Followers

Thursday, May 13, 2010

Arina : Bab 2

ARINA memeluk tubuh di bangku kecil yang terperosok di suatu sudut. Udara dari pendingin di balai polis itu benar-benar membuatkan tubuhnya kedinginan. Hampir tiga jam lamanya dia menanti di situ. Dia bagaikan makanan sejuk beku yang sedang menjalani tranformasi pengawetan.

“Sejuk?” Seorang pegawai polis wanita di situ kasihan melihatnya.

Dia hanya menggelengkan kepala. Menafikan kesejukan yang dirasakannya, meskipun sesiapa sahaja akan perasan dengan wajah dan bibirnya yang mula pucat membiru.

Tiba-tiba pegawai wanita itu menghampirinya lalu menyelimuti tubuhnya dengan sehelai selimut tebal. Dia mendongakkan wajah. Wanita itu tersenyum.

“Terima kasih.” Ucapnya lemah.

Pegawai wanita itu memandangnya dengan wajah simpati.

“Belum cukup 24 jam. Awak tak boleh failkan kes ni.” Nasihat wanita itu. Dia merenung wanita itu dengan pandangan sayu.

“Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi. Tak bolehkah cik lakukan sesuatu?” Dia merayu.

Wanita itu terdiam. Dia memandang ke arah Arina sambil melepaskan keluhan.

“Saya dah hubungi pihak Kedutaan Malaysia. Saya rasa mereka boleh membantu awak.” Ujar pegawai wanita Filiphina itu.

Arina terdiam. Kenapa mereka harus menunggu sehingga pihak Kedutaan Malaysia sampai? Tak bolehkah pihak polis Manila terus mencari Chayi yang entah apa nasibnya sekarang ini? Pelbagai pertanyaan berlingkar di fikiran Arina.

“Dia adik saya dan sekarang dia hilang. Apa lagi yang cik tak faham?” Tukas Arina sedikit geram. Dia sanggup menunggu sehingga berjam-jam di balai polis itu, namun apa hasilnya? Pegawai-pegawai polis itu seperti sengaja tidak mahu membantunya mencari Chayi.

Pegawai wanita itu terdiam. Barangkali turut merasai bahang kemarahannya yang mula menular. Namun belum sempat pegawai wanita itu mahu mengatakan sesuatu, deringan telefon di atas meja wanita itu singgah. Wanita itu memandangnya sebentar sebelum menjawab panggilan. Selang beberapa minit bercakap-cakap, wanita itu memandangnya.

“Ada orang nak jumpa awak.” Ujar pegawai wanita itu lalu mempersilakannya. Arina tergaman. Siapa yang mahu bertemunya? Walaupun fikirannya dihimpit pebagai persoalan, namun dia memaksa dirinya mengekori wanita itu ke sebuah bilik.

Wanita itu membukakan pintu lalu menyuruh dia memasuki bilik kecil itu. Dia hanya menurut. Sebaik dia masuk, pintu di belakangnya dikatup agak kuat. Arina tergaman lalu berpaling. Panik kerana menyedari pegawai wanita itu tidak mengikutnya masuk.

“Cik Arina…” Telinganya menangkap suatu suara menyebut namanya dengan lancar. Dia berpaling. Seorang lelaki berpakaian kasual memandangnya dari suatu penjuru sudut di bilik tersebut.

Arina memerhatikan ke arah lelaki itu. Dahinya berkerut. Dia gagal melihat wajah lelaki yang menegurnya kerana disurami cahaya malap di bilik tersebut. Lelaki itu menggunakan Bahasa Melayu, bermakna lelaki itu pastinya dari Malaysia. Begitulah andaian yang terbit di fikiran Arina saat itu.

“Siapa awak?” Dia memberanikan diri bertanya.

Lelaki itu tidak menjawab. Sebaliknya dia bergerak ke hadapan, menampakkan wajahnya. Lelaki itu berusia dalam lingkungan awal 40an. Wajahnya serius dengan sorotan mata yang agak tajam.

“Saya Chief Inspector Abdul Kamal dari Interpol. Pihak kedutaan minta saya jumpa dengan Cik Arina.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebelum menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapannya.

