Followers

Thursday, October 16, 2008

Vendetta 6

Sebaik selesai menunaikan solat Maghrib, Kojie terburu-buru ke arah kereta Anabella. Namun langkahnya yang agak pantas tiba-tiba berhenti mendadak. Dia tergaman melihat Anabella sedang bersandar di badan kereta. Menyedari kehadiran Kojie, Anabella menoleh.
“Lamanya kau sembahyang… lain kali cepatlah sikit.” Marah Anabella. Kojie hanya diam. Dia sebenarnya keliru. Apakah Anabella menunggunya? Satu ayat pernyata yang benar-benar membuatkan Kojie bingung. Biar betul ni.
“Kau tunggu aku?” Kojie masih belum mahu percaya.
“Habis yang aku tercacak kat sini kau ingat aku tunggu Fahrin Ahmad?” Balas Anabella pula. Hati Kojie tiba-tiba berbunga, entah kenapa. Rasa riangnya timbul kerana Anabella bagaikan sudi menantinya.
“Haa tunggu apa lagi, cepatlah masuk…kata nak balik ke Kuala Lumpur.” Sergah Anabella lagi. Kojie tidak berkata apa-apa lantas menuruti kata-kata gadis itu memasuki perut kereta. Anabella segera memasang tali pinggang. Kojie turut mengikut. Apa sahaja yang dilakukan Anabella dia akan menurut sahaja seperti orang bodoh.
Belum sempat kereta bergerak keluar meninggalkan petak parking, Anabella mengaduh tiba-tiba. Dahinya berkerut. Kojie tercengang.Apasal pulak ni?
Anabella terus menekan-nekan perutnya. Mukanya berkerut menahan sakit.
“Kenapa?” Tanya Kojie.
“Entahlah, aku sakit perut. Gastrik agaknya, lagipun aku tak makan sejak tengahari tadi.” Jawab Anabella tersekat-sekat. Peluh dingin sudah memercik di dahinya.
“Kalau macam tu, jom kita turun makan. Isi perut dulu sebelum bertolak.” Usul Kojie. Kasihan pula dia melihat Anabella yang sedang menahan sakit. Hatinya memang mudah simpati dengan orang lain.
“Tak boleh, aku tak boleh nak jalan. Sakit sangat ni.” Keluh Anabella.
“Habis tu, aku nak buat apa?” Soal Kojie sudah mati kutu, tidak tahu apa yang patut dilakukannya untuk membantu.
“Biasanya aku akan telan panadol kalau sakit macam ni. Kalau aku telan panadol, sekejap sahaja aku boleh baik. Tapi tak apalah, aku tak nak susahkan kau. Kasihan pula kau kena pergi ke kedai tu.” Balas Anabella dengan muka berkerut. Tubuhnya hampir mengerengkot menahan sakit.
Simpati Kojie semakin bertambah melihat keadaan gadis itu. Dia merasa tubuh Anabella. Alamak, panasnya! Demamkan dia? Kojie segera keluar dari kereta.
“Kau tunggu sini, nanti aku belikan ubat dengan minuman.” Ujar Kojie lalu bergegas semula ke arah deretan kedai-kedai yang ada di hentian itu. Sebaik selesai membeli panadol dan air mineral, Kojie berlari-lari anak ke arah kereta. Tapi sebaik matanya menuju ke satu arah, dada Kojie berdegup kencang. Langkahnya tiba-tiba dimatikan. Dia terlopong memandang ke arah petak parking yang kini sudah berganti dengan Volkswagen berwarna kuning. Hati Kojie seperti mahu meletup. Tidak!!!!! Aku kena tipu lagi!!
* * * *
Anabella menguatkan volume lagu sebaik lagu ‘Toyol’ nyanyian Aznil Nawawi berkumandang di dalam siaran Hot Fm. Sesekali mulutnya mengikut sama lirik lagu yang dinyanyikan dengan perasaan riang. Riang dan lega kerana terlepas dari gangguan Kojie yang amat menjengkelkan hati.
