Followers

Saturday, July 19, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 19


KETIKA dia turun pagi itu, hidungnya terhidu aroma yang cukup enak di meja makan. Diaz terpisat-pisat memerhatikan pelbagai juadah sudah tersedia di atas meja makan.

            “Diaz, tunggu apa lagi? Kita makan ya, dah lama mama tak breakfast dengan anak mama ni.“ Suara ibunya mencelah masuk ke gegendang telinganya. Dia segera menoleh, lalu terpandang kelibat ibunya sedang membawa masuk seteko kopi panas.

            “Tak apalah mama. Diaz kena pergi kerja ni.“ Dia beralasan. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu bertembung dengan ayahnya lagi.

            “Diaz, please? Temankanlah mama breakfast hari ni. Ayah dah keluar sejak awal-awal pagi lagi. Dina pun dah keluar awal. Tinggal mama dengan bibik sahaja kat rumah ni.“ Pinta Zuraini berharap.

            Diaz terdiam. Hendak tak hendak dia duduk di meja makan. Mujurlah hari ini dia tidak ada apa-apa mesyuarat penting di pejabat. Jika tidak, pasti sukar dia mahu memenuhi permintaan wanita itu.

            Melihat kesudiaan Diaz menjamah hidangan pagi itu, Zuraini dengan gembira menceduk sedikit nasi goreng ke pinggan anaknya. Dia ralit memerhatikan Diaz yang sedang menyuap nasi goreng tersebut. Beberapa ketul sosej dan telur goreng turut diletakkan ke pinggan Diaz.

            “Mama tak makan sekali?“ Diaz melemparkan pandangan ke arah ibunya.

            Zuraini sekadar tersenyum.“Mama gembira cukup dengan hanya tengok Diaz makan. Mama tengok Diaz makin kurus. Sepuluh tahun Diaz kat luar negara, mama selalu risaukan Diaz. Selalu mama terfikir, apa yang Diaz makan? Sihatkah Diaz atau sakitkah Diaz? Mama selalu terfikir semua ini.“ Luah Zuraini.

            Diaz terdiam. Timbul rasa bersalahnya pada wanita itu kerana selama ini dia membuatkan wanita itu risaukan keadaannya. Memang itu bukan kehendaknya, tapi kerana pentingkan diri sendiri, secara tak langsung dia telah membuatkan ibunya bersedih.

            “Mama tak payah risau lagi. Sekarang Diaz dah ada kat sini. Diaz akan sentiasa jenguk mama selepas ini.“ Ujar Diaz tersenyum.

            Wajah Zuraini berubah sebaik mendengar kata-kata anak lelakinya itu. Bulat matanya memerhatikan gerak-geri Diaz.

            “Maksud Diaz, Diaz tak mahu pindah balik ke mari tinggal dengan mama? Begitu?“ Simpul Zuraini resah.

            Diaz terdiam. Tak mungkin dia mampu memenuhi permintaan wanita itu tentang tinggal bersama. Selama ini, itulah yang cuba dielakkannya. Dia tidak fikir dia mampu berhadapan dengan Dina Azura saban waktu.

            “Diaz, cakaplah dengan mama. Apa yang tak kena dengan Diaz? Kenapa Diaz benci sangat nak tinggal kat sini? Kenapa Diaz?“ Rayu Zuraini sedih.

            Diaz menolak pinggan di hadapannya. Entah kenapa selera makannya sudah tumpul. Sepasang matanya meratah wajah ibunya yang kesedihan. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi tersebut seraya menuju ke arah ibunya. Bahu wanita itu dirangkul erat. Zuraini mengalirkan airmata kesedihan di belakang anaknya.

            “Mama selalu merasakan Diaz membenci mama. Sebab itu Diaz tak mahu duduk dengan mama kat rumah ini kan?“ Bisik Zuraini seraya mengesat pelupuk matanya yang basah.

