Followers

Monday, October 18, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 35

DIA menoleh kiri dan kanan sebelum menyeberang jalan menuju ke arah restoran KFC di Petaling Jaya itu. Dia sudah tidak sabar-sabar mahu bertemu Syazana yang sudah berminggu-minggu tidak ditemuinya.

Keadaan restoran itu agak bingit dengan teriakan sekumpulan kanak-kanak yang bermain-main di sudut permainan. Kalau bermain tak apalah juga, tapi kanak-kanak itu menjerit bagai nak runtuh langit dibuatnya. Tapi yang hairannya, ibubapa mereka tidak pula marah-marah apabila anak mereka membuat bising di tempat awam. Hai macam-macam! Keluh Aliya.

Matanya liar mencari-cari kelibat Syazana namun tidak bertemu. Agaknya dia di tingkat atas, duga Aliya. Dia terus mendaki tangga ke ruang atas KFC. Dari penjuru tangga, dia terpandang susuk tubuh Syazana sedang memandang ke luar tingkap dari sebuah meja yang ditempati gadis itu. Aliya tersenyum sumbing. Dengan wajah nakal, dia berjingkit-jingkit menghampiri temannya itu.

“Hah menung apa tu?” Tanpa belas kasihan gadis itu disergah dari belakang. Syazana yang leka melamun terkejut besar. Bulat matanya menjeling Aliya yang terkeheh-keheh ketawa. Sedikit pun tidak dikisahkan pengunjung-pengunjung lain yang asyik memandang ke arah mereka.

“Samdol betul kau ni Lia, terkejut beruk aku.” Syazana pura-pura marah. Tapi melihat wajah teman baik yang sudah lama tidak ditemui, perasaan rindunya segera bertandang. Bahu Aliya segera dirangkul erat.

“Wah makin cantik kau sekarang. Dressing pun dah lain la.” Puji Syazana sambil memandang gadis itu dari atas ke bawah. Senyumannya melebar!

“Ala biasa aje, kau tahulah kerja kat syarikat macam tu, kenalah berpakaian kemas. Makcik yang kerja cuci pun kena pakai kot tau.” Ujar Aliya.

“Iye ke?” Syazana melopong. Tetapi setelah dilihatnya Aliya ketawa tak henti-henti, dia segera menarik muka empat belas. Sahlah dia kena tipu hidup-hidup1

“Kau buat apa cuti macam ni Sya? Makin tembam aku tengok ni.” Tegur Aliya menyedari perubahan fizikal yang ketara pada tubuh temannya itu.

“Hai biasalah aku, tidur makan tidur makan lagi. Berat aku dah naik 5 kilo tau. Sepanjang cuti ni aku asyik ternak badan aje.” Beritahu Syazana lalu tergelak besar. Sedikit pun dia tidak kisah tubuhnya berisi. Asal hati senang sudahlah. Itulah prinsipnya sejak dulu.

“Kalau ya pun kontrollah sikit makan tu. Terkejut Doktor Aidit nanti nampak belon bulat di kelas dia. Kau tak ingatkan dia ke?” Usik Aliya.

“Mestilah aku rindu. Eh, bila dia nak balik sini ya?”

“Entah.”

“Hai kau kan rapat dengan Encik Adam, takkan kau tak tahu?” Syazana tersengih nakal. Wajah teman itu direnung penuh bermakna.

Aliya terdiam. Baru sekejap dia hendak cuba melupakan nama itu, tapi Syazana tanpa sedar telah membangkitkan semula rasa tidak senang di hatinya. Ingatkan bila dia berjumpa Syazana, dapatlah dia melupakan sejenak belenggu yang merantai dirinya sejak beberapa hari yang lalu.

“Apasal kau diam ni?” Dahi Syazana berkerut memandang gadis itu. Wajah Aliya jelas muram di pelupuk matanya.

“Tak ada apa-apalah. Kita makan dulu ya, aku laparlah.” Rengek Aliya sambil memegang perutnya. Wajahnya sengaja dimimikkan.

“Kau belanja?” Syazana tersengih. Sengaja dia hendak mengenakan teman yang satu itu.

“Kedekut! Padahal kau yang ajak aku keluar.” Getus Aliya lalu mencuit hidung gadis itu. Syazana pantas cuba mengelak sambil tergelak besar.

“Nasib baik aku ajak. Kalau harapkan kau, macam tunggu kucing bertanduk. Hari tu kata nak contact aku tapi haram tak ada.” Rungut Syazana seolah-olah berjauh hati.

Aliya terdiam. Dia masih ingat janjinya dulu untuk sentiasa berhubung dengan temannya itu. Namun kesibukan tugas-tugasnya di Perkasa Budi tidak mengizinkannya. Itu pun hari ini, mujur Ikram membenarkannya keluar lebih awal memandangkan lelaki itu sendiri terpaksa ke Jakarta kerana menghadiri satu mesyuarat penting.

“Sorrylah Sya, aku sibuk sangat. Kerja di syarikat berlambak.”

