Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 14

Riffki termenung panjang. Gagang dihempaskannya agak kasar. Hatinya benar-benar mendidih. Sudah banyak kali dia cuba menelefon Nurul Hijjaz tapi gagal. Malah telefon bimbit gadis itu seperti sengaja dimatikan. Sudah 2 hari gadis itu tidak muncul di studionya. Damn it! Mana dia agaknya?
Riffki berjalan mundar-mandir di studionya. Meskipun persiapan pameran fotonya hampir 70 peratus selesai, tapi dia tetap mahukan Nurul Hijjaz datang ke studionya tiap-tiap hari. Entah kenapa bila sehari tidak melihat Nurul Hijjaz, dia rasa ganjil. Seolah-olah harinya menjadi tidak lengkap tanpa kehadiran gadis itu.
Dia sendiri tidak tahu sejak bilakah dia mula berperasaan begitu. Entahlah samaada perasaan yang terbit di hatinya boleh dikatakan cinta, atau sekadar satu perasaan aneh yang sering bermukim di hatinya, tatkala menatap wajah Nurul Hijjaz buat kali pertama.
Riffki memandang potret Nurlaila di suatu sudut. Wajah itu tetap sama, sentiasa tersenyum ke arahnya. Dia menoleh pula ke arah jambangan bunga di sudut dinding. Ros putih di jambangan itu hampir layu. Selalunya dua hari sekali Nurul Hijjaz akan menukarkan ros itu dengan yang baru. Tapi apabila tuannya tidak ada, pasu itu terbiar begitu saja.
Riffki tersenyum. Dia pantas mencapai kunci kereta lalu mengunci studionya. Keretanya segera dipandu keluar ke jalan besar menuju ke suatu arah.
* * * *
“Beri ros putih tu satu dozen,” pinta Riffki pada seorang gadis cina di Bridal Florest. Apabila jambangan bunga itu bertukar tangan, Riffki tersenyum senang. Ros putih nampak cantik dirangkaikan dalam plastik bersama bunga-bunga kecil lain berwarna merah, kuning dan biru. Nampak indah.
Seterusnya dia menghalakan keretanya ke suatu arah. Krafria Galeria. Dia pasti, tentu Nurul Hijjaz berada di sana. Ke mana lagi dia nak pergi? Tentu dia sengaja nak mengelakkan diri dari aku, detik hati Riffki. Dia tersenyum. Tak mengapa. Kalau dia berdegil tak mahu datang menyudahkan kerjanya di studio, aku akan paksa dia. Kalau perlu heret aku akan heret. Timbul rancangan nakal di kepala Riffki.
“Hijjaz? Nurul Hijjaz ambil cuti dua hari, saya ingat dia dah inform pada Encik Riffki.” Ujar Syed Hambali sebaik dirinya ditanya tentang Nurul Hijjaz. Dia terkejut mendengar kata-kata Syed Hambali.
“Ambil cuti? Kenapa? Dia sakit ke?”
“Itu saya tak pasti pula. Dua hari lepas dia telefon saya mengatakan dia nak bercuti dua hari. Saya dah suruh dia maklumkan pada Encik Riffki dulu, kalau-kalau perlu menggantikan orang lain untuk menguruskan pameran Encik Riffki tu.”
“Tak perlu Encik Syed, setakat ni saya berpuas hati dengan kerja Nurul Hijjaz,” cepat-cepat Riffki menolak. Dia tidak mahu gadis itu digantikan. Walau macamana sekalipun, samaada dia sakit atau ada masalah lain sekalipun, dia tetap mahu Nurul Hijjaz menguruskan pamerannya.
Tapi dia hairan. Kenapa Nurul Hijjaz tidak memberitahunya apa-apa? Meskipun hendak bercuti, sekurang-kurangnya telefonlah memberitahu atau meninggalkan pesan. Ini tidak, dia suka-suka hati pergi begitu saja, rungut Riffki.