Arina tergaman apabila mendengar kata-kata lelaki itu. “Tuan boleh bantu saya? Dapatkan semula adik saya, tolonglah tuan.” Arina merayu. Memohon pengertian agar lelaki itu memahami masalahnya.

Respon lelaki itu biasa-biasa sahaja sebaik mendengar kata-katanya.

“Saya dah diberitahu oleh pihak polis Filiphina tentang apa yang berlaku pada adik Cik Arina tu. Tapi saya nak ingatkan Cik Arina, di sini Filiphina bukannya Malaysia. Prosedur siasatan di sini agak berbeza berbanding di negara kita. Kami akan cari adik Cik Arina tu, tapi Cik Arina tak boleh berada di sini lagi. Esok pihak kedutaan akan iringi Cik Arina ke lapangan terbang. Cik akan pulang ke Malaysia esok.” Putus lelaki itu.

Arina tersentak. Dia memandang lelaki itu dengan mulut separuh ternganga.

“Saya tak mahu. Selagi adik saya tak dijumpai, saya tak mahu pulang ke Malaysia.” Dia bertegas.

“Kami dah hubungi ayah Cik Arina.” Lelaki itu memberitahu. Tenang.

Arina terkedu.

“Encik Fahrin sendiri yang minta pihak kedutaan bawa Cik Arina keluar dari Filiphina secepat yang mungkin. Kami mengesyaki kehilangan Khairil Ikmal mungkin ada kaitan dengan kerjasama yang dijalankan oleh ayah Cik Arina dengan sebuah industri di sini.”

Arina terpempan. “Maksud tuan, adik saya diculik?”

Lelaki itu menjongketkan bahunya. “Kemungkinan besar. Tapi kami tak ada bukti. Kami akan mulakan siasatan selepas Cik Arina selamat sampai ke Malaysia.” Ujar lelaki itu.

“Apa maksud tuan bila saya selamat sampai ke Malaysia? Saya dah kata yang saya tak mahu pulang. Saya nak tunggu di sini sampai adik saya ditemui. Lagipun saya tak percaya Chayi diculik hanya semata-mata kerana urusan ayah saya di sini. Kami langsung tak ada kena-mengena dengan apa yang ayah kami lakukan.” Dia berdegil.

Kerut di wajah lelaki itu berganda sebaik mendengar kata-katanya. Arina sudah tidak peduli. Dia tegas dengan pendiriannya. Metro Manila ini takkan ditinggalkannya walau apa pun yang berlaku. Apa nak jadi pun jadilah! Dia harus mencari Chayi walau di ceruk mana sekalipun adiknya berada. Chayi, kakak akan cari kau! Bertahanlah dik!

“Kalau macam tu, Cik Arina tak beri kami pilihan lain. Maafkan saya.” Ujar lelaki itu lalu bingkas bangun.

Arina terpegun. Kata-kata lelaki itu kedengaran aneh. Dia merenung ke arah Chief Inspector Abdul Kamal apabila lelaki itu mengetuk daun pintu di hadapannya sebanyak dua kali. Daun pintu dikuak dari luar. Beberapa anggota polis Filiphina menjengah masuk.

“Bawa dia pergi.” Arah lelaki itu dalam bahasa tagalog. Arina terkejut besar. Dia memandang lelaki itu dengan wajah berang apabila pegawai-pegawai polis itu mula mengheretnya.

“Apa semua ni tuan? Kenapa tuan buat macam ni?” Jerit Arina.

“Seperti saya katakan tadi. Cik Arina tak beri kami pilihan lain. Malam ni Cik Arina akan kami kurung. Esok beberapa orang pegawai kedutaan akan mengiringi Cik Arina ke lapangan terbang. Cik Arina akan naik penerbangan terawal Cebu Pacific Air, langsung ke Kuala Lumpur.” Putus lelaki itu, tegas.

“Tuan tak boleh buat begini pada saya. Saya ada hak untuk berada di sini.” Herdik Arina. Dia meronta-ronta, namun tenaga pegawai-pegawai polis itu lebih kuat darinya. Tanpa mempedulikan teriakannya, tubuhnya terus diheret ke arah sebuah lokap di balai polis tersebut. Di luar bilik, matanya terpandang pegawai wanita yang memberinya selimut sebentar tadi.

