Followers

Thursday, October 14, 2010

Hujan Rindu : Bab 24

Zurin turun dari kereta dengan perasaan girang. Dia menghirup udara segar sepuas-puas hatinya. Gembira tak terkira hatinya saat kakinya menjejaki jeti di Lumut. Sudah lama dia merancang hendak bercuti. Baru kini, impiannya terlaksana. Tak sia-sia dia bertungkus lumus belajar selama ini. Janji yang kerap Yuzer utarakan sejak dulu baru kini mampu ditunaikan. Namun Zurin tidak kisah. Dia tetap berasa seronok dan ceria.

“Seronokkan kak Anum?” Zurin memandang Anum Dahlia yang kelihatan ayu dengan blaus batik berwarna putih bercorak pink lembut. Gadis itu hanya mengangguk sambil tersenyum. Dia memandang Zaza yang kelihatan masih mengantuk.

“Zaza, bangunlah. Kita dah sampai ni,” kejut Anum Dahlia.

“Sampai ke mana?” Zaza terpinga-pinga.

“Apalah kak Zaza ni, kita dah sampai Lumut. Sekejap lagi kita nak naik feri ke Pangkor. Kalau ya pun bangunlah, sudah-sudahlah tidur tu,” rungut Zurin. Dia memandang ke arah Yuzer yang sedang sibuk mengeluarkan barang-barang mereka dari but kereta.

“Habis kereta abang ni nak tinggal sini aje ke?” Tanya Zurin.

“Taklah. Sekejap lagi, ada kawan abang datang ambil kereta ni dekat sini. Jom, kita kena bertolak sekarang.” Arah Yuzer.

“Abang, kenapa kita tak naik aje Berjaya Air terus ke Teluk Dalam? Kan lagi senang. Ini dahlah kena memandu berjam-jam, lepas tu nak kena naik feri pulak. Bila nak sampai kalau macam ni,” rungut Zaza.

Yuzer mengerling ke arah adiknya. Kalau diikutkan hatinya, mahu dia tinggalkan Zaza di Kuala Lumpur saja. Dari perjalanan sepanjang lebuhraya ke Ipoh, anak gadis itu asyik merungut tak habis-habis.

“Kak Zaza ni memang macam ni kak Anum, kalau berjalan jauh dia memang tak tahan. Maklumlah anak manja mak. Kalau balik kampung, sikit-sikit nak naik kapal terbang.” Bisik Zurin bercerita perihal Zaza.

“Ha itu dah mulalah nak mengutuk akak,” Zaza menjeling Zurin dengan ekor mata.

Anak gadis itu tersengih seraya menjelirkan lidahnya. Zaza yang tidak puas hati terus meluru ke arah Zurin, menyebabkan Zurin turut membuka langkah panjang.

“Zaza, Zurin…apa ni? Macam budak-budak!” Jerit Yuzer geram. Namun kedua-duanya semakin jauh berlari. Yuzer mengeluh kecil. Apabila dia berpaling, Anum Dahlia kelihatan tersenyum memandang ke arah adik-adiknya. Entah mengapa, Yuzer bagaikan terpaku melihat senyuman yang timbul di wajah Anum Dahlia.

Melihat Yuzer memandang ke arahnya, senyuman Anum Dahlia tiba-tiba mati. Dia segera melangkah laju meninggalkan Yuzer di belakang. Yuzer hanya memerhatikan langkah Anum Dahlia yang semakin menjauh, sebelum dia turut mengekori langkah anak gadis itu. Perjalanan dengan feri ke Pulau Pangkor tidak memakan masa yang lama. Hanya lebih kurang 20 minit saja perjalanan. Sebaik sampai di jeti Pulau Pangkor, seorang lelaki bertubuh tinggi lampai sudah menanti kehadiran mereka.

“Asrul, awak apa khabar?” Tegur Yuzer lalu bersalam dengan lelaki itu. Lelaki itu tersenyum lebar memandang Yuzer.

“Baik, saya sangkakan Encik Yuzer tak jadi datang tadi.” Sahut lelaki itu dengan senyuman ramah.

“Mana mungkin, saya dah kata nak datang. Here I am now!”

“Saya dah sediakan kereta macam yang Encik Yuzer suruh. Kali ni Encik Yuzer nak ke tempat yang sama lagi ke?” Soal lelaki itu.

