Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 2

Sudah dikhabarkan berita ketibaannya pada Marion tengah malam itu. Dia juga tidak lupa menyebut tentang ‘Auntie Linda’ yang tidak kunjung tiba, biarpun hampir sejam dia menanti di KLIA. Nasib baik ada Emir yang sudi menghantarnya ke hotel berdekatan di Kuala Lumpur.

Lelaki itu memang baik hati. Tidak seperti lelaki yang seorang lagi. Berlagak tak bertempat. Mengenangkan sikap teman Emir itu, tiba-tiba sahaja hatinya jadi panas semula. Sudahlah tak mahu mengaku kesilapan sendiri, disindirnya pula aku ni! Agaknya ada emas dalam mulutnya tu sampai berat sangat nak mengaku salah, rungut Anum Dahlia dalam hati.

“Anum tinggal kat mana?” Tanya Emir sebaik menurunkan gadis itu di hadapan Hotel Sheraton. Dia hairan melihat Anum Dahlia yang ingin menginap di hotel sebaik turun dari kapal terbang.

“Saya belajar dan menetap di US sebenarnya. Tapi saya datang ke Malaysia ni sebab nak buat tesis untuk habiskan final project saya.” Ujar Anum Dahlia.

“Anum warga US?” Emir nampak tertarik.

Gadis itu hanya mengangguk.

“Orang Melayu?” Soal Emir lagi.

Anum Dahlia nampak kaget. Tidak menyangka soalan itu bakal diutarakan oleh Emir.

“Mama saya orang Melayu, ayah saya warga negara US.” Jawab Anum Dahlia akhirnya. Emir mengangguk-angguk bagaikan memahami.

“Anum belajar di mana?”

“Michigan University.”

“Apa yang ada di Malaysia ni yang menarik minat Anum nak buat research di sini?” Pertanyaan Emir tidak tahu habis, seolah berminat benar ingin tahu segalanya tentang Anum Dahlia.

“Hmm banyak. Tapi saya nak buat tesis tentang seni silat melayu.”

“Seni silat melayu?” Emir tergaman.

Anum Dahlia mengangguk. “Iya, kalau boleh saya nak buat research tentang asal usul Silat Cekak. Dari mana asalnya, siapa pemimpinnya serta apa yang membuatkan silat cekak berbeza dengan silat-silat lain. Dengan cara itu, baru kita boleh mendefinisikan semula Melayu di mata dunia.” Jelas Anum Dahlia, lancar.

Emir terkaku mendengar butir bicara gadis itu. Dalam diam-diam dia kagum dengan kepintaran gadis itu memberi buah fikiran. Pada asalnya dia sedikit pun tidak menduga, Anum Dahlia anak melayu berdarah campuran yang dibesarkan di luar negara. Ini kerana dari cara gadis itu bertutur, langsung tidak mengambarkan bahasa melayu yang tunggang langgang.

Namun begitu pada pandangan pertama, dia turut tertipu dengan perawakan Anum Dahlia yang langsung tidak menunjukkan wajah campuran. Selalunya anak campuran yang diketahuinya, sering memiliki alun wajah Inggeris dengan rambut keperangan atau anak mata berwarna hazel, namun wajah Anum Dahlia lebih kemelayuan. Cuma yang memukaukan pandangan Emir, adalah sepasang mata Anum Dahlia yang kecoklatan dengan alis kening yang cantik terbentuk.

“Anum fasih ya berbahasa melayu?” tegur Emir seraya tersenyum.

“Mama yang ajar saya supaya cintakan bahasa melayu. Baba saya juga fasih berbahasa melayu walaupun sedikit pelat. Lagipun takkan melayu hilang di dunia kan?” Anum Dahlia tergelak kecil.

Emir turut tertawa. Lucu kerana gadis itu pandai menyebut rangkap Laksamana Hang Tuah yang masyur itu. Entah apa lagi anak mat salleh celup ni pandai agaknya, fikir hati kecil Emir.

