Followers

Wednesday, May 26, 2010

Arina : Bab 6

ARINA mengguman resah. Serba tidak kena dia dibuatnya walhal dia sendirian di dalam kamarnya. Ruang luas di kamarnya itu digunakan untuk mundar mandir. Penat berjalan ulang-alik begitu, dia menghempas tubuh kecilnya ke atas katil.

Matanya terperosok pada bingkai gambar yang menunjukkan dirinya dan Chayi menjulang piala yang dimenangi adiknya dalam satu perlawanan catur di kampusnya. Adiknya memang juara bermain catur sama seperti ayahnya yang cukup handal dalam permainan tersebut. Dia masih ingat kata-kata ayahnya suatu ketika dahulu. Menurut lelaki itu, catur umpama kehidupan, penuh dengan permainan, helah dan teka teki. Hanya yang bijak boleh mengatasi yang lemah dan kurang cerdik.

Keadaannya sekarang ini kelihatan sama dengan buah catur. Bezanya dia adalah buah catur yang digerakkan oleh lelaki bernama Alwiz itu. Chayi pula adalah King yang harus dilindunginya. Silap langkah, King akan menjadi mangsa dan dia pula gugur sebelum sempat mempertahankan Kingnya.

Alwiz Syah. Entah apa kemahuan sebenar lelaki itu? Sudah jenuh mulutnya bertanya berkali-kali, tetapi lelaki itu seakan tidak sudi memberitahunya apa-apa. Lagi-lagi yang keluar dari mulut lelaki itu ialah dia tidak perlu tahu apa-apa. Hanya cukup sekadar melakukan seperti yang diarahkan.

Gila! Arina mengetapkan bibirnya. Mana ada orang yang datang untuk mengugut orang seakan sengaja mahu melengah-lengahkan waktu. Atau sememangnya lelaki itu mempunyai hutang dengan ayahnya Fahrin?

Arina termenung panjang. Entah kenapa dia merasakan andaiannya benar-benar berasas. Lelaki itu sebenarnya mahu menanti kepulangan ayahnya. Jika tidak masakan Alwiz seolah-olah santai sahaja di rumahnya tanpa apa-apa keresahan. Wajah lelaki itu bukan seperti wajah perompak bank yang baru sahaja melarikan diri dari buruan polis. Dan bukan juga seperti wajah pembunuh bersiri yang sering dilihatnya di dada-dada akhbar. Malah usahkan kata wajah, sikapnya juga tidak seperti penjahat-penjahat lain. Ah! Mana aku tahu? Macamlah aku kenal dengan semua penjahat-penjahat kat dunia ni! Hati kecilnya berbisik sendiri, masih diulit keluhan di hujung suara.

Sudah dua hari lelaki itu di rumahnya. Dalam tempoh ini dia sebenarnya teramat bimbang. Takut lelaki itu mencederakan Mak Lang kesayangannya dan orang-orang lain di rumahnya. Tapi dalam tempoh 48 jam ini, dia merasakan kebimbangannya seolah-olah tidak berasas sama sekali.

Pagi tadi dia terserempak Umar dan Alwiz keluar berjogging bersama-sama. Sebelah tengahari pula, dia tergaman melihat Alwiz yang berbual sambil ketawa di dapur melayan kerenah Mak Tam yang sibuk menggulai. Petang tadi…lelaki itu turut sama berkebun bersama Pak Abu di laman rumahnya. Dan baru sekejap tadi, dia terlihat kelibat lelaki itu berbual-bual dengan ibu saudaranya di anjung beranda.

Arina membirai kelopak matanya. Hatinya masih curiga dengan niat Alwiz, tetapi pada masa yang sama…dia tidak tahu kenapa wajah lelaki itu kadangkala membuatkan hatinya berdebar-debar. Seolah-olah ada satu tarikan pada wajah Alwiz yang membuatkan dia seperti tenggelam dalam dunia lain.

Bodoh! Dia membuka mata. Nafasnya dilontar kasar. Orang jahat macam tu yang kau nak kenang-kenangkan kenapa? Dah gila? Gumam Arina seraya menggelengkan kepala.

Dia bingkas bangun dari penjuru katil. Menuju ke arah almari soleknya lalu mengutip sikat di atas meja. Matanya merenung raut wajah muramnya yang agak selekeh dan tidak terurus. Rambutnya yang serabai lalu disisir perlahan ke arah belakang.

