Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 8

Tok Anjang memandang gerak geri Anum Dahlia yang bermain buaian gantung di halaman rumahnya. Wajah anak gadis itu ceria berayun sendirian. Sesekali rambutnya yang panjang mengurai diterbangkan angin sehingga menutup mata. Entah kenapa dia tidak dapat melarikan matanya dari memandang wajah gadis itu lama-lama. Ingatannya bertebar jauh terkenangkan kisah lama.

“Ayah, Pia nak main buaian. Ayah tolonglah buatkan buaian macam yang dekat rumah Pak Su tu.” Rengek anak kecil itu berulangkali.

“Tak payah, bahaya. Nanti kalau Pia jatuh, siapa yang susah?”

“Ala, Pia nak main juga. Pia tak kira, Pia nak juga buaian tu.”

“Pia ni degil. Macam ni ke anak ayah? Cuba tengok abang Imran kamu, tak pula dia minta pada ayah yang bukan-bukan.” Marahnya pada anak kecil itu.

Bibir Sufiyah mencebik bagaikan ingin menangis. Wajahnya yang putih bersih itu nampak merah padam menahan perasaan. Dia hanya mampu memandang wajah mulus itu. Tak sampai pula hatinya mahu menolak permintaan anak itu. Akhirnya buaian gantung itu terbina juga dengan pertolongan adiknya Hamzah.

“Memang mirip kan?” Tercetus suara itu dari tepi telinganya. Dia menoleh. Entah sejak bila, Nek Jah sudah berada di sampingnya. Turut memandang ke arah Anum Dahlia yang masih bermain buaian. Pandangan itu nampak sayu.

“Kamu cakap apa ni Jah?” Mata Tok Anjang bulat memandang isterinya.

Nek Jah memusingkan badannya mengadap ke arah suaminya. “Abang aji tak pernah terfikir ke yang Anum tu mungkin cucu kita? Anak Sufiyah?”

Tok Anjang terpegun mendengar kata-kata Nek Jah. “Kamu jangan nak merepek yang bukan-bukan Jah. Budak tu bukan cucu kita. Mak dia memang orang melayu tapi bukan berasal dari sini. Ayahnya pula orang putih. Mana mungkin dia cucu kita.” Getus Tok Anjang agak keras. Gila! Tak mungkin budak perempuan itu cucunya!

“Mata saya belum buta bang aji. Iras wajah Anum mirip benar dengan Sufiyah.” Nek Jah tetap jua berdegil. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia boleh seyakin ini, meletakkan kepercayaan bahawa gadis yang sedang bermain buaian itu mungkin adalah cucunya, darah dagingnya sendiri.

“Jah, di dunia ni ada tujuh orang yang sama wajahnya dengan kita. Dan budak tu salah seorang darinya.” Tegas Tok Anjang. Dia enggan menerima kebenaran kata-kata isterinya. Hatinya kuat menolak kemungkinan bahawa Anum Dahlia, anak kepada Sufiyah yang hilang tidak pernah kembali.

“Tapi sikapnya, gerak gerinya, senyumannya sama bang aji. Tak mungkin saya sebagai ibunya tak mengenal senyuman yang sama pernah terukir pada wajah anak saya sendiri.” Sayu nada suara Nek Jah menuturkan kata-kata.

“Sudahlah Jah, jangan kamu nak merepek tak tentu hala. Dah banyak kali aku bilang, jangan nak ingatkan lagi anak yang dah melupakan kita. Kalau dia nak balik, dah lama dia balik ke mari. Sekarang dah berpuluh tahun masa berlalu, Jah. Sufiyah takkan balik lagi. Anak kamu tu takkan hadir lagi dalam hidup kita.” Herdik Tok Anjang sedikit meradang. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu isterinya hidup dengan harapan yang kosong semata-mata.

Perlahan-lahan Nek Jah mengesat airmata yang mengalir lebat di penjuru pipi. Kesedihan hatinya semakin tidak tertahan. Dia hanya mampu memerhatikan tubuh Tok Anjang berlenggang ke arah dapur.

Tanpa disedari, sepasang telinga menangkap perbualan kedua-duanya dari tepi dinding. Anum Dahlia mengesat airmata yang mula berjurai di kelopak matanya. Entah kenapa, kesedihan Nek Jah meruntun hati kecilnya. Esakan kecil wanita itu membuatkan dadanya sebak.