“Tolong saya, please…” Dia merayu agar wanita itu membantunya. Namun pegawai wanita itu hanya memandangnya dengan wajah simpati. Arina terasa dirinya seperti dihenyak dengan sebiji batu besar. Apa sebenarnya yang berlaku pada Chayi? Dan kenapa dia dilarang untuk terus berada lebih lama di Manila ini?

* * * *

Pusat Dagangan Manila, Filiphina...

DUA belas tengah malam. Bunyi siren amaran berbunyi. Agak nyaring. Bunyi yang datang itu mengejutkan hampir berpuluh-puluh pengawal keselamatan di Trade Center Metro Manila yang berseragam warna kelabu. Kesemuanya segera berkejar ke sana kemari cuba mengesan onar apakah yang sedang berlaku. Di tangan masing-masing sudah tersisip dengan senjata masing-masing.

Dalam masa yang sama, beberapa orang lelaki bergerak pantas bagaikan angin lalu menyusup masuk ke dalam bangunan tersebut tanpa disedari sesiapa.

Beberapa orang pengawal keselamatan dari arah berlawanan bertembung di hadapan sebuah pintu besi yang terbuka luas. Masing-masing memandang di antara satu sama lain dengan wajah terkejut. Pistol di genggaman masing-masing dikemaskan. Salah seorang dari pengawal meluru ke dalam bilik tersebut. Beberapa saat kemudian dia keluar semula dengan wajah pucat.

“Skrol tu dah hilang.” Ujar pengawal itu terketar-ketar. Yang lain-lain ternganga.

“Cepat ! Kita kejar pencuri itu. Mungkin dia masih ada di dalam bangunan ni.” Salah seorangnya memberi arahan. Teman-temannya yang lain setuju lalu mengekorinya.

Namun tiba-tiba langkah lelaki yang memberi arahan itu terhenti. Dia berpaling ke arah lelaki yang mula-mula melaporkan kecurian itu.

“Maklumkan pada Tuan Eye. Dia harus tahu tentang semua ini.” Sarannya lalu bergerak pantas ke suatu arah, diekori pengawal-pengawal yang lain. Dan lelaki yang diarahkan itu hanya mampu mengangguk.

Di sebuah lorong, sepasang kaki melangkah tenang di sebalik kekecohan yang melanda kompleks dagangan itu. Seperti tidak terjejas apa-apa dengan peristiwa itu, lembaga berpakaian serba hitam itu terus melangkah menyusuri ruang legar kompleks. Sebahagian wajahnya ditutup untuk mengelak dari difokus oleh CCTV.

Sekumpulan pengawal melintasinya. Namun salah seorang pengawal terakhir terhenti sebaik menyedari kehadiran tetamu yang tidak diundang. Lelaki itu menoleh. Matanya berkerut memandang kelibat lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Lelaki itu memegang sebilah pedang yang memancarkan cahaya kemerah-merahan diselang-seli dengan pancaran cahaya putih terang yang menyilaukan mata.

Belum sempat pengawal itu mahu memanggil teman-temannya yang sudah jauh di hadapan, lelaki berpakaian serba hitam itu tiba-tiba melompat tinggi ke arah pengawal itu. Hulu pedangnya ditakik pada pangkal bahu lelaki malang itu menyebabkan lelaki itu terhumban ke hadapan,

Sebaik menyedari kehilangan temannya, salah seorang dari pengawal-pengawal itu segera berpatah baik. Namun sebaik dia melihat sekujur tubuh terlentang di hadapannya, dia tergaman. Serentak satu bayang hitam melintas di belakangnya. Dia berpaling dengan wajah cemas. Pistol di tangannya dihala sesuka hati dengan tangan yang terketar-ketar. Namun tidak sesiapa pun di hadapannya.

Sekilas bayang muncul lagi dari sisi. Kali ini pengawal itu sudah histeria. Si pengawal segera menghalakan muncung pistolnya lalu mula menembak sesuka hati tanpa mempedulikan sasarannya. Bunyi hentaman peluru yang bertalu-talu menarik lebih ramai pengawal-pengawal di aras tersebut. Kesemuanya berkejar ke arah bunyi yang datang.