“Ya macam biasa, Pasir Bogak.”

Yuzer memandang Anum Dahlia dan adik-adiknya silih berganti. “Abang perkenalkan, ini kawan abang Asrul. Dia akan bawa kamu semua ke tempat penginapan.” Ujar Yuzer.

“Habis abang?” Zaza tercengang mendengar tutur kata Yuzer.

“Abang ada kerja sikit dekat Pekan Pangkor. Zaza dan yang lain ikut Asrul. Jangan bimbang, dia kawan abang. Dah lama kami kenal.” Ucap Yuzer seraya menjeling ke arah Asrul. Lelaki itu tersenyum kecil.

“Ala abang ni, takkan time-time cuti pun nak kerja jugak,” rungut Zaza sambil mencebikkan mulutnya. Dia menjeling Zurin yang hanya tersengih.

“Zaza, abang ada hal sikit kat sini. Tak lama abang pergi, sekejap sahaja.” Pujuk Yuzer. Dia menoleh ke arah Anum Dahlia. Dilihatnya gadis itu turut memandangnya. Dia mendekati Anum Dahlia perlahan-lahan. Wajah gadis itu ditatap agak lama.

“Anum, tolong tengok-tengokkan Zaza dengan Zurin sementara saya tak ada,” pesan Yuzer.

“Awak nak ke mana?” Soal Anum Dahlia ingin tahu.

Namun Yuzer tidak menjawab pertanyaannya. Lelaki itu segera pergi meninggalkan mereka semua dengan sebuah teksi yang sudah pun menanti di situ. Zurin mendengus agak kasar. Zaza juga sama. Anum Dahlia memandang kedua beradik itu dengan penuh tanda tanya. Sebaik pandangan matanya beralih arah, dia bertemu pandang dengan Asrul yang hanya tersenyum.

* * * *

“Abang Yuzer tu nak ke mana abang Asrul?” Soal Zaza ketika mereka menaiki van menuju ke tempat penginapan mereka di Pasir Bogak. Zurin dan Anum Dahlia yang duduk di tempat duduk belakang sekadar menjadi pendengar.

“Saya pun tak tahu Cik Zaza. Katanya, dia ada kerja di sini.” Balas Asrul perlahan.

“Kata nak bercuti, tapi sampai sekarang pun asyik dengan kerja saja. Abang tu memang lebih pentingkan kerja dari kita semua,” sebut Zaza sedikit geram.

“Tak baik cakap macam tu Zaza, agaknya betul dia ada urusan penting,” sampuk Anum Dahlia cuba memujuk. Bukan niatnya mahu mempertahankan Yuzer, cuma dia hanya cuba menjernihkan mood Zaza yang terganggu dengan sikap Yuzer. Jika diikutkan dia juga bersetuju dengan kata-kata Zaza. Ada ke tengah bercuti pun sibuk fikirkan kerja lagi. Kalau dia juga sudah tentu tidak tahan dengan sikap Yuzer yang terang-terangan memilih kerja dari adik-adiknya sendiri.

“Ala betul cakap kak Zaza tu. Zurin pun setuju abang tu lebih pentingkan kerja. Kata mak, perangai abang sama macam perangai ayah dulu. Asyik dengan kerja sampai lupa nak berseronok.” Balas Zurin pula.

“Kalau dah tahu ada kerja, kenapa nak juga datang ke mari.” Sambung Zaza pula sambil memasamkan mukanya.

Anum Dahlia sekadar mendengar rungutan dua beradik itu. Dia sendiri sudah malas mahu memujuk. Hanya mereka yang dekat dengan Yuzer sahaja lebih tahu tentang sikapnya. Dia sebagai orang luar dalam keluarga itu tidak layak untuk masuk campur.

“Abang Asrul dah lama kenal dengan abang?” Pandangan Zurin beralih ke arah Asrul yang sedang memandu dengan berhati-hati.

“Lama tu taklah tapi adalah setahun yang lalu.” Jawab Asrul.

“Lama tu. Macamana abang Asrul kenal dengan abang?” Giliran Zaza pula bertanya.

“Encik Yuzer pernah datang ke kampung saya dulu untuk mencari seseorang.” Jawab Asrul tenang. Matanya memandang ke arah cermin kereta di hadapannya.

“Siapa?” Zaza bertanya lagi.

