati Tok Anjang melihat Anum Dahlia begitu. Sudahnya dia kembali semula ke muka pintu.

“Jah…Jah…keluar sekejap.” Laung Tok Anjang. Tergesa-gesa Nek Jah keluar dengan raut wajah cemas.

“Kenapa bang aji?”

“Tolong ambilkan aku helmet dekat atas peti sejuk tu.” Arah Tok Anjang.

“Nak buat apa?” Nek Jah kelihatan hairan.

“Ala kamu ni Jah, aku suruh tu pergi ajelah ambil. Banyak soal pula dia,” rungut Tok Anjang sedikit geram. Terkocoh-kocoh Nek Jah menghilangkan diri, sebelum muncul semula beberapa minit kemudian bersama helmet di tangannya.

“Abang aji nak buat apa ni?” Soal Nek Jah lagi tidak puas hati.

Setelah helmat bertukar tangan, Tok Anjang segera menghidupkan enjin motosikalnya. Deruman motosikal yang membingitkan telinga itu, membuatkan Anum Dahlia memandang ke arah Tok Anjang yang sudah mengenakan helmet. Mata lelaki itu mengisyaratkan agar dia datang dekat.

“Anum, kamu ikut aku.” Arah Tok Anjang seraya menyerahkan helmet yang satu lagi kepada gadis itu.

“Ke mana datuk?” Anum Dahlia tercengang. Begitu juga dengan Nek Jah yang kelihatan hairan di muka pintu.

“Kamu ni macam nenek kamu tu jugak, banyak soal. Aku kata ikut tu, ikut ajelah. Daripada kamu asyik termenung macam tu, lebih baik kamu ikut aku kutip pisang di kebun,” getus Tok Anjang.

Anum Dahlia memandang Tok Anjang dengan perasaan ragu-ragu. Namun melihat wajah orang tua itu serius, dia mengagahi dirinya membonceng di belakang Tok Anjang.

Namun sebaik kebun pisang dilewati, motorsikal Tok Anjang terus meluncur laju meninggalkan tapak kebun pisangnya. Anum Dahlia semakin hairan. Ke mana lelaki tua itu hendak membawanya pergi?

“Datuk, kita nak ke mana ni?” Laung Anum Dahlia, cuba melawan desir angin yang menderu di belakang telinganya. Tok Anjang seperti tidak mendengar, terus melajukan motornya.

Tanpa disangka-sangka, mereka sampai ke pekan terdekat. Ketika motorsikal Tok Anjang berhenti di sebuah kedai kain, Anum Dahlia memandang lelaki tua itu tidak berkelip. Kenapa lelaki itu membawanya ke sini? Mahu membeli kain untuk nenek barangkali! Canda hati kecilnya.

“Kenapa datuk bawa Anum ke sini?” Soal Anum Dahlia.

“Aku nak kamu pilih kain sepasang dua dekat kedai tu.” Suruh Tok Anjang.

“Untuk siapa datuk?”

“Untuk siapa lagi, untuk kamulah.”

Anum Dahlia terpempan. Aku salah dengarkah? Matanya dikeip-kelipkan. Dia memandang Tok Anjang bagaikan tidak percaya.

“Datuk, kenapa datuk suruh Anum pilih kain? Datuk dah tak suka Anum tinggal kat sini lagi?” Teka Anum Dahlia sedikit cemas. Hatinya tergugat dengan saranan lelaki itu, bimbang dirinya disuruh pulang ke tempat asalnya.

Bulat mata Tok Anjang mendengar kata-kata Anum Dahlia. Apa kena dengan budak ni? Disuruh pilih kain, tapi disangkanya aku nak menghalaunya pula. Apa kata-kata aku tidak cukup jelaskah?

“Aku cuma nak hadiahkan kamu kain untuk dibuat baju kurung. Berbulu mata aku tengok kamu asyik dengan t-shirt dan jeans. Bukankah lebih bagus kalau kamu berbaju kurung seperti semasa majlis tempohari. Tentu lebih manis anak gadis kelihatan jika berbaju kurung,” ujar Tok Anjang, cuba menerangkan letak duduk perkara sebenarnya.

Barulah Anum Dahlia faham cerita sebenar. Cemas juga dia bila menyangkakan Tok Anjang mahu menghalaunya pergi. Tapi mengenangkan sikap Tok Anjang hari itu, sedikit sebanyak dia diterpa rasa hairan. Kenapa datuk tiba-tiba sahaja berubah baik dengannya? Bukankah selama ini orang tua itu sering bersikap acuh tak acuh dengannya? Mimpi apakah dia semalam?