Riffki mengetapkan bibir. Geram. Sakit hatinya mengenangkan sikap Nurul Hijjaz yang dirasakan kadang-kala melampaui batas. Kelmarin contohnya, hampir semalam dia menunggu Nurul Hijjaz di studionya. Naik lenguh tangannya mendail nombor gadis itu, tapi satu panggilan pun tak diangkatnya. Betul-betul melampau! Bisik hati kecil Riffki.
“Riff? Buat apa kat sini?” Riffki berpaling sebaik mendengar namanya diseru. Dia tergaman melihat Daniel berada di situ. Abangnya tercegat memandangnya. Wajah Daniel dipenuhi tanda tanya.
“Aku tak tahu yang kau kenal Encik Syed.” Ujar Daniel sewaktu mereka makan tengahari bersama di kafeteria yang tidak jauh dari Krafria Galeria.
“Aku guna khidmat Krafria untuk uruskan pameran aku. Bukankah kau yang syorkan pada aku dulu?“
Daniel tertawa. Dia masih ingat. Dulu sewaktu dia tahu Riffki hendak menjual foto-foto Bali, tiba-tiba sahaja nama Krafria Galeria muncul. Lagipun selepas dia bertemu dengan Nurul Hijjaz, dia telah menyuruh setiausahanya menyiasat mengenai syarikat itu. Dia dapat tahu prestasi dan keuntungan syarikat itu kurang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun mengenangkan kegigihan Nurul Hijjaz mencari klien baru untuk syarikatnya, membuatkan Daniel berhasrat membantu. Tapi dia benar-benar tidak sangka, Riffki akan setuju menggunakan khidmat syarikat itu. Selama ini adiknya itu bukan tidak pernah mengadakan pameran. Tapi setiap pamerannya, selalunya diuruskan oleh syarikat Dato’ Faizul. Cuma kali ini agak berbeza. Riffki tidak mahu lagi bernaung di bawah Faizul’s Entertainment.
“Macamana dengan soal kewangan? Aku dengar ayah dah tarik balik bantuan kewangan ke studio kau. Betul ke?”
Riffki mengangguk. Entah mengapa, apabila disebut sahaja soal ayahnya, selera makannya akan mati tiba-tiba. Nasi goreng di hadapannya sudah kelihatan tidak berselera di anak tekaknya.
“Kalau kau mahu, aku boleh tolong. Macamana?”Daniel mempelawa.
“Tak mengapalah Danny. Aku masih ada simpanan lagi.” Balas Riffki pula. Dia teringatkan simpanannya yang hampir mencecah setengah juta hasil dari kontak kerjasama dengan Dato’ Faizul selama beberapa tahun yang lalu. Kerana itu Riffki tidak bimbang sangat. Duit itu lebih dari cukup untuknya. Malah jika dia mencairkan semua harta-hartanya termasuk kereta, apartment, saham Mutiara Global dan tanah di Damansara Height, dia mampu mendapatkan kira-kira RM2 juta. Semua itu adalah hasil titik peluhnya selama ini. Hanya ayahnya saja yang kuat membantah dia menceburi bidang itu. Kononnya bidang itu langsung tidak menjamin masa depan. Tapi lihatlah dia sekarang. Dia sudah pun membuktikan yang dia mampu hidup mewah hasil dari kerja yang tidak direstui lelaki itu.
“Ya, Danny ingat umi. Masuk kali ni dah empat kali umi pesan.” Daniel berbual sebentar di talian. Riffki hanya tersenyum. Dia tahu Daniel pastinya sedang berbual dengan Datin Arfah.
Sebaik lelaki itu menyudahkan perbualan, satu keluhan berat keluar dari mulutnya. Riffki berpaling. Wajah Daniel dilihatnya keruh semacam.
“What? Something wrong?”
Daniel tersenyum hambar. “Kau ingat lagi masa kita kat Auckland dulu, kita pernah berjiran dengan Tan Sri Ismail dan isterinya Puan Sri Fatimah? Dia ada seorang anak perempuan bernama Nora Hanis. Ingat lagi?”
