Followers

Friday, July 9, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 16

Suria mendongakkan wajahnya ke dada langit yang gelap pekat tak berbintang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Macam nak hujan saja, detik hati kecil Suria. Dia menginjakkan kakinya perlahan-lahan sebaik daun pintu dibuka. Kepalanya ditoleh ke arah ruang tamu, mengintai-intai kelibat ayahnya yang saat itu sering menonton televisyen di ruang tamu. Namun wajah lelaki itu tidak kelihatan malam itu. Belum balikkah ayah? Dia sendiri tidak perasan apakah kereta ayahnya masih tersadai di petak garaj di tepi rumah.

Tanpa membuang masa dia terus menuju ke biliknya. Beg sandangnya dilempar ke atas katil sebelum dia mencapai tuala mandi. Tak lama kemudian, kedengaran bunyi pancuran air mencurah dari dalam bilik mandi.

Setelah beberapa minit, Suria keluar dari bilik mandi. Dia mengeringkan rambutnya lalu duduk di hadapan meja solek. Sempat dikerlingnya ke arah tingkap biliknya yang saling berlaga dihujani angin kencang. Di luar sana, hujan rintik-rintik mula turun, semakin lama semakin lebat.

Sikat di hadapannya dicapai. Rambutnya yang masih kebasahan disisir rapi. Sesudah itu, Suria menyapu sedikit losyen ke tangan dan lehernya. Tetapi apabila botol losyen hendak diletakkan kembali ke atas meja solek, tangannya tersadung sikat yang diletakkan di tepi. Tergaman Suria seketika melihat sikat itu terhumban ke arah lantai. Dia mengeluh kecil. Aduh! Cuainya dia.

Hendak tak hendak dia menundukkan kepala lalu mengutip sikat di atas lantai. Apabila dia meluruskan tubuh, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Dadanya berdegup kencang menatap ke arah cermin di hadapan meja soleknya. Oh tuhan! Dia tidak tahu apakah itu hanya ilusinya sahaja, namun dia pasti dia melihat juraian rambut panjang mengurai, meliuk-liuk di awangan bersama dengan langsir putih yang menutupi jendela biliknya.

Terketar-ketar dia memandang ke hadapan cermin dengan perasaan berombak kencang. Apabila rambut itu seolah-olah bergerak ke tengah jendela, Suria cepat-cepat tunduk lalu memejamkan matanya. Serta-merta dia teringat mahu membaca ayat-ayat suci seperti yang pernah diajar oleh ayahnya suatu ketika dahulu. Terkumat-kamit mulutnya membaca surah Al-Ikhlas dan An-Nas meskipun dia benar-benar kecut perut ketika ini.

Setelah perasaannya kian reda, Suria memberanikan diri lalu membuka mata. Tuhan sahaja yang tahu betapa lega hatinya tatakala menyedari bayangan rambut itu sudah tidak kelihatan. Malah kelibat itu kini berganti dengan bayang-bayang ranting kayu yang asyik memukul tingkap di penjuru biliknya.

Sedang dia memikirkan tentang apa yang baru dilihatnya sebentar tadi, pintu di belakangnya tiba-tiba berkeriut. Suria tersentak lalu berpaling. Wajah ayahnya Baharom muncul di muka pintu.

“Suria, kenapa ni?” Tanya Baharom seraya melangkah masuk. Dahi lelaki itu berkerut. Wajah Suria yang pucat lesi mengundang rasa ingin tahu di dalam dirinya.

“Err tak ada apa-apa ayah, Suria cuma terkejut tengok ayah. Ingatkan ayah belum balik dari pejabat.” Dia berdalih. Matanya masih mengerling ke arah tingkap di biliknya. Perasaan berdebar-debarnya masih belum hilang.

“Dari tadi lagi ayah dah balik. Ayah sendiri tak sedar bila Suria pulang. Oh ya, ada seorang lelaki kat bawah nak jumpa Suria.” Ujar lelaki itu.

Suria tergaman. Lelaki? Nak jumpa aku?