“Cantiknya rambut anak mama ni. Rambut secantik ini harus disisir selalu biar kemas. Baru rambut ni tak rasa sayang nak tumbuh panjang lagi.” Suatu suara singgah menyentap jantungnya. Hidungnya terhidu aroma yang cukup harum bagaikan bau bunga orkid.

Matanya terbelalak merenung imej perempuan di hadapan cermin, berdiri betul-betul di belakangnya. Wajah itu tersenyum manis seraya mengangkat sikat rambut yang entah sejak bila bertukar tangan. Rambutnya disisir wanita itu perlahan.

Dadanya terus berbahang. Panasnya terasa membakar jiwa. Imej wanita itu tersenyum seketika ke arahnya sebelum menghilang dari fragmen kaca. Arina terpempan. Dia menoleh dengan pantas. Matanya mencari-cari kelibat wanita itu, namun yang ditemuinya hanyalah dirinya sendiri yang sendirian di kamarnya.

Dia menarik nafas panjang. Wajahnya diraup sekali lalu dengan tangannya. Debaran di hatinya masih kencang menari-nari. Astagfirullahal azim…apakah bendanya tu? Hantukah? Dia meraba-raba kepalanya. Sentuhan lembaga itu di ubun kepalanya terasa benar-benar wujud. Tiba-tiba matanya terpandang bingkai potret besar yang terhias di kepala katilnya. Mulutnya melopong tanpa disedari. Rupa-rupanya yang datang tadi adalah ibunya.

* * * *

MIMPI yang dialaminya sebentar tadi membuatkan tekaknya terasa haus. Lalu dia mengambil keputusan mencari sesuatu yang boleh dijadikan alas tekaknya di dapur.

Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apakah perkataan mimpi wajar dijadikan istilah yang tepat untuk kejadian yang menimpanya sebentar tadi. Malah dia masih ragu-ragu samaada benarkah dia bermimpi. Jika benar itu mimpi, kenapa sentuhan itu terasa benar-benar ada? Kenapa haruman yang datangnya dari tubuh wanita itu benar-benar terhidu oleh derianya? Kenapa mama muncul? Hati Arina berbisik lirih. Apakah mama rindukan aku?

Dia membuka peti ais lalu mencari-cari minuman sejuk yang boleh dibawa naik ke biliknya. Sebaik terpandang lebihan jus oren yang dibancuh Mak Tam semasa makan malam tadi, dia segera menarik nafas lega. Jus pun juslah, asal hilang hausnya!

Jus yang masih banyak berbaki dituangkan ke dalam gelas. Arina lalu membawa gelas itu menuju ke arah tangga. Namun kakinya tidak jadi melangkah naik sebaik terpandang kelibat hitam melintas di hadapannya. Dadanya serta merta berdegup kencang. Jangan-jangan roh mama datang lagi!

Walaupun takut tapi entah kenapa timbul keinginan untuk dia melihat wajah ibunya sekali lagi. Wajah yang tidak pernah ditatap semenjak dia masih kecil. Hanya potret Magdalena Anna yang menjadi pengubat sekeping hatinya yang dahagakan belaian seorang ibu.

Tiba-tiba dia terpandang sekilas bayangan dari arah ruang tamu. Arina mengerutkan dahinya. Lembaga itu kelihatan terhendap-hendap mencari sesuatu di dalam laci dua aras di ruang tamu. Dengan nafas tertahan, Arina berjalan terjingkit-jingkit. Tapi malang tak berbau. Kakinya tiba-tiba terperosok ke arah celah-celah kaki meja sudut yang berada berhampiran dengannya.

Dia hampir terjatuh tapi mujurlah tangannya sempat mencapai sesuatu. Gerakan pantasnya mengakibatkan gelas berisi oren di tangannya terlepas. Arina kaku melihat isi gelasnya tumpah lalu mengotorkan sebahagian lantai putih.

Matanya mencari-cari kelibat hitam yang dilihatnya sebentar tadi. Sebaik dia melihat lembaga itu memusingkan tubuh ke arahnya, Arina merasa lembik longlai. Keberanian yang dikutipnya satu persatu tadi dengan tekad untuk melihat wajah ibunya, hancur berderai dalam sekelip mata. Keberaniannya mula memudar sepantas kilat.

