Followers

Friday, December 17, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 43

DIA mengusap-usap pakaiannya yang baru dikeluarkan dari dalam beg plastik. Inilah kali pertama dia melihat dengan teliti dress malam yang menjadi miliknya. Kainnya lembut ternyata dari bahan yang baik kualitinya. Beberapa kali digayakan dress itu di hadapan cermin dalam bilik hotel yang ditempah oleh Irina.

Cantik memanglah cantik, tapi apa gunanya jika dia tiada hati mahu memakainya. Seluruh fikirannya langsung tidak tertumpu pada majlis malam itu.

Aliya segera mencampakkan pakaian di tangannya ke atas katil. Dia bersandar lemah di penjuru katil. Mukanya ditekup dengan telapak tangan. Entah mengapa, wajah Doktor Badrul muncul lagi di kotak fikirannya. Wajah lelaki itu tersenyum penuh kemesraan. Dia juga ikut tersenyum. Kakinya bersedia untuk lari ke arah lelaki itu, tapi tiba-tiba dia merasakan tangannya direntap kasar dari arah belakang. Dia menoleh, lalu segera terpandang seraut wajah yang dikenalinya sedang menariknya.

Adam Hazril! Dia cuba melepaskan diri dari pautan kemas Hazril, namun lelaki itu semakin kuat menariknya. Dia meronta-ronta kasar, cuba menolak lelaki itu. Tapi sejenak kemudian badannya digoncang kuat. Dia semakin lemah tidak bermaya.

“Aliya....” Sayup-sayup dia mendengar suara Hazril memanggilnya. Namun dia terlalu lemah untuk membalas. Tubuhnya berasa letih dan lesu.

“Aliya, bangun!” Kali ini suara Hazril tiba-tiba hilang, berganti dengan suara halus gemersik. Begitu rapat kedengaran di cuping telinganya.

Aliya tersentak. Tubuhnya bergetar. Perlahan-lahan dia membuka mata. Melihat kelibat Irina dan beberapa orang yang lain sedang duduk mengelilinginya, membuatkan dia terpempan. Dia memerhatikan di sekelilingnya, rupa-rupanya dia masih berada di bilik hotel. Cepat-cepat dia bingkas bangun dengan wajah bingung. Tuhan! mimpikah aku?

“Aliya tak apa-apa?” Irina menyoal. Wajah Irina cemas.

“Kenapa Cik Irina?” Aliya pula yang tercengang. Dia langsung tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Irina. Sesekali dia memandang wajah-wajah lain yang berada di bilik itu. Selain Irina, dia juga melihat Azureen, Encik Azuddin pengurus hotel dan Auntie Zue dari butik yang dikunjunginya tempohari.

“Aliya tahu tak yang Aliya tidur tak sedarkan diri tadi? Tadi kakak cari Aliya sekitar hotel ni tapi tak jumpa. Mujurlah kakak teringat nak cari di bilik ni. Puas kakak tekan loceng tapi tak berbalas. Nasib baik ada Encik Azuddin ni. Lepas tu kami nampak Aliya tidur atas katil tu. Puas kami cuba kejutkan Aliya, tapi Aliya tak bangun-bangun juga. Sampai naik takut kakak dibuatnya.” Cerita Irina panjang lebar.

Aliya senyap. Benarkah apa yang diperkatakan Irina itu? Dia tertidur sehingga tidak sedarkan diri? Tapi baru sekejap tadi dia naik ke bilik hotel itu untuk mencuba pakaiannya.

“Maaf sebab susahkan Cik Irina dan yang lain-lain. Tadi saya tertidur. Mungkin penat sampai tak sedar.” Ujar Aliya cuba menyedapkan hati Irina. Dia tersenyum hambar.

“Baik you berehat Aliya, muka you ni pucat sangat.” Sampuk Auntie Zue pula.

“Tak apa, saya tak apa-apa. Pukul berapa sekarang?”

“Dah hampir pukul lapan malam.” Jawab Irina.

“Hah pukul lapan?” Aliya tersentak. Bermakna majlis malam itu sudah bermula. Tapi kerananya seorang, Irina terpaksa membuang masa di situ. Aliya mula merasa kesal kerana menyusahkan gadis itu.

“Maaf Cik Irina, saya tak bermaksud nak susahkan Cik Irina. Cik Irina kan kena sambut tetamu. Cik Irina turun dulu, tinggalkan saya aje. Sekejap lagi saya turun.” Ujar Aliya serba-salah.