“Ha tunggu apa lagi? Pergilah pilih kain tu. Setakat seratus dua tu, aku ni masih mampu lagi. Jangan lupa pilih sepasang untuk nenek kamu.” Suruh Tok Anjang. Mahu tak mahu, Anum Dahlia segera melangkah menuju ke arah kedai kain yang agak besar itu. Dalam kawasan pekan itu, Kedai Kain Tat Seng itu sajalah yang terbesar sekali berbanding kedai-kedai lain.

“Anum tak pandailah nak pilih-pilih kain ni datuk.” Keluh Anum Dahlia. Hampir rabun matanya mahu memilih. Lagipun semuanya nampak cantik, semuanya nampak menarik.

“Kamu ni perempuan ke apa? Takkan sekadar nak memilih kain pun sampai tak reti,” giliran Tok Anjang pula merungut. Namun tangannya sibuk sekali menyentuh beberapa helai kain yang masih berada dalam gulungan kayu.

“Susah-susah sangat, ambil aje yang ni. Kain ni pun boleh tahan cantik.” Suruh Tok Anjang seraya mengangkat sedikit kain yang sedang disentuhnya. Anum Dahlia tersenyum lalu mengangguk setuju. Lagipun kain pilihan Tok Anjang itu nampak cantik, dan dia sendiri pernah membelek-belek kain tersebut sebentar tadi.

* * * *

Anum Dahlia berlari-lari anak menghampiri Tok Anjang yang sedang leka memerhatikan beberapa anak kecil yang ralit bermain di taman permainan itu. Menyedari kehadirannya, Tok Anjang mengalihkan pandangannya ke arah Anum Dahlia yang kelihatan semput.

“Kenapa kamu berlari?”

“Kalau tak berlari, nanti cair pulak aiskrim ni.” Balas gadis itu seraya menyerahkan sebatang aiskrim kon ke arah Tok Anjang.

“Apa ni?” Tok Anjang kelihatan ragu-ragu.

“Aiskrim. Datuk dah belikan Anum kain baju kurung. Sekarang giliran Anum pula belanja datuk makan aiskrim. Ambillah datuk, rugi kalau tak rasa. Sedap ni,” sua Anum Dahlia.

Tok Anjang merenung batang aiskrim perasa coklat di tangan Anum Dahlia. Lambat-lambat dia mengambil juga aiskrim itu. Sambil makan, mata Tok Anjang asyik mengerling ke arah Anum Dahlia yang asyik menjilat aiskrimnya. Pelik betul budak ni. Tadi monyok semacam, sekarang dah dapat kain…dapat aiskrim… terus muka yang monyok tadi hilang entah ke mana.

“Kamu suka tinggal di kampung tu?” Soal Tok Anjang tiba-tiba sambil turut menikmati aiskrimnya sendiri.

“Tentulah suka,” Jawab Anum Dahlia acuh tak acuh.

“Habis mak ayah kamu bagaimana? Kamu tak rindukan mereka?”

Suapan Anum Dahlia terhenti. Dia memandang lelaki itu agak lama. “Takkan Anum tak rindukan mereka. Mereka kan ibu bapa Anum.” Ujarnya muram.

“Kenapa aku tak pernah nampak sekali pun kamu telefon orang tua kamu? Mereka pun tak pernah telefon ke mari. Apa mereka tahu kamu di sini?” Soalan Tok Anjang tidak berniat apa-apa. Dia sekadar bertanya untuk memulakan perbualan dengan anak gadis itu.

“Mestilah mereka tahu datuk. Kadang-kala telefon atau tidak, bukan bermakna Anum tak ingatkan mereka. Cuma Anum bimbang, kalau Anum telefon…hati Anum ni akan berkeping-keping sebab terlalu rindu.” Keluh Anum Dahlia.

Tok Anjang terdiam. Entah kenapa kata-kata gadis itu membuatkan perasaannya terbuai. Ada sesuatu yang mencelah di dalam lipatan hatinya, tapi dia tidak tahu apa dia. Yang nyata, dirinya memahami istilah ‘rindu’ yang disebut oleh Anum Dahlia. Hatinya sudah terlalu lama merindui seseorang. Tapi orang yang dirindukan itu tidak pernah mahu pulang ke mari lagi. Hatinya benar-benar kecewa.

“Datuk tahu apa Anum buat kalau Anum rindukan mama dan baba?” Mata itu memandangnya. Tok Anjang menggelengkan kepala.

