SENYAP-SENYAP kakinya diatur ke arah warung kecil
yang dipenuhi ramai pelanggan. Melihat ada meja kosong di suatu sudut, dia segera
menempati meja tersebut. Matanya melilau memerhatikan suasana warung yang sudah
semakin banyak berubah.
Seorang remaja perempuan berusia dalam
lingkungan belasan tahun sedang mengelap meja berhampiran dengannya. Matanya
ralit memerhatikan anak gadis itu. Melihat anak gadis itu, entah kenapa dia teringatkan
dirinya suatu ketika dahulu. Suatu waktu dulu, begitulah dia berusaha membanting
tulang empat keratnya. Dan duit itu sangat bererti buatnya bagi menampung perbelanjaannya.
Setelah
selesai menduduki peperiksaan SPM, dia terus membantu Pak Maidin dan Mak Minah
di warung tersebut. Kadangkala sehingga ke malam dia masih berada di warung.
Sedikit sebanyak tumpuannya terhadap Naufal semakin berkurangan. Mungkin itulah
sebabnya Naufal semakin hanyut. Anak muda itu juga sudah pandai ponteng
sekolah. Cakap-cakapnya juga sudah tidak berguna di telinga Naufal.
“Naufal,
kakak nak cakap sikit dengan Naufal…” Dia menegur ketika berselisih dengan anak
muda itu.
“Naufal
sibuk kak, kita cakap esok aje.” Naufal mahu beredar. Tapi tangannya lebih pantas
menghalang. Anak muda itu
berpaling ke arahnya. Mata itu kelihatan dingin tidak beremosi.
“Saiful
datang tadi.” Dia menyebut tentang anak jiran mereka yang menjadi teman sekelas
Naufal di sekolah.
“Dia
nak apa?” Soal Naufal selamba.
“Dia bawa
surat dari Cikgu Jamilah. Betul
ke Naufal ponteng sekolah dah dekat seminggu?” Soalnya. Nada suaranya jelas hampa.
“Kalau
ya kenapa? Ini mesti Saiful yang mengadu pada cikgu. Bedebah betul si Saiful
ni.” Rengus Naufal seraya mengepal-gepal penumbuknya.
Dia tersentak. Kata-kata Naufal yang
agak kasar membuatkan dia kecewa. Sungguh dia tidak menyangka begini reaksi
anak muda itu.
“Naufal
jangan nak salahkan Saiful. Dia cuma bawa surat dari sekolah. Apa nak jadi dengan
Naufal ni? Kenapa Naufal ponteng sekolah? Bersusah payah kakak kerja cari duit
siang malam, semuanya untuk tanggung duit sekolah Naufal, tapi ini balasan
Naufal pada kakak?” Herdiknya mulai hilang sabar.
“Naufal
tak minta kakak buat semua itu.” Jawab anak muda itu selamba.
Dia tersentak. Hatinya hancur luluh mendengar
tutur kata Naufal yang tidak beralas. Ya ALLAH! Kenapa Naufal jadi begini?
“Betul
Naufal tak minta kakak buat semua tu. Tapi kakak lakukan semua ini kerana kakak
sayangkan Naufal. Kakak nak Naufal berjaya dalam hidup. Kita hanya berdua
Naufal. Ayah dan umi dah tak ada, kalau kita tak jaga satu sama lain siapa
lagi?” Tuturnya sebak.
“Naufal
tak perlukan kakak untuk jaga Naufal. Naufal boleh jaga diri sendiri, kakak tak
payah risau.” Pintas anak muda itu dingin.
“Naufal!”
Herdiknya berang.
Naufal
memandangnya tidak berkelip. “Kakak ingat Naufal tak tahu yang kakak menyesal
sebab terpaksa berhenti belajar? Jangan sebab kakak tak boleh lanjutkan
pelajaran, kakak nak seret Naufal supaya jadi macam kakak. Naufal dah bosan
pergi sekolah! Naufal dah bosan tengok hidup kita macam ni. Naufal dah bosan
kak!” Jerit Naufal seraya menghempas pintu di hadapannya sekuat hati.
Dia terduduk lemah. Kata-kata Naufal
menjeruk perasaannya. Naufal, tidakkah Naufal mengerti perasaan kakak? Istilah
bosan atau kecewa takkan pernah ada dalam kamus hidup kakak selagi Naufal ada.
