Followers

Thursday, November 14, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 7


NURLISA memandang pergelangan tangannya berkali-kali. Hampir jam 3.30 petang, namun orang yang dinanti masih belum nampak bayangnya. Sesekali dia menyuluh terik mentari yang memancarkan sinar garang. Peluh renek mula menitis di dahinya, namun cepat-cepat diseka dengan sehelai saputangan yang sentiasa dibawanya ke mana-mana.

            Terasa lelah berdiri, Nurlisa mengambil tempat duduk di salah sebuah bangku berdekatan pondok pengawal.

            “Tak balik lagi cikgu?” Tegur salah seorang pelajarnya sambil menyorong basikal keluar dari tempat letak basikal. Nurlisa hanya tersengih memandang pelajar tersebut.

            “Sekejap lagi cikgu balik. Cikgu tunggu abang cikgu datang jemput.” Beritahu Nurlisa ramah.

            Kereta cikgu mana?” Pelajar itu tidak putus-putus bertanya.

            “Ada pada abang cikgu. Keretanya rosak, terpaksa masuk bengkel dalam sehari dua ni. Terpaksalah cikgu pinjamkan kereta cikgu,” ujar Nurlisa yang rajin melayan pertanyaan pelajar-pelajarnya.

            “Kalau macam tu, saya balik dulu cikgu,” pelajar itu meminta izin beredar.

Nurlisa hanya mengangguk seraya tersenyum simpul. Lama matanya terarah ke arah pelajar tingkatan 4 itu, sebelum dipintas oleh sebuah kereta yang amat dikenalinya. Nurlisa memandang jam tangannya seraya melepaskan keluhan.

            Dengan langkah malas, dia membimbit beg berisi buku menuju ke arah kereta yang sudah menunggu di hadapan pintu pagar. Irman tersenyum senang melihat Nurlisa muncul. Namun wajah adiknya yang mencuka mengembalikan kerut pada wajahnya.

            “Hai, monyok semacam aje muka Lisa ni. Kenapa? Kena buli dengan anak murid ya?” Usik Irman cuba bergurau. Namun usikan itu tidak mendatangkan ceria di wajah Nurlisa, sebaliknya wajah gadis itu kian mencuka.

            “Kenapa ni Lisa? Abang lewat cuma setengah jam saja, maklumlah jalan dari office abang ke sini selalu jammed. Takkan itu pun Lisa nak marah.” Irman mula merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan wajah si adik yang cemberut sahaja.

            Kalau ya pun, tak boleh telefon dulu beritahu? Berjanggut Lisa tunggu abang kat sini. Kalau tahu abang lewat, baik Lisa tunggu kat bilik guru, sudahkan kerja apa-apa yang patut. Membazir masa Lisa menunggu abang tau tak!” Marah Nurlisa separuh geram.

            Irman terdiam mendengar bebelan adiknya. Dia tahu dia salah. Sudahlah dia meminjam kereta Nurlisa, selepas itu terlambat pula datang menjemput adiknya. Mana gadis itu tak naik angin.

            “Abang tak sengaja Lisa. Meeting abang lambat habis, itu yang baru sekarang sempat mencelah keluar.” Pujuk Irman serba-salah.

            “Bosan tau tunggu sorang-sorang kat pondok guard tu.” Rungut Nurlisa seraya mencebik.

            “Yalah, abang tahu abang salah. Apa kata abang tebus balik salah abang, Lisa cakap saja Lisa nak apa. Nanti abang belikan.” Ujar Irman cuba memancing hati Nurlisa dari terus-terusan merajuk hati dengannya.

            Betul?” Nurlisa berpaling menatap ke arah Irman.       

            Lelaki itu cepat saja mengangguk mengiyakan. Nurlisa melirik nakal sambil tersenyum simpul. Dia tahu apa yang diinginkannya dari Irman.

            “Apa Lisa nak?” Tanya Irman lagi, apabila dilihatnya Nurlisa asyik tersenyum-senyum memandangnya. Jangan gadis itu minta kereta baru atau rumah banglo sebuah cukuplah! Mana nak cekau duit?

            “Kalau Lisa kata Lisa nak kakak ipar?” Kening Nurlisa terjungkit. Senyuman nakalnya muncul lagi.

            Tergaman Irman mendengar kata-kata si adik yang tak disangka-sangka. “Apa Lisa cakap ni?”

            Nurlisa ketawa besar. Lucu melihat wajah Irman yang kebingungan. Baru cakap sikit dah mengelabah. Macamana nak luahkan perasaan kalau begini? Patutlah Dina Azura sampai sekarang tidak faham-faham. Dia hanya menduga Irman sebenarnya. Hatinya teringin mahu tahu sejauh mana sayang abangnya itu pada Dina Azura.

            “Oh ya, Dina ada jumpa atau call abang tak?“ Tanya Nurlisa, sebaik teringatkan sesuatu.