“Aku hairanlah kau ni. Orang lain pun buat praktikal jugak, tapi takdelah sesibuk kau ni. Banyak sangat ke kerja diaorang bagi kat kau?”

“Banyak tu taklah, tapi adalah selori kut. Campur dengan dokumen yang nak kena baca, nak kena fotostat, nak kena kemaskini dan macam-macam lagilah.” Canang Aliya sambil tersengih.

Syazana mencebik. “Nak tipu aku lagilah tu.” Ulasnya.

Aliya ketawa terbahak-bahak. Kali ini Syazana lebih cerdik untuk tidak menganggap serius segala kata-katanya.

“Oh ya, aku lupa nak beritahu kau, pertemuan hari ni bukan setakat aku dengan kau aje tau. Ada orang tu nak sangat jumpa kau.” Beritahu Syazana.

Aliya tercengang. “Siapa?”

Syazana tersenyum sebelum menjuihkan mulutnya ke suatu arah. Apabila Aliya berpaling, matanya segera terpandang kelibat Haikal sedang menuju ke arah mereka. Jelingannya singgah ke arah Syazana, namun gadis itu hanya tersengih seraya mengangkat tangannya.

* * * *

Sebaik kereta Haikal berhenti di hadapan rumah Syazana, gadis itu pantas melangkah turun. Wajah Haikal dikerling sepintas lalu.

“Haikal, aku nak pinjam Lia sekejap.” Tanpa menunggu persetujuan Haikal, Syazana segera menarik tangan Aliya ke arah pintu pagar rumahnya.

“Sorry Lia, aku bukan sengaja. Haikal yang call aku semalam. Katanya nak sangat jumpa kau. Kebetulan pulak kita dah janji nak jumpa, tterpaksalah aku berterus-terang dengan Haikal fasal janji kita tadi.” Jelas Syazana.

“Sampai hati kau tak beritahu aku dulu ya! Bertuah punya kawan!” Tempelak Aliya seraya membeliakkan matanya besar-besar.

“Tak adalah macam tu, tapi dah orang minta tolong, takkan aku yang baik budi pekerti ni nak menolak. Lagi-lagi budak kiut macam dia, tak sampai hatilah.” Balas Syazana.

“Lagipun aku rasa Haikal tu macam ada hati je kat kau.” Sambung gadis itu lagi.

“Jangan nak mengarut.” Bisik Aliya. Dia merasa kurang senang dengan kata-kata Syazana. Mustahil! Lagipun Haikal muda dua tahun darinya. Dia pula menganggap anak muda itu seperti adiknya sendiri, lebih-lebih lagi setelah dia tahu hubungan Haikal dengan Doktor Badrul.

“Lia, jarak umur sekadar dua tiga tahun tu, dah tak menjadi ukuran pada masa sekarang. Pokok pangkalnya hati kat dalam tu.” Ujar Syazana seolah-olah dapat membaca fikiran Aliya.

Aliya terdiam. Dia sudah mati kutu mahu membalas kata-kata Syazana. Sesekali dia melirik ke arah Haikal yang sabar menantinya di dalam kereta.

“Lepas ni Lia nak ke mana? Kita jalan-jalan nak?” Haikal bersuara apabila dilihatnya Aliya tidak bersuara di dalam kereta.

“Maaflah Haikal, saya penat sangat hari ni. Kita balik saja ya!” Ujar Aliya pada anak muda itu. Ketika ini dia berkata sejujurnya. Memang dia benar-benar letih setelah sehari suntuk ‘berperang’ di pejabat.

Haikal kelihatan hampa. Namun kehampaan itu cuba disorok dengan senyumannya. Hendak tak hendak, dia terpaksa menghantar Aliya pulang ke rumah sewanya.

Sebaik menutup pintu kereta, Aliya segera memandang anak muda itu. Entah mengapa, timbul rasa bersalahnya kerana terpaksa menghampakan Haikal kali ini.

“Macam ni lah, apa kata cuti minggu depan kita keluar tengok wayang, tapi saya yang belanja Haikal. Macamana?”

Wajah Haikal ketara berubah. “Betul?”

Dia hanya mengangguk. Entah betul entah tidak perbuatannya kali ini. Dia tidak kisah keluar dengan Haikal, asal saja pemuda itu tidak berfikir yang bukan-bukan terhadap dirinya.

“Promise?” Haikal menagih janji seperti anak kecil.

Dia hanya mampu ketawa. “Insya Allah!” Sahutnya pula.

Haikal kelihatan gembira. Wajah anak muda itu berseri-seri seperti deretan lampu neon yang menjadi hiasan anjung rumah.

Setelah dilihatnya kereta Haikal semakin jauh meninggalkan kawasan perumahan itu, Aliya segera melangkah ke arah rumah sewanya. Ketika itu juga telefonnya berbunyi minta diangkat. Terkocoh-kocoh dia mengeluarkan telefon dari tas tangan. Nama Ikram jelas terpapar pada skrin telefonnya.

“Hello!”

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!