Kakak hanya ada Naufal seorang, kakak tak boleh hidup tanpa Naufal. Dia
mengesat airmata yang mengalir perlahan di cerun pipi.
Kenangan! Kenapa harus kembali jika kau
tak mampu memulangkan kembali Naufal yang ku sayangi? Hati Danira berbisik pilu.
“Kakak nak minum apa?” Gadis remaja tadi
kini sudah berada di hadapannya. Mata gadis itu berkerut sebaik menyedari
pelupuk matanya kini bergenang air jernih. Menyedari keadaan
itu, Danira pantas menyeka airmatanya sebelum memandang gadis di hadapannya.
“Hmm bagi kakak sirap limau satu.”
“Makan?”
Danira menggeleng. Perutnya masih belum
lapar. Gadis itu hendak kembali ke dalam, tapi jari jemari Danira lebih pantas memaut
lengan si gadis.
“Dik
sekejap…” tahan Danira. Gadis itu menoleh.
“Boleh
kakak tahu Pak Maidin dengan Mak Minah ada lagi kat sini?” soalnya.
Gadis kecil itu menunjukkan wajah
kaget.
“Tok dengan Ucu ada kat rumah. Hari ni
mereka tak datang sebab Tok tengah sakit.” Jawab gadis kecil itu.
Danira tergaman. Panggilan Tok dan Ucu
itu mengejutkannya.
“Adik ni siapa dengan mereka?” Soal Danira ingin tahu.
“Mereka datuk dengan nenek saya.” Jawab
gadis itu lagi.
Danira terdiam sejenak. Memang dia tahu
Pak Maidin dan Mak Minah ada dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Barangkali memang gadis itu cucu pasangan suami isteri itu.
“Nama
adik siapa?”
“Nina.”
Jawab bibir mungil itu.
“Umur
Nina berapa?”
“Lima belas tahun kak.”
Jawab Nina.
Danira
terdiam. Masih muda, tapi sudah pandai membantu di kedai. Kalaulah Naufal seperti Nina, tentu hatinya takkan
segusar ini.
“Kenapa
kakak ni nampak sedih aje? Kakak nangis?” Tanya Nina dengan wajah berkerut. Terkelip-kelip
matanya memerhatikan ke arah Danira.
Danira memandang anak gadis itu sambil
menggelengkan kepala. Kakak sudah puas menangis dik. Kakak sudah letih!
Sepanjang hidup kakak, kakak menangis. Tapi anehnya airmata ini tidak pernah
mahu kering! Bisik hati kecil Danira sebak.
“Pak
Maidin dengan Mak Minah masih tinggal di rumah lama mereka?” Soalnya lagi ingin
tahu. Entah kenapa dia terlalu ingin menemui pasangan suami isteri itu. Rindunya
pada pasangan yang menjaganya suatu ketika dahulu sering membuak-buak.
“Ada kak, Tok dengan Ucu
tak mahu pindah walaupun mak dah puas paksa. Kata Tok dengan Ucu, mereka nak
tunggu anak angkat mereka balik.” Beritahu Nina.
Danira
tergaman. Anak angkat? Apakah yang dimaksudkan anak gadis itu dirinya? Apakah
selama ini Pak Maidin dan Mak Minah sering menanti-nantikan kepulangannya?
*
* * *
Seperti yang diduga, wanita tua itu terkejut
besar apabila melihat dia terpacul di hadapan rumah. Danira cuba mengukir
senyuman meskipun nampak kekok. Mak Minah menapak perlahan-lahan ke arahnya.
Wajah wanita itu seolah kebingungan memandangnya.
“Nira?
Danira..?” Mak Minah bertanya sekadar mahu memastikan.
Danira
mengangguk. “Ini Nira, Mak Minah.”
Sebaik
mendengar kata-kata itu, Mak Minah terus meluru ke arah Danira. Tubuh gadis itu
dirangkul erat. Air mata wanita tua itu merembes laju bagaikan air hujan. Danira
membalas rangkulan wanita itu sekuat hatinya. Seperti Mak Minah, dia juga tidak
mampu menahan sebaknya.