Dia tersenyum bila mengenangkan telatah Kojie yang kelam kabut mencari ubat untuknya. Padahal dia hanya mempermainkan lelaki itu sahaja dengan berpura-pura sakit gastrik. Sengaja dia memesan teh panas untuk menaikkan suhu badannya. Hasilnya Kojie benar-benar percaya dia sakit.
Tapi bila difikirkan semula, timbul rasa kasihannya pada Kojie yang ditinggalkan begitu saja di Hentian Gentian Sempah. Lagi-lagi bila dia melihat Kojie begitu mengambil berat tentangnya sehingga sanggup bersusah payah mencari ubat untuknya. Ah! Yang aku kasihankan dia kenapa pulak? Bukan kah dia yang memberi cadangan agar mereka berdua berpatah balik ke Kuala Lumpur? Kalau bukan kerana cadangan bodoh itu, mana mungkin dia bertekad mahu meninggalkan lelaki itu begitu sahaja. Kau yang cari fasal sendiri! Bisik Anabella.
Setengah jam memandu, Anabella merasakan ada yang tidak kena dengan keretanya. Belum sempat dia berfikir panjang, satu bunyi kuat singgah di gegendang telinganya. Anabella terkejut besar. Dia memandang dari cermin sisi. Tidak ada kenderaan yang mengikut dekat di belakangnya. Dia segera memberhentikan kereta di sisi jalan lalu keluar dari kereta.
Melihat ke arah tayar hadapan keretanya, Anabella mengeluh panjang. Alamak! Tak ada masa sesuai ke kau nak bocor? Kenapa sekarang? Anabella meraup rambutnya ke belakang. Dengusannya dihembus keluar. Bengang.
Dia memandang ke sekelilingnya. Beberapa buah kenderaan yang melewatinya asyik membunyikan hon ke arahnya. Anabella mengeluh. Macamana dia nak tukar tayar keretanya sedangkan dia tidak tahu bagaimana caranya. Tayar ganti memang sentiasa ada di dalam bonet belakang kereta. Itupun setelah dinasihati oleh salah seorang temannya supaya sentiasa menyediakan tayar ganti untuk masa-masa kecemasan. Apakah sekarang dikira masa kecemasan? Tapi apa gunanya tayar ganti kalau aku tidak tahu cara menukarnya? Anabella terkedu sendirian.
Hendak meminta tolong, tapi seakan tidak ada kereta yang sudi berhenti untuk membantunya. Akhirnya dia hanya mampu berdiri di tepi jalan sambil bersandar di dada kereta. Buntu kepalanya mahu menyelesaikan masalah yang mengusutkan fikiran. Kalau hari siang tentulah fikirannya tidak sekusut ini. Tapi hari sudah malam, lagi-lagi tempat dia menghentikan kereta gelap gelita kalau tidak diterangkan oleh cahaya dari kenderaan yang bersimpang siur melewatinya.
Tiba-tiba sebuah teksi berhenti di belakang keretanya. Anabella menoleh. Melihat teksi tersebut, dadanya sedikit lega. Alhamdulillah, syukur masih ada insan baik yang sudi membantunya. Dia segera menapak ke arah teksi yang baru berhenti. Tapi baru dua tiga langkah, Anabella tergaman apabila melihat Kojie keluar dari perut teksi. Lelaki itu memandangnya dengan wajah merah padam. Sebaik berkata sesuatu dengan pemandu teksi itu, Kojie segera melangkah ke arah Anabella yang sudah diam menikus di tepi kereta.
Mata Kojie segera menangkap ada yang tak kena dengan tayar kereta di bahagian hadapan. Dia melirik ke arah Anabella. “Kereta pancit?”
Gadis itu hanya mengangguk dalam serba salah.
“Habis? Kau tak reti tukar?” Soal Kojie serius.
Anabella menggeleng.
“Bagi aku kunci kereta.” Kojie menghulurkan tangannya seraya merenung gadis itu tidak berkelip. Anabella memandang lelaki itu. Wajahnya ragu-ragu.
“Ada tayar ganti kat belakang?” tanya Kojie lagi.
Anabella mengangguk lagi seperti orang bodoh. Kojie mendengus kasar. Dia segera membuka bonet belakang kereta lalu mengeluarkan tayar ganti dengan peralatan yang diperlukan. Sebelum dia tunduk ke arah tayar yang pancit, Kojie mengerling ke arah Anabella.