“Setiap kali Anum rindukan mereka, Anum akan dongakkan wajah Anum ni memandang langit luas. Sambil tu Anum akan pejamkan mata Anum dan fikirkan tentang mereka. Anum bayangkan yang mama dan baba berada di atas langit sana, sedang memandang Anum yang di bawah ni.” Ujar Anum Dahlia seraya tertawa kecil.

Tok Anjang hanya mampu menggelengkan kepala dengan kata-kata Anum Dahlia. Macam-macam hal! Namun dia terfikir juga, mungkinkah gadis itu muram kerana rindu pada orang tuanya? Lagipun sudah hampir 3 minggu Anum Dahlia menetap di rumahnya.

“Terus terang dengan aku, kamu buat muka empat belas tu sebab rindu nak balik ke rumah kamu?” Duga Tok Anjang.

Anum Dahlia terdiam. Dia tahu semua orang perasan dengan perubahannya yang tidak banyak cakap sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa, ada banyak benda yang difikirkannya sejak akhir-akhir ini. Semua perkara tentang mamanya menyesakkan dadanya tanpa dia sedar. Ditambah pula dengan Yuzer yang hilang begitu sahaja secara tiba-tiba.

Entah kenapa, tiba-tiba saja dia rindu pada kehadiran Yuzer yang sering mencari fasal dengannya. Menurut Zurin, semasa majlis malam itu Yuzer terpaksa bergegas balik ke Kuala Lumpur malam itu juga. Sedikit sebanyak dia rasa kecewa kerana Yuzer pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal.

* * * *

Emir sampai agak lewat di pejabat hari itu. Tergesa-gesa dia masuk dengan membimbit briefcasenya. Entah apa malangnya dia hari itu, keretanya tiba-tiba meragam. Sudahlah begitu, susah pula dia hendak mendapat teksi di tengah-tengah jalan Federal yang sentiasa sibuk. Hendak menelefon Yuzer, temannya itu langsung tidak mahu mengangkat telefon.

“Hai baru sampai Encik Emir?” Tegur Sherina yang kebetulan baru hendak keluar.

“Kereta saya rosak Sherina. Encik Yuzer ada di biliknya?”

“Ada tapi mood dia nampak tak baik. Baru tadi Hafsham kena bambu dengan si kepala angin tu.”beritahu Sherina sambil menjeling ke arah bilik Yuzer yang tertutup rapat. Sebelum dia juga kena, baik dia keluar jumpa klien awal-awal.

Emir mengerutkan dahinya. Apa kena dengan Yuzer ni? Sejak balik dari kampung beberapa hari yang lalu, sikap panas baran Yuzer semakin menjadi-jadi. Orang lain bercuti, pulang dengan wajah ceria tersenyum. Dia pula pulang dengan wajah masam mencuka.

Perlahan-lahan dia menghampiri bilik lelaki itu lalu diketuk. Sesaat dua menunggu, dia mendengar suara Yuzer mengarahkannya masuk. Emir segera menolak daun pintu. Yuzer kelihatan memegang kepalanya. Wajah lelaki itu tampak runsing.

“Kenapa baru sekarang nampak batang hidung kau?” Soal Yuzer ketika melihat Emir. Lelaki itu hanya tersenyum seraya menarik kerusi di hadapannya.

“Kereta aku rosak tengah highway tadi. Nak dapat teksi punyalah susah.”

“Kenapa tak call aku?”

“Dah tapi kau tak angkat.”

Yuzer tercengang. Dia mencari-cari telefon bimbitnya dari dalam poket, namun tak berjumpa. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Laci di mejanya ditarik keluar, sebelum dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam laci. Skrin telefon dipandang sepintas lalu.

“Sorry, aku silentkan telefon ni tadi sebab ada discussion dengan pihak Rainbow Lighting Sdn Bhd.” Ucap Yuzer.

“So macamana. Jadi kita ambil set lampu tu?”

“Jadi, aku dah pilih ikut senarai yang mereka hantar tu. Aku rasa ia sesuai dengan stail ‘decoration’ yang kita guna pada banglo Engku Ismail tu.. Dah tak banyak kerja, cuma tinggal bahagian dapur saja. Aku dah suruh pekerja kita pasangkan kabinet ‘modular’ pada bahagian dapur. Lebih senang untuk dicerai atau dipindahkan.”

“That’s good, lagipun orang tua tu susah sikit nak dilayan. Hari ni dia kata macam ni, esok lusa dia kata lain pula. Kabinet ‘modular’ rasanya lebih sesuai, at least takkan merosakkan dinding nanti.”

Yuzer hanya diam. Dia menjeling jam di dinding biliknya. “Aku nak keluar minum ni, kau nak join?”

