Followers

Sunday, October 10, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 34

“APA pendapat Aliya kalau kita letak satu jambangan bunga di tengah-tengah dewan utama ni? Biar nampak grand sikit.” Tanya Irina ketika membawa gadis itu ke dewan besar di Hotel Istana menyaksikan kerja-kerja persiapan awal dilakukan.

“Tak ada jambangan bunga pun, majlis Cik Irina dah cukup meriah.” Aliya berkata sejujurnya. Irina hanya ketawa mendengarnya. Dia tahu gadis itu ikhlas dengan kata-katanya.

Agak lama juga mereka meninjau persekitaran dewan utama di Hotel Istana. Sesekali Aliya leka memerhatikan gelagat pekerja-pekerja yang bertungkus-lumus menyiapkan satu pentas kecil di suatu sudut. Di situlah nanti akan ditempatkan satu bongkah ais berbentuk bangunan KL Tower. Di dalamnya akan terkandung majalah baru terbitan Pelangi Raya Production. Apabila bongkah ais dipecahkan, maka akan rasmilah majalah baru anak syarikat Perkasa Budi. Begitulah yang telah dijelaskan oleh Irina kepadanya tentang rancangannya menggunakan bongkah ais itu.

Aliya melepaskan lelah di suatu sudut. Meskipun penat, namun dia kagum dengan kegigihan Irina. Gadis itu nampak sibuk berkejar ke sana ke mari memberi arahan kepada pekerja-pekerja yang menyiapkan hiasan pentas. Sesekali dia merenung ke arah gadis itu. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan kata-kata Rehan malam semalam. Benarkah Irina tunangan Hazril?

“Lia jangan bohong kakak okey, itu kereta Encik Hazril kan? Kenapa dia hantar Lia balik?” Soal Rehan dengan mata bersinar-sinar. Dia jadi serba-salah. Tidak disangkanya Rehan menyedari kehadiran kereta milik Hazril di rumah sewa mereka petang itu.

“Jangan layan dia Lia, dari tadi dia dok sibuk mengintai Lia kat balik tingkap tu,” Sampuk Gina yang baru keluar dari dapur.

“Eh bila Kak Gina balik?” Tegurnya pada gadis Cina Sabah itu.

“Tengahari tadi. Tapi esok kakak nak balik Sabah jumpa keluarga. Rindu rasanya dah lama tak jumpa.”

“Berapa lama cuti?” Tanyanya lagi. Sengaja dia mahu mengalih perhatian mereka dari berbual tentang Hazril.

“Adalah dua minggu sebelum kena terbang semula.” Jawab Gina.

“Dah..dah, Lia sengaja tak nak jawab soalan kakak ye? Baik cakap betul-betul apa Encik Hazril tu buat kat depan rumah kita tadi? Macamana Lia boleh terserempak dia?” Celah Rehan tidak puas hati. Gina hanya ketawa melihat gelagat temannya itu.

“Tadi Lia ada kerja kat Pelangi Raya. Lepas tu masa tunggu teksi, Lia jumpa sorang maniac tu cuba kacau Lia. Kebetulan pulak Encik Hazril lalu di situ, jadi dia tolong hantarkan Lia balik. Itu aje.” Jelasnya bersungguh-sungguh. Rehan memandangnya seperti tidak percaya.

“Betul?”

Dia cepat-cepat mengangguk.

“Lia buat apa pulak kat Pelangi Raya?” Rehan masih belum puas mahu mengorek rahsia.

“Encik Ikram yang suruh Lia tolong di Pelangi Raya, sebab diaorang nak buat persiapan untuk satu majlis perasmian.”

“Dah puas hati kau? Kesian Lia baru balik, kau dah tanya macam-macam. Lagipun kau apa susah kalau Lia ada apa-apa hubungan dengan bos kau tu. Apa salahnya? Dia kan bujang lagi?’ Sampuk Gina yang menjadi pendengar sedari tadi.

“Nak mampus, bos aku tu dah ada bakal tunang la Cik Gina oi. Habis Cik Irina tu nak letak kat mana?” Jerkah Rehan.

Dia terkejut mendengar kata-kata Rehan. Jadi benarlah seperti yang dihebohkan oleh orang-orang di pejabatnya tentang Irina? Dia cuba berlagak selamba tapi diakui hatinya terasa pilu. Lelaki itu hanya bekas pensyarahnya. Tak mungkin akan ada sesuatu yang istimewa berlaku antara mereka, meskipun separuh dari hati kecilnya seolah-olah mengharapkan sesuatu. Benar kata-kata pepatah, biar enggang terbang bersama enggang. Siapa dia pipit untuk mencelah?

“Dia cantik kan?” Tiba-tiba sahaja Hafifi jurugambar di Pelangi Raya duduk di sisinya. Mata lelaki itu tak habis-habis tertumpu ke arah Irina yang sedang berbual-bual dengan pekerja-pekejanya.

Aliya mengangguk lalu tersenyum. Wanita itu memang cantik dan bergaya. Tak hairanlah kalau Irina dikatakan bekas model popular suatu ketika dahulu.

