Followers

Wednesday, October 6, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 26

DIA menghidupkan puluhan lilin di sepanjang pelantar tingkap di setiap sudut. Sejurus kemudian dia duduk bersila di dalam bilik yang kosong, menghadap seberkas dulang perak berisi air, limau dan seperca kain kuning. Bilik itu memang sengaja tidak berperabot. Alasannya pada suaminya adalah semata-mata mahu dijadikan tempat bersolat. Malah setiap kali bulan penuh, dia akan menyalakan lilin di bilik tersebut sambil bertafakur untuk meningkatkan makruf di dalam dirinya. Kekuatannya harus dikumpul sebanyak mungkin.

Matanya terpejam rapat. Hatinya disucikan dari segala bentuk ingatan terhadap dunia di sekelilingnya. Hanya dengan cara ini dia mampu melangkah ke alam hijab, bertemu dengan pendeta-pendeta silam yang hidup di luar mata kasar manusia. Dan malam ini, niatnya berterusan.

“Salam Tuan Shaikh Siddiq Alam. Aku memohon kehadiran Tuan Shaikh untuk memberi pedoman kepada kami semua untuk membendung kejahatan yang semakin hampir. Berikan arahanmu dan kami akan turuti selaku tenteramu di medan perang.” Serunya diselang-seli dengan mentera dari kitab yang dipanggil Misykatul-Nafs.

Serentak bunyi berdesir muncul diikuti satu pusaran asap keluar dari bekas perak. Pusaran itu semakin lama semakin besar sehingga menenggelamkan pandangannya. Matanya terpanah ke arah gumpalan asap yang sedikit demi sedikit membentuk sesusuk tubuh lembaga lelaki berpakaian serba putih dan berjambang lebat.

“Tuan Shaikh…” Dia tunduk hormat pada lelaki tua berjambang itu. Lelaki itu memandangnya dengan tenang.

“Kenapa kamu memanggil aku Habibah? Bukankah sudah ku bilang, jangan menyeruku semasa kamu di dalam keadaan belum bersedia.” Ujar lelaki itu dengan loghat yang agak aneh.

“Tuan Shaikh, aku sudah bersedia. Anakku juga sudah sedia. Dia sudah pulang ke pangkuan kita Tuan Shaikh.” Dia cuba menyakinkan lelaki itu, namun lelaki itu hanya tersenyum memandangnya.

“Habibah, kamu sama sekali tidak persis seperti datukmu. Kamu seorang yang terburu-buru, walhal kamu adalah wanita keturunan Gimbang. Kerna itu tidak akan ada seorang lelaki pun yang akhirnya akan kekal di sisi kamu jika kamu tidak mengubah sikapmu.”

Dia tersentak. Kata-kata lelaki itu membuatkan darahnya berderau. Dia mengetapkan bibirnya. Entah mengapa hatinya terbakar mendengar kata-kata lelaki yang digelarnya Tuan Shaikh.

“Lihat…hatimu masih dipenuhi dendam. Bagaimana kamu mahu menjalankan tugas yang kami amanahkan dengan sikapmu begitu?” Lelaki itu bagaikan tahu apa yang bermukim di hatinya.

“Tuan, dendamku hanya pada perempuan itu. Aku bersumpah dengan nama keturunanku untuk menghapuskan perempuan itu buat selama-lamanya.” Gumamnya separuh geram.

“Dendammu telah memakan diri sendiri Habibah. Kerana dendam itulah, kamu kehilangan suami dan anakmu.” Keluh Syaikh Siddiq Alam.

Dia tergaman lagi. Kata-kata lelaki itu terlalu sukar mahu dicerna.

“Sewaktu kamu membunuh suamimu, matamu sedikit pun tidak menunjukkan penyesalan. Sehingga kadangkala aku keliru. Apakah kami membuat keputusan yang tepat dengan melantikmu sebagai pewaris kepada sebuah kitab yang mampu mengawal makhluk tersumpah?”

Dia terdiam seketika mendengar bicara lelaki itu. Wajahnya berubah keruh. “Aku membunuh suamiku kerana dia telah mengorbankan anak kami. Dan kerana itu aku bersumpah mahu memusnahkan ikatan keluarga kami dengannya.”

Dia mendongakkan wajahnya memandang lelaki itu. Mata lelaki itu seolah bercahaya sehingga dia tidak mampu menatap wajah itu lama-lama.

“Bukankah Tuan Syaikh dan guru-guru lain pernah memberitahu aku. Untuk menunaikan tugas suci ini kita harus menghindari segala bentuk emosi yang hanya akan melemahkan. Itu yang aku pelajari dulu, dan itulah yang akan aku lakukan.” Ungkapnya sedikit tegas.

