Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Prolog


Dia memandang sekujur tubuh yang terbaring lemah di katil itu. Wajah wanita itu pucat lesi. Senyuman yang dulu tidak pernah lekang dari bibirnya, kini lenyap sudah. Dia tahu wanita itu menerima tamparan hebat dalam hidupnya. Siapa sahaja akan terkejut jika segala-gala yang diimpikan dalam hidup, berubah dalam sekelip mata.

            “Mak, sedarlah mak. Jangan tinggalkan Hana. Hana tak boleh hidup tanpa mak.” Bisiknya pilu. Namun mata wanita itu masih terkatup rapat. Dia menekup wajahnya di lengan ibunya. Airmata yang cuba ditahan, menitis jua di pipi gebunya. Saat itu dia merasakan dirinya bagai di hujung tanduk. Terpaksa pasrah tanpa rela.

            Pintu di hadapannya tiba-tiba terbuka. Dia tergaman. Bulat matanya memandang dua lelaki bersama seorang wanita berketurunan Cina, tercegat di hadapan pintu bilik. Terkejut dengan kehadiran ketiga-tiga wajah yang tak dikenali itu, dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

            “Pakcik ni siapa?” Soalnya agak ragu-ragu. Dia belum pernah melihat mereka sebelum ini.

            Salah seorang lelaki bercermin mata itu tersenyum memandangnya. “Adik ni Raihana Munif?” Soalnya.

            Raihana mengangguk. Namun terbit jua rasa hairan kerana lelaki itu mengenalinya, sedangkan dia tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini.

            Lelaki itu tersenyum. Apabila mata lelaki itu beralih ke arah teman-temannya, Raihana melihat lelaki itu seperti menunjukkan isyarat mata. Sepantas kilat, lengannya tiba-tiba dipaut agak kasar. Dia terkejut.

            “Pakcik, kenapa ni?”

            “Jangan melawan, kalau tak mahu nyawa mak kamu melayang,” getus lelaki bercermin mata itu, menyeringai. Dia cuba meronta-ronta, namun usahanya tidak sepadan dengan tenaga lelaki yang memegangnya.

            “Mak, tolong Hana mak. Mereka nak tangkap Hana.” Jeritnya separuh ketakutan. Dia mengeraskan badannya apabila tubuhnya ditolak kasar keluar dari bilik tersebut. Matanya sempat memandang ibunya yang langsung tidak menunjukkan reaksi.

            “Mak….” Jeritan Raihana semakin sayup dari luar bilik. Wanita Cina itu tidak berganjak dari bilik itu. Matanya memerhatikan tubuh wanita yang terbaring kaku di hadapan matanya.

Dia membuka tas tangannya. Dari dalam beg, dia mengeluarkan sebuah picagari dan sebotol cecair. Picagari itu lalu disuntik ke dalam botol ubat. Sejurus kemudian pandangannya dialihkan ke arah wanita itu. Tanpa belas kasihan, dia menyuntik cecair dalam picagari ke dalam tiub intravena yang disalurkan ke lengan wanita yang masih terlena itu.

Melihat cecair itu sedikit demi sedikit mengalir melalui tiub itu, wanita Cina itu merenung kosong pada wajah tenang yang sedikit berkerut. Meskipun hatinya simpati, namun apakan dayanya. Dia terpaksa melakukannya. Jika tidak hari ini, mungkin esok lusa kau dan anak kau akan tetap menemui nasib malang ini. Mungkin lebih baik jika aku mempercepatkannya untuk kau! Bisik wanita Cina itu sebelum beredar pergi dari situ.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!