Followers

Tuesday, March 26, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 5


“KENAPA  monyok sangat ni?” Bisik Gina sambil menendang kakinya di bawah meja. Dia mendengus keras. Sakit kerana kaki ditendang satu hal. Selain itu jiwa raganya juga sedang kacau diasak sembilu.

            “Projek Mencari Suami dah mula balik.” Jawabnya acuh tak acuh.

            Mata Gina terjegil. Isu yang baharu sahaja disebut anak gadis itu menarik minatnya. Interesting! Topik paling hangat 2012.

            “Kali ni umi kau cari siapa pulak?’ Gina tersengih gelihati. Cukup mengerti beban yang Cika sedang lalui gara-gara Puan Bahyah yang tak habis-habis mendesak temannya itu mencari calon suami. Mujurlah Puan Bahyah, guru bahasa melayu di salah sebuah sekolah menengah di ibukota itu bukan ibunya. Jika tidak, beban Cika pasti beralih ke bahunya. Itupun setiap kali dia singgah ke rumah Cika, kadangkala soalan cepu emas itu keluar juga dari mulut Puan Bahyah untuknya.

            “Entah lelaki mana entah. Katanya anak saudara jiran kepada mak saudara aku.” Ujar Cika seraya menarik nafas panjang.

            “Dia kerja apa? Handsome ke tidak?’ Gina teruja mahu tahu.

            Cika menjeling ke arah temannya. Wajah bersinar-sinar Gina rentung ditenungnya. Cekadak punya kawan! Itu pulak yang ditanyanya!

            “Manalah aku tahu. Muka dia ke, perangai dia ke, semuanya aku tak tahu. Kalau handsome sekalipun, kau ingat aku nak ikut rancangan umi aku? Aduh! Ini dah abad ke berapa sampai nak cari calon suami pun kena main atur-atur?” Rungut Cika tak puas hati.

            Ala relakslah kawan. Macam tak biasa pulak kau ni. Lagipun ini dah calon ke berapa yang umi kau carikan?” Tanya Gina.

            “Yang ke tiga belas.” Jawab Cika perlahan.

            Gina tergelak besar. Mak oi, sampai tiga belas. Hebat betul!

            “Yang kau ketawa kenapa?” Cika menjeling tajam.

            “Tak adalah. Aku cuma kelakar aje. Punyalah ramai sampai tiga belas, takkan satu pun kau tak sangkut? Memilih sungguh la kau ni.” Getus Gina seraya menggeleng-gelengkan kepala.

            “Habis kau ingat, mereka semua tu ikan ke sampai aku nak pilih mana satu yang elok buat goreng dalam kuali? Please la Gina. Aku bukan tak suka lelaki. Aku bukan lesbian tau. Aku ni wanita sejati dan wanita sejati macam aku perlukan cinta dalam hidup. Aku nak cari seorang lelaki yang boleh aku cintai.”

            Hujah Cika membuatkan Gina tersenyum-senyum. Ayat ‘aku bukan lesbian’ tu hampir membuatkan dia tergelak. Ke situ pulak minah ni!

            “Kau pernah dengar cinta selepas kahwin?”

            “Aku ni generasi alaf baru. Mestilah aku pernah dengar.”

            “Jadi kau mesti faham yang kadangkala cinta itu akan datang selepas ijabkabul. Cinta selepas kahwin.” Jelas Gina.

            “Gina, kalau kau cuba justifikasikan apa yang umi aku cuba lakukan sekarang ini, baik kau lupakan sahaja. Aku malas la nak dengar ayat-ayat pujuk kau tu. Yang aku tahu aku nak jatuh cinta seperti orang normal lain. Perkara-perkara yang ‘skema’ tu tak kuasa aku nak fikir.” Getus Cika seraya menutup telinganya dengan kedua-dua tapak tangan. Pura-pura tidak mahu lagi mendengar soal blind datenya diperkatakan.

            Then kalau nak sangat jatuh cinta macam normal girl, so usaha lebih sikit. Jangan asyik nak kerja, lepas tu balik rumah. Esok datang kerja lagi. Hujung minggu ikut abang kau atau babah kau memancing. Itu bukan normal Cik Cika. Padanlah umi kau risau sangat.” Gelak Gina.

            “Habis kau nak aku buat apa?”

            “Aku cuma suruh kau beri peluang pada diri sendiri. Ikut sahaja cakap umi  kau, kenal-kenal dengan calon-calon blind date kau tu. Manalah tau hati kau sangkut nanti.” Usul Gina.

            “Tak ada maknanya aku nak sangkut. Semuanya jenis pandang dahi licin, pandang aku berduit atau tidak. Kau rasa kalau rupa aku macam dulu, mereka semua sudi nak kenal-kenal dengan aku?” Suara Cika kedengaran sinis.

            Gina terdiam. Wajah Cika yang sedang asyik mengomel rungutkan ibunya direnung lama. Ada sesuatu terdetik di hati, menjalar di fikiran. Sudah dua belas tahun, tapi dia masih tidak punya keberanian untuk bertanyakan Cika hal mengenai Idham Hariz, pemuda kacak gilaan ramai di sekolah mereka dahulu. Padahal dia juga salah seorang dari gadis-gadis di sekolah yang memuja lelaki itu. Dahulu! Sebelum Idham Hariz menyakiti hati sahabat baiknya!

            “Oh ya, kau ada dapat kad ni tak?” Cika tiba-tiba teringat sesuatu. Dia langsung menyeluk beg tangannya lalu mengambil sekeping kad dari dalam tas tangan.

            Gina mengerling kad tersebut. Tak payah dibelek, dia sudah tahu apa isinya. Ini kerana dia juga menerima kad yang sama dari orang yang sama dan juga untuk tujuan yang sama.