* * * *

Dia ralit membantu Nek Jah menyediakan makanan tengahari di dapur. Selepas menggoreng ikan, dia membantu pula wanita itu memotong sayur kangkung untuk digoreng bersama kicap. Sesekali matanya memandang gerak geri Nek Jah yang nampak muram. Raut wajah wanita itu benar-benar membuatkan hatinya serba salah. Sepanjang mereka berdua berada di dapur, Nek Jah lebih banyak berdiam diri dari bercakap-cakap dengannya. Perbualan antara Tok Anjang dan Nek Jah pagi tadi benar-benar sukar untuk dicerna keluar. Biarpun hati kecilnya begitu ingin mengakui dirinya di hadapan kedua-dua insan yang menjadi kesayangan mamanya, namun dia tetap tidak mampu. Bimbang dirinya tidak dapat diterima. Lebih senang dia menjadi Anum Dahlia, seorang pelajar yang datang untuk membuat kajian dari seorang cucu yang ingin menagih cebis-cebis rindu yang tiada penghujung. Maafkan Anum nek, Anum tak mampu menjadi cucu yang nenek idamkan itu. Anum belum bersedia.

“Tujuan Anum ke sana untuk apa? Nak mengaku yang Anum tu cucu mereka, begitu?” Renungan Razman menikam tepat ke wajahnya. Da hanya mampu mengeluh. Dia tahu Razman tidak suka dengan keputusan yang dibuatnya. Malah lelaki itulah yang paling kuat menentang kehendaknya sejak mula.

“Anum cuma nak jenguk mereka, uncle. Anum nak jumpa mereka.”

“Lepas tu apa? Anum nak tinggal dengan mereka pulak?”

Dia terdiam mendengar kata-kata Razman. Bukan dia tidak pernah memikirkan semasak-masaknya keputusannya untuk datang ke Malaysia. Bukan juga dia tidak takut sendirian di negara asing yang tidak pernah dijejakinya selama ini. Tapi keinginannya lahir dari harapan mama yang saban malam menyatakan kerinduan pada Kampung Paya Mengkuang. Pada insan-insan yang pernah ditinggalkannya dulu.

“Anum…” panggil Nek Jah perlahan. Anum Dahlia tersentak. Hilang seketika lamunannya sebentar tadi berganti dengan wajah Nek Jah yang sedang merenungnya.

“Anum ingatkan siapa?”

Dia menggelengkan kepala lantas tersenyum. “Tak ada apa-apa nenek. Anum..Anum cuma teringatkan kawan-kawan Anum di universiti.” Dia memberi alasan. Tipu! Aku terlalu merindui mama di sana. Apa khabar mama sekarang?

“Kasihan nenek tengok Anum asyik berkurung saja di rumah ni dengan orang tua macam nenek. Tentu Anum rasa bosan kan?” Nek Jah tersenyum.

“Eh taklah nek, siapa kata Anum bosan?” Dia menafikannya. Wanita itu terus tersenyum bagaikan kurang yakin dengan kata-katanya.

“Petang nanti, Anum jalan-jalanlah di sekitar kampung ni. Tengok suasana kampung macamana. Anum jangan bimbang, orang-orang kat kampung ni baik-baik belaka. Kalau mereka tengok Anum di jalan, mesti mereka kenal dengan Anum.” Saran Nek Jah.

“Kalau Anum takut nak jalan sendiri, nanti nenek telefon Zurin minta dia temankan.” Sambung wanita itu lagi.

“Eh tak payahlah nenek. Jangan susahkan Zurin, dia kan nak ambil peperiksaan penting hujung tahun ni. Tak apa, Anum boleh pergi sendiri.” Bantah Anum Dahlia. Lagipula dia rasa segan mahu terus menyusahkan anak gadis itu setiap masa. Sudahlah Zurin terpaksa menemaninya di gelanggang silat sehingga dua kali, kini tak sampai hati pula dia mahu meminta Zurin menemaninya keluar bersiar-siar.

* * * *

Anum Dahlia senang benar menghirup udara kampung di situ. Udara kampung bersih, masih belum tercemar dengan asap dan kekotoran udara bandar yang berhabuk. Seronoknya kalau Jeremy ada sekali. Teman baiknya itu suka sekali berjogging di kawasan taman setiap kali ada kelapangan. Kalau Jeremy ada di sini, pasti dia akan menyukai kampung mama ini.

Entah kenapa Anum Dahlia tiba-tiba teringatkan anak muda itu. Apa khabar dia? Adakah masih marahkan aku kerana datang ke mari?

“You don’t have to do this Anum..”