“Kenapa baru sekarang Nira balik cari
kami? Kenapa Nira?” Tangis Mak Minah. Kesedihannya membuak-buak dengan
kehadiran gadis itu.
Hati
Danira tersentuh. Dia tidak mampu menjawab pertanyaan itu, lantaran perasaan
bersalah menghantui dirinya kini.
“Nira takut Mak Minah. Nira takut Mak
Minah dan Pak Maidin tak sudi terima Nira lagi. Nira jahat! Nira dah susahkan
Pak Maidin dengan Mak Minah.” Bisiknya di telinga wanita itu.
Perlahan-lahan
Mak Minah melonggarkan rangkulan. Wajah anak gadis itu diratah dalam-dalam.
Danira tunduk ke bawah. Ada
rasa sangsi yang tidak hilang dari lubuk hatinya.
Jari jemari Mak Minah bergerak ke bawah
dagunya. Dia tergaman apabila menyedari wanita tua itu mengangkat
dagunya.
“Enam tahun kami tunggu Nira. Nira dah macam anak kami
sendiri. Mustahil seorang ibu dan ayah akan membenci anaknya sendiri biar apa
pun salahnya.” Bisik Mak Minah tulus.
Danira terkedu. Gugur lagi airmata yang
cuba
ditahan. Sekali lagi bahu wanita itu menjadi sasaran lalu esakannya pecah.
“Nira…”
panggil satu suara. Serentak Danira dan Mak Minah berpaling. Melihat seorang
lelaki tua bertongkat, muncul di muka pintu, Danira segera meluru lalu
menyembah sujud di kaki lelaki itu.
“Nira minta maaf Pak Maidin. Nira
dah hampakan Pak Maidin.” Tangis Danira dalam kesedihan. Dia memberanikan diri mendongak ke
wajah lelaki tua itu. Pak Maidin hanya memandangnya dengan wajah sayu. Lelaki
tua itu langsung tidak berkata apa-apa membuatkan hatinya tambah robek.
* *
* *
Dia hanya mampu memandang rumah itu dari jauh. Enam tahun dahulu,
rumah itu menjadi tempat berteduh buat dia dan Naufal. Rumah itu juga tempat
dia berkongsi suka dan duka bersama adiknya. Jauh di sudut hati dia merindui
rumah itu. Merindui setiap kehidupan yang mereka jalani di situ. Tapi kini
rumah yang dirinduinya dulu hanya mampu ditatap dari jauh. Mana mungkin dia
mendekati rumah yang bukan miliknya lagi.
“Lepas Naufal hilang begitu saja,
kebetulan tuan rumah ni balik ke mari. Bila dia tengok rumah ni kosong terbiar
begitu saja, jadi dia sewakan rumah tu pada orang lain. Maaf Nira, Pak Maidin
tak mampu buat apa-apa.” Jelas Pak Maidin di sampingnya.
Danira menoleh lalu menatap mendung di wajah lelaki itu. Dia
tahu Pak Maidin serba-salah. Namun mana mungkin dia akan menyalahkan lelaki itu.
“Siapa
yang menyewa kat situ sekarang Pak Maidin?” Tanyanya sekadar ingin tahu.
“Pasangan
suami isteri. Yang suami bekerja di bank, isterinya pula cikgu sekolah rendah.
Mereka ada dua orang anak kecil.” Cerita Pak Maidin.
“Habis
barang-barang kami dulu ada kat mana Pak Maidin?” Tanya Danira sedikit cemas. Ada beberapa
barang-barang peninggalan ayah dan ibunya yang perlu diambilnya kembali.
“Pak
Maidin simpan kat bilik kosong kat rumah kami. Pak Maidin yakin yang suatu hari
nanti, Nira akan balik mencari kami.” Ujar Pak Maidin seraya tersenyum.
Danira
terdiam. Dia benar-benar rasa bersalah pada lelaki itu. Kepercayaan yang
diberikan lelaki itu padanya, dibalas pula dengan satu musibah.
“Naufal
ada balik ke mari?”
Lelaki
itu menggeleng. “Sejak Nira dipenjarakan, kami dah jarang-jarang jumpa Naufal.
Pak Maidin ada ajak dia tinggal dengan kami tapi dia tak mahu. Dia ada cari
Nira?” Pertanyaan yang diutarakannya kini dikembalikan semula. Dia hanya
menggelengkan kepala. Raut wajahnya kembali muram sebaik perihal Naufal
dibangkitkan semula dalam perbualan mereka.
