Followers

Tuesday, December 21, 2010

Sayangku Casper : Bab 35

TIA terhendap-hendap di muka pintu. Hatinya benar-benar risau bertembung dengan Halijah. Pandangan mata Halijah padanya di perkarangan restoran tadi masih terhimbau-himbau di pandangan matanya. Sukar dia mahu melupakan jelingan mata yang menggerunkan itu. Timbul pula rasa kesal kerana dia bertindak tanpa berfikir panjang. Sekarang tak fasal-fasal dia dah jadi sinting seketika.

Daun pintu di hadapannya dikuak berhati-hati, sebelum dia menjenguk ke dalam. Perasaan bimbang terserempak dengan wanita itu cuba dilawan. Isi ruang tamu kosong. Malah suara Halijah dan Karin yang riuh rendah tidak kedengaran seperti biasa. Tia mengerutkan dahinya. Perasaan hairan menerpa di sudut hati. Tak ada orang ke kat rumah? Fikirnya seraya masih mengintai-intai bayang dua beranak itu lagak pencuri mahu mengebas barang. Confirm tak ada! Tia mengurut dada. Lega!

Dia cepat-cepat beredar ke biliknya. Tapi sebaik dia menolak daun pintu, matanya terbeliak memandang dua susuk tubuh sedang duduk di atas katilnya. Tia tersentak.

“Hmm dah balik pun anak dara ni.” Suara Karin singgah di telinganya. Senyuman Karin nampak sinis. Tia mengigit bibir. Dia tidak kisahkan kata-kata Karin, tapi dia cukup gementar menatap Halijah. Renungan tajam Halijah membuatkan dia terasa seperti baru diberi hukuman sula.

“Makcik…Tia..Tia..” Lidahnya entah kenapa kelu bercampur gugup mahu menjelaskan peristiwa di restoran tadi.

Halijah bangkit dari birai katil lalu melangkah ke arahnya. Jelingan mata wanita itu menikam tepat ke wajahnya. Tia tarik nafas panjang-panjang. Ya Allah! Janganlah sampai marah wanita itu berpanjangan. Jika tidak tentu dia akan menerima bahana akibat perbuatannya.

Pang! Tia tersentak. Pipinya berbahang. Kulit pipinya terasa hangat dan menyengat. Dia memandang Halijah sambil mengusap pipi kanannya yang baru sahaja ditampar wanita itu.

“Kamu sengaja nak malukan aku hari ni kan?” Keras nada suara Halijah menuduh.

“Makcik, Tia sebenarnya..”

“Diam! Jangan nak bercakap banyak. Aku takkan benarkan kamu kucar-kacirkan hubungan aku dengan Datin Amra. Cukup apa yang kamu buat hari ni. Aku nak kamu telefon Saiful dan minta maaf pada dia. Janji dengan dia yang kamu akan keluar dengan dia esok.” Perintah Halijah tegas.

Tia tersentak.

“Si Saiful tu sukakan kamu. Datin Amra pun berkenan dengan kamu. Kamu ingat aku saja suka-suka kenenkan kamu kat anak datuk tu? Kalau tak ada kamu, dah pasti Karin yang boleh kahwin dengan anak orang kaya tu. Kamu tu cuma menyusahkan aku aje. Tapi bagus juga kalau kamu kahwin dengan Saiful. Lepas kahwin, tentu kamu akan berambus dari rumah ni. Tiba masa itu nanti, rumah ni akan jadi hak aku. Milik aku!” Getus Halijah lalu ketawa besar. Karin hanya tersengih-sengih di samping ibunya.

Tia terasa jantungnya seperti mahu luruh. Kata-kata Halijah benar-benar menyakitkan hatinya. Namun dia tidak berupaya untuk melawan cakap-cakap wanita itu.

“Sampai hati makcik buat Tia macam ni. Tia cuba bersabar dengan makcik. Tia biarkan makcik atur hidup Tia. Tapi Tia tak sanggup turut cakap-cakap makcik lagi. Tia takkan keluar dengan Saiful atau kahwin dengan dia. Takkan!” Balas Tia berdegil.

“Oh melawan kamu sekarang ni ya Tia.” Herdik Halijah seraya menarik rambut Tia yang separas bahu. Tia mengaduh kesakitan. Airmatanya semakin lebat mengalir. Dia memandang ke arah Karin, cuba meraih simpati. Namun usahkan membantu, Karin sebaliknya hanya ketawa sinis melihatnya dikerjakan Halijah.

“Suka atau tidak, kamu harus kahwin dengan Saiful. Datin Amra dah rancang nak tunangkan kamu dengan anaknya.” Herdik Halijah.

“Ayah takkan setuju dengan semua ni makcik.” Getus Tia sambil cuba menahan sakit.

Halijah ketawa besar.

“Ayah kamu tu apa tahu? Sibuk dua puluh empat jam mengalahkan menteri. Kamu ingat dia ambil berat sangat fasal kamu? Kalau dia sayangkan kamu, dah lama dia balik ke mari. Ini sebulan sekali baru nampak batang hidungnya.” Halijah tersengih. Inilah saja caranya dia membalas dendam terhadap Faruk. Rasakan kau Faruk! Aku akan layan Tia sama macam kau layan aku! Dendam kesumat Halijah menyala-nyala.