“Kenapa? Sekarang kita berbincang fasal baba dan mama Anum. They are my parent, Jeremy. And I am their only daughter. Kalau bukan Anum, siapa lagi yang patut buat semua ni?” Dia menyoal Jeremy dengan mata bersinar-sinar menahan geram. Ketika itu hatinya sudah tekad. Ungkapan kata-kata dari Jeremy seakan tidak ada erti bagi dirinya.

Anum Dahlia mengeluh. Penerbangannya ke Malaysia dilakukannya dalam keadaan dia berada dalam situasi genting. Satu keputusan yang dibuat tanpa sokongan sesiapa. Hanya Marion yang faham kehendak hatinya. Mana mungkin dia memikirkan dirinya melebihi mamanya sendiri. Pemergiannya juga di saat-saat dia berperang dingin dengan Jeremy. Entah kenapa dia tidak mengerti, kenapa Jeremy susah sangat hendak faham keputusan yang dibuatnya. Sukar sangatkah untuk faham?

Leka Anum Dahlia termenung sehingga tidak sedar sebuah kereta yang entah dari mana datangnya tiba-tiba meluncur laju ke arahnya. Menyedari kelibat Anum Dahlia berada hampir ke tengah jalan, kereta itu membunyikan hon bertalu-talu. Anum Dahlia terkejut. Putus sudah lamunannya sebentar tadi. Dia tergaman melihat kenderaan itu meluncur laju ke arahnya.

Hendak lari, entah kenapa kakinya bagai melekat terus di situ. Oh tuhan! Dia memejamkan matanya perlahan-lahan. Pasrah. Terasa bunyi enjin kereta itu semakin hampir ditelinganya. Apabila bunyi brek kereta ditekan mengejut, Anum Dahlia terasa tubuhnya bagaikan melayang. Dia tidak mampu menahan diri lagi. Tubuhnya rebah mencium bumi.

* * * *

Perlahan-lahan matanya dibuka. Dia memandang sekitar dengan perasaan bingung. Di mana aku ni? Dia bingkas bangun, namun kepalanya berdenyut kuat. Terasa berat. Akhirnya kepalanya terkulai semula ke arah bantal.

“Kak Anum? Kak Anum tak apa-apa?” Suatu suara memecah kesunyian yang membungkam. Dia berpaling ke arah muka pintu. Zurin kelihatan cemas meluru ke arahnya. Di belakang Zurin dia melihat beberapa wajah yang tak dikenali.

“Zurin, kakak kat mana ni? Apa dah berlaku?” Soalnya resah.

“Kak Anum rehatlah dulu. Kak Anum ada kat rumah Zurin sekarang. Ayah Zurin yang bawa kak Anum balik. Katanya dia terjumpa kak Anum terbaring di jalan. Kami pun tak tahu apa dah berlaku.” Jelas Zurin.

Anum Dahlia terdiam. Dia cuba memikirkan apa sebenarnya yang telah terjadi. Dia cuma ingat sebuah kereta meluncur laju ke arahnya. Selepas itu dia tidak ingat apa-apa lagi.

“Ada kereta nyaris langgar kakak.” Bisik Anum Dahlia perlahan. Wajahnya pucat bila teringat semula saat-saat genting itu. Terasa nyawanya bagaikan di hujung tanduk ketika itu.

“Kereta?” Zurin tergaman. Dia menoleh memandang ke arah ibubapanya. Kedua-duanya diam sahaja.

Mata Anum Dahlia tertumpu ke arah wajah-wajah yang tak dikenalinya. Wanita di sisi Zurin kelihatan manis orangnya. Wajahnya juga mirip Zurin. Ibu Zurin barangkali. Tapi lelaki separuh umur di sisi wanita itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi dia lupa di mana.

“Err kak Anum, perkenalkan ini mak dan ayah Zurin.” Ucap Zurin.

Anum Dahlia memandang ibu Zurin sambil tersenyum. Wanita itu membalas senyumannya, namun entah kenapa wajah itu bagaikan resah memandangnya. Lelaki yang dikatakan ayah Zurin juga begitu. Anum Dahlia perasan, mata lelaki itu asyik merenungnya tidak berkelip. Sedikit sebanyak dia jadi rimas, serba tidak kena dipandang begitu.

“Err..terima kasih sebab pakcik tolong Anum. Tapi hari pun dah lewat, lebih baik Anum pulang ke rumah Tok Anjang dan Nek Jah dulu.” Ujarnya meminta diri.