Pak
Maidin tiba-tiba mengeluh panjang. Danira menoleh. Mata lelaki itu menjunam
tepat ke wajahnya. Lelaki itu bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Wajah itu
berkerut-kerut seolah membendung sesuatu yang berat mahu diluahkan.
“Kenapa
Pak Maidin?” Soal Danira dengan wajah hairan.
Renungan
Pak Maidin terus menikam wajahnya. Dengusan nafas lelaki itu terdengar di tepi
telinganya. Namun dia sabar menanti sehingga lelaki itu bersedia untuk berkata-kata.
“Boleh Pak Maidin tanya Nira sesuatu?”
Pertanyaan lelaki itu dilontar cukup berhati-hati.
Dia hanya mengangguk.
“Kenapa Nira tak mahu jumpa kami? Kenapa
Nira tak mahu jumpa dengan Naufal? Nira tahukan yang kami semua sayangkan Nira.
Enam tahun dulu, hampir tiap-tiap minggu kami ke penjara dengan harapan mahu
bertemu Nira. Tapi kami selalu pulang dengan tangan kosong. Kenapa Nira? Salah
apa Pak Maidin dan Mak Minah dengan kamu sampai macam tu Nira buat pada kami?”
Tanya lelaki tua itu dengan nada sebak.
Danira
tersentak. Lidahnya tiba-tiba kelu seribu bahasa. Dia benar-benar tidak
menyangka Pak Maidin akan membangkitkan soal itu padanya. Bagaimana dia mahu
berterus terang dengan lelaki itu tentang hakikat sebenar? Tentang apa yang
membelenggu perasaannya sejak sekian lama.
“Mak
Minah kamu selalu menangis setiap kali kami pulang dari penjara dengan tangan
kosong. Dia kecewa bila Nira menolak untuk jumpa kami.”
Danira
menggelengkan kepala dengan mata berkaca. “Nira minta maaf Pak Maidin. Nira tak
pernah bermaksud mahu membuatkan Pak Maidin dan Mak Minah bersedih. Cuma
Nira…Nira sebenarnya malu. Nira terlalu malu mahu berhadapan dengan semua orang
terutama Pak Maidin. Berkali-kali Nira bisikkan dalam hati yang semua ini
hanyalah mimpi. Dan berkali-kali juga Nira harapkan bila Nira terjaga dari
mimpi ini, kita akan bersama-sama macam dulu. Tapi hakikatnya Nira tetap
terkurung dalam sangkar besi itu.” Rintih Danira.
Pak Maidin memandang anak gadis itu
dengan wajah simpati. Kedua-dua bahu Danira dipegang rapat.
“Meskipun Pak Maidin tak faham
kenapa semua ni boleh jadi begini, tapi hati Pak Maidin dan Mak Minah kamu
tetap yakin yang kamu adalah Danira yang kami kenal selama ini. Kami yakin kamu
tak bersalah Nira.” Bisik lelaki itu.
Danira
terharu dengan kata-kata lelaki itu. Pak Maidin suami isteri sudah seperti ibu
bapanya sendiri. Budi pasangan suami isteri itu terlalu besar untuknya selama
ini.
“Nira gembira kerana Pak Maidin
masih mahu percayakan Nira. Nira
dah tak ada sesiapa lagi selain Pak Maidin dan Mak Minah. Naufal pula hilang entah
ke mana. Nira tak tahu kat mana nak cari dia lagi.” Keluh Danira. Fikirannya
benar-benar terbeban dengan masalah adiknya.
“Nira
jangan bimbang. Pak Maidin percaya yang suatu hari nanti, Naufal pasti akan
kembali pada Nira. Dia akan mencari kakaknya semula. Takdir takkan sekejam itu
memisahkan kamu dua beradik.” Balas Pak Maidin cuba menenangkan perasaan gadis
itu.
Danira terdiam. Dia juga mengimpikan
harapan yang sama. Semoga kata-kata Pak Maidin akan menjadi kenyataan. Dan
semoga dia akan sempat menemui Naufal selagi hayatnya masih dikandung badan.
No comments:
Post a Comment