Hafifi melontarkan pandangan ke arah Aliya. Sejak beberapa hari yang lalu, dia sering mencari-cari peluang bersembang dengan Aliya. Entah mengapa, sejak memandang wajah Aliya di pejabatnya beberapa hari yang lalu, dia seperti terpukau dengan senyuman gadis itu.

“Aliya pernah terfikir nak jadi model?” Entah mengapa tiba-tiba sahaja Hafifi mengajukan pertanyaan itu.

Aliya ketawa kecil. “Model? Layak ke saya ni Encik Hafifi?”

“Bagi saya layak. Selama ni, tak pernah ke ada orang beritahu Aliya ni cantik orangnya?” Soal Hafifi. Dia memang tertarik dengan wajah Aliya. Sebagai jurugambar, merakamkan sesuatu yang cantik itu memang sudah jadi kerjanya. Dan saat ini, dia amat berminat jika dapat mengabadikan wajah Aliya di lensa kameranya.

“Ada-ada ajelah Encik Hafifi ni.”

“Aliya, saya serius. Apa kata kalau saya ambil gambar Aliya untuk cover majalah Pesona bulan depan? Aliya cuma perlu luangkan satu hari saja untuk sesi penggambaran. Macamana?”

“Saya tak tahulah Encik Hafifi, saya...”

“Tak payah fikir Aliya, terima saja tawaran Hafifi tu.” Tiba-tiba Irina muncul lalu duduk bersama mereka.

“Apa pendapat kau Rina kalau aku ambil gambar Aliya untuk cover Pesona keluaran depan? Lagipun aku dah bosan saban hari asyik ambil gambar artis atau model-model popular tu. Kau tahulah macamana kerja dengan diaorang tu,” Cadang Hafifi.

“Aku okey aje. Macamana Aliya? Tak rugi cuba tau.” Irina tersenyum. Aliya terdiam, tidak tahu apa jawapan yang harus diberikannya.

* * * *

Irina ketawa gelihati. Manakala Aliya pula terpinga-pinga tidak mengerti. Apa yang mencuit hati gadis itu? Sudahlah makanan di pinggan belum disentuh, tiba-tiba sahaja gadis itu ketawa sakan.

“Kenapa Cik Irina?”

“Aliya tahu tak Hafifi tu cerewet orangnya. Selalunya kalau kami buat sesi pengambaran untuk cover majalah, makan masa berhari-hari lamanya. Sebabnya si Hafifi tu selalu tak puas hati dengan model-model yang dipilih. Sebab tu kami bagi dia pilih sendiri modelnya. Dan hasilnya tak mengecewakan. Dia memang bagus. Saya rasa Aliya patut cuba.” Ujar Irina lalu tersenyum.

“Tapi saya bukan model Cik Irina. Saya tak pandailah benda-benda macam ni.” Dalih Aliya. Segan pun ada. Silap-silap haribulan, jadi bahan ketawa pulak!

“Saya boleh ajar Aliya posing. Jangan bimbang. Lagipun kerja-kerja di tapak perasmian berjalan lancar. Sementara dia orang siapkan pentas dan meja, kita masih ada masa. Tapi sehari sebelum majlis, Aliya kenalah berada sepanjang hari di sana. Macamana?” Gadis itu memandangnya.

“Lagipun jadi cover majalah terbitan kami, bukan free tau. Kami akan bayar Aliya mengikut syarat kontrak.” Jelas Irina lagi.

Aliya serba-salah jadinya. Hendak menolak, dia naik segan pula pada Irina. Kalau soal duit, dia sebenarnya bukan kisah sangat pun!

Apabila dia memandang Irina semula, dilihatnya wajah gadis itu tiba-tiba berubah. Mata Irina mencerun ke suatu arah. Aliya mengerutkan dahi. Dia turut menoleh, tapi terpapas pandang dengan kelibat Hazril yang sedang menuju ke arah mereka. Lelaki itu memandang ke arahnya sejenak, tetapi tanpa riak emosi.

“Tengah makan tengahari?” Sapa Hazril ramah.

Irina mengangguk. Matanya meliar seolah-olah mencari sesuatu.

“Ril jumpa siapa di sini?” Soal Irina pula.

“Dato’ Akhbar ada kat meja sana.” Hazril menunjuk ke suatu arah. Irina terpandang lelaki separuh abad berkulit hitam manis itu sedang mengangkat tangan ke arahnya. Dia turut membalas sambil tersenyum. Dia memang kenal lelaki itu kerana Dato’ Akhbar juga kenalan lama ayahnya, merangkap peguam syarikat yang telah berkhidmat hampir 30 tahun di Perkasa Budi.

Apabila dia memandang kembali ke arah Hazril, lidahnya tiba-tiba kelu. Agak lama juga dia tidak bercakap-cakap dengan Hazril, sehinggakan bila bertemu terasa ganjil pula. Mereka seolah-olah seperti orang asing.

“Er.. Ril mesti kenal dengan Aliya kan. Dia banyak bantu persiapan majlis kita. Idea-ideanya bagus.” Puji Irina.

“So thanks to her.” Hazril mengalih pandangannya ke arah Aliya yang hanya berdiam diri dan nampak kekok. Aliya memberanikan diri menatap lelaki itu. Lirikan mata Hazril menikam tepat ke wajahnya, membuatkan perasaannya kembali berbaur, serba tidak kena!

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!