“Siapa ayah?” Dia melontarkan pertanyaan. Baharom menggelengkan kepala.

“Entah, ayah tak kenal. Tapi katanya dia kawan Suria kat tempat kerja. Namanya Nazrul.” Ujar Baharom.

Mendengar nama yang terpacul dari bibir ayahnya, Suria terkesima. Alamak! Serentak dia teringatkan kata-kata Nazrul di pejabat petang tadi. Betulkah lelaki itu serius dengan pelawaannya? Sangkanya lelaki itu hanya main-main ketika mengajaknya keluar. Dia pula langsung tidak mengambil serius kata-kata lelaki itu.

“Takpelah ayah, kejap lagi Suria turun.” Dia tersenyum cuba menutup perasaan gugupnya yang mula bersarang. Tanpa berkata apa-apa, Baharom segera berlalu pergi. Suria pula kembali memandang ke arah jendela di biliknya.

Dia menggelengkan kepalanya. Ah! Mungkin aku hanya berkhayal kosong. Mana tidaknya sejak akhir-akhir ini dia terlalu taksub dengan kes penemuan mayat itu. Tak mustahillah fikirannya dipenuhi dengan pelbagai perkara yang bukan-bukan! Sama seperti beberapa hari yang lalu, apabila dia sering terganggu dengan mimpi yang aneh-aneh.

Dia segera bersiap ala kadar lalu turun ke bawah. Dari anak tangga, dia melihat kelibat Nazrul sedang berbual-bual dengan ayahnya. Melihat kemunculan Suria, Nazrul bingkas bangun dari sofa yang didudukinya. Suria jadi serba-salah.

“Awak buat apa kat sini?” Dia teragak-agak bertanya.

Nazrul tersenyum. Matanya merenung wajah Suria yang kelihatan gelisah. Namun melihat pakaian Suria yang agak simple dengan t-shirt dan jeans, dahinya serta-merta berkerut. Suria memandang pakaian yang melekat di tubuhnya. Entah kenapa, dia bagaikan dapat membaca fikiran Nazrul ketika ini.

“Maaf, saya tak tahu yang awak serius.” Suria serba salah.

“Saya benar-benar serius Suria.” Celah Nazrul, pantas meningkah kata-katanya.

Suria terkedu. Dia mengalihkan matanya ke arah Baharom. Matanya seolah mengharapkan ayahnya sudi membantu, melepaskan dirinya dari rasa serba tidak keruan ini. Tetapi lelaki itu hanya berdiam diri.

“Maaf pakcik, saya nak ajak Suria keluar makan malam. Sepatutnya saya minta izin dari pakcik dulu.” Ujar Nazrul lalu menoleh ke arah Baharom.

Baharom tidak terus menjawab. Matanya disorot ke arah Suria yang gelisah. Seketika renungan Baharom singgah ke wajah Nazrul. Lelaki kacak bertubuh tinggi sasa itu baru kali pertama ini ditemuinya. Tapi apa kaitan dia dengan Suria? Teman lelaki Suriakah? Pelik! Selama ini anak gadisnya tidak pernah membawa balik sebarang lelaki untuk diperkenalkan kepadanya.

“Saya harap pakcik boleh izinkan.” Suara Nazrul singgah lagi. Baharom menarik nafas panjang. Matanya dikecilkan ke arah Suria yang asyik memandangnya. Renungan mata Suria bagaikan memberi isyarat. Dia memahaminya, tapi sebagai ayah, dia juga mahukan yang terbaik untuk anak gadis itu. Tidaklah Suria asyik terperuk di rumah sebaik pulang dari kerja. Lambat-laun Baharom mengangguk jua akhirnya.

“Pergilah.” Izin Baharom dengan wajah tidak sepenuh hati. Suria membeliakkan matanya. Bnear-benar tidak menyangka yang ayahnya akan bersetuju dengan permintaan Nazrul.

“Terima kasih pakcik,” Nazrul tampak gembira dengan keizinan yang diberikan Baharom.