            “Kau nak pergi ke?” Itu yang pertama terpacul dari bibir Gina.

            Cika tidak menjawab. Hanya jungkitan di kedua-dua bahunya menjadi pengganti.

            Reunion ni Sarah yang aturkan.” Ujar Gina, merujuk kepada sahabat di kelas mereka dahulu yang berbadan agak gempal.

            “Kau tengoklah sesi kelas untuk reunion tu.” Suruh Cika.

            Gina segera mengambil kad tersebut lalu membacanya sepintas lalu. Dia kembali memandang ke arah Cika yang turut membalas pandangannya. Mata Cika seperti mahu memberitahu sesuatu. Itu tidak susah! Lantaran dia juga tahu apa maksud kerlingan anak gadis itu.

            “Kau takut dia ada?” Teka Gina.

            Cika mengangguk. Memang itu yang cuba dielakkannya.

            “Cika, apa kau masih bencikan dia?” Soal Gina begitu berhati-hati. Bimbang apa yang bakal ditanya mungkin menyinggung hati Cika.

            Cika mengeluh. Jawapan itu sudah ada di hatinya sejak dulu. Lantas untuk apa ditanya lagi? Yang pasti, biar masa berlalu seribu tahun sekalipun, dia sudah nekad untuk membenci Idham Hariz selama itu jua.

*  *  *  *

“NAMA saya Idham Hariz. Saya baru bertukar ke mari dari International School. Di sekolah lama dahulu saya pemain ragbi, presiden kelab memanah, presiden kelab catur dan juga atlit renang sekolah.” Itu yang dicanang oleh Idham sewaktu hari pertama persekolahannya.

            Dia kebetulan lalu di hadapan kelas 5A, kerana hanya laluan di kelas itu sahaja yang membolehkannya sampai ke tandas pelajar perempuan. Dan ketika itu seorang guru sedang memperkenalkan seorang pelajar baru yang kacak dan tampan. Itulah Idham Hariz, lelaki yang serba-serbi berkebolehan dalam pelbagai bidang, tapi begitu tega menghancur lumatkan seluruh hati dan perasaannya.

            Mendengar ucapan ringkas lelaki itu, sedar tak sedar mulutnya melopong lama. Aneh! Baru sesaat melihat lelaki itu, dia seperti sudah mabuk kepayang. Wajah Idham Hariz memang menggetar sukma gadisnya.

            Handsome la.” Komen Gina yang tiba-tiba muncul di samping.

            Dia terkejut besar, lalu serentak mengurut dada. Wajah si teman dikerling tajam. Mak oi, kuss semangat. Gina selalu muncul mengejutkannya tanpa memberi salam.

            “Kau ni kalau tak buat aku terkejut, tak boleh ke?” Dia memarahi Gina.

            “Kau kata nak ke tandas, apa kau buat menghendap kat sini?” Gina tersengih.

            “Err..memang aku nak ke tandas. Tapi duit siling aku jatuh.” Tergagap-gagap dia mereka alasan.

            “Oh duit siling jatuh. Kau kan nak ke tandas, nak buat apa dengan duit siling? Belum pernah lagi aku dengar tandas sekolah kena bayar duit siling baru boleh masuk.” Sindir Gina nakal.

            Dia mati kutu dibuatnya. Malah wajahnya merah padam menahan malu kerana disindir Gina.

            “Aku tahu kau menghendap budak handsome tu kan?” Ujar Gina bagaikan dapat mencium niatnya.

            Hendak tak hendak dia ketawa kecil. Malu tapi apakan daya, tarikan budak baru itu benar-benar utuh.

            “Kamu buat apa kat sini?” Tak disangka-sangka seorang guru lelaki menegur mereka yang sedang berada di luar kelas 5A. Dia dan Gina terkejut besar. Aduh kantoi! Ketika dia menoleh ke arah guru lelaki itu, dia terpandang kelibat Idham Hariz di sisi guru lelaki itu, sedang merenung tepat ke wajahnya.

            Serta-merta jantungnya berdebar tidak keruan. Wajahnya merah padam menahan malu yang menggunung. Tapi apakan daya, dia sudah tidak sempat bersembunyi dan lelaki itu sudah mengesan kehadirannya. Mungkin itulah permulaan di mana Idham Hariz benar-benar mengetahui kewujudannya.

            Cika merenung wajahnya di permukaan cermin. Hajat hati hendak mencuci muka dan mengambil wuduk, tersekat dengan memori daun pisangnya dengan lelaki itu. Dahulu dia menyangka Idham Hariz sudi bersahabat dengan gadis berterampilan nerdy sepertinya. Tapi ternyata dia tersilap perhitungan. Lelaki itu bukan seperti apa yang disangkanya. Sebaliknya Idham Hariz adalah satu-satunya lelaki paling sombong dan angkuh yang pernah ditemuinya di planet Bumi ini.

            Kini sudah tidak ada lagi wajah nerdy yang dibenci lelaki bernama Idham Hariz itu. Di hadapan permukaan cermin dia melihat wajahnya yang licin bak pauh dilayang serta alis mata lentik yang masih dicaliti sapuan maskara. Rambutnya yang dahulu keras seperti dawai sabut, kini melurus dan panjang sehingga ke bahu hasil teknik rebonding dan stim rambut yang diaplikasikannya hampir setiap bulan. So no more the loser before! Totally dia sudah transform menjadi seorang wanita yang bergaya. Bukan lagi Cika yang eksotik.

            Cika memejamkan matanya sejenak. Cuba sedaya upaya menyingkirkan wajah Idham Hariz dari pelusuk fikiran. Tapi kata-kata dan wajah Idham Hariz sentiasa menjadi igauan dan mimpi ngerinya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!