Wajah lembaga itu tidak jelas kerana sebahagian besar lampu di tingkat bawah itu telah pun ditutup. Arina tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia memandang ke arah lembaga itu dengan wajah resah. Apabila lembaga itu menghampirinya sedikit demi sedikit, kegelisahan hatinya sudah tidak tertanggung.

Tiba-tiba dia mendengar bunyi beberapa tapak kaki bergegas dari suatu arah. Arina menoleh. Namun sepantas kilat lembaga itu tiba-tiba meluru ke arahnya lalu menariknya. Dia terkejut. Belum sempat dia mahu menjerit, mulutnya ditekup agak kuat sehingga dia hampir kelemasan.

Lembaga itu menariknya ke arah bilik stor di bawah tangga. Pintu bilik stor itu dibuka. Dia merasakan satu tangan yang kekar dan kuat seperti besi menolak tubuh kecilnya ke dalam. Dia cuba meronta, namun tenaganya tak sebanding dengan tenaga lembaga yang menyeretnya. Sesuatu mula terlintas di benak fikirannya. Entah kenapa dia yakin, lembaga hitam di hadapannya itu bukan roh ibunya tetapi seorang lelaki.

Pintu bilik stor itu dikatup rapat. Arina masih tidak mampu menjerit. Mulutnya masih dikatup tapak tangan lembaga di hadapannya. Dia memberanikan diri memandang lembaga itu, tapi keadaan yang agak gelap membuatkan dia sukar mahu mengecam wajah di hadapannya.

“Apa yang pecah tadi bang?” Suatu suara wanita menjengah ke telinga Arina. Suara Mak Tam! Pasti wanita itu mendengar bunyi kaca yang pecah berderai itu.

“Ada air tumpah kat sini. Jangan pijak Tam, ada kaca ni.” Suara Pak Junid pula muncul.

“Macamana pulak boleh ada kaca kat sini? Ini mesti Umar yang bawa minuman ni masa tengok TV tadi.” Rungut Mak Tam.

Suara Pak Junid tidak kedengaran. Hanya tapak kaki lelaki itu sahaja melangkah ke merata tempat. Sekejap di situ, sekejap di sini. Arina tahu Pak Junid tentunya tidak semudah itu menerima kata-kata isterinya. Sudah menjadi rutin lelaki tua itu untuk menjaga rumah dan keluarga yang diamanahkan oleh ayahnya.

“Pintu masih berkunci. Tingkap pun sama. Agaknya betul kata kamu Tam, si Umar yang buat tumpah air ni.” Komen Pak Junid setelah beberapa ketika.

“Tam bersihkan sekejap. Esok kalau Puan Suhana nampak atau terpijak kaca ni dek Umar ataupun Arina..kasihan pulak mereka tu.” Ujar Mak Tam.

Pak Junid hanya mengangguk. Dia membantu isterinya mengemaskan saki-baki kaca itu tanpa sedikit pun menyedari…ada dua kelibat tubuh sedang berada di dalam bilik stor kecil di bawah tangga.

* * * *

ARINA memandang ke arah lembaga di hadapannya. Meskipun di dalam keadaan gelap, namun dia pasti lelaki itu juga sedang memandangnya. Nafas lelaki itu menderu kencang di wajahnya, sama seperti dadanya yang bergetar hebat menghadapi orang tidak dikenali yang menceroboh rumahnya.

Mulutnya masih ditekup lelaki itu, manakala kedua-dua belah tangannya dikilas ke belakang. Walaupun terasa sakit, namun dia tidak boleh bergerak langsung. Posisi tubuhnya seolah-olah dikunci lembaga itu. Dia juga mula sesak nafas. Kepalanya pusing. Tubuhnya hampir terjelepuk.

Menyedari keadaannya yang lemah, lembaga itu tiba-tiba melepaskan tangannya. Arina menyedut nafas sekuat hati. Matanya sedikit terbeliak mencari udara untuk bernafas.

“Siapa kau? Kau nak apa?” Bisik Arina dengan nafas masih tercungap-cungap kepenatan. Lembaga itu tidak bersuara.

Arina mendongakkan wajahnya sedikit. Dia tahu di atas kepalanya sekarang ini, ada lampu mentol kecil yang dipasang oleh Pak Junid beberapa bulan yang lalu. Jika dia menarik tali suis di atas kepalanya, dia akan tahu siapa orangnya yang berada di hadapannya sekarang ini. Tapi apakah kau berani Arina? Suara hatinya menyangsikan ketekadannya.