“Ingat-ingat lupalah, lagipun dah lama sangat. Tapi apa kaitannya dengan mereka?” Riffki mengerutkan dahinya.
“Umi nak jodohkan aku dengan Nora Hanis.” Beritahu Daniel muram.
Riffki tercengang. Lama dia merenung wajah Daniel yang kelihatan tidak senang hati. Tak lama kemudian ketawanya meletus. Daniel menjegilkan matanya memandang Riffki yang masih ketawa terbahak-bahak.
“I know this is funny, but you got to help me Riff.”
“Aku rasa aku ingat budak perempuan tu. Bukankah dia yang suka datang ke rumah kita dulu dan asyik mengekori kau ke mana-mana.” Riffki terus dengan tawanya.
“Hei bro, setahu aku, dia paling sukakan kau. Pantang nampak kau lalu, dia akan terintai-intai di tingkap rumahnya.” Balas Daniel tak mahu mengalah. Dia turut tertawa. Lucu mengenangkan zaman kanak-kanaknya di Auckland dulu.
“Cantikkah dia?’
“Not bad. Manis dan pemalu.”
“Jadi apa salahnya? Terima sajalah, bukan senang nak kahwin dengan pilihan orang tua lagi di zaman sekarang ni,” bisik Riffki separuh mengusik.
“Macam perli saja. Come on lah Riff, please..tolong ikhtiarkan sesuatu untuk aku okey.” Rayu Daniel. Hanya pada Riffki, dia boleh bergantung harap untuk melepaskan diri dari situasi itu.
“Bila nak jumpa?”
“They all nak buat family gathering tu malam lusa. Silap-silap haribulan, malam tu juga aku bertunang agaknya.” Daniel tak sanggup membayangkan kalau apa yang dikatakannya jadi kenyataan.
Riffki tersenyum gelihati. Daniel memang terkenal bijak dalam perniagaan, tapi bila timbul soal lain, tiba-tiba dia jadi bodoh. Tak disangkanya Daniel yang terkenal anak yang taat di hati ayahnya, masih tidak sudi berkahwin dengan pilihan orang tua. Kenapa agaknya?
“Kenapa kau tak nak kahwin aje dengan anak Tan Sri tu?” Riffki bertanya.
“Aku tak mahu kahwin dengan orang yang aku tak cinta. Puas hati dengan jawapan tu?” Ungkap Daniel.
“Atau kau dah jatuh cinta?” Riffki serkap jarang.
Daniel tergelak besar. Hanya dia yang tahu kenapa. Mustahil dia akan mendedahkan rahsia hatinya pada Riffki, sedangkan bunga yang diintainya, masih belum lekat dalam genggaman.
* * * *
Riffki menyusun beberapa jambangan bunga ros itu di dalam vase tinggi di suatu sudut. Bunga yang lama dan sudah layu dibuang dan digantikan dengan bunga baru yang dibelinya. Seketika mata Riffki terlalu asyik memandang jambangan bunga putih segar berlatarbelakangkan dinding yang juga berwarna putih. Bibirnya melemparkan senyuman. Cantik!
Sejak kecil dia gemarkan warna putih. Baginya putih adalah lambang cinta. Bukan warna merah hati yang sering dikaitkan orang sebagai lambang kasih. Putih baginya adalah warna utama yang merangkumi semua warna dalam kisah hidupnya. Malah seingatnya ibunya Ratna juga amat menyukai warna putih sehinggakan kebanyakan pakaiannya berwarna putih. Bukan itu saja, sejak wanita itu jatuh sakit, dia lebih kerap memandang ibunya dalam pakaian putih milik pihak hospital. Kerana itu warna itu memberi pengaruh yang amat besar dalam hidupnya.