“Anum tak takut seorang diri di sini?” Duga Emir.

“Nak takut apa? Orang jahat? Kat mana-mana pun ada orang jahat dan di mana-mana pun kita boleh malang. Kalau takut mati pun begitu. Di mana-mana pun kita boleh mati.” Ujar Anum Dahlia selamba.

Emir tergaman jadinya. Betul juga cakap dia! Kalau dah memang malang, di rumah sendiri pun boleh ditimpa kecelakaan.

“Tak apalah Encik Emir, terima kasih sebab hantarkan saya. Saya turun dulu ya,” Kaki Anum Dahlia sudah mencecah tanah.

“Err Anum, boleh kita jumpa lagi?” Tanya Emir tiba-tiba.

Anum Dahlia berpaling. Memandang Emir sejenak sebelum dia mula tersenyum. Kepalanya diangguk tanda setuju. Terpapar perasaan ceria di wajah Emir. Lelaki itu masih memerhatikannya tatkala dia sudah pun menyorong bagasi masuk ke lobi hotel.

* * * *

Diam-diam Anum Dahlia tersenyum panjang. Lucu apabila mengenangkan Emir yang seolah-olah cuba memikatnya. Tapi apa salahnya dia berkawan dan bersahabat ramai. Lagi pula dia sekarang berada di sebuah tempat yang asing. Sekurang-kurangnya ada juga kenalannya di sini nanti.

Malam itu Anum Dahlia hanya berkurung dalam bilik hotel. Hendak keluar, bimbang juga kerana dia tidak biasa dengan tempat itu. Akhirnya dia berbaring sahaja sambil menonton drama komedi ‘Frasier’ di saluran Starworld. Ralit menonton, tiba-tiba dia dikejutkan oleh deringan telefon di biliknya.

Anum Dahlia cepat-cepat mengangkatnya.

“Maaf Cik Anum, ada panggilan antarabangsa untuk Cik Anum dari US.” Suara seorang gadis kedengaran di dalam talian.

“Tak apa, sambungkan.” Jawab Anum Dahlia. Dia tahu panggilan itu pastinya dari Marion, kerana wanita itu telah berjanji untuk menghubunginya semula.

“Hello auntie ya. Anum tak buat apa-apa pun, Anum tengok tv saja.” Ujarnya.

Sesaat dua mendengar melalui talian, wajahnya serta-merta berubah. “Habis macamana dengan Anum? Anum bukannya biasa dengan tempat ni.” Keluhnya. “Tak apalah kalau macam tu. Nanti Anum tunggu dia di sini.” Balas Anum Dahlia lemah. Dia meletakkan gagang telefon di tempatnya.

Perkhabaran yang dibawa oleh wanita itu menyebabkan dia resah. Menurut wanita itu, Roslinda ataupun ‘auntie Linda’ yang sepatutnya menantinya dia airport tadi, terpaksa berkejar ke Australia kerana urusan mustahak. Tapi Marion sempat berpesan, agar dia menanti anak lelaki auntie Linda yang akan datang menemuinya.

Habis? Macamana dengan urusan aku di sini? Hanya pada auntie Linda sahaja, dia mampu bergantung harap. Tapi kini wanita itu terburu-buru ke Australia pula.

“Anum jangan susah hati, Hakimi akan bantu Anum ke tempat tu. Lagipun dia dalam perjalanan nak balik ke kampusnya.” Ujar Marion.

Anum Dahlia mengeluh panjang. Sukar dia mahu bergantung harap pada orang lain. Namun apakan dayanya, dia terpaksa. Demi ibunya, dia harus memberanikan diri.

“Kalau boleh mama nak Anum balik ke sana. Mama nak Anum kenal dengan kampung mama. Biar hati Anum dekat pada tanah tempat mama pernah berpijak dulu. Biar wajah Anum dihembus dengan bayu yang sama menyapu wajah mama dulu.” Bisikan mama terdengar lagi di telinganya.