“Hai bukankah baru pukul 11 ni.”

“Jomlah, banyak soal kau ni,” rungut Yuzer seraya menarik kot yang tersidai di kepala kerusi. Mahu tak mahu, Emir terpaksa jua mengikut.

* * * *

Yuzer memandu sehingga ke Desa Seri Hartamas. Emir di sampingnya sesekali menjeling wajah Yuzer yang agak serius. Entah ke mana arah tujuan anak muda itu agaknya? Namun dia malas bertanya. Dibiarkan saja dirinya dibawa oleh Yuzer.

Lima belas minit memandu, akhirnya keretanya dibelokkan ke suatu arah. Terpegun Emir melihat arah tujuan mereka. Kata nak minum tadi, tapi kenapa sampai ke Little Bali?

“Apa kita buat kat sini Yuzer?” Terlepas jua soalan itu dari mulut Emir. Yuzer hanya tersenyum. Kakinya diatur melangkah masuk ke dalam restoran Little Bali yang terletak di kawasan Bukit Kiara itu.

Sebaik mengambil tempat duduk, mereka memesan set makanan bersama minuman.

“Sebenarnya kenapa kita di sini Yuzer? Kalau setakat nak minum, warung di depan pejabat kita tu boleh.” Ulang Emir, tidak puas hati.

“Saja nak cari kelainan. So what do you think about this place?” Tanya Yuzer, cuba meminta pandangan Emir tentang restoran itu.

Emir memandang di segenap ceruk restoran. Dia sudah faham maksud kedatangan Yuzer. Sejak dulu hingga sekarang, Yuzer tidak pernah melepaskan peluang untuk belajar menilai hasil kerja designer lain.

“Secara overall, aku suka hiasan dalaman restoran ni. Semuanya ada ciri-ciri Bali termasuk kayu jati dan cengal yang semuanya ditempah dari Indonesia. Dekorasinya kreatif dan kemas, padan dengan konsep yang dibawa. Tempayan-tempayan yang disusun di penjuru sudut juga nampak ‘fix and match’ dengan dinding.” Jelas Emir.

Yuzer hanya tersenyum mendengar penjelasan Emir. Tak sia-sia dia dan Emir menjadi rakan kongsi, apatah lagi dia juga setuju dengan pendapat itu.

“Bukan itu saja, restoran ini juga ada kelebihan dari sudut hiasan landskap kolam air pancut. Hiasan tempayan sudah lama sebati dengan konsep Bali. Ada pelanggan baru kita nak buka sebuah restoran baru yang juga berkonsepkan Bali di Bangsar. Tapi aku nak cuba yakinkan dia yang konsep melayu tradisional lebih menarik.” Ujar Yuzer.

“Dia juga minta nak gunakan perabut yang dibuat dari kayu oak dan maple.” Sambung Yuzer lagi.

“Hish mahal tu, lagipun susah kita nak cari kayu tu. Kena import dari luar. Satu kita terpaksa menanggung kos yang mahal, satu lagi kemungkinan besar masalah kastam.” Rungut Emir.

“Sebab tu aku rancang nak gunakan kayu nyatoh. Apa pendapat kau?”

“Nyatoh?”

“Ya nyatoh, kualiti nyatoh sama dengan kualiti kayu oak, maple dan juga walnut.” Ujar Yuzer.

“Tapi mana kau nak dapatkan kayu tu?”

“Kau lupa pada ayah aku?” Yuzer tersenyum. Dia teringatkan ayahnya tiba-tiba. Entah kenapa, dia yakin lelaki itu pasti boleh membantu, lagipun ayahnya sudah lama terlibat dalam perniagaan perabot.

* * * *

Sebaik anak kunci dipulas, Yuzer terus menolak daun pintu apartmentnya yang agak bersepah. Kesibukan kerjanya membuatkan dia tiada masa untuk mengemas. Apatah lagi makcik yang sepatutnya datang untuk mengemas di rumahnya tiap-tiap pagi, hampir sebulan bercuti kerana menjaga anaknya yang sakit.

Yuzer menghempaskan dirinya ke arah sofa. Tali lehernya dirungkai kasar sebelum dia mula menyandarkan kepalanya ke dada sofa. Matanya dipejamkan. Entah kenapa wajah Anum Dahlia singgah sekilas lalu. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Dahinya berkerut seribu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, wajah gadis itu kerap muncul di matanya, kerap hadir dalam mimpi-mimpinya. Apakah maknanya semua ini? Apakah aku menyukainya? Ah tak mungkin!