“Betul Aliya tak apa-apa ni?” Irina masih lagi bimbang.

“Betul! Kejap lagi saya turun.” Ujarnya.

“Okeylah kalau macam tu, kakak tunggu Aliya kat bawah. Zue, boleh you bantu Aliya bersiap?” Pinta Irina seraya berpaling ke arah Auntie Zue.

“No problem. Nanti I siapkan dia macam puteri, sayang.” Balas Auntie Zue memberi janjinya. Dia melirik nakal ke arah Aliya yang sudah terkedu mendengar kata-katanya.

* * * *

Ramai tetamu kenamaan sudah mengambil tempat duduk masing-masing. Majlis hanya akan dimulakan jika menteri yang dijemput untuk merasmikan upacara malam itu sudah hadir.

Irina masih di pintu dewan utama menjalankan tugasnya selaku penyambut tetamu kepada tetamu-tetamu yang hadir. Berhampiran dengannya terdapat sekumpulan gadis-gadis yang bertugas mengiringi tetamu-tetamu yang diundang ke tempat duduk yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

Beberapa orang wakil media turut dijemput dari pelbagai media masa dan media cetak. Kesemuanya bertujuan ingin membuat liputan meluas tentang perasmian majalah baru terbitan Pelangi Raya.

“Rina!” Irina berpaling sebaik mendengar namanya diseru. Dia terpandang kelibat Hazril bersama seorang lelaki menuju ke arahnya sambil tersenyum. Lelaki itu nampak segak dengan sepasang suit berwarna hitam berserta bow di lehernya.

“Dah lama Ril sampai?” Tanya Irina, gembira dengan kemunculan lelaki itu.

“Dah setengah jam. Oh ya perkenalkan kawan Ril, Doktor Aidit.” Hazril memperkenalkannya dengan seorang lelaki tinggi segak di sebelahnya.

“Nice to meet you. Oh jadi inilah Doktor Aidit yang selalu Hazril ceritakan tu?” Matanya dikecilkan memandang lelaki itu.

“Harap-harap cerita yang baik saja Cik Irina.” Balas Aidit seraya ketawa.

Irina tersenyum. “Don’t worry, Hazril tidak pernah bercerita perkara yang buruk-buruk fasal orang lain.”

“Fuh lega aku dengar.” Gurau Aidit lalu menumbuk lembut bahu temannya. Hazril dan Irina serentak ketawa.

“Doktor Aidit?” Tiba-tiba kedengaran nama Aidit diseru agak kuat. Serentak ketiga-tiganya berpaling. Haikal memandang lelaki di hadapannya bagai tidak percaya. Aidit juga melihat Haikal sehingga tidak berkelip.

“Eh Boy kenal ke Doktor Aidit ni?” Tanya Irina kehairanan.

“Apa tak kenalnya kak, Doktor Aidit ni pensyarah Boy di universiti. Doktor apa khabar?” Sapa Haikal ramah.

“Baik. Tak sangka boleh jumpa awak di sini Haikal.” Balas Aidt.

Haikal agak gembira dapat bertemu dengan pensyarah itu. Kedua-duanya rancak berbual-bual tanpa mempedulikan Irina dan Hazril yang hanya menjadi pendengar di tepi

“Tengoklah tu. Bila dah berbual, langsung tak ingat kita.” Irina tergelak kecil. Apabila dia memandang ke arah Hazril, dilihatnya lelaki itu sedang menatapnya. Pipi Irina mula merona merah. Dia jadi malu dipandang sebegitu rupa oleh Hazril.

“Rina nampak cantik malam ni.” Puji Hazril ikhlas. Irina sekadar tersenyum.

“Papa Rina tak datang?” Hazril tiba-tiba teringatkan Doktor Badrul. Sejak tadi dia tidak nampak kelibat Doktor Badrul di situ.

“He’s not coming tonight. Dia ada operation malam ni. Tapi dia ada call ucapkan tahniah pada kita.” Balas Irina.

“Sis, sorry ganggu. Ada nampak Aliya tak?” Haikal tiba-tiba mencelah.

“Dia tengah bersiap, kejap lagi turunlah tu. Kalau Boy tak sabar sangat, pergilah jemput dia.” Usik Irina. Anak muda itu tersengih. Segan juga Haikal kerana diusik begitu di hadapan Hazril.

