Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 15

Kemunculan Nurul Hijjaz di Krafria Galeria menarik perhatian rakan-rakannya. Hampir dua hari tidak bertemu Nurul Hijjaz, keadaan gadis itu nampak tidak terurus. Rambutnya kusut masai tidak bersikat. Malah wajahnya pucat tidak bergincu. Hilang sudah wajah girang yang kerap ketawa di pejabat itu seawal pagi.
Syafinaz asyik merenung Nurul Hijjaz yang tidak bersuara. Sesekali dia menjeling Tjuk Inn dan rakan-rakan lain yang saling tertanya-tanya. Apa sudah jadi pada Nurul Hijjaz? Selalunya dia periang di pejabat, satu hari pun takkan habis dengan celotehnya. Tapi kali ini Nurul Hijjaz kembali dengan wajah kelat.
Sampai sahaja di pejabat, dia terus ke mejanya. Langsung tidak menyapa kawan-kawannya seperti biasa.Wajahnya dipanggung mengadap kerja-kerja yang terbengkalai sejak beberapa hari yang lalu. Dia begitu asyik menulis sehingga tidak sedar Syafinaz datang menghampiri dalam diam-diam.
“Dah minum pagi?” Sapa Syafinaz agak serba-salah. Risau kalau tersalah tanya, tak fasal-fasal Nurul Hijjaz mengamuk. Gadis itu mendongak. Seketika kemudian dia tersenyum memandang Syafinaz seraya menggangguk. Baru lega sedikit hati Syafinaz. Sekurang-kurangnya dia tahu mood Nurul Hijjaz masih elok. Dia menjeling Tjuk Inn yang asyik memerhatikan mereka sejak tadi. Ibu jarinya dinaikkan tanda Nurul Hijjaz tidak apa-apa. Tjuk Inn tersengih.
“Banyak kerja ke? Ada apa-apa yang aku boleh tolong?” Syafinaz masih tidak sedap hati membiarkan Nurul Hijjaz sendirian.
“Tak apalah Finaz, lagipun ini kerja aku. Banyak macamana pun terpaksalah kena siapkan juga.” Jawab gadis itu.
“Kenapa kau ambil cuti tiba-tiba? Langsung tak cakap kat aku pun. Aku call pun kau tak jawab. Kau ada masalah ke Hijjaz?” Tanya Syafinaz.
Nurul Hijjaz hanya tersenyum. Dia mengalihkan pandangannya ke arah bilik Syed Hambali. “Bos ada tanya fasal aku ke?”
“Banyak orang tanya fasal kau, bukan bos aje. Hari tu jejaka idaman kau tu muncul kat sini. Entah apa mimpinya sibuk bertanyakan kau.” Beritahu Syafinaz.
Dahi Nurul Hijjaz berkerut. Jejaka idaman? Siapa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Syafinaz? Riffki Aidankah?
“Siapa?” Nurul Hijjaz ingin tahu.
“Siapa lagi kalau bukan jurugambar handsome tu. Dia hairan sebab dah lama kau tak ke studio dia. Bos pun dah bising-bising sebab nak contact kau tak dapat. Kau ke mana sebenarnya Hijjaz? Kami risau tau.”
Nurul Hijjaz tersenyum hambar. “Tak ke mana-mana. Aku tak berapa sihat dalam dua tiga hari ni,” Dia memberi alasan.
“Mana yang tak sihat?” Sahut Syafinaz agak bimbang.
“Nurul Hijjaz, datang pun hari ni. Ingatkan dah tak jumpa jalan ke pejabat ni lagi.” Satu suara menyampuk perbualan mereka. Nurul Hijjaz berpaling. Syed Hambali yang baru sampai tercegat memandangnya.
“Masuk bilik saya sekarang juga,” arah lelaki itu lalu beredar ke biliknya.
Nurul Hijjaz dan Syafinaz saling berpandangan. Entah kenapa, Nurul Hijjaz merasa tidak sedap hati. Nada suara Syed Hambali berlainan seperti biasa. Marah agaknya dia.
“Don’t worry, bos tu nampak aje garang tapi sebenarnya dia baik hati.” Pujuk Syafinaz cuba menenangkan perasaan Nurul Hijjaz. Nurul Hijjaz mengangguk. Dia tahu sikap Syed Hambali, cuma dia yang terasa serba salah. Bukannya apa, tiba-tiba sahaja dia rasa dirinya bersalah kerana menghilang tanpa berita.
Perlahan-lahan Nurul Hijjaz menghampiri pintu bilik Syed Hambali. Daun pintu diketuk perlahan. Dia terdengar suatu suara menyuruhnya masuk. Berdebar-debar hatinya menatap renungan Syed Hambali yang agak tajam.