Yuzer bingkas bangun. Kepalanya terasa pusing. Malas dia mahu memikirkan tentang gadis itu. Semakin difikirkan tentang Anum Dahlia, kepalanya semakin sarat. Setiap inci dan ruang di kepalanya sudah terbeban dengan masalah syarikat. Dia tidak mahu Anum Dahlia hadir sebagai sebahagian dari hidupnya. Dia belum bersedia untuk itu.

Kakinya dihela ke arah biliknya. Dia mahu mandi air panas sebelum tidur supaya segar badannya menghadapi hari esok. Namun tiba-tiba sahaja bilik di sebelah kanannya terbuka. Yuzer terkejut bercampur panik. Dia memandang gadis yang baru keluar dari bilik itu dengan rambut kusut.

“Zaza? Apa Zaza buat kat sini?” Yuzer benar-benar panik. Ingatkan siapalah tadi, rupa-rupanya Zaza, adiknya yang menuntut di UKM.

“Dah lama abang balik?” Soal Zaza tanpa peduli pada soalan Yuzer. Dia menggosok-gosok matanya yang sembab seraya melangkah menuju ke arah dapur yang terbuka. Peti ais dibuka lalu dicapainya botol jus oren yang tersimpan di dalam peti. Jus oren itu dituang ke dalam gelas, lalu diteguk penuh nikmat. Yuzer tercegat memandang gadis itu dengan perasaan hairan.

Selesai meneguk jus, Zaza beredar pula ke arah sofa. Remote control dicapai lalu ditekan. Dia mencari-cari saluran yang ingin ditonton, sebelum berhenti pada saluran Starworld. Rancangan komedi Seinfield menarik perhatiannya.

Yuzer yang tidak puas hati melihat reaksi Zaza terus melangkah ke arah gadis itu. Dia merampas remote control di tangan Zaza membuatkan gadis itu tergaman.

“Bukankah Zaza sepatutnya ada di asrama sekarang ni? Kenapa nak datang tak cakap pada abang?” Herdik Yuzer geram.

“Apa abang ni, Zaza tengah ‘study week’ ni. Minggu depan baru start exam. Zaza plan sepanjang minggu study, Zaza nak tinggal kat sini.”

“No way, you have to go back to your dorm. Bukankah lebih baik study by grouping dengan kawan-kawan di sana. Lagipun abang tahu perangai Zaza yang kuat tidur. Nanti study ke mana apa pun ke mana.” Rungut Yuzer.

“Lecehlah abang ni macam ayah. Dahlah masa ayah datang hari tu, teruk Zaza kena bambu. Sekarang abang pun sama. Kalau abang Yusman ada, tentu dia tak kisah Zaza tinggal di rumahnya sepanjang minggu.” Cebik Zaza seakan merajuk. Dia menarik muka empat belas ke arah Yuzer.

Yuzer terdiam. Lagi-lagi Yusman yang disebutnya. Yuzer faham sangat dengan perangai Yusman yang suka memanjakan adik-adik perempuan mereka.

“Zaza, bukan abang tak bagi Zaza tinggal di sini. Tapi abang kerja dari pagi sampai ke malam. Zaza pula seorang diri di rumah. Abang bimbang kalau Zaza seorang diri begini, macam-macam benda boleh berlaku.” Yuzer mulai berlembut. Zaza bukan seperti Zurin yang bersikap tidak kisah. Anak gadis yang seorang ini lebih sensitif. Marah sikit, rajuknya jadi berpanjangan. Maklumlah sejak kecil menjadi anak manja ayah dan ibunya.

“Abang ni boringlah, sesekali Zaza nak tukar suasana juga. Ini asyik tinggal kat hostel, macam budak-budak. Zaza minta nak duduk rumah sewa dengan kawan-kawan Zaza, abang tak bagi juga. Bosanlah macam ni,” rungut Zaza seraya melangkah masuk ke biliknya. Sekejap sahaja pintu bilik di hadapannya dikatup agak kuat. Yuzer terkulat-kulat memerhatikan reaksi si adik. Amboi! Tunjuk muka pula.

Dia mengeluh kecil. Susah kalau terpaksa menjadi abang yang sulung, menggantikan Yusman pada adik-adik perempuannya. Entah bagaimanalah Yusman mampu bertahan selama ini. Tapi sikap Yusman terlalu beralah, tidak sepertinya yang lebih suka bersikap tegas. Baginya tak salah dia sebagai abang cuba mendisiplinkan adik-adiknya, meskipun Yuzer tahu sikapnya itu tak digemari adik-adiknya terutama Zaza.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!