“Kunci,” pinta Kojie.
“Kojie…aku…”
“Aku nak kunci kereta sebelum aku tukar tayar kereta ni. Lagipun manalah tahu kau akan tinggalkan aku macam tu aje.” Sindir Kojie. Dia benar-benar meradang kerana ditinggalkan begitu sahaja. Gadis itu benar-benar suka memperbodohkannya.
“Kojie, aku kena pergi ke Cherating. Aku kena jumpa seseorang kat sana.”
“Aku tak peduli kau nak ke mana sekalipun. Tapi kereta ni dah jadi hak milik bank. Aku takkan memperjudikan kerja aku, masa aku dan segala-galanya untuk perempuan macam kau ni.” Tutur Kojie keras. Anabella terkedu. Baru pertama kali ini dia berhadapan dengan sikap Kojie yang keras begini. Raut wajah anak muda itu merah padam bagaikan marah benar.
“Aku kena pergi ke Cherating….”
“Aku dah kata aku tak pe…..”
“Dengar dulu Kojie. Aku minta maaf kerana meninggalkan kau begitu tapi aku ada sebab aku sendiri. Hari ni aku baru sahaja dituduh mencuri dan mungkin esok aku akan dibuang kerja.” Beritahu Anabella muram.
Kojie tersentak. Dia dibuang kerja? Betulkah? Diam-diam dia merenung Anabella yang nampak sedih. Hatinya enggan percaya, tapi wajah Anabella benar-benar tidak berseri.
“Hari ini juga aku dapat tahu, lelaki yang aku sayang sejak zaman sekolah mungkin akan bertunang dengan orang lain. Sebab itu aku mahu ke Cherating, aku mahu bertemu lelaki itu. Aku mahu meluahkan perasaan aku Kojie.” Bisik Anabella separuh merayu. Dia benar-benar mengharapkan lelaki itu memahami situasinya ketika ini.
“Kau nak ke Cherating hanya sebab itu? Kau nak halang lelaki itu dari bertunang?” Soal Kojie tercengang. Anabella mengangguk.
“Aku nak kau beri aku masa sehingga aku bertemu dengan Iqbal. Selepas itu aku akan kembalikan kereta ni dan aku takkan susahkan kau lagi.” Ujar Anabella. Kojie terdiam.
“Tolonglah Kojie, aku kena rebut cinta aku. Aku dah kehilangan banyak benda dalam hidup tapi sekurang-kurangnya aku masih ada Iqbal. Aku masih menaruh harapan pada dia.” Rayu Anabella tak putus-putus. Dia benar-benar risau jika Kojie mengambil keputusan untuk membawa pulang keretanya ke Kuala Lumpur.
Kojie meneruskan tugas menukar tayar keretanya yang pancit. Lelaki itu langsung tidak bersuara walau sepatah pun. Anabella tersandar lemah di badan keretanya. Hancur luluh impiannya untuk bertemu Iqbal di Cherating. Manakan tidak wajah Kojie yang serius bagaikan petanda, lelaki itu tidak sudi mahu membantunya.
* * * *
Hampir setengah jam juga baru Kojie selesai menukar tayar kereta. Dia segera membawa tayar yang lama ke belakang lalu menyimpannya kembali ke dalam bonet kereta.
Setelah itu matanya mencari-cari kelibat Anabella. Melihat gadis itu memejamkan matanya sambil bersandar di kusyen kereta di tempat duduk belakang, Kojie serta merta tergaman. Bulat matanya memandang ke arah Anabella yang kelihatan lena. Barangkali dia kepenatan kerana memandu, bisik hati kecil Kojie. Dia lalu menolak tubuh Anabella ke dalam sebelum menutup pintu kereta.
Kojie beralih ke arah tempat duduk pemandu. Dia segera menghidupkan enjin kereta lalu mula memandu keluar ke jalan utama. Fikirannya masih dipenuhi kekeliruan. Haruskah dia berpatah balik ke Kuala Lumpur atau dia teruskan perjalanan ke Cherating yang tinggal hanya beberapa jam sahaja lagi?