“Duduk.” Arah lelaki itu. Nurul Hijjaz hanya menurut tanpa banyak soal.
“What’s wrong with you? Dua hari menghilang tanpa berita, awak tahu tak yang awak buat semua orang risau. Apa ni Hijjaz? This is not you as usual.”
“Maafkan saya bos, saya tak berapa sihat.” Ujarnya perlahan.
“Sakit apa sampai tak pasang telefon, tak contact pejabat? Awak tahu Riffki Aidan ada datang ke mari kelmarin. He been asking about you. Kenapa tak call dia? Awak tahu kan Hijjaz, pameran dia hanya tinggal tak sampai seminggu.” Suara Syed Hambali sedikit meninggi.
“Maafkan saya bos.” Suara Nurul Hijjaz lirih. Syed Hambali mengeluh. Lama dia merenung wajah gadis di hadapannya. Penampilan Nurul Hijjaz hari itu agak selekeh, tak seperti selalu. Biasanya dia datang ke pejabat berpakaian kemas.
“Hijjaz, tell me what’s wrong?” Syed Hambali mula berlembut. Dia dapat merasakan yang Nurul Hijjaz seperti berdepan dengan masalah. Hilang sudah raut wajah riang yang ditatapinya saban hari.
“Bos, saya…saya..nak..” Nurul Hijjaz tergagap-gagap memulakan bicara.
“Kenapa Hijjaz?”
Nurul Hijjaz resah. Tiba-tiba dia terpandangkan sepucuk surat yang terdampar di atas meja Syed Hambali. Lambang di atas sampul surat itu dipandang agak lama. Syed Hambali turut memandang surat di atas mejanya. Dai menyedari mata gadis itu tertumpu di situ.
“Don’t worry Hijjaz, saya masih mampu bayar gaji kamu semua. Keadaan ni sementara saja. Selepas kita dapat bayaran dari Mutiara Global, Insya Allah… Krafria Galeria akan bertapak lebih megah lagi. Percayalah.”
“Saya dan teman-teman lain selalu percaya pada bos.” Nurul Hijjaz merasakan ada air jernih bertakung di penjuru matanya. Dia tidak dapat menahan rasa sedih. Dia rasa bersalah pada Syed Hambali. Berbanding dengan rakan-rakannya yang lain, hanya dia yang faham masalah sebenar yang berlaku di Krafria Galeria. Malah syarikat itu hampir-hampir gulung tikar jika tidak mendapat kontrak dari Mutiara Global.
Dia menyalahkan dirinya kerana tergamak memikirkan mahu meminjam wang dari Syed Hambali. Meskipun Syed Hambali sudi memberi, tapi tentu akan membawa masalah besar pada Krafria Galeria. Mana Krafria Galeria mahu membayar sewa bangunan serta gaji pekerja-pekerja lain?
Nurul Hijjaz semakin bingung. Pembedahan datuknya perlu dijalankan segera tapi sampai hari ini pun dia masih gagal mendapatkan wang. Hanya yang terkumpul setakat ini hanyalah wang simpanannya serta derma kilat dari Rumah Warga Emas itu sendiri. Jika dihitung dan dicongak, semuanya baru berjumlah dua puluh lima ribu. Masih banyak yang kurang, sedangkan dia memerlukan kira-kira liam puluh ribu ringgit lagi. Di mana harus dicari duit sebanyak itu?
* * * *
Riffki agak terkejut melihat kemunculan Nurul Hijjaz di hadapan studionya. Lebih-lebih lagi melihat gadis itu kelihatan agak lesu. Wajahnya muram memandang Riffki yang tercegat bagai tunggul mati. Dia merenung Nurul Hijjaz dari atas ke bawah. Gadis itu agak serba salah.
“Maaf…,” sepatah kata terluncur dari bibirnya.
Riffki mendengus. Pantas dia melangkah ke meja kerjanya, tanpa memandang Nurul Hijjaz. Kerusi di hadapannya ditarik kasar, sebelum dia melabuhkan diri. Riffki pura-pura mencatat sesuatu di mejanya.
Melihatkan reaksi Riffki yang seakan tidak mahu melayannya, Nurul Hijjaz tahu lelaki itu marah padanya. Dia menghampiri Riffki perlahan-lahan. “Err Encik Riffki….saya minta maaf sebab ambil cuti tanpa pengetahuan Encik Riffki. Tapi saya ada hal penting. Maafkan saya.” Pintanya lagi seakan merayu.
Riffki mendongak. Wajah Nurul Hijjaz direnung tajam.
“Kan aku dah cakap, jangan minta maaf dengan aku. Aku benci dengan perkataan maaf tu. Lain kali kalau kau tak berminat nak bekerja dengan aku, cakap awal-awal. Senang aku cari orang lain saja,” herdik Riffki tiba-tiba.