“Tam nak pergi buang kaca ni kat dalam dulu bang. Abang cuba lap sikit lantai ni, manalah tahu ada saki-baki kaca-kaca halus yang kita tak nampak.” Suara Mak Tam singgah lagi.

Arina memejamkan matanya sesaat dua. Dia menarik nafas panjang. Inilah masanya! Sepantas kilat, dia menarik hujung tali suis yang terjuntai di atas kepalanya. Bilik stor yang tadinya gelap kini terang sedikit meskipun cahayanya masih lagi malap.

Arina meluruskan pandangan. Melihat lelaki di hadapannya, wajahnya serta-merta berubah. Tuhan!

Berdiri di hadapannya sekarang ialah Alwiz yang berpakaian serba hitam. Mata lelaki itu merenungnya galak. Renungan lelaki itu tidak menampakkan kemarahan namun Arina masih lagi bimbang. Dia juga gementar apabila menyedari jarak dia berdiri di hadapan Alwiz terlalu rapat. Begitu juga wajahnya begitu hampir dengan wajah Alwiz yang kelihatan tenang. Nafas lelaki itu perlahan kedengaran tetapi cukup untuk menyeksa emosinya.

Mata Alwiz terus meratah setiap pelusuk wajah gadis di hadapannya. Dia menaikkan jari telunjuknya ke bibir lalu mengisyaratkan agar Arina tidak berbuat bising. Arina mengetapkan bibirnya lalu mencebik. Alwiz melemparkan sejuring senyuman. Memaksa mata Arina terpaku pada dua lekuk di pipi lelaki itu.

Sebaik pasangan suami isteri itu beredar dari kawasan ruang tamu itu menuju ke bilik, barulah Arina berani bersuara. Itupun sekadar berbisik.

“Kau buat apa ni?”

Alwiz ketawa kecil. “Kau tak nampak ke aku tengah buat apa dengan kau ni? Or do you expect more action from me?”

“Gila!”

“No aku bukan gila. Aku cuma kemaruk rindu.” Balas Alwiz pantas.

“Aku maksudkan kau buat apa kat ruang tamu malam-malam macam ni? Kau tengah cari apa sebenarnya?” Gumam Arina. Geram dan sekaligus malu dengan kata-kata Alwiz sebentar tadi.

“Aku mencari cinta aku yang hilang.” Jawab lelaki itu selamba.

Arina mengerutkan dahinya. Apa dah tak betul ke lelaki ni sampai lain yang ditanya, lain pula jawabnya? Dia cuba menolak tubuh Alwiz, tapi secepat kilat kedua tangan lelaki itu memegang kepalanya. Arina terpempan.

Kali ini Alwiz memandangnya dengan satu pandangan aneh. Arina sendiri tidak tahu kenapa jantungnya tiba-tiba berdegup lebih kencang dari tadi. Tubuhnya juga membahang tanpa disedari. Ada sesuatu yang telah dilakukan oleh lelaki itu padanya. Dia tidak tahu apa dia, tapi dia yakin lelaki itu sedang cuba memanipulasinya lagi. Jika tidak, masakan debaran di hatinya tidak mahu kunjung padam.

“Arin…” Panggil Alwiz. Lembut dan perlahan. Arina terpaku tanpa disedari. Panggilan lelaki itu terasa aneh. Arin? Kenapa bukan Arina seperti yang selalu disebut lelaki itu padanya sejak beberapa hari yang lalu?

Dia memberanikan diri menentang renungan mata Alwiz yang memukau. Ada sesuatu pada pandangan lelaki itu yang menikam wajahnya. Sesuatu yang sepi. Sesuatu yang mendambakan sesuatu. Renungan lelaki itu nampak sayu di matanya kini.

“I need you.” Bisik Alwiz perlahan lalu tiba-tiba memeluknya. Arina terpegun. Dakapan lelaki itu membuatkan separuh dari tubuhnya mengeras. Tuhan! Ada apa sebenarnya dengan lelaki ini?

Dia cuba menolak tubuh Alwiz buat kali kedua. Namun lelaki itu mendakapnya lebih kemas. Lebih erat sehinggakan dia mula kelemasan. Arina bertindak lebih tegas kali ini. Dia menolak lelaki itu sekuat hatinya. Tubuh Alwiz terperosok ke belakang. Tidak cukup dengan itu, tangannya dihalakan ke arah pipi lelaki itu.