Kojie mengerling ke arah Anabella dari cermin hadapan kereta. Gadis itu masih nyenyak tidur. Apabila teringat rayuan Anabella sebentar tadi, entah kenapa Kojie tiba-tiba rasa kasihan pula. Hilang luput semua perbuatan Anabella padanya, berganti dengan rasa simpati pula. Padahal sejak dari hentian Genting Sempah tadi, dia sudah berkira-kira mahu mengheret Anabella ke Kuala Lumpur atau meninggalkannya di tepi jalan seperti yang Anabella lakukan padanya. Tapi bila sampai masanya, tiba-tibanya dia rasa kasihan pula pada gadis itu……..
* * * *
Dia memandang Iqbal yang nampak gembira di samping Mira sambil berbual dengan beberapa teman-teman sekolah mereka dulu. Mira pula kelihatan tak berenggang-renggang langsung dengan Iqbal. Lengan Iqbal dipaut manja tidak mahu lepas. Sesekali Mira membisikkan sesuatu di telinga Iqbal membuatkan lelaki itu ketawa besar.
Dia menggenggam penumbuk buku limanya. Hatinya benar-benar mendidih menonton drama antara Iqbal dan Mira yang dilakonkan dengan cemerlang. Dari tempat dia berdiri, pasangan itu nampak kecil sekali di matanya. Kalau diikutkan hatinya, mahu rasanya dia menganyang Mira yang sejak dulu hingga sekarang sentiasa menjadi penghalang antaranya dengan Iqbal.
Melihat seorang pelayan baru sahaja melepasinya, dia memanggil pelayan itu. Gelas berisi oren dicapai dan diramas kuat-kuat. Dengan penuh yakin dia melangkah ke arah pasangan itu. Iqbal yang mula-mula terpandangnya segera berteriak.
“Bella..” Panggil Iqbal gembira. Mira segera berpaling. Wajah gadis itu mencuka memandangnya. Dia sendiri memandang Mira seperti mahu ditelannya gadis itu.
“Kenapa datang tak beritahu?” Soal Iqbal lagi.
Dia hendak bersuara tapi anehnya suaranya bagaikan hilang di kerongkong.
“Kalau Bella kata nak datang, tentu Ib tunggu Bella kat mana-mana.” Lelaki itu tak putus-putus bersuara. Mira kelihatan tidak senang mendengar kata-kata Iqbal. Renungan gadis itu makin tajam singgah di wajahnya. Dia hanya membiarkan. Tumpuannya hanya pada Iqbal yang dikasihinya..Iqbal yang dirinduinya sejak tujuh tahun yang lalu.
“Bella…” Panggil Mira dengan nada keras. Dia menoleh. Wajah Mira sudah merah padam.
“Kalau kau datang sini nak halang hubungan aku dengan Iqbal, baik kau balik saja. Iqbal milik aku dan kami akan kahwin tak lama lagi.” Seru Mira angkuh.
Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Hakikat itulah yang tidak sanggup dihadapinya. Kerana itulah dia sanggup meredah malam semata-mata mahu bertemu Iqbal. Dia mahu meluahkan perasaannya pada Iqbal. Tapi suaranya bagaikan tidak mahu keluar. Tuhan, kenapa aku jadi bisu tiba-tiba?
“Kau tak sepatutnya datang ke mari Bella. Kedatangan kau hanya sia-sia sebab Iqbal dah buat pilihan siapa yang dia pilih.” Mira mencebik. Hatinya terasa dangkal dengan kata-kata Mira. Gelas yang dipegangnya diramas semakin kuat. Tapi melihat senyuman sinis Mira, dia sudah tidak mampu mengawal perasaan. Serentak isi gelas yang dipegangnya dicampak ke arah Mira. Gadis itu terjerit, terkejut dengan reaksi spontannya. Iqbal juga nampak panik.
“Bella…kau..?” Mira menuding-nudingkan jarinya dengan wajah berang. Dia hanya tersenyum sumbing. Padan muka kau Tumirah! Dia tergelak besar melihat tubuh dan wajah Mira yang bermandikan air oren.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!