Nurul Hijjaz gugup. Tiba-tiba sahaja suara lelaki itu meninggi memarahinya. Namun mengenangkan memang sudah salahnya, Nurul Hijjaz sabarkan hatinya. Lagipun tak guna dia bertikam lidah dengan Riffki, kerana lelaki itu tidak pernah mahu mengalah dengannya.
“Sudahlah, aku malas nak layan kau, sekarang kau keluar.” Suruh Riffki.
Nurul Hijjaz tercengang.
“Kenapa kau tercegat lagi? Kau nak suruh aku heret kau keluar?”Tanya Riffki apabila melihat Nurul Hijjaz tidak berganjak. Mata gadis itu tepat merenung ke arahnya. Wajah Nurul Hijjaz masam mencuka, membuatkan darah Riffki tambah mendidih.
Melihat Riffki tiba-tiba mendekatinya, Nurul Hijjaz jadi gugup. Tangan gadis itu dicekak lalu dia menolak Nurul Hijjaz ke arah pintu. Nurul Hijjaz mengaduh kesakitan. Dia meronta cuba melepaskan diri, tapi pautan tangan Riffki lebih kuat.
“Lepaslah.” Tiba-tiba tapak tangan Nurul Hijjaz melekat kuat di pipi Riffki. Nurul Hijjaz tergaman. Riffki juga terkejut. Pipinya terasa berbahang sama seperti hatinya. Dia mencerlung Nurul Hijjaz bagaikan mahu ditelannya gadis itu.
“Maaf, saya tak sengaja.” Nurul Hijjaz serba-salah. Dia tidak bermaksud mahu menampar Riffki. Tapi melihat cara Riffki memandangnya, dia tahu nasibnya memang tidak baik. Apatah lagi Riffki sudahpun membuka pintu keluar untuknya. Tubuh Nurul Hijjaz didorong kasar sehingga ke luar pintu. Nurul Hijjaz hanya mampu memerhatikan Riffki mengunci pintu studio di hadapannya.
Wajah Nurul Hijjaz yang resah langsung tidak dipedulikannya. Dia terus melangkah ke tingkat dua. Televisyen dipasang sebelum dia berbaring di sofa empuk. Matanya memandang rancangan televisyen, namun hatinya tidak di situ. Dia memegang pipi yang terasa perit. Sudah dua kali gadis itu menampar pipinya. Dia ni perempuan ke apa, sikit-sikit nak naik tangan, rungut Riffki.
Sewaktu melihat Nurul Hijjaz masuk tadi, separuh dari hatinya terasa riang. Separuh lagi pula rasa geram kerana gadis itu langsung tidak menelefonnya sepanjang dua hari ini. Tapi melihat wajah Nurul Hijjaz yang muram, tiba-tiba sahaja dia rasa sakit hati.
* * * *
Terkejut besar Natasya apabila melihat sesusuk tubuh sedang meraup wajah di hadapan studio Riffki. Perlahan-lahan dia melewati perempuan berambut panjang itu, sebelum berhenti tepat di hadapannya. Dia menoleh ke arah Toyota Vios milik Riffki yang masih tersadai di tempat parking. Serta-merta hatinya digamit rasa hairan. Apa perempuan ni buat di sini? Nak jumpa Riffkikah, tapi kenapa menunggu di luar?
Dia merenung lagi ke arah perempuan yang tidak jelas wajahnya, ditutupi rambutnya yang panjang mengurai. Gadis itu juga seakan tidak menyedari kedatangannya.
Natasya tidak berniat mahu menyapa. Dia terus saja melangkah menuju ke muka pintu. Daun pintu ditolak. Sesaat kemudian dahinya berkerut. Berkunci! Hairan. Seingatnya jika Riffki ada, studio itu jarang berkunci. Selalunya kalau dia datang, dia akan terus masuk begitu saja.
Tiba-tiba Natasya tersenyum. Dia membelek tas tangannya dan mencari-cari sesuatu. Beberapa ketika, sebuah anak kunci dikeluarkan dari tas tangannya. Dia baru teringat salah satu anak kunci studio itu masih berada di tangannya. Kunci itu diberikan oleh Riffki, semasa dia memujuk lelaki itu menunjukkan foto-foto di studionya kepada beberapa teman-temannya. Oleh kerana lelaki itu ada hal lain, dia memberikan kunci kepada Natasya, menyuruh Natasya membawa teman-temannya masuk. Hingga kini, Riffki tidak langsung menuntut kunci itu. Natasya tidak tahu, adakah Riffki terlupa atau sengaja buat-buat lupa.