            Pertanyaan Nurlisa membuatkan Irman tercengang.

“Kelmarin abang ada jumpa dia. Dia jemput abang kat kelab squash petang kelmarin sewaktu kereta abang rosak. Kenapa?“ Tanya Irman ingin tahu.

            “Dia tak cakap apa-apa dengan abang?“

            “Cakap apa?“

            Giliran Nurlisa pula tercengang dibuatnya. Mustahil Dina Azura tidak bertanyakan apa-apa langsung tentang soal pemergian Irman untuk menyambung pelajaran. Hakikat bahawa Irman ada bertemu Dina Azura petang kelmarin benar-benar membuatkan dia hairan. Takkan Dina langsung tak kisah dengan pemergian Irman? Fikir Nurlisa sedikit rungsing. Dia benar-benar berhajat mahu membantu abangnya memikat Dina Azura!

            “Lisa?“ Panggil Irman.

            Lisa terkedu. Cepat-cepat dia melemparkan senyuman buat abangnya sebelum lelaki itu mengesyaki sesuatu.

*  *  *  *

IRMAN sekadar merenung kosong pasportnya yang telah pun tersedia sejak seminggu yang lalu. Jauh di sudut hati, memang terasa berat untuk pergi dari tempat itu. Apatah lagi jika memikirkan pemergiannya kali ini tanpa Dina Azura. Dia benar-benar ingin membawa gadis itu bersamanya. Tapi bagaimana jika tuan empunya badan seakan tidak berperasaan yang sama terhadapnya.

            Jauh di lubuk hati, Irman sedar perasaan Dina Azura terhadapnya tidak sama seperti apa yang dirasainya. Gadis itu hanya menganggapnya tidak lebih sekadar seorang abang meskipun gadis itu tidak memanggilnya abang sepertimana Nurlisa memanggilnya.

Mengingatkan panggilan yang dipanggil gadis itu sejak mula kenal dengannya, seakan-akan mendatangkan sumpahan pula terhadapnya. Kerana panggilan itulah, Dina Azura menjarakkan dirinya setiapkali dia ingin berdiri rapat di sisi gadis itu. Entah sampai bila gadis itu akan lembut hati terhadapnya? Sedangkan masa untuknya memujuk Dina Azura pergi bersamanya menyambung pelajaran ke UK semakin singkat.

            “Apa yang abang fikirkan tu?” Suara Nurlisa singgah di gegendang telinganya. Dia berpaling. Nurlisa sudah melangkah masuk ke biliknya. Langkah gadis itu terhenti di penjuru katil.

 Irman tidak menjawab. Bibirnya tersungging senyuman kecil. Dia menggelengkan kepalanya.

            Nurlisa melepaskan keluhan berat. Dia faham apa yang bersarang di kepala lelaki itu. Namun apakan dayanya? Seorang abang dan seorang pula sahabat baiknya. Sebagai kawan, dia tidak boleh memaksa Dina Azura menerima Irman dalam hidupnya. Dina Azura bebas membuat keputusan dalam memilih sesiapa pun jua.

            Kalau Dina tak setuju, abang akan tetap pergi?” Soal Nurlisa.

            Irman terdiam. Kata-kata yang terluah dari bibir adiknya itu membuatkan fikirannya bertambah serabut.

            “Abang tak tahu Lisa. Semenjak dulu abang tahu, hati Dina bukan pada abang.”

            Tapi abang tak berputus asa. Lisa kagum dengan abang.” Luah Nurlisa.

            Irman tersenyum. Apa gunanya dirinya dikagumi, sedangkan hatinya tidak gembira? Lagipun bukan sekali dua Dina Azura menolak isi hatinya dalam diam-diam. Sudah terlalu acapkali. Hanya dia yang pura-pura tidak mengerti. Pura-pura tidak faham. Segalanya dilakukan demi mengubat sekeping hatinya yang enggan sembuh.

            “Kenapa abang tak terus terang dengan dia yang abang nak sambung belajar?” Soal Nurlisa ingin tahu. Dia sendiri tidak setuju dengan sikap Irman yang terlalu berahsia tentang pemergiannya ke luar negara. Malah umi dan babanya sendiri terkejut besar bila tiba-tiba sahaja Irman memberitahu mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara kira-kira sebulan yang lalu. Diam-diam lelaki itu mempersiapkan segala-galanya tanpa diketahui sesiapa.

            “Abang tak mahu paksa dia. Lagipun abang tak sanggup buat Dina susah hati.”

            “Tapi Lisa tahu, diam-diam abang masih mengharapkan dia bukan?”

            Irman memandang Nurlisa seraya tersenyum. Sejak dari dulu, Nurlisa sentiasa tahu apa yang tersimpan di hatinya. Hubungannya dengan adiknya itu memang rapat sejak dahulu.

            “Mungkin kalau abang terus mencuba, hati Dina akan terbuka…”

            “Lisa rasa begitu?” Tenang  Irman menyusun kata.