“Pembuat pasu ukir yang terkenal di tempat ini. Ayah saya,” ujar Asrul seraya tersenyum.

“Ayah abang Asrul pandai mengukir pasu?” Zaza mula tertarik. Hidup sebagai seorang anak pengukir kreatif perabot, sedikit sebanyak membuahkan minat Zaza. Meskipun dia mengambil kursus pemasaran di universiti, namun itu tidak menghalang minatnya dalam seni hiasan kreatif.

“Ya, macam ayah Cik Zaza juga. Cuma ukiran ayah saya lebih kepada pasu-pasu bunga yang kami hasilkan sendiri di kilang. Saya tahu Encik Taufik berbakat dalam ukiran perabot klasik kontemporari serta tradisional tropika.” Ujar Asrul yang nampaknya tahu tentang Taufik Hidayat, ayah gadis-gadis itu.

“Tapi ayah saya tak gemarkan ukiran gaya moden.” Ujar Zaza.

“Cik Zaza sepatutnya faham, ramai pembuat dan pengukir perabot zaman kini mahir dengan ukiran moden. Tapi tak ramai tahu mengukir gaya klasik, sedangkan perabot sebeginilah yang mendapat sambutan ramai di pasaran luar.” Jelas Asrul serba ringkas, sambil matanya menjeling cermin di hadapannya.

“Kenapa abang Asrul?” Soal Zurin yang kelihatan hairan. Sejak tadi dia perasan, mata Asrul asyik tertumpu pada cermin hadapan van. Dia juga perasan kelajuan van yang mereka naiki bertambah sedikit demi sedikit.

“Tak tahulah Cik Zurin, kereta di belakang tu dari tadi lagi mengekori kita. Sejak kita tinggalkan kawasan jeti tadi. Tapi itu mungkin perasaan saya saja. Mungkin tak ada apa-apa sebenarnya.” Beritahu Asrul. Dia tidak berniat mahu menakut-nakutkan gadis-gadis itu.

Serta-merta, Zurin dan Zaza segera menjenguk ke arah belakang. Sebuah kereta hitam bercermin gelap berada di belakang van Asrul. Anum Dahlia turut menoleh. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Zaza dan Zurin yang kelihatan cemas. Seperti kedua-dua gadis itu, dia turut merasakan perasaan yang sama. Apatah lagi mereka kini berada di tempat yang agak asing. Anum Dahlia benar-benar bimbang, jika mereka ditimpa bala.

“Asrul, ini sajakah jalan yang ada untuk ke Pasir Bogak?” Soal Anum Dahlia.

“Hmm, saya tahu jalan singkat untuk ke sana. Cik Anum nak saya elakkan dari kereta tu ke?” Tanya Asrul.

“Walaupun kita tak pasti betul atau tidak kita diekori, tapi lebih baik berhati-hati,” ujar Anum Dahlia, mengambil kesimpulan sendiri. Asrul mengangguk, lalu terus memecut vannya lebih laju. Sampai di sebuah simpang tiga, dia terus membelokkan keretanya ke arah kanan. Ketiga-tiga gadis itu memandang ke arah belakang. Kereta hitam itu sudah hilang dari pandangan. Anum Dahlia melepaskan keluhan lega. Bimbang juga dia jika berlaku apa-apa yang buruk pada mereka. Sudahlah Yuzer tidak ada bersama ketika itu.

“Kak Anum fikir, betul ke orang di belakang kita tu mengekori kita?” Tanya Zurin resah. Anum Dahlia sekadar menjongketkan bahunya. Dia sendiri tidak tahu. Kalau betul, kenapa mereka diekori dan apa tujuannya? Semuanya berlegar-legar di dalam fikirannya tanpa ada jawapan.

* * * *

“Wow! Cantiknya,” Zaza kagum ketika dibawa ke apartment mereka di Pangkor Village Beach Resort yang terletak berhampiran pantai Pasir Bogak. Zurin pula terburu-buru menuju ke balkoni apartment yang mengadap ke arah laut segar. Dia memejamkan matanya. Terasa hembusan angin meniup sepoi-sepoi bahasa ke mukanya. Dia tersenyum.

“Saya kena balik dulu ke rumah, saya harap adik-adik semua selesa di sini. Oh ya Cik Anum, ini ada kunci kereta yang Encik Yuzer minta saya sewakan sepanjang percutian. Ada di tempat parking di bawah.” Ujar Asrul lalu menyerahkan segugus anak kunci ke arah Anum Dahlia.