“Tak apalah, Boy nak bawa Doktor Aidit ke meja dulu.” Ujarnya sebelum bergegas pergi bersama Aidit. Irina tergelak kecil melihat wajah Haikal yang merah padam. Sedikit pun dia tidak menyedari perubahan pada riak wajah Hazril yang bertukar muram.

* * * *

“Cepatlah sayang oii,” Tak habis-habis Auntie Zue sibuk menggesa Aliya yang keberatan mahu masuk ke dalam dewan hotel. Mahu tak mahu Aliya terpaksa mengalah apabila lelaki lembut itu menarik tangannya separuh memaksa. Itupun selepas puas dia bertekak ala-ala manja dengan Auntie Zue.

“Kenapalah you ni Lia, kan cantik pakai macam ni.” Rungut Auntie Zue cuba meredakan rasa gugup gadis itu. Dari tadi Aliya asyik berkeras tidak mahu memakai dress itu kerana katanya dia tidak selesa pakaian itu membalut tubuhnya. Namun Auntie Zue memaksa juga dengan menyebut nama Irina berulangkali. Sudahnya gadis itu terpaksa menurut katanya kali ini.

Sesudah itu dia mengenakan mekap pula pada wajah gadis itu. Dalam diam-diam Auntie Zue akui, Aliya sememangnya cantik. Apabila wajahnya beralas kosmetik, gadis itu tampak lebih manis dan ayu. Wajah Aliya tidak memelukan mekap yang tebal untuk menyerlahkan dirinya, cukuplah sekadar solekan tipis.

Dia masih memegang tangan gadis itu, menghelanya masuk ke dalam dewan yang sudah dipenuhi orang ramai. Jika dibiarkan, dia bimbang Aliya akan cabut lari pula.

“Aliya, is this you?” Ikram seperti tidak percaya melihat Aliya sudah bertukar wajah. Aliya sendiri tergaman apabila melihat Ikram tiba-tiba muncul di hadapannya. Apabila dia meluruskan pandangan, matanya bertembung pandang dengan Hazril. Lelaki itu kelihatan gaman memandangnya. Tiba-tiba sahaja dia jadi gugup, apatah lagi menyedari tatapan mata Hazril padanya tidak berganjak-ganjak.

“Aliya nampak lainlah malam ni. Cantik! Padanlah Hafifi ada datang jumpa saya hari tu, beria-ria dia minta izin untuk buat sesi photoshot Aliya.” Puji Ikram tak habis-habis.

“Thanks Encik Ikram. Tak payahlah puji saya lebih-lebih. Malam ni aje Ecik Ikram nampak saya pakai macam ni. Lain kali dah tak ada peluang.” Sahut Aliya serba-salah.

“Kalau macam tu, maknanya saya beruntunglah malam ni.” Usik Ikram. Aliya hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu.

Dari jauh. kehadiran Aliya di samping Ikram memancing perhatian sepasang mata. Bulat biji mata Syarifah Asmah memandang gadis di sisi Ikram. “Siapa tu?” Tanya Syarifah Asmah kepada suaminya Syed Rahim. Perasannya melonjak-lonjak ingin tahu.

“Siapa?” Lelaki itu mengulang pula pertanyaannya.

Syarifah Asmah menjeling suaminya. Dengusannya jelas kedengaran. “Saya tanya siapa perempuan yang bercakap dengan Ikram tu? Awak kenal ke dia?” Matanya tak putus-putus memandang ke arah Aliya. Selama ini dia tidak pernah melihat gadis itu.

“Oh itu, kalau tak salah pembantu baru Ikram. Budak universiti yang tengah buat praktikal.” Ujar Syed Rahim acuh tak acuh.

“Budak praktikal?” Agak lama mata Syarifah Asmah tertumpu pada gadis di samping Ikram itu.

* * * *

Malam itu, upacara majlis dimulai dengan persembahan tarian kebudayaan, yang dijemput khas dari ASWARA. Aliya duduk semeja dengan Haikal, Ikram, Auntie Zue dan tak disangka-sangka dengan kehadiran Doktor Aidit malam itu. Entah kenapa, kemunculan lelaki itu membuatkan dia merasa sedikit lega. Malah dia merasa lebih selesa berada di samping Doktor Aidit berbanding Haikal atau Ikram.

“You look beautiful tonight.” Tiba-tiba dia terdengar satu bisikan lembut menyentuh gegendang telinganya.