Anum Dahlia memejamkan matanya. Dadanya terasa berbahang. Wajah mama bermain di matanya, silih berganti dengan wajah baba.

Dulu semasa dirinya masih kecil, dia kerap dihidangkan dengan cerita-cerita mama tentang kampung halamannya. Tentang bagaimana mama suka bermain selut bendang dengan teman-teman sekampungnya, serta memanjat pokok rambutan yang sering berbuah lebat di belakang rumah. Mama juga tak lupa menyebut tentang ikat puyu dan sepat yang banyak terdapat di parit kecil di belakang rumah mama, jikalau musim temgkujuh tiba. Dan sepanjang malam wanita itu bercerita tanpa tahu penat.

Dia masih ingat senyuman yang terukir di wajah mama sewaktu bercerita. Suatu senyuman yang cukup menyentuh kalbunya Tapi apabila ditanya kenapa selama ini mamanya tidak mahu pulang, wanita itu diam sahaja.

“Kenapa mama?” Dia mengulang pertanyaan. “Bukankah mama rindukan kampung halaman mama? Tapi kenapa bila Anum tanya, mama diam?”

Wanita itu mengangkat muka memandang ke arahnya. Ada air jernih mengalir di kelopak mata itu. Dia tersentak. Sejenak kemudian mulutnya bagai terkunci terus untuk bertanya. Tidak sanggup dia melihat airmata itu terus bergenang di pelupuk mata wanita itu.

“Maaf mama, Anum tak seharusnya bertanya banyak dengan mama.” Bisiknya seraya memeluk bahu wanita itu. Satu kucupan singgah di pipi mamanya. Wanita itu memandangnya sebak.

“Betul Anum nak tahu?”

Dia tergaman. Mata mamanya bulat memandangnya, seolah-olah ingin menduga. Dia sendiri serba salah. Apakah mamanya mahu bercerita?

“Datuk Anum tak sukakan mama.” Ucap mamanya lambat-lambat. Dia tergaman mendengar kata-kata itu. Tak suka?

“Tapi kenapa?” Soalnya sudah tidak sabar.

“Sebab mama pernah buat silap pada datuk dan nenek Anum. Mama pernah lukakan hati mereka. Mama campak perasaan mereka jauh-jauh, semata-mata kerana cinta. Mama salah Anum,” bisik mamanya, sayu.

Dia terdiam. Kerana cinta? Apakah kerana mama berkahwin dengan baba, sebab itu datuk tak sukakan mama? Kenapa datuk tak sukakan baba? Baba lelaki yang baik meskipun seorang mualaf. Sepanjang keluarga mereka bersatu, belum sekalipun baba meninggikan suara dengannya. Malah seingatnya, dia tidak pernah mendengar mamanya dan baba bertengkar. Hidup mereka baik-baik saja di rantau orang. Habis kenapa datuk benci pada baba? Sebab baba bukan orang melayu? Sebab baba lelaki Inggeris yang berasal dari Detroit, yang jauh dari unsur-unsur ketimuran? Itukah sebabnya?

Kalau begitu, bagaimana Anum mahu berhadapan dengan datuk, mama? Anum lahir dari cantuman cinta antara mama dan baba. Dua budaya yang berbeza tapi seiring. Apakah datuk dan nenek akan menerima Anum nanti?

“Percayalah pada mama sayang, datuk akan sukakan Anum. Datuk akan melihat Anum sepertimana dia melihat mama dulu. Tapi jangan biarkan kasih sayang datuk terus luput dari hatinya.” Bisikan mama terus berlegar di telinganya.

Anum Dahlia memejamkan matanya. Dadanya terasa sebak. Pilu menyelubungi dirinya setiap kali terkenangkan mama dan baba. Kerinduannya juga semakin hari semakin menebal. Biar apapun, aku harus kuatkan semangat.