            “Tak mama. Mana mungkin Diaz boleh membenci mama, ibu yang melahirkan Diaz selama ini. Diaz tahu, selama ini Diaz dah banyak buat salah pada mama. Diaz abaikan perasaan mama. Tapi percayalah, Diaz tak pernah berniat nak buat begini.“ Balas Diaz sebak. Dia memeluk tubuh ibunya seeratnya. Hatinya bergetar mendengar tangisan seorang ibu yang telah dilukakan hatinya. Maafkan Diaz mama! Diaz berdosa pada mama! Bisik hati kecilnya. Kalaulah Diaz boleh berterus-terang dengan mama tentang hal sebenarnya, pasti mama orang pertama yang tahu apa sebabnya Diaz tak boleh tinggal di sini.

*  *  *  *

HARIL asyik merenung skrin telefonnya sepanjang hari. Dadanya asyik bergolak kencang sedari kelmarin. Beberapa kali dia cuba mendail nombor Diaz, namun tidak ada jawapan balas diterima. Beberapa kali panggilannya masuk ke dalam voicemail, membuatkan dia merungut beberapa kali.

            Aduh! Mana kau pergi ni Diaz?” Keluh Haril benar-benar resah. Sejak semalam dia menunggu-nunggu kepulangan Diaz, namun bayang lelaki itu tidak kunjung tiba. Asalnya dia menyangka Diaz masih di pejabatnya, menyiapkan kerja sehingga lupa janji mereka untuk keluar makan bersama. Namun apabila menyedari Toyota Sorano milik lelaki itu masih tersadai di petak parkir, hati Haril mula diulit perasaan curiga.

            Sebaik balik dari kedai mamak malam semalam, dilihatnya kereta Diaz masih di tempat yang sama. Mulanya dia tidak terlalu risau kerana menyangka pada saat ini,  sudah tentu Diaz sudah sampai ke rumah. Tapi sebaik membuka pintu, menyedari kelibat Diaz tidak kelihatan, dia mula jadi tidak keruan.

            Dia mula terfikirkan pelbagai perkara buruk. Jangan-jangan Diaz ditimpa malang, atau mungkinkah lelaki itu diculik seseorang? Jika tidak, mustahil kereta Diaz tersadai begitu saja di tempat parkir. Seingat Haril, Diaz ke pejabatnya dengan memandu kereta pagi kelmarin. Takkan tiba-tiba saja orangnya boleh lesap begitu sahaja!

            Dalam kerisauan yang panjang, entah sejak bila Haril terlelap di atas sofa tanpa disedari. Sayup-sayup dia terdengar bunyi kunci dipulas pada lubang pintu. Dalam keadaan mamai, Haril menggosok-gosok matanya. Namun bunyi yang semakin jelas kedengaran, membuatkan matanya terbuka luas. Dia memandang ke arah muka pintu. Siapa agaknya? Pencurikah? Sejak beberapa minggu yang lalu, dia memang sering berhati-hati dengan pencuri, apatah lagi apartmen di tingkat bawah rumahnya baru saja dirompak beberapa hari yang lalu.

            Haril bangun dari sofa, lalu mencapai sekaki payung yang tersangkut di dinding rak kasut. Perlahan-lahan dia melangkah dan bersembunyi di belakang pintu. Bersedia dengan payung yang sudah diangkat tinggi-tinggi. Siapa pun yang cuba menceroboh masuk, takkan terlepas dari dibalun olehnya! Tekad Haril seraya mengetap bibirnya.

            Apabila pintu dikuak dari luar, dia segera menghayun payung yang dipegangnya ke arah lembaga yang baru masuk. Namun melihat lembaga itu menoleh ke arahnya, Haril tergaman. Mujurlah dia sempat melarikan hujung payung yang hampir terkena muka Diaz.

            “Masya ALLAH Diaz, aku ingatkan pencuri manalah tadi.” Haril beristighfar panjang. Mujur tidak terkena libasan payungnya. Kalau tak masuk hospital, mungkin Diaz akan MC dua tiga hari.