Suria mengeluh panjang. Adoii…masalah. Dia baru bercadang mahu meneliti kes yang masih belum selesai. Melihat wajah Nazrul tertumpu ke arahnya, diam-diam Suria menarik nafas panjang.

“Awak tunggu sekejap. Saya nak tukar pakaian dulu.” Ujarnya seraya memusing tubuh lalu melangkah naik ke biliknya. Nazrul mengekori gerak geri Suria dengan ekor mata. Sebaik anak matanya beralih arah, pandangan Baharom pula singgah ke wajahnya. Nazrul hanya mampu tersenyum.

* * * *

Suria tercengang sebaik pelayan datang membawakan dulang hidangan mereka malam itu. Dia memandang Nazrul dengan dahi berkerut. Nazrul yang kebetulan menyapa wajah Suria yang cemburut turut tercengang.

“Kenapa?” Tanya Nazrul.

“Siapa nak makan semua ni?” Kepala Suria sudah pening-pening lalat melihat pinggan-pinggan hidangan di hadapannya. Tak cukup dengan empat jenis lauk pauk bersama nasi putih, Nazrul memesan pula semangkuk besar tomyam dengan sup tulang. Kau ingat perut aku ni perut tempayan ke? Desis hati Suria.

“Kenapa pulak tak boleh habis? Suria dengan saya kan ada.” Jawab Nazrul selamba. Suria terkedu dengan jawapan Nazrul. Buat-buat tak faham pulak mamat ni!

“Kenapa awak tiba-tiba ajak saya dinner malam ni?” Tanya Suria tiba-tiba. Nazrul tidak terus menjawab. Garpu dan sudu di tangannya segera diletakkan. Matanya menjamah wajah Suria dengan teliti.

“Sebenarnya saya nak berterima kasih sebab Suria bantu saya tempohari. Kedua sebab saya rasa bersalah pergi begitu sahaja tanpa mengucapkan terima kasih atau selamat tinggal. Dan yang ketiga….” Kata-kata Nazrul terhenti. Suria tercengang.

“Sebab ketiga?”

Nazrul hanya tersenyum. Dia pura-pura menyeduk isi tomyam dalam mangkuk kecil di hadapannya. Suria memandang lelaki itu dengan wajah bingung.

“Awak jangan main-main dengan saya. Cakaplah cepat apa sebab ketiga?” Suria mendesak, sudah tidak sabar ingin tahu. Nazrul melontar pandangan ke arah gadis di hadapannya. Tatapan matanya bersinar-sinar dengan senyuman, menambahkan kesegakan lelaki itu. Wajah Suria merona merah. Dalam diam dia mengutuk diri sendiri. Tiba-tiba sahaja dia jadi malu direnung begitu.

“Saya rasa Suria tahu apa sebabnya.” Bisik Nazrul perlahan.

Suria terkedu. Biar betul! Dia menjamah wajah lelaki itu dengan anak matanya.

“Semasa saya di luar negara, saya selalu ikuti berita-berita di stesyen TV tempatan di internet. Dan saya selalu nampak laporan Suria di berita dan kadangkala di rancangan ‘Crime Scene’. Waktu itu saya benar-benar tertarik dengan kelincahan Suria di televisyen.”Akui Nazrul. Matanya tak berganjak dari wajah gadis di hadapannya.

“Bohong! Tempohari awak kata awak tak pernah dengar tentang KZM.” Suria memulangkan paku buah keras. Dia masih ingat satu persatu kata-kata Nazrul sewaktu mereka mula-mula bertemu dulu.

“Saya sengaja bohong.” Sahut Nazrul sambil ketawa.

“Oh jadi awak main-mainkan saya.” Suria pura-pura marah.

Ketawa Nazrul meletus lagi. “Mustahil saya tak kenal KZM. Saya membesar dengan rancangan-rancangan stesyen TV tu. Saya cuma nak uji Suria, itu aje.” Akui Nazrul. Suria terdiam seketika.

“Jadi masa awak tanya saya kat mana Jalan Loke Yew tu, itu pun awak tipu juga?”