* * * *

Dia terjaga dari tidur apabila merasakan seseorang menyentuh ubun di kepalanya. Anum Dahlia membuka mata perlahan-lahan. Melihat kehadiran baba di sisinya, dia bingkas bangun. Hatinya melonjak kegembiraan. Namun sesaat kemudian dia bagaikan ragu-ragu.

“Baba?” Dia bertanya bagaikan kurang percaya. Lelaki itu hanya tersenyum lalu duduk di birai katil.

“Ya sayang, ini baba. Masa Anum tidak kenal sama baba.” Sufian ketawa besar. Rambut Anum Dahlia diulas-ulas penuh kasih sayang. Semenjak kecil dia memanjakan Anum Dahlia. Gadis itu adalah permata hatinya. Tanda keluhuran cinta antara dia dan Sufiyah, isterinya.

“Baba, Anum rindu sangat dengan baba.” Ujarnya sebak seraya memeluk lelaki itu. Sufian tergaman sebentar. Reaksi Anum Dahlia membuatkan dia mengemaskan pelukannya. Bibirnya mengukir senyuman lebar.

“Baba juga rindu sama Anum. I really missed you honey.” Akui Sufian.

“Baba tak marah Anum datang senyap-senyap ke mari?” Dia bertanya lelaki itu. Namun babanya hanya menggeleng.

“Baba tahu, Anum lakukan semua ini kerana mama. How can I get angry with my little darling?” Lelaki itu ketawa lagi. Sejak dulu begitulah sikap Sufian yang gemar ketawa. Sifat lelaki itu kontras sekali dengan sifat isterinya Sufiyah yang pendiam dan jarang tersenyum.

“Anum terpaksa baba, Anum tak ada pilihan lain.” Keluh Anum Dahlia.

“Baba faham dan percayalah, seorang ayah tidak akan menyalahkan anaknya sendiri.”

“Walaupun Anum tinggalkan mama?”

Sufian mengangguk. Dia membelai wajah si anak penuh kasih sayang. Sejak kecil anak itu sudah menampakkan kematangan. Dan dalam usia sekarang, dia tidak perlu bimbang lagi kerana Anum Dahlia sudah pandai menjaga diri.

“Ke mana-mana sahaja Anum pergi, baba akan tetap merestui Anum.” Ujar lelaki itu.

Anum Dahlia memandang ayahnya. Rasa sebak menjengah lagi sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Baba, biarlah seluruh dunia menyalahkan Anum kerana kejam pada mama. Tapi Anum yakin, inilah saja jalan terbaik untuk Anum menebus salah mama.

Menyedari air hangat di matanya hampir tumpah, Anum Dahlia cepat-cepat merangkul tubuh ayahnya lebih erat. Matanya dipejamkan. “Anum sayangkan baba. Anum sayangkan mama.” Akuinya dengan hati terusik.

Tiba-tiba dada Anum Dahlia berdegup kencang. Entah kenapa apabila terasa tubuh pejal yang dipeluknya tadi terasa ringan, perlahan-lahan dia membuka kelopak mata. Alangkah terkejutnya dia apabila lelaki itu tiba-tiba menghilang. Tubuh babanya tiba-tiba menjadi bantal peluknya. Hatinya serta merta diapit cemas.

“Baba…” panggil Anum Dahlia. Matanya sudah menyorot di setiap pelusuk kamarnya, namun lelaki bernama Sufian Patrick itu sudah tidak ada. Dia mencari di bilik air namun kelibat lelaki itu juga tidak ada. Tuhan! Apakah semua ini hanyalah mimpi atau sememangnya baba muncul dan bercakap-cakap denganku sebentar tadi?

“Baba, mana baba pergi?” Bisik Anum Dahlia sambil terduduk lemah. Airmatanya merembes laju tanpa dipinta. Sesungguhnya rindunya pada baba bukan sedikit. Pertemuan lima minit mereka tidak pernah cukup untuk mengubat kerinduan yang dirasakannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!