ADRIANA melangkah masuk ke bilik yang dimaksudkan. Dia menjenguh ke setiap
sudut, mencari-cari wajah tuan empunya bilik. Meskipun Tuan Fahrin mengatakan
anak lelakinya tidak ada ketika ini, tetapi dia masih berhati-hati. Ini bukan
rumahnya, bukan biliknya. Dia tidak boleh berbuat sebarangan sahaja. Lagipun
tempat ini asing baginya.
Hatinya merasa
jengkel kerana dipaksa melawat ke bilik Adham Mirza. Entah apa ke jadahnya dia
harus melawat bilik anak muda itu? Bukannya dia akan mengajar anak muda itu di
situ pun. Bagilah gaji beribu-ribu pun dia tidak akan masuk ke bilik itu lagi.
Ini yang terakhir kali! Bisik hati kecil Adriana.
Matanya meraut
teliti suasana di bilik itu yang agak kemas. Macam tak percaya pula ini bilik
anak muda belasan tahun. Selalunya bilik Anas yang bijak itu pun
bersepah-sepah, inikan pula bilik budak nakal yang dikatakan Tuan Fahrin.
Hiasan bilik itu
sederhana, tetapi elegan. Ada sebuah katil bersaiz king, sebuah almari besar
dan sebuah meja belajar yang hanya ada sebuah desktop besar. Sebuah gitar
berwarna merah tua terletak di atas satu set sofa berdekatan dengan tingkap.Tidak
jauh dari situ ada sebuah rak besar yang memuatkan koleksi kereta dan
motorsikal lumba bersaiz mini.
Adriana melangkah ke arah meja belajar. Membelek-belek
beberapa buah majalah di atas meja itu yang tersusun rapi. Laci di meja itu
turut dibuka. Seketika kemudian dia tercengang jadinya. Di mana buku-bukunya?
Puas dia membelek tapi yang ada hanyalah majalah-majalah yang tidak ada
gunanya. Kalau macam ni, belajar 5 tahun pun takkan lepas! Rungut Adriana.
“Saya harap Cik Adriana tak terkejut nanti. Mirza ni
agak nakal dan sukar dikawal. Saya sebetulnya perlukan seseorang yang boleh
mengawal Mirza, pastikan Mirza ikut cakap dan mahu belajar.”
Dia teringatkan
kata-kata Tuan Fahrin. Sekadar tengok meja belajar Adham Mirza sahaja boleh
buat dia terkejut, inikan pulak nak tengok budak itu. Teruk sungguh. Langsung
tak ada buku belajar. Memang bukan meja seorang anak sekolah yang akan
menduduki peperiksaan.
Bosan dengan
apa yang dilihatnya dia bergerak pula ke arah almari pakaian besar di
hadapannya. Melihat isinya dia ternganga. Mak oi, banyaknya pakaian.
Transgender ke apa budak ni? Mana ada budak lelaki memiliki pakaian-pakaian
berjenama sebanyak ini?
Adriana menarik nafas panjang. Cukup-cukuplah dengan apa
yang dilihatnya. Kalau diteruskan mungkin dia akan muntah darah. Dia terduduk
lemah di birai katil seraya termenung panjang. Kalau bukan kerana dia
diberhentikan kerja di kedai 7-11 itu, belum tentu dia akan menerima tawaran
bekerja di sini. Dia perlukan wang, perlukan duit rawatan ibunya dan belanja
sekolah Anas. Hanya kerana sebab itu maka dia datang. Keadaan yang mendesak
membuatkan dia tidak ada pilihan lain.
Sedang dia leka termenung, telinganya tiba-tiba
terdengar sesuatu. Adriana berpaling, menoleh ke arah jendela yang terbuka luas
tidak jauh dari situ. Dahinya berkerut. Apa bunyi tu?
Bunyi itu semakin jelas kedengaran. Hendak tak hendak
dia memberanikan diri mendekati tingkap lalu menjenguk ke bawah. Alangkah
terperanjatnya dia apabila mendapati sesusuk tubuh sedang memanjat palang paip
menuju ke atas bilik itu. Dia menekup mulutnya lalu menghindar. Dadanya
berdebar-debar. Siapa tu? Jangan-jangan pencuri yang datang hendak mencuri.