Mengenali Nurlaila selama hayatnya, adalah satu keindahan yang tak mungkin dilupakan. Bersama gadis itu, dia berkongsi banyak perkara. Minat, keinginan, sikap dan sebagainya. Tambah beruntung, Nurlaila juga sepertinya. Gemarkan ros berwarna putih. Dan ros itulah yang sedang menghiasi sudut-sudut di studionya. Menjadi pengganti kepada kerinduannya terhadap Nurlaila. Pahit yang dirasakannya sejak lima tahun lalu, sedikit sebanyak masih terpendam di lubuk hati.
Semua orang memaksa dia melupakan kisah lama itu. Kisah pahit yang dilakar dengan tinta darah itu menusuk bagai bilah tajam ke hatinya. Bagaimana harus dia melupakan semua itu, jika bencana yang datang meragut cintanya?
“Bagaimana pak?” Dia bertanya dengan nada cemas.
Lelaki berpakaian seragam itu mendongakkan wajah memandangnya. “Maaf bapak Riffki, kami tak bisa menemukan teman anda. Kasus yang ada terlalu banyak. Ledakan itu kami percaya telah mengorbankan teman anda, meskipun jasadnya gagal kami temukan.” Ujar lelaki dalam lingkungan usia 40 an itu. Lelaki itulah yang sering dihubunginya untuk mendapat khabar tentang operasi menyelamat yang di adakan sejurus selepas kejadian.
“Tapi bapak, saya yakin teman saya masih hidup. Hanya kalau bapak bisa mengarahkan orang-orang bapak agar terus mencari di sekitar kawasan itu..” Dia memujuk.
Lelaki di hadapannya menarik nafas panjang. Mata lelaki itu merenung tepat ke arahnya. “Bapak Riffki, saya sangat simpati dengan anda. Justru itu, saya benar-benar berharap anda bisa menerima kejadian buruk ini. Maaf, operasi ini harus kami hentikan segera.”
Dia terdiam. Buntu sudah kepalanya mahu memujuk lelaki itu. Lidahnya juga seolah kelu untuk bertutur. Hampir seminggu dia menetap di Bali dengan harapan Nurlaila masih hidup. Nurlaila bukannya sudah meninggal seperti yang disangkakan orang. Tapi penantian demi penantian tambah menyeksakan hatinya.
“Ayah suruh aku bawa kau pulang.” Ujar Daniel ketika menurutinya di Kota Bali. Dia memandang Daniel yang kelihatan muram. Sejenak pandangannya beralih arah.
“Aku masih ada kerja di sini.”
Daniel terdiam. Anak mata Daniel menjunam tajam ke arahnya. Dia buat tidak peduli lalu bingkas bangun. Dia harus ke Jakarta petang itu untuk bertemu pegawai kedutaan. Hanya di situ harapannya yang masih tinggal untuk memujuk pegawai-pegawai di Bali membantunya mencari Nurlaila.
“Dia dah tak ada Riff. Kau tahu hakikat itu bukan. Dah seminggu, polis masih gagal menemui dia. Untuk apa kau menunggu di sini dengan harapan kosong?” Tingkah Daniel tiba-tiba.
Langkahnya tidak jadi diatur. Dia memusingkan tubuhnya mengadap ke arah Daniel. Wajah lelaki itu serius.
“Selagi aku tak jumpa mayatnya, aku akan tetap menyimpan harapan.”
“Itu kerja bodoh!”
“Bodoh atau tidak, atau gilakah aku? Itu semua tak berkaitan dengan kau Danny.” Getusnya dengan nada keras. Dia enggan mendengar apa-apa pujukan dari mulut Daniel. Dia tahu, Daniel dihantar oleh ayahnya khusus untuk memujuknya pulang ke Malaysia. Tapi dia tetap berdegil, enggan pulang sebelum dia menemukan kebenaran yang ingin dicarinya.
Riffki termenung panjang tanpa disedari. Dia melirik ke arah potret wajah Nurlaila sebesar dinding di hadapannya. Lima tahun sudah berlalu. Dan dalam tempoh ini, dia sebenarnya masih menyimpan sedikit harapan walau sebesar zarah. Harapan bahawa Nurlaila masih hidup, masih bernyawa dan bernafas di satu tempat!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!