“Wakil dari Datin Amra akan datang lusa. Dia akan bawa dulang hantaran untuk pertunangan kamu dengan Saiful. Aku dah cakap pada Datin Amra yang ayah kamu dah bersetuju dengan semua ini. Jadi kamu dah tak ada jalan lain lagi Tia. Suka atau tidak, kamu harus bertunang dengan Saiful.”

“Kalau macam tu, Tia nak telefon ayah. Tia nak beritahu ayah semua perkara yang makcik buat pada Tia selama ini. Kalau dulu Tia cuba bersabar dengan makcik. Sekarang Tia dah tak boleh sabar lagi.” Jerit Tia lalu menepis tangan Halijah yang memegangnya.

Dia cuba mengambil telefon bimbitnya dari saku beg sandang. Tapi tiba-tiba beg sandangnya dirampas seseorang. Tia berpaling. Melihat Karin melarikan begnya, Tia semakin berang. Dia sudah hilang kesabaran lalu meluru pantas ke arah Karin. Lalu terjadilah adegan tolak menolak yang nyata tidak menyebelahinya kerana saiz badan Karin yang agak besar. Dengan hanya sekali tolakan, tubuhnya melayang ke arah lantai. Karin terkeheh-keheh ketawa.

Halijah dan Karin keluar dari bilik itu lalu menutup pintu agak kuat. Tia cuba bangkit, tapi serentak dia terjelepuk semula. Kakinya terseliuh kerana ditolak Karin sebentar tadi. Dia mendengar bunyi anak kunci dipulas-pulas pada lubang kunci di pintu biliknya.

Tia berpaling. Nafasnya mendesah kuat tatkala menyedari Halijah sedang mengunci pintu biliknya. Dengan bersusah payah, Tia bergegas ke muka pintu. Daun pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Tombol pintu turut dipulas-pulas kasar namun tidak sedikit pun pintu itu berkutik.

“Makcik, makcik buat apa ni? Kenapa kunci Tia dalam bilik ni?” Jerit Tia agak kuat. Terdengar suara Halijah dan Karin ketawa dari luar bilik.

“Rasakan! Budak macam kamu ada hati nak lawan aku? Kamu belum tahu aku siapa Tia. Kamu akan aku kurung sampailah rombongan Datin Amra tu sampai. Duduklah diam-diam kamu kat dalam bilik tu.” Suara Halijah melaung separuh mengilai.

Tia terjelepuk lemah. Hampir tidak percaya dengan apa yang telah berlaku padanya. Jika dia tahu begini nasib dirinya, dia takkan sesekali pulang ke rumah ini. Dia lebih rela mengikut Rafique pergi. Ayah! Baliklah cepat ayah, Tia dah tak boleh sabar lagi! Bisik Tia sambil menangis teresak-esak di belakang pintu.

* * * *

Sebuah motosikal berkuasa besar berhenti di hadapan rumah dua tingkat itu. Seorang lelaki membuka helmet yang menutup wajahnya. Pandangannya dilontar ke arah rumah di hadapannya. Dia cuba mengintai kelibat Pak Amid yang selalunya akan kelihatan di laman rumah. Jika tidak membasuh kereta, orang tua itu akan berkebun di halaman rumah. Tapi kali ini Pak Amid tidak kelihatan. Dia pula sudah bingung bagaimana mahu memanggil Tia keluar menemuinya.

Jerone menyeluk poket seluar. Telefon bimbit miliknya dikeluarkan sebelum dia mula mendail nombor milik Tia. Beberapa kali mencuba, Jerone mengerutkan dahinya. Hairan! Tia jarang menutup telefon meskipun sejak beberapa hari ini gadis itu merajuk panjang dengannya dan enggan menjawab panggilannya. Apa sudah jadi?

Mata Jerone terus mengarah ke arah bilik gadis itu di tingkat bawah. Hendak menuju ke rumah itu secara terhormat dia tidak berani. Nak mampus? Kalau tak mahu merasa dibambu perempuan gila itu, baik tak usah bermimpi. Hati kecilnya berbisik sendirian.

Kedatangannya hari ini bersebab. Pertama dia mahu memujuk Tia yang merajuk panjang kerana dia mahu menyambung pelajaran ke luar negara. Kedua, dia mahu mencadangkan agar Tia mengikutnya ke luar negara. Soal itu sudah pun dibincangkan dengan abangnya Jude yang akan membantu Tia. Lagipun sejak perang dingin antara dia dan Tia berlanjutan beberapa hari yang lalu, dia membiasakan diri berfikir di luar kotak. Soal Tia menjadi punca kenapa dia begitu mengambil berat tentang gadis itu. Dia sendiri tidak sanggup mahu meninggalkan Tia sendirian di Malaysia di tangan ibu tiri gadis itu.

Sedang Jerone begitu asyik memikirkan cara bagaimana mahu menemui Tia, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Halijah dan Karin keluar dari dalam rumah dengan membawa tukul dan beberapa papan kayu sebesar satu depa.

Melihat Halijah dan Karin sedang memalang tingkap bilik Tia, Jerone tercengang. Dia tidak mengerti apa sebenarnya sedang dilakukan oleh kedua-dua beranak itu. Takkan mereka nak kurung Tia! Dia tergaman sebaik menyedari ada kemungkinan juga apa yang baru difikirkannya. Lagipun tak mustahil Halijah melakukannya, kerana wanita itu pernah berbuat perkara yang sama beberapa tahun yang lepas.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!