Shaikh Siddiq Alam tersenyum simpul. Dia mengagumi sikap wanita itu yang tidak pernah teragak-agak menyelesaikan setiap tugas yang diberi. Dan kata-katanya pada wanita itu hanyalah satu untaian kata yang bersifat menguji untuk mengetahui sejauh mana setianya wanita itu pada perikatan mereka.

* * * *

Berat dia mahu membayangkan apa sebenarnya yang berada di hatinya ketika ini. Yang pasti, biar sekuat manapun dia terpamer sebagai wanita, jauh di sudut hati dia masih inginkan perlindungan. Dia masih membutuhkan cinta.

Sepanjang malam, matanya terperosok pada seraut wajah yang tertera pada potret di tangannya. Azri memang seorang lelaki yang baik pada dasarnya. Kerana itulah hatinya terbuka untuk menerima lelaki itu.

“Dia akan menjadi suamimu Bibah.” Ujar datuknya pada suatu hari. Dia terkedu. Terkejut dengan perkahwinan yang diatur lelaki itu tanpa kerelaannya. Tapi benarkah dia tidak rela? Kalau tidak rela, kenapa mulutnya seakan berat untuk membantah sedangkan Hadi yang sudah lama menyimpan hati terhadapnya asyik menggesanya agar dia memberitahu datuknya Rahmat tentang perhubungan mereka.

“Apa kau sudah jatuh cinta dengan lelaki itu?” Suara Hadi berbaur penyesalan. Dia hanya tunduk membisu. Hadi adalah anak murid silat datuknya yang sudah lama membesar bersamanya.

“Kau tahu siapa Azri sebenarnya?”

Dia berpaling. Kata-kata Hadi menimbulkan tanda tanya.

“Aku dengar datukmu berbicara dengan teman-temannya. Kata Bapak Rahmat, Azri adalah cucu Dayang Mulia. Dia lelaki tersumpah Bib. Seluruh darah keturunannya adalah darah kotor.” Bisik Hadi seolah memprovok.

Dia terpempan? Kata-kata Hadi menimbulkan resahnya.

“Iya Bib, Bapak Rahmat dan teman-temannya berhasrat mahu memulihkan Azri. Kerana itu mereka mahukan kau berkahwin dengannya.” Sambung Hadi lagi dengan wajah tidak puas hati.

“Kau bohong!”

“Katakan apa saja Bib. Kau dan aku tahu bahawa dia tidak boleh mengotorkan tempat kita ini. Bapak Rahmat harus diingatkan tentang semua ini. Kau lupa ayahmu mati kerana siapa?”

Dia mengetapkan bibirnya. Masakan dia lupa apa yang sudah berlaku pada ayahnya. Dia segera melangkah meninggalkan Hadi dalam keadaan terburu-buru. Hasratnya hanya satu. Mahu membantah perkahwinannya dengan Azri, ‘lelaki tersumpah’ seperti yang digelar oleh Hadi dan anak-anak murid datuknya di gelanggang silat.

Dia segera menolak daun pintu di mana datuknya selalu berehat. Tapi wajahnya terpempan melihat kelibat seorang lelaki sedang duduk bersila di suatu penjuru. Lelaki itu menoleh lalu menatapnya. Dia yang hadir dengan wajah berang, tiba-tiba menjadi kelu. Tatapan mata lelaki itu entah kenapa mengusik perasaannya. Dan kata-kata Hadi sebentar tadi bagaikan pudar dari pendengarannya.

“Mahu mencari Bapak Rahmat?” Soal lelaki itu tiba-tiba. Tanpa disedari dia mengangguk.

“Bapak Rahmat ada tetamu di dalam.” Mata Azri tertumpu pada sebuah bilik di hadapannya. Dia serta-merta faham. Tetamu yang dimaksudkan oleh Azri pasti adalah para salafi yang menjadi pendamping datuknya. Apakah Azri turut tahu tentang teman-teman datuknya itu? Dia memandang lelaki itu dengan wajah menyelidik.

Mata Azri sekali lagi menuju ke arahnya membuatkan dia tergaman. “Kau ada apa-apa yang mahu diberitahu pada aku?” Soal Azri sambil mengerutkan dahinya. Dia gugup. Pantas kepalanya digelengkan. Melihat dia diam membisu, Azri tidak jadi melanjutkan pertanyaan. Kedua-dua mereka membisu di luar sehinggalah Bapak Rahmat keluar dari biliknya.

Lelaki tua itu tergaman melihat dia berada di situ. Namun mata datuknya segera mengerling ke arah Azri. “Azri, malam ini ikut aku ke gelanggang silat.” Arah lelaki itu. Azri mengangguk tanda akur.