Nazrul mengangguk selamba. “Masa tu saya tak boleh fikir panjang bila saya nampak Suria kat perhentian teksi tu. Saya teringin nak tegur tapi tak tahu bagaimana caranya. Cuma yang itu aje yang saya terfikir nak buat. Hati saya benar-benar serius nak kenal rapat dengan Suria waktu itu. Saya sukakan Suria.” Ujar Nazrul bersahaja.

Suria tunduk memandang makanan yang belum terusik. Entah kenapa, pengakuan Nazrul, membuatkan dia tiba-tiba jadi gugup. Selama ini, belum pernah ada seorang lelaki pun yang berani meluahkan perasaan terhadapnya seperti yang dilakukan Nazrul. Dan belum pernah sekalipun dia berdepan dengan situasi begini. Suria tiba-tiba bingkas bangun dari kerusinya, membuatkan Nazrul tercengang.

“Maaf, saya nak ke bilik air sekejap.” Pintanya seraya melangkah tergesa-gesa ke suatu arah. Nazrul terpinga-pinga mengekori pemergian gadis itu dengan ekor matanya.

Suria melangkah deras. Destinasi yang ditujunya ialah bilik air yang dilihatnya semasa dia mula-mula melangkah masuk ke dalam restoran itu. Tapi baru beberapa langkah berjalan, kakinya tiba-tiba terhenti. Matanya menjurus ke suatu arah.

Seorang lelaki baru keluar dari bilik air lelaki. Sebaik terpandang kelibat Suria yang tercegat di hadapannya, langkah lelaki itu turut terhenti. Untuk seketika mereka berbalas poandang.

Suria menghela nafas panjang. Hatinya menggerutu. Aduh apasal la aku boleh jumpa pulak mamat poyo ni kat sini? Rungut Suria bengang. Dia memang ‘urgent’ sangat nak ke tandas, tapi untuk melewati lelaki itu, dia jadi ragu-ragu. Aduh! Macamanalah kau boleh ada kat sini pulak?

Perutnya semakin bergelodak, membuatkan Suria memaksa diri. Dia melangkah menuju ke arah lelaki itu. Izwan tidak berganjak. Matanya masih mengawasi kelibat Suria. Tapi sebaik gadis itu melewatinya, Izwan menghalang dengan tubuhnya. Suria tercengang.

“Cik Suria Baharom bukan?” Izwan memandangnya dari atas ke bawah. Suria acuh tak acuh memandang lelaki itu kembali.

“Chief Inspector Izwan or should I call Tuan Izwan. Kecil dunia ni kan.”

“Yup we meet again.” Izwan tersenyum. “Datang untuk makan? Atau datang untuk korek rahsia?” Soal lelaki itu. Nada suaranya sinis.

Korek rahsia konon! Banyaklah kau punya rahsia, gumam Suria separuh geram. Namun dia tidak mahu terlihat kalah emosi di hadapan lelaki itu. Hendak tak hendak, dia terpaksa melemparkan senyuman manis.

“Kebetulan saya datang sini nak makan dengan teman lelaki. Oh ya, saya duduk kat meja hujung sana dekat dengan bar table. Kalau dah nak balik nanti, singgah-singgahlah tegur ya.” Gilirannya pula menyindir. Izwan hanya tersenyum tenang.

“Cik Suria kan wartawan popular. Tak perlu nak mention sebut fasal teman lelaki ke apa ke…tak sebut pun orang takkan teka yang Cik Suria ni tak ada teman lelaki.” Balas Izwan sengaja mahu menganginkan gadis itu.

Darah Suria berderau naik ke muka. Dia mencerlung tajam memandang lelaki itu. Namun wajah di hadapannya tidak sedikit pun berubah.

Suria semakin berang. Damn it! Dia ni kenapa, asyik-asyik nak sakitkan hati aku? Apa kena dengan mamat ni? Psycho ke?

Suria terus berlalu dengan wajah mencuka. Izwan pula tersenyum puas. Dia membalikkan tubuhnya, memandang kelibat Suria yang mula menghilang ke dalam bilik air.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!