Lagipun tak mustahil rumah sebesar ini jadi sasaran! Bisik hati kecil Adriana.
Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Perlukah dia
menjerit memanggil Tuan Fahrin? Tapi nanti pencuri itu akan terdengar suaranya
dan terus melarikan diri. Tak boleh! Kalau dibiarkan, lain kali si penyangak ni
datang lagi.
Adriana memerhatikan di sekeliling bilik itu, cuba
mencari-cari sesuatu yang boleh dijadikan senjata. Namun dia tidak nampak apa
apa pun di situ kecuali piala besar yang terhias di atas sudut almari. Adriana
tidak berfikir panjang terus mencapainya. Dengan perasaan berdebar-debar dia
menanti di tepi jendela itu.
Sesaat dua berlalu perlahan, namun kocak di hati Adriana
semakin menderu. Selama hayatnya tak pernah-pernah dia cuba menangkap pencuri
bersendirian begini. Tapi kali ini entah kenapa dia jadi nekad pula sedangkan
tubuhnya jelas mengigil.
Apabila sepasang tangan mula memaut palang tingkap dan
melompat masuk, dia sudah mula tidak keruan. Belakang lelaki itu menjadi
sasaran lalu dihentam sekuat hati dengan piala di tangannya. Rasakan! Berani
sangat menyelinap ke rumah orang untuk mencuri! Getus Adriana sambil
menjerit-jerit.
“Aduh!” Sekonyong-konyong lelaki itu menjerit kesakitan,
Adriana semakin berani. Tindakannya bagaimanapun menimbulkan kemarahan lelaki
itu. Tangan Adriana pantas ditangkap lalu tubuh gadis itu ditolak ke arah
katil. Piala yang ada di tangan Adriana tercampak entah ke mana.
Adriana tergaman. Bulat biji matanya memerhatikan lelaki
yang sedang menyeka darah di bibirnya. Pandangan mata lelaki itu mencerlung
tajam ke arahnya.
“Kau ni siapa?” Pertanyaan itu dilontar keras.
Adriana sudah tidak berani berkutik. Bukan kerana dia
takut pada lelaki si pencuri itu, tapi kerana dia sudah mula sedar lelaki yang
dipukulnya sebentar tadi ialah Adham Mirza sendiri. Ya ALLAH! Salah orang rupanya!
“Aku tanya ni, kau ni siapa? Pekak ke?” Herdik Mirza
berang. Berani sungguh gadis itu memukulnya. Darah dari luka di bibirnya,
diseka lagi dengan jari-jarinya. Melihat darah di tangannya, anginnya semakin
memuncak.
Terkulat-kulat Adriana memerhatikan anak muda itu. Marah
sungguh nampaknya. Salahnya juga, memukul orang tanpa usul periksa.
Melihat gadis itu ingin bangkit dari katilnya, Mirza
semakin hilang sabar. Dia segera menerkam ke arah anak gadis di hadapannya
dengan wajah merah padam. Gadis itu tersentak melihat tindakannya namun dia
tidak ambil pusing. Saat ini anak gadis itu sudah menceroboh ke biliknya dan
membuat kacau. Dan dia cukup pantang kalau biliknya dimasuki semasa dia tidak
ada. Jadi gadis itu harus diajar!
Tapi ketika matanya beradu pandang dengan seraut wajah
yang kelihatan takut-takut, entah kenapa tindakan kasar Mirza terhenti. Wajah
itu! Mata itu! Dia terpempan. Ini kan perempuan yang dia nampak beberapa hari
yang lalu? Yang asyik mendongak merenung bulan dan bintang di langit. Ya,
memang dia. Mirza benar-benar yakin kini setelah mengulit wajah manis itu
dalam-dalam. Ketika gadis itu meronta-ronta, dia tetap tidak melepaskan
tangannya. Kali ini dia terpegun sehingga tidak sedar apa yang dilakukannya.
“Mirza? What the
hell is going on?” Suatu suara keras muncul di
gegendang telinga. Mirza tersentak lalu segera melepaskan tangannya. Dia
berpaling lalu ternampak kelibat ayahnya dan Yasmin sedang terkulat-kulat
memandang ke arahnya dan gadis itu. Mirza tahu posisi tubuhnya saat ini mungkin
telah mengundang salah faham kedua-duanya. Damn
it!
No comments:
Post a Comment