Pang! Alwiz tersentak! Pipinya berbekas merah. Dia memandang gadis di hadapannya dengan dahi berkerut.

“Please behave yourself in my house, Mr. Alwiz.” Tukas Arina dengan wajah merah padam. Namun diam-diam dia menyimpan rasa gementar kerana terpaksa bertindak kasar terhadap lelaki itu. Mampus dia kalau lelaki itu tersinggung hati! Yang padahnya nanti Chayi!

Dia cuba berlagak serius. Kerisauan hatinya langsung tidak dipamer di hadapan lelaki itu. Kontrol emosi tu Arin!

“Dan satu lagi, jangan sesekali panggil aku Arin. Hanya orang-orang terdekat sahaja dengan aku yang berhak panggil aku Arin dan kau bukan orang itu.” Ujar Arina lalu mula menolak pintu bilik stor itu dengan sikunya.

Alwiz menghadang laluannya. Mata lelaki itu merah meratah wajahnya. Arina sedikit gugup, namun dia masih berlakon tenang. Pandangan lelaki itu ditentangnya berani.

Alwiz tiba-tiba menumbuk dinding di sebelah Arina. Berdentum bunyi dinding berwarna putih itu ditumbuknya. Arina terkejut besar. Dia menoleh ke arah dinding putih yang mempunyai kesan-kesan merah. Hatinya sudah kecut seribu. Alamak! Lelaki itu tentunya betul-betul marah padanya kini.

Dia memberanikan diri menjeling ke arah Alwiz. Namun matanya lebih tertarik pada titis-titis darah yang mengalir pada luka di buku lima lelaki itu. Pekat darah merah itu tiba-tiba membuatkan perutnya sebu. Dia memang tidak boleh melihat darah atau dia akan muntah di situ juga. Dia menekup mulutnya sekuat hati.

Mujurlah lelaki itu tidak lama di situ. Alwiz segera berlalu pergi dengan wajah membara. Namun titis-titis darah dari tangan lelaki itu masih melekat pada lantai di bilik stor. Arina sudah tidak tahan. Isi perutnya mula bergelodak bagaikan mahu keluar.

* * * *

ALWIZ duduk di birai katil sambil kepalanya menunduk ke bawah. Matanya dipejamkan. Titis-titis darah mengalir dari celah-celah buku limanya lalu mencemari lantai di bilik tersebut. Namun dia tidak peduli pada darah dan kesakitan yang dialaminya.

Hatinya dan fikirannya pada saat itu hanya tertumpu pada Arina.Pada penolakan gadis itu yang sedikit sebanyak mengecewakan perasaannya tanpa disedari.

“Dia takkan mengingati kamu lagi seperti yang kamu mahukan Alwiz. Dia dan kamu berbeza bagaikan langit dengan bumi. Lupakannya! Dengan melupakannya kau sebenarnya memberi nyawa padanya. Arina sudah tidak boleh kembali pada kita lagi di sini. Anggap saja dia sudah mati.” Bisikan wanita itu menyentak emosinya. Dia terkesima, seakan-akan mula menyedari sesuatu.

“Berjanjilah pada makcik Alwiz, apa sahaja yang berlaku selepas ini..jangan sesekali libatkan Arina. Jangan sampai Majlis Tertinggi tahu bahawa dia masih hidup. Walau apa sahaja arahan mereka, kamu mesti elakkan diri dari melibatkan dia. Dan tolong jangan memaksa dia mengingati kamu. Dia sudah banyak menderita selama ini. Dan kamu sendiri pernah melukakan hatinya dulu.”

Alwiz membuka mata. Khayalan singkatnya menghilang. Dia merenung darah pekat yang membasahi buku limanya. Kesakitan yang dirasainya langsung tidak sebanding dengan kesakitan yang dialaminya di dalam hati.

Janjinya dengan Magdalena Anna bagaikan mustahil untuk ditunaikan, bila keluarga Fahrin Toh menjadi sasaran mereka. Kalau lima tahun yang lalu dia belajar untuk melupakan Arina, namun sekarang dia berhadapan dengan gadis itu sendiri. Mampukah rindunya menjadi hanya sebuah metafora?

“Arina…” sebut Alwiz tiba-tiba. Suaranya perlahan dan lemah. Bayang wajah Arina melintas di ruang mata. Wajah mencuka dan memandangnya dengan sorot tajam itu kelihatan cukup indah di matanya.