Nurlisa hanya mengangguk meskipun sebenarnya dia sendiri tidak pasti. Kalau sebut tentang Dina Azura, memang jawabnya dia gagal mahu menelah hati temannya yang satu itu. Rasanya seorang psikik pun tidak akan mampu membaca fikiran Dina Azura! Keluh Nurlisa.

Irman tersenyum lagi. Dia bingkas bangun lalu menuju ke arah mejanya. Sepucuk surat berada di tangannya sebaik dia kembali. Surat itu dihulurkan ke arah adiknya. Nurlisa kaget.

            “Surat apa ni bang?”

            “Lisa ambil dan tolong simpankannya. Surat ini untuk Dina. Kalau abang dah pergi nanti, abang nak Lisa serahkan surat ni pada Dina. Surat ini adalah harapan abang yang terakhir. Tolong jaga surat ini baik-baik,” pinta Irman.

Nurlisa terkaku. Wajah Irman ditenung dengan rasa belas. Kasihan Irman!

            “Kenapa abang tak serahkan sendiri pada Dina?”

            Irman sekadar menjongketkan bahu.

            “Sebenarnya Dina dah tahu fasal abang nak ke London.” Ujar Nurlisa lambat-lambat.

            Irman terkedu lantas berpaling ke arah adiknya. Dahinya berlapis.

            “Lisa bagitahu dia masa Lisa keluar makan dengan dia. Petang tu dia ambil abang kat kelab squash. Lisa ingatkan dia akan tanya abang fasal hal tu, tapi Lisa tak tahu yang Dina tak sebut langsung soal itu. Maafkan Lisa bang.” Ujar Nurlisa dengan perasaan bersalah.

            Irman mengangguk. Tapi jelas ada kekecewaan bertamu di wajah lelaki itu. Nurlisa mengigit dua ulas bibirnya. Mula merasakan dia bodoh kerana menyampaikan berita yang hanya akan menambahkan kesedihan abangnya. Gosh Lisa! Kau memang bodoh!

 

*  *  *  *

“DIA tengah mengemas barang?” Tanya Puan Zulaika sebaik berselisih dengan anak gadisnya di ruang tamu. Gadis itu hanya mengangguk lesu lalu mengambil tempat di sisi suaminya yang sedang asyik menonton televisyen.

            Puan Zulaika segera meletakkan dulang berisi kopi O pekat di hadapan suaminya dan Nurlisa. Matanya masih meratap tepat ke wajah Nurlisa yang nampak muram. Hati keibuannya menyedari bahawa Nurlisa tidak tega mahu melepaskan abangnya ke luar negara. Dia juga begitu sebenarnya. Hati ibu mana yang sanggup berpisah lama dengan anak lelaki tunggalnya? Tapi apakan daya, kekerasan hati Irman tidak terpujuk oleh linangan airmatanya.

            “Dia dah nekad betul ke nak pergi ke oversea tu?” Encik Mahmud tiba-tiba bertanya. Suaranya bagaikan tidak yakin sahaja. Volume televisyen sudah pun dikecilkan. Matanya menjunam ke arah cawan kopi yang membangkitkan aroma harum.

            “Dah kalau sampai gitu rupa dia mengemas, takkan tak sahih lagi Tuan Haji.” Balas Puan Zulaika. Dia sengaja membahasakan ‘Tuan Haji’ pada suaminya sebaik mereka pulang dari menunaikan ibadat haji beberapa bulan yang lalu, sebelum persaraan suaminya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

            Encik Mahmud tersengih-sengih mendengar kata-kata isterinya. Ada kelucuan tersirat dari kata-kata wanita itu.

            “Umi pun bingung dengan abang kamu ni Lisa. Angin tak ada, ribut tak ada…alih-alih sahaja dia buat keputusan nak melanjutkan pelajaran.” Keluh Puan Zulaika.

            “Abang tu sebenarnya frust umi.” Nurlisa tersasul. Opss..dia mengerutkan dahinya. Alamak, kenapa mulut aku celupar sangat ni?

            Frust? Frust dengan siapa?” Puan Zulaika memandang tepat ke wajah Nurlisa. Encik Mahmud juga begitu. Entah kenapa, kata-kata Nurlisa menarik perhatian mereka. Nurlisa menggaru kepala tidak gatal. Ada rasa cuak singgah di hatinya.

            “Apa Irman ada sukakan sesiapa?” Puan Zulaika cuba menduga. Wajahnya dikerutkan memandang Nurlisa yang kelihatan serba salah.

            “Eh taklah umi, Lisa…Lisa gurau je tu. Mana abang ada teman wanita.” Dia berdalih. Namun kerutan di wajah ibunya bertukar jelingan. Nurlisa berdebar-debar. Takut ibunya akan menyalahkan Dina Azura jika wanita itu tahu salah satu sebab Irman mahu melanjutkan pelajaran adalah kerana kecewa dengan Dina Azura.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!