Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 1


            Matanya merenung kosong pada wajah riang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di riba ibunya. Apabila diagah, kanak-kanak kecil itu tertawa polos. Sang ibu turut sama tersenyum. Keletah anak kecil itu menarik minatnya untuk terus memandang. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia teringatkan seseorang.

“Kalau boleh, Hana mahu terus hidup bersama abang sampai bila-bila pun.”

            “Dengan abang saja?” Dia merenung nakal.

            Gadis itu tertawa. Sepasang mata yang bening itu menatap ke arahnya yang sedang tersenyum. Sejurus gadis itu tunduk malu. Dia hanya tertawa nakal.

            “Bukan dengan abang saja. Hana nak kita semua bersama. Hana, abang, mak, ayah, baba.” Gadis itu mencanang satu persatu.

            “Baba?” Dia tergaman.

            “Hmm baba.” Gadis itu mengangguk selamba.

            “Kenapa Hana selalu panggil ayah abang baba? Tak rasa pelik ke?”

            “Apa nak dipelikkan, ayah abang yang suruh Hana panggil dia baba. Baba sayangkan Hana. Hana pun sayangkan baba, sama macam Hana sayangkan ayah.” Bisik gadis itu riang. Dan dia hanya tersenyum mendengar bicara gadis itu yang keletah. Entah kenapa dia turut senang mendengar kata-kata itu.

            “Naz?” Panggil suatu suara. Dia tersentak. Sepantas kilat lamunannya hilang entah ke mana. Serentak tangannya pantas memegang kalung kecil bertatah ‘sapphire’ di lehernya, sesuatu yang kini menjadi tabiatnya sejak dulu.  Nashriq memandang ke arah tuan empunya suara. Dahinya berkerut. Erman tersenyum memandangnya.

            “Kenapa?”

            “Kita dah sampai.” Bisik Erman di cuping telinganya. Dia tergaman. Serentak matanya mengintai dari celah jendela kapal terbang yang hampir mendarat. Entah mengapa perasaannya tiba-tiba bergolak. Dia menarik nafas panjang. Dua belas tahun. Dua belas tahun lamanya tempat itu ditinggalkannya. Apakah segala-galanya masih sama seperti dulu?

“Abang jangan pergi, jangan tinggalkan Hana.” Rayu Raihana berkali-kali. Dia hanya mampu memandang gadis itu. Hatinya kelu melihat pipi licin yang kebasahan dan riak muram yang terukir di wajah gadis kecil itu. Tiada sebarang janji terbit dari bibirnya. Entah kenapa dia takut mahu berjanji, bimbang harapan gadis itu menggunung tinggi terhadapnya. Sedangkan perasaannya masih samar-samar.

            “Hana tahu abang bencikan Hana. Abang bencikan seluruh keluarga Hana.”

            Dia menggeleng. Tuduhan Raihana memeritkan perasaannya. Hatinya rasa terbeban. Cukuplah apa yang dia rasakan selama ini.

            “Kamu kena lupakan dia Naz. Dia anak pembunuh!” Kata-kata pakciknya, Engku Iskandar membuatkan dia resah. Anehnya, mulutnya bagaikan terkunci ketika itu. Sedikitpun dia tidak membela Raihana. Perlakuannya bagaikan membenarkan tuduhan demi tuduhan itu tertimpa pada gadis kecil  yang baru berusia 12 tahun.

            “Umi tak mahu Naz sebut nama budak tu lagi. Sekali umi benci, sampai tujuh keturunannya pun umi haramkan kita memandangnya.” Bentak Engku Latifah pula, menyorot resah berpanjangan dalam dirinya.

            “Nashriq…” panggil Erman perlahan. Anak muda itu menoleh. Bibirnya tersenyum tenang. “Abang balik ke hotel dulu, saya nak ke suatu tempat.” Ujarnya pada Erman ketika mereka sudah tiba di balai ketibaan.

“Tapi Naz…” Kata-kata Erman tersekat di kerongkong, apabila lelaki itu melewatinya lalu hilang di sebalik kelibat orang ramai. Erman kaget.

*  *  *  *

Matanya asyik terperosok ke arah air tasik yang membiru. Melihat ketenangan air tasik itu, dia tidak dapat menahan dirinya.  Seketul batu dikutip lalu dilemparkan mengena air tasik. Air tasik yang tadi tenang mula bergolak. Gelora air tasik itu dihujani batu-batu kecil, sama seperti gelora yang ada dihatinya sejak sekian lama.

Dia memandang lesu ke arah rumah dua tingkat bercirikan gabungan tradisional moden yang menjadi tempatnya bermain bersama Raihana suatu ketika dahulu. Rumah itu masih wujud, hanya gelak ketawa yang ditinggalkannya dahulu sudah hilang pudar entah ke mana. Papan tanda tertulis ‘Vila Kecil’ yang menjadi lambang suatu ikatan hati yang termeterai antara dia dan Raihana dulu, kini umpama papan tanda yang sudah tidak ada ertinya lagi. Hambar dan kosong. Rumah itu tidak lagi seseri dahulu. Rumput-rumput panjang tumbuh meliar tidak terjaga. Malah dinding rumah itu juga dipenuhi lumut dan catnya juga sudah terhakis, tidak seperti semasa arwah ayahnya masih hidup.