Pandangan Bapak Rahmat jatuh pada wajahnya pula. “Bibah, aku akan pulang lambat malam ini. Kuncikan semua pintu di rumah. Kalau kamu terdengar apa-apa bunyi, jangan sesekali keluar. Dan jangan benarkan yang lain-lain keluar.” Tegas suara lelaki itu memberi arahan. Dia mengangguk tanpa banyak soal meskipun hatinya gundah-gulana dengan arahan lelaki itu.

Malam itu seperti yang diarah, dia mengunci semua pintu dan ruang keluar masuk di rumah itu. Malah dia memberi arahan kepada semua pekerja dan pembantu rumah supaya tidak keluar malam itu. Tapi sebaik dia selesai melakukan amanah datuknya, dia segera beredar ke bilik lalu mula bersiap-siap. Dia mahu ke gelanggang silat malam itu. Entah kenapa dia betul-betul mahu tahu apakah sebab sebenar datuknya mahu membawa Azri ke gelanggang silat yang hanya berjarak dua puluh langkah di belakang rumahnya.

Belum sempat dia mengatur langkah jauh, telinganya menangkap satu bunyi teriakan dari arah gelanggang silat. Terkejut dengan bunyi yang didengarinya, dia segera melajukan langkahnya. Tapi sebaik matanya terpandang kelibat datuknya, kakinya terpaku tidak mampu bergerak. Mata datuknya lebih cekap menangkap kelibatnya.

“Aku dah larang kamu datang, kenapa kamu datang jugak?” Jerkah Bapak Rahmat. Namun dia tidak peduli pada tempikan lelaki itu, lantaran matanya lebih tertarik memerhatikan ke suatu arah. Apa yang dilihatnya benar-benar mengerunkan. Dia melihat datuknya memegang sebilah lading. Dan Azri dilihatnya melutut sambil memejamkan matanya. Di sisi datuknya, seorang lelaki berjambang dan memakai jubah putih berdiri separas dengan lelaki itu. Mata lelaki itu turut mengintai ke arahnya.

“Balik Bibah!” Tengking datuknya lagi. Dia mahu beredar tapi kakinya terasa berat. Akhirnya dia terjelepuk jatuh ke tanah dalam keadaan lemah.

“Teruskan Rahmat.” Bisik lelaki di samping datuknya. Anehnya meskipun bisikan itu perlahan sahaja tetapi telinganya masih mampu mendengarnya. Bapak Rahmat segera mengangkat lading itu tinggi-tinggi di belakang tengkuk Azri. Dia terkejut besar. Nafasnya tercungap-cungap gementar.

“Datuk, jangan!” Dia menggelengkan kepala. Cemas. Hatinya tidak sanggup melihat lelaki itu dicederakan datuknya. Namun teriakannya tidak diendahkan langsung oleh Bapak Rahmat. Sebaik mata lading itu terbenam di belakang tengkuk Azri, anak muda itu menjerit nyaring. Sejurus dengan itu, muncul desiran angin kencang yang entah dari mana. Daun-daun kering mula berterbangan ke mukanya. Dia memejamkan matanya. Tuhan, apakah lelaki itu mati dibunuh datuk?

Sebaik angin kencang itu menghilang, dia memberanikan diri membuka matanya. Tubuh Azri sudah terdampar kaku di tengah gelanggang silat. Dia melihat datuknya memangku kepala lelaki itu. Anehnya lelaki tua yang berserban dan berjambang itu kini ghaib entah ke mana.

Yong Habibah mengeluh panjang. Kenangan hampir tiga puluh tahun lalu tak pernah pudar dari fikirannya. Ketika itu dia benar-benar menyangka Azri sudah mati dibunuh datuknya. Tapi dugaannya ternyata meleset. Beberapa hari kemudian dia menemukan Azri sedang duduk termenung di beranda rumahnya. Aneh memang aneh! Dia tidak pernah mendapat penjelasan yang cukup jelas, kenapa datuknya seperti mahu membunuh Azri. Dan siapa lelaki yang bersama datuknya malam itu? Yang nyata, hati kecilnya bergembira kerana lelaki pendiam itu masih bernyawa.

“Abang! Mungkin lebih baik kalau abang mati saja sejak awal-awal lagi. Mungkin lebih baik kalau abang tidak pernah muncul dalam hidup kami.” Keluh Yong Habibah dengan airmata bercucuran. Dia menyimpan kembali potret kecil itu dalam helaian buku kecil berbentuk diari. Setelah itu dia menghembus kesemua lilin yang ada di dalam bilik itu serta mengemas bekas-bekas yang digunakan. Sebolehnya dia tidak mahu suaminya Datuk Hamdan mengesyaki sesuatu.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!