Sebaik tombol pintu dipulas, Natasya melangkah masuk. Dia mencari-cari kelibat Riffki namun tak ditemuinya. Apabila dia melalui ruang legar, telinganya menangkap satu bunyi bising dari tingkat atas. Natasya tersenyum. Dia tahu pasti lelaki itu berada di atas. Pantas kakinya menaiki satu persatu anak tangga.
Bersinar-sinar mata Natasya apabila terpandang sesusuk tubuh sedang terbaring di atas sofa mengadap ke arah set televisyen yang terpasang. Riffki kelihatan tertidur pulas. Wajahnya kelihatan tenang. Untuk seketika, Natasya bagaikan terpaku menatap wajah itu. Dadanya berdebar-debar. Dia tidak dapat menahan dirinya dari menghampiri Riffki.
Matanya masih tertumpu pada Riffki. Wajahnya begitu hampir dengan wajah lelaki itu. Cukup dekat. Cukup jelas sehingga dia dapat memerhatikan segala-galanya pada diri Riffki yang membuatkan hatinya jatuh cinta. Meskipun lelaki itu melarangnya jatuh cinta padanya, namun dia rela berbohong agar lelaki itu tidak meninggalkannya.
Tiba-tiba mata lelaki itu terbuka. Natasya terperanjat. Sepasang bebola mata milik Riffki merenung ke arahnya. Dia tergaman. Tapi melihat bibir lelaki itu mengukir senyum, akhirnya Natasya turut tertawa. Pantas tangannya memukul bahu Riffki.
“Benci, buat takut I aje,” dia merungut. Riffki tergelak besar. Dia bingkas bangun. Sempat dikerlingnya jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul 2 petang. Tiba-tiba Riffki teringat sesuatu. Dia menjeling gadis di sisinya.
“Macamana you masuk ke mari?” Tanyanya.
Natasya tidak menjawab, tapi dia mengoyang-goyangkan kunci di tangannya. Riffki mengerutkan dahinya, tidak faham maksud Natasya.
“You lupa ke hari tu you ada bagi I kunci ni. Tapi you lupa minta balik.”
“Bila?’
“Masa I minta you buka studio you ni untuk kawan I tengok. Lupa?’
Riffki tersengih. Baru dia teringat. Dia memang pernah menyerahkan satu kunci studionya pada Natasya beberapa minggu yang lalu. Itupun kerana gadis itu tak putus-putus merayunya, agar membenarkan dia membawa kawan-kawannya melihat studio Riffki.
“Dah makan?” Soal Riffki.
“Belum. I datang ni pun nak ajak you lunch dengan I.”
“Okey, tunggu I bersiap kejap.” Riffki segera melangkah ke biliknya.
“Oh ya, masa I datang tadi, I jumpa seorang perempuan tertidur kat depan. Siapa tu Riff?” Soal Natasya ingin tahu.
Langkah Riffki terhenti. Dia hampir terlupa fasal Nurul Hijjaz. Dia belum balikkah? Dah hampir 4 jam takkan dia masih menunggu di luar?
“Riff?” Natasya memanggil. Dia rasa pelik apabila melihat gelagat Riffki.
“Bagi I masa sepuluh minit okey.” Riffki tersenyum seraya menghilang ke dalam biliknya. Hampir 15 minit kemudian, Riffki keluar dengan kemeja putih berwarna dark blue dipadankan dengan slack hitam. Natasya tersenyum. Lelaki itu memang segak. Pakailah apa saja, dia tetap akan kelihatan segak.
“Ready?” Riffki menghulurkan tangannya.
Natasya tersenyum seraya menyambut huluran tangan Riffki. Mereka bergandingan bersama menuruni anak tangga.
Apabila Riffki menarik tombol pintu, dia terpandang kelibat Nurul Hijjaz yang terpejam matanya sambil bersandar di dinding berhampiran pintu masuk. Beg tangannya dipeluk tepat ke dadanya.
Melihat gadis itu, Riffki menarik nafas panjang. Natasya memandang Riffki di sebelahnya, sebelum mengalihkan pandangannya ke arah gadis di hadapannya. Dia rasa hairan melihat raut wajah Riffki berubah sebaik terpandang gadis itu. Siapa dia agaknya? Apa hubungannya dengan Riffki?
“Riff, siapa dia?” Natasya memberanikan dirinya bertanya.
Riffki menoleh ke arah Natasya. Wajahnya serius. “Tak ada apa-apa, jangan pedulikan dia. Mari kita pergi,” ujarnya lalu terus melangkah ke arah keretanya yang tersadai di laman kawasan studio.
Natasya masih tidak berganjak. Dia masih dihimpit rasa ingin tahu siapa gadis itu. Tingkah laku Riffki yang tidak ambil peduli, membuatkan dia rasa curiga. Rasa hairan. Selama ini dia tahu Riffki sering bersikap angkuh, tetapi tidaklah sampai melayan seorang gadis seperti itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!