Aliya berpaling. Doktor Aidit tersenyum nakal memandangnya. Dia tergelak kecil melihat tingkahlaku Doktor Aidit. Tetapi kerana sudah biasa, dibiarkan sahaja lelaki itu mengomel sendirian.

Pandangannya dilempar ke arah sebuah meja yang hanya selang dua buah dari tempat duduknya. Entah mengapa, dia ingin benar memandang wajah Hazril. Lelaki itu kelihatan segak malam ini. Dari jauh dia terpandang kelibat Hazril sedang asyik berbual-bual dengan Irina. Kedua-duanya nampak mesra bersama. Sesekali Hazril dilihat seolah-olah membisikkan sesuatu ke telinga Irina dan gadis itu ketawa girang mendengarnya. Seolah-olah ada yang lucu sedang diperkatakan mereka.

Hati Aliya bergetar melihat adegan percuma di hadapan matanya. Entah mengapa, hatinya seolah tersayat melihat kemesraan antara Hazril dan Irina. Cemburukan dia? Tapi apa haknya untuk cemburu? Sudah ternoktah Hazril adalah milik Irina sejak dulu. Siapa dia untuk merosakkan perhubungan mereka? Lagipun Irina cukup baik dengannya. Sampaikah hatinya untuk merampas lelaki yang dicintai Irina sejak sekian lama?
Jika benar Doktor Badrul itu daddynya, bermakna sudah takdir Irina dan Haikal adalah adik beradik angkatnya. Dan mulai saat ini, dia lebih perlukan kasih sayang dari cinta. Tapi sanggupkah Irina dan Haikal menerimanya menjadi sebahagian dari keluarga mereka? Lebih-lebih lagi Haikal. Bukan dia tidak sedar, yang selama ini Haikal melayannya agak baik. Seolah-olah ada sesuatu yang istimewa antara mereka padahal jauh di sudut hatinya, Haikal tak ubah seperti adiknya sendiri.

Diam-diam Aliya mengerling Haikal di sebelahnya. Anak muda itu kelihatan begitu asyik mengikuti persembahan. Bagaimanakah agaknya penerimaan Haikal jika lelaki itu tahu latar belakangnya?

Apabila persembahan sampai ke kemuncaknya, giliran Haikal pula mencuri pandang ke arah Aliya yang sedang bertepuk tangan. Matanya tak lepas dari menatap wajah Aliya yang cukup menawan malam itu. Ingin rasanya dia memegang tangan Aliya dan mengucup jari-jemari yang halus runcing tu. Malah akan diluahkan segala rasa hatinya yang selama ini terpendam rapi dari lubuk hatinya yang paling dalam. Akan dikhabarkan pada gadis itu bahawa dia, Haikal Farhan Badrul amat menyintai Aliya Murni Ibrahim. Cinta yang bukannya baru semalam dirasakan tapi hampir tiga tahun tidak terluah. Mahukah Aliya menerimanya? Fikiran Haikal bersarang dengan resah.

“Sekarang dipersilakan Tuan Syed Adam Hazril Syed Radzi, Ketua Eksekutif Perkasa Budi Enterprise mengiringi YAB Menteri naik ke pentas untuk merasmikan majalah informasi terkini Malaysia’s Week. Dengan segala hormatnya dipersilakan.” Kedengaran suara pengerusi majlis membuat pengumuman.

Aliya menumpukan perhatian pada acara kemuncak malam itu, di mana menteri akan memecahkan bongkah ais yang berisi naskah pertama Malaysia’s Week sebelum ia mula diedarkan pada orang ramai mulai minggu hadapan. Pukulan petama ditala menteri ke arah bongkah ais itu. Tidak terjejas. Diikuti pula dengan pukulan kedua dan ketiga. Sedikit sebanyak bongkah ais itu mulai pecah.

Bersorak para hadirin apabila YAB Menteri berjaya mengeluarkan senaskhah majalah baru itu yang dibaluti dengan plastik nipis.

Aliya hanya tersenyum melihat YAB Menteri yang tersenyum bangga sambil melambai-lambaikan majalah di tangannya. Melihatkan sambutan tetamu malam itu amat mengalakkan, Aliya jadi lega. Dia sempat menjeling ke arah Irina yang nampak gembira.

2 comments:

Zass said...

i nak aliya yg kahwin ngan hazril.... i hate irina.. irina x layak untuk hazril... irin apadan ngan dr. aidit.....plis3!

Anonymous said...

sape sbenanye daddy aliya ye?
-confusing-

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!