Sewaktu dulu, ayahnya amat menyayangi rumah itu. Vila Kecil, nama yang diberi pada rumah itu seakan memberi satu makna yang mendalam buat ayahnya. Dia sendiri bagaikan dapat merasai hati ayahnya ada di vila itu. Setiap tenaga dan usaha ayahnya tercurah sepenuhnya untuk membina sebuah vila yang diidam-idamkan oleh lelaki itu.

Hanya selepas itu, rumah itu diserahkan pada Munif sekeluarga, pemandu ayahnya yang sangat rapat dengan mereka. Malah hubungan erat itu, memungkinkan satu ikatan hati yang cukup tulus antaranya dengan Raihana, anak pemandu ayahnya. Gadis cilik berpipi tembam yang cukup keletah dan manja dengannya. Tapi itu semua kenangan lama. Kini Vila Kecil terbiar begitu sahaja. Rumah itu bagaikan disumpah. Semuanya kerana peristiwa yang mencengkam hatinya sejak sekian lama.

“Naz, kita kena bertolak sekarang. Dah tiba masanya.” Lelaki bercermin mata gelap itu menyentuh bahunya. Dia terkesima. Wajah Erman tampak serius.

            “Abang, saya tak mahu pergi..”

            Lelaki itu terdiam. Dia membuka kacamata hitam yang dipakainya.

            “Kita kena pergi Naz. Ini permintaan Tuan Zainal. Dia bimbang kalau Naz masih di sini, nyawa Naz akan terancam.”

            “Abang rasa betul ke pakcik Munif yang bunuh ayah?” Entah kenapa dia mengajukan soalan itu tiba-tiba. Lelaki di hadapannya itu tidak bersuara. Namun mata lelaki itu seolah memikirkan sesuatu. Soalannya terus terbiar sepi tanpa jawapan. Dia menarik nafas panjang. Wajah ayahnya pula bermain di hadapan mata.

            “Suatu hari nanti, Naz akan mewarisi perniagaan ayah. Perniagaan yang lahir dari setiap keringat dan darah yang ayah tumpahkan. Tapi sebelum saat itu tiba, kita terpaksa korbankan banyak benda dalam hidup ini. Suatu hari nanti, Naz akan faham maksud ayah.”

            “Dan jika suatu hari nanti ayah sudah tiada di samping Naz, Naz kena janji dengan ayah, jaga diri Naz baik-baik. Dan yang paling penting, Naz kena lindungi Hana selalu. Ayah sayangkan kamu berdua.” Ucap lelaki itu sebak.

Setitis air hangat mengalir dari celah pipinya. Dia cepat-cepat menyapunya dengan tangan, bimbang gelodak hatinya dapat disilau oleh mata-mata pejalan kaki yang melalui kawasan tasik itu. Namun kenangan lalu tak mampu dihalau keluar dari hidupnya.

            “Kami dah cuba sedaya upaya. Tapi kami tak mampu selamatkan dia. Badannya melecur teruk.” Kata-kata lelaki berpakaian serba putih itu pula mengintai di celah ingatannya.

            Nashriq memejamkan matanya. Dadanya sebak. Fragmen-fragmen luka datang bertandang, mengetuk tangkai hatinya tanpa dia sedari. Mana mungkin dia lupa pada sebuah kelukaan yang terbit dari tragedi dua belas tahun yang lalu. Luka di hatinya entah kenapa enggan sembuh.

*  *  *  *

            “Tuan Asri, Nashriq dah balik. Orang kita di kedutaan di sana, baru sahaja hantar faks pada kita. Dia naik penerbangan malam semalam dari LAX terus ke Kuala Lumpur.” Ujar seorang lelaki muda, mengadap seorang lelaki separuh umur yang sedang asyik merenung ke luar jendela.  Lelaki itu segera menoleh. Nama Nashriq menarik minatnya.

            “Di mana dia sekarang? Vila Kasih?” Soalnya ingin tahu.

            “Saya dapat tahu mereka terus ke hotel untuk menginap. Mereka tak pulang ke Vila Kasih.”

            Lelaki itu termenung panjang. Kenapa anak itu tidak terus pulang ke rumah? Hampir dua belas tahun tidak pulang ke tanahair, takkan dia tidak rindu pada ibunya?

            “Tuan nak jumpa dia?” Tanya lelaki muda itu.

            Dia hanya tersenyum lantas menggelengkan kepala. “Tak payahlah Lan, belum sampai masanya untuk kami bertemu. Biarlah dulu. Kau dah berjaya jejak Molin?”

            Azlan mengangguk. “Kami dah jumpa dia bersembunyi di kampung halamannya di Banting, Kedah. Kamal akan bawa dia ke sini nanti.” Ujar lelaki itu.

            “Bagus. Dah sampai masanya kita tahu cerita sebenar. Awasi Molin baik-baik, jangan sampai dia terlepas.” Arah lelaki itu. Azlan mengangguk akur. Dia sudah maklum dengan tugas yang sudah lama diserahkan kepadanya.

Sudah hampir dua tahun mereka menjejak Molin Rahman. Baru kini mereka berjaya mengesan jejak lelaki itu. Hanya dengan kewujudan Molin Rahman, baru mereka boleh membawa CK Tan jatuh dari singgahsananya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!