“Apa kak Anum cakap ni? Kak Anum tu tak sihat, apa kata Kak Anum bermalam di sini malam ni dengan Zurin. Esok aje kak Anum balik rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Boleh tak mak?” Zurin memandang manja ke arah ibunya.

“Tak apalah Zurin, kakak tak nak menyusahkan sesiapa.” Dia cuba bingkas. Namun tiba-tiba pegangan wanita itu melekat di lengannya. Anum Dahlia tergaman.

“Tak susah. Anum tetamu Tok Anjang dan Nek Jah, juga tetamu kami malam ni. Makcik harap Anum sudi bermalam di sini, sekurang-kurangnya sehingga sihat semula. Fasal Tok Anjang dan Nek Jah, pakcik akan telefon mereka.” Ucap Zulaika sambil menjeling suaminya yang diam sahaja. Sedikit sebanyak Zulaika dapat meneka isi hati lelaki itu.

Menyedari tiga pasang mata memandang ke arahnya, Taufik mengangguk sambil tersenyum hambar. Dia memandang ke arah Anum Dahlia. Entah kenapa, hatinya bergetar tatkala menatap wajah itu. Namun dia cepat-cepat kembali ke dalam realiti. Sangkaan dan anggapan yang mula tumbuh dalam kotak fikirannya, disangkal dan dibuang jauh-jauh. Dia tidak ingin mengenang kisah silam lagi.

* * * *

Zulaika menjengah ke dalam bilik. Taufik masih membaca buku di atas katilnya. Sewaktu dia keluar menjenguk Zurin dan Anum Dahlia tadi, lelaki itu sudah pun membelek buku berkulit tebalnya sehingga kini.

“Apa khabar Zaza?” Soal Zulaika, sengaja bertanya perihal anak perempuan mereka yang sedang menuntut di UKM di Bangi.

“Bagus, dia sihat. Dia kirim salam pada awak, Zue.” Beritahu Taufik sambil matanya tak lepas dari buku.

“Waalaikumussalam. Baguslah kalau Zaza sihat. Bagaimana dengan perbincangan abang dengan abang Imran? Abang setuju?”

“Saya akan fikirkan.” Jawab Taufik acuh tak acuh. Zulaika termenung panjang. Sebenarnya bukan hal itu yang mahu ditanyakannya pada suaminya. Dia tahu sikap membisu Taufik malam itu ada kaitan dengan kehadiran Anum Dahlia di rumah mereka. Bukan dia tidak perasan, mata Taufik merenung lama ke arah Anum Dahlia. Dia faham perasaan suaminya. Dia juga terkejut saat pertama kali memandang wajah gadis itu. Patutlah Mak Senah bersungguh-sungguh menyakinkannya tentang wajah Anum Dahlia yang mirip dengan Sufiyah, teman baiknya yang juga bekas tunangan Taufik dulu.

“Yuzer ke mana, Zue? Awak kata dia bercuti, tapi seharian ni saya tak nampak batang hidung dia.” Pertanyaan tentang anak lelakinya terlontar dari bibir Taufik secara tiba-tiba. Zulaika tersentak.

“Pagi tadi dia keluar ikut Kak Long ke kampung sebelah, ada kenduri kahwin. Agaknya lepas tu singgah di rumah Kak Long, berbual dengan Husni.” Ujar Zulaika.

Taufik terdiam. Dia kembali meneruskan bacaannya. Sedikit sebanyak hati Zulaika jadi cuak dengan sikap suaminya. Adakalanya Taufik seorang suami yang baik. Adakalanya pula dia seperti sengaja ingin menyepikan diri.

“Abang tak terkejut?” Soal Zulaika tiba-tiba. Sengaja dia mahu menduga isi hati suaminya. Dia mahu tahu, setakat mana hati Taufik terusik dengan kehadiran Anum Dahlia.

Taufik meletakkan buku yang sedang dibaca di riba. Wajah Zulaika ditatap tak berkelip. “Terkejut apa?” Soal Taufik.

“Wajah Anum. Dia mirip sekali dengan Pia kan?”

Taufik terdiam. Bulat matanya merenung Zulaika yang kelihatan tenang. Sejurus bibirnya melepaskan keluhan. “Saya tak perasan pun di mana miripnya. Tapi kalau soal cantik, budak Anum tu memang manis orangnya.” Ucap Taufik selamba.

Zulaika terpana. Pintar Taufik mengelak pertanyaannya. Dia tahu Taufik sengaja berdalih, sedangkan hakikatnya Taufik juga merasakan perasaan yang sama dirasainya semasa berdepan dengan Anum Dahlia.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!