“Terima kasih Asrul sebab hantarkan kami.” Anum Dahlia tersenyum.

“Jumpa lagi abang Asrul,” laung Zaza dari jauh. Asrul sekadar tersenyum sebelum melangkah keluar. Anum Dahlia memandang ke arah Zaza dan Zurin yang kelihatan seronok. Dia sendiri ralit meninjau apartment tiga bilik itu yang lengkap dengan perabot dan dapur. Ruang di dalam apartment itu agak luas dan besar. Malah dapur itu lengkap dengan peti ais dan tempat memasak.

Anum Dahlia terkedu sebaik membuka peti ais. Isi peti ais itu penuh dengan bahan basah, buah-buahan dan minuman sejuk. Ini sudah bagus, bisik hati kecilnya. Dia juga menemukan nota kecil yang diletakkan oleh Asrul di penjuru peti ais itu. Tahulah Anum Dahlia, semua bahan-bahan di dalam peti ais mereka disediakan sejak awal-awal lagi oleh Asrul sendiri.

Apabila dia menyertai Zaza dan Zurin di balkoni apartment di tingkat lima itu, matanya terpegun menyaksikan keindahan pantai Pasir Bogak yang memutih.

Selama ini dia sering membaca dari internet tentang pantai-pantai menarik di Malaysia. Dan Pulau Pangkor adalah antara pantai tercantik di Asia Tenggara. Tak sangka pada hari ini, dia sampai jua ke sini. Alangkah indahnya, detik hati kecil Anum Dahlia. Terasa tak sabar kakinya mahu memijak pantai seputih kapas itu.

“Seronokkan kak Anum. Dah lama Zurin tak datang ke mari.” Entah sejak bila anak gadis itu berdiri di sampingnya. Anum Dahlia mengangguk. Seperti Zurin, dia juga merasa seronok kini.

“Dulu kami pernah datang dengan ayah dan mak, masa tu kami semua kecil lagi. Bila perniagaan perabot ayah meningkat maju, kami dah jarang habiskan masa bersama-sama.” Keluh Zurin dengan nada sayu.

Anum Dahlia tersenyum memandang anak gadis itu. Bahu Zurin dipeluk erat. Zurin hanya tertawa diperlakukan seperti itu. “Lepas ni apa aktiviti kita?” Tanya Anum Dahlia, sengaja mahu mengalihkan topik perbualan mereka.

“Zaza nak main air.” Jawab Zaza riang. Itulah rancangannya sejak mereka meninggalkan Kuala Lumpur pagi tadi.

“Tak nak tunggu Yuzer balik dulu?”

“Huh buat apa? Kita datang sini nak enjoy, habiskan cuti. Kalau nak tunggu abang tu habis kerja, entah-entah kita ni duduk terperap saja dalam rumah ni sampai habis cuti.” Sahut gadis itu. Anum Dahlia terdiam. Betul juga cakap Zaza!

“Kalau macam tu, kita kemas barang dulu. Lepas tu kita tukar pakaian dan pergi main air sama-sama.” Usul Anum Dahlia.

Zurin dan Zaza mengangguk lalu ketawa besar. Tapi tiba-tiba Zaza mengeluh. “Zurin..Kak Anum, Zaza laparlah. Kita cari makan dulu ya.” Ujar gadis itu.

“Kak Zaza ni, kan kita dah makan tadi. Asyik lapar saja,” rungut Zurin. Zaza menjegilkan matanya ke arah Zurin membuatkan Anum Dahlia tertawa besar.

“Dahlah tu, nanti kakak masakkan bihun goreng. Rasanya tadi kakak ada nampak bihun dalam kabinet dapur tu.” Ujar Anum Dahlia. Zaza tersenyum senang mendengar kata-kata Anum Dahlia.

“Ni yang Zaza sayang Kak Anum ni.” Ujar anak gadis itu seraya melentokkan bahunya. Zurin yang melihat segera mencebikkan bibirnya. Anum Dahlia cuma mampu tersenyum menghadapi telatah dua beradik itu. Tapi hatinya senang berada bersama-sama Zurin dan Zaza. Sedikit sebanyak kesepian hatinya mampu dilontar pergi buat sementara.

link












































































































































No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!