            Diaz tersengih melihat payung di tangan Haril.

Kau ingat aku ni pencuri? Hello, sejak bila pencuri di rumah kau ada kunci pendua rumah?” Lelaki itu tergelak besar.

Haril tersenyum kecil. Menyedari kesilapannya yang terlalu bersikap over-precaution. Kadang-kala terlalu berhati-hati pun boleh makan diri sendiri.

            “Kau ke mana semalam sampai tak balik-balik rumah?” Haril terus masuk ke persoalan utama. Teringin mahu tahu apa sebenarnya sudah berlaku kepada Diaz.

Diaz tidak terus menjawab. Dia menuju ke arah peti ais, lalu membukanya. Haril yang mengekori teman itu sehingga ke dapur, memerhati dengan penuh asyik aksi gerak-geri lelaki itu meneguk minuman di dalam tin. Perasaan ingin tahunya membuatkan dia sabar menunggu jawapan dari lelaki itu.

            “Betul kau nak tahu?” Soal Diaz selamba.

            “Hai mestilah, kau kan kawan aku. Sehari suntuk kau tak balik ke rumah ni, risau aku dibuatnya tau tak,” balas Haril.

            “Aku kena culik Ril.” Beritahu Diaz selamba.

            Mata Haril terbuka lebar. Kata-kata Diaz mengejutkannya.

            What?”

            Diaz tergelak-gelak kecil. Dia membawa minuman tinnya ke arah sofa. Alat kawalan televisyen dicari sebelum dia membuka Channel ESPN kegemarannya. Skrin televisyen di hadapannya ditonton penuh kusyuk tanpa mempedulikan Haril yang sedang bingung.

            Diaz, cakap betul-betul kau ke mana semalam? Jangan main-main dengan aku.” Marah Haril. Entah kenapa dia merasakan Diaz seperti sengaja mahu memperolokkannya. Kawannya itu tak pernah serius langsung jika ditanya. Asyik nak main-main sahaja!

Diaz meluahkan senyuman di bibirnya. Lucu pula dia melihat wajah Haril yang kelihatan tegang dan risau. Bagaimana kalau betul-betul dia diculik agaknya, entah apa agaknya respon lelaki itu!

            “Ril, aku kena culik dengan orang-orang ayah aku.” Diaz memberitahu.

            Haril tercengang. Dia memandang wajah Diaz, cuba menyelami kata-kata lelaki itu.

            “Maksud kau, ayah kau dah tahu yang kau dah balik ke mari?”

            Diaz mengangguk.

            “Okey, itu memang aku dah tahu. Dina kan pernah beritahu kita tentang ayah kau. Tapi apa kena mengenanya dengan hal semalam?” Soal Haril ingin tahu.

            “Dia bawa dua orang suruhannya datang menjemput aku.” Ujar Diaz sambil ketawa kecil.

            “Kau serius?” Haril seolah-olah tidak percaya.

            Diaz mengangguk berulangkali.

            “Habis apa tindakan kau? Kau rasa dia tahu yang kau tinggal bersama aku di sini?” Wajah Haril tergambar resah. Masih terhimbau-himbau dalam ingatannya peristiwa sepuluh tahun yang lalu, apabila ayah Diaz sengaja menyusahkannya, semata-mata mahu memaksa Diaz pulang ke rumah. Waktu itu Diaz sedang menanti keputusan SPM. Mungkinkah kejadian lama bakal berulang kembali?

            “Aku rasa dia tahu. Kalau dia cuba menyusahkan kau lagi, aku tak ada pilihan lain Ril. Aku akan pindah!” Putus Diaz akhirnya.

            Haril terdiam. Bukan itu yang menjadi soalnya. Apa yang dia risaukan ialah Diaz sendiri. Dapatkan temannya itu bertahan dari tekanan ayahnya sendiri?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!