Lelaki berpakaian serba hitam itu hanya mampu tersenyum melihat sikap pengecut pengawal keselamatan itu. Dengan lompatan sederhana tinggi, dia mendarat betul-betul di hadapan pengawal itu. Pengawal itu terkejut besar lalu nyaris terjatuh jika tidak disambut oleh lelaki berpakaian serba hitam.

Bunyi bising yang datang dari arah belakang membuatnya berpaling. Bunyi tapak kaki pengawal-pengawal TCMM itu menghala ke arahnya.

Dia sabar menanti sehingga kelibat-kelibat pengawal itu muncul. Dengan mudah dia dikepung. Namun dia tidak menunjukkan sebarang reaksi cemas, sebaliknya renungan tajamnya singgah di setiap wajah lelaki-lelaki di hadapannya. Pedang di tangannya digenggam erat. Tanda sudah bersedia.

Beberapa das peluru meluncur laju ke arah tubuhnya. Dengan cepat dia mengelak lalu menghalakan pedangnya ke arah peluru-peluru yang datang bagaikan malaikat nyawa. Beberapa butir peluru mengenai bilah pedang lalu menghasilkan geseran api yang kuat, sebelum melantun ke arah pengawal-pengawal itu. Beberapa orang pengawal rebah terkena peluru yang datangnya dari muncung pistol mereka sendiri.

Pengawal-pengawal yang lain tidak menunggu lama untuk menyerang. Serentak berpuluh-puluh pengawal menerpa ke arah lembaga itu. Cuba menyerangnya dengan tangan kosong. Namun setiap satu serangan dapat dielakkannya dengan mudah. Tubuhnya dihayunkan ala-ala seorang ahli gimnas sebelum melancarkan tendangan padu ke tubuh lelaki-lelaki itu. Meskipun bilangan lelaki yang menyerangnya lebih ramai, namun kemenangan seolah berpihak padanya.

Dari aras 3 bangunan tersebut, dua kelibat tubuh sedang ralit memerhatikan pertarungan ramai melawan satu itu. Walaupun pada mata kasar, pertarungan itu seperti tidak adil dan berat sebelah, namun mereka hanya memerhatikan tanpa niat mahu ikut campur.

“Perlu kita bantu dia Nakh?” Tanya salah seorang lelaki yang memakai cap.

“Tak perlu! Dia boleh melakukannya tanpa kita. Arahan kita mudah saja. Kita dapatkan skrol tu sementara dia pula akan alihkan perhatian pengawal dari kita.” Ujar pula lelaki yang bertubuh kurus dan mempunyai sebelah telinga yang bertindik.

Lelaki yang bertindik kelihatan ralit menyaksikan pertarungan antara temannya dengan pengawal-pengawal di Kompleks Perdagangan. Dari penilaiannya, pertarungan itu sememangnya berat sebelah. Tapi bukan kerana temannya itu menghadapi berpuluh-puluh pengawal di kompleks tersebut sendirian, tapi kerana teknik pertahanan lelaki itu sepuluh kali ganda jauh lebih hebat berbanding lawan-lawan yang dihadapinya.

Libasan senjata di tangan lelaki berpakaian serba hitam itu dengan mudah berjaya menjatuhkan satu persatu lawannya. Lelaki bercap mengukir senyuman. Bingo! Seperti yang dijangkakan! Dia tahu setakat mana tahap kemahiran temannya itu.

Lelaki berpakaian serba hitam itu tiba-tiba menoleh. Bagaikan menyedari kehadiran dua lelaki yang sedang memerhatikannya dari tingkat tiga. Namun sepasang mata yang bersinar tajam itu lebih tertumpu pada lelaki kurus bersubang yang sedang memandangnya. Lelaki itu hanya tersenyum memerhatikannya.

“Giliran kita sekarang.” Arah lelaki bertubuh kurus dan bersubang lalu segera mengarahkan temannya yang memakai cap mengekorinya. Lelaki yang memakai cap itu hanya mengangguk.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!