Dia langsung tidak kisah biar pun seribu kemarahan Arina tersimpan untuknya. Dia juga tidak pernah kisah dengan kata-kata gadis itu yang berbaur kebencian. Baginya semua itu tidak apa-apa berbanding penyesalan yang bermukim di hatinya kini. Jauh di sudut hati, dia menyimpan kerinduan yang terlalu menyeksa. Kerinduan yang tidak mampu diucapkan lantaran antara mereka ada satu tembok besar yang dibina untuk menghalangnya. Dan dia benar-benar marah kerana tidak mampu meruntuhkan tembok itu walau hanya untuk sesaat.

Tiba-tiba dia mendengar pintu biliknya diketuk dari luar. Ketukan singgah beberapa kali tanpa suara. Dia menoleh, namun tubuhnya langsung tidak berganjak dari situ. Sejenak memasang telinga, ketukan itu terhenti begitu sahaja.

Alwiz mengerutkan dahinya. Terasa hairan. Mahu tak mahu dia melangkah ke arah muka pintu. Pintu di hadapannya dikuak, namun dia tidak melihat sesiapapun berdiri di hadapan pintu biliknya. Alwiz melepaskan keluhan.

Sebaik dia mahu menutup pintu bilik, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu terdampar di atas lantai di hadapan pintu. Dia tergaman.

Dia mengangkat peti tersebut dengan dahi berkerut. Peti First Aid! Lama kemudian, sebuah senyuman kecil tersungging di bibir Alwiz. Dia yakin Arina sengaja meletakkan peti tersebut di hadapan biliknya. Malah dia juga yakin, tentu gadis itu sedang bersembunyi di suatu sudut berhampiran dengan biliknya sekarang ini. Dia menjeling ke arah bayang hitam yang muncul tidak jauh dari situ. Beberapa ketika kemudian Alwiz berdehem lalu segera membawa peti itu masuk ke biliknya. Pintu di belakangnya dikatup rapat.

* * * *

ARINA yang sedang bersembunyi tidak jauh dari situ menarik nafas lega sebaik dia melihat lelaki itu membawa masuk peti First Aid ke biliknya. Hatinya beransur tenang. Sebenarnya dia bukan mahu menjaga kebajikan lelaki itu atau sengaja mahu merawat luka lelaki itu. Tapi sebenarnya dia bimbang jika lelaki itu marah dan bertindak yang bukan-bukan terhadap adiknya. Kerana itu dia terfikirkan idea bodoh ini lalu sengaja menghantar ubat untuk lelaki itu merawat tangannya. Harap-harap lembut sedikit hati lelaki itu malam ini.

Arina segera beredar ke biliknya. Dia naik ke atas katil lalu menarik selimut dan membalut tubuhnya. Namun matanya masih tidak mahu lelap. Sebaliknya dia asyik terfikirkan tentang Alwiz. Tentang tindakan lelaki itu sebentar tadi yang membuatkan jantungnya berdegup kencang.

Pelukan lelaki itu masih segar dalam ingatannya. Malah ketika lelaki itu memeluknya, untuk sesaat dia merasakan dirinya amat tenang. Bagaikan semua perkara yang membelenggu dirinya hilang begitu sahaja. Malah dia juga merasa selamat dalam pelukan Alwiz. Sehinggalah wajah Chayi menyedarkannya tentang situasinya sekarang. Tentang siapa Alwiz dan apa tujuan lelaki itu.

Tuhan! Kenapa dengan diriku? Kenapa aku tiba-tiba merasakan perasaan aneh terhadap lelaki itu. Dia menculik adikku! Tapi kenapa mataku asyik mengintai gerak gerinya? Kenapa hatiku seakan menyanjunginya walau hanya sesaat cuma? Kenapa?

“Arin…” bisikan itu bergema. Dia terpaku!

“Arin.I need you!” Bisikan lelaki itu hadir bagaikan hembusan angin semilir yang mengisi setiap ruang hatinya. Arina menekup kedua-dua belah tangannya ke corong telinga. Matanya dipejamkan. Jangan melihatnya dan jangan mendengar suaranya Arin! Remember him as you evil enemy.! Luputkan dia dalam ingatanmu. Ingat tentang Chayi dan ingat apakah yang telah dilakukannya pada Chayi, bisikan hati kecilnya bergema. Mengantikan senyuman Alwiz yang bermain-main di tubir matanya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!