Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 16


            Dahi Nashriq berkerut sewaktu membelek dokumen-dokumen yang baru dibawa masuk oleh Erman sebentar tadi. Dia sendiri terkejut apabila membaca dokumen tersebut. Sukar dia mahu percaya dengan apa yang baru disaksikannya.

            Matanya menatap Erman yang membatu sedari tadi.

            “Abang baru dapat tahu bila ke pejabat peguam. Pejabat CK Tan yang uruskan hal ni. Abang rasa, ia ada kena mengena dengan Puan Engku.” Ujar Erman.

            Nashriq mengetapkan bibirnya. Hujung fail diramas sekuat hati. Entah kenapa, dia naik baran setelah mengetahui hal itu. Tak disangkanya uminya sanggup berlaku kejam begitu.

            “Bila tapak rumah tu dijual?”

            “Setahun selepas Munif meninggal dunia. Pembelinya adalah Ketua Operasi Pemasaran di A&K Corporation, Reyna Tan.”

            “A&K Corporation? Macam pernah dengar.”

            “Ia sebuah syarikat usaha dagang Singapura yang berpengkalan di Malaysia. Mega Timur pernah bekerjasama dengan syarikat ini beberapa tahun dahulu.Pemiliknya kalau tak salah seorang wanita Cina bernama Estella Wong.” Jelas Erman.

            “Aneh! Kenapa syarikat A&K Corporation berminat dengan tapak rumah yang hanya seluas 1 ekar. Apa yang mereka buat dengan tapak rumah tu sekarang?” Soal Nashriq, benar-benar ingin tahu.

            “Tak ada apa-apa. Dibiarkan sahaja tanah tu kosong sehingga naik semak.”

            Nashriq terdiam. Dia sendiri sudah maklum dengan keadaan sekitar rumah itu yang tidak terurus. Habis kalau tidak mempunyai rancangan, untuk apa dibeli? Nashriq merasakan seperti ada yang tidak kena dengan pembelian tanah milik ayahnya yang diserahkan kepada Munif sekeluarga. Ini akan menyukarkan lagi dia mencari Raihana dan ibunya.

            “Abang, boleh abang kesan di mana kubur pakcik Munif?” Ujar Nashriq perlahan. Erman terdiam. Terkejut juga dia mendengar  permintaan lelaki itu. Untuk apa agaknya dia mahu tahu?

            “Sebelum dia meninggal, dia menulis wasiat supaya dikebumikan di Kampung Telaga Pandak. Kau pernah ke kampung Telaga Pandak kan?” Erman merenung lelaki itu.

            Nashriq mengangguk. Sudah lama dia tidak mendengar nama kampung itu disebut. Kampung itu adalah tanah kelahiran Munif. Mungkinkah Raihana dan ibunya ada di sana?

            “Siapa yang uruskan pengebumian pakcik Munif?”

            Guess who? Kau takkan percaya.”

            Dahi Nashriq berkerut. Kata-kata Erman seolah mengajaknya berteka-teki.

            “Siapa?”

            “Asri. Asri Ikram.”

            Nashriq tercengang. Abang sulung ayahnya yang suka merantau itukah? Tak mungkin, lelaki itu berperangai agak gila-gila dan kurang disukai oleh uminya sejak dulu. Malah seingatnya, sejak dia kecil, baru dua kali dia bertemu lelaki itu. Itupun kedua-dua pertemuan tak sampai pun 10 minit. Lelaki itu seperti angin. Sekejap muncul sekejap hilang.

            “Apa hubungan pakcik Asri dengan pakcik Munif? Setahu saya, pakcik Munif tak pernah jumpa dengan pakcik Asri.”

            “Tapi menurut maklumat yang abang dapat, sejak Tuan Zainal meninggal dan Munif dipenjarakan, satu-satunya orang yang kerap melawat Munif adalah Asri Ikram. Tentu ada sesuatu yang kita tak tahu Naz.”

            Nashriq terpinga-pinga. Mungkin juga kata-kata Erman ada benarnya. Jika hubungan antara Munif dan pakciknya begitu erat, sudah pasti lelaki itu juga tahu di mana Raihana dan ibunya berada.

*  *  *  *

            Suraya sedang sibuk menyusun program aturcara majlis ringkas meraikan delegasi perniagaan dari US yang akan diadakan minggu hadapan. Sememangnya dia dan ketuanya Mahira bertanggungjawab untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

            Sesekali sambil menghabiskan kerja, Suraya memicit kepalanya yang terasa pening. Tidak tahu kenapa, sejak semalam kepalanya asyik berdenyut. Dia sudah menelan beberapa biji aspirin sejak semalam, namun entah apa silapnya, sakit kepalanya tidak mahu hilang.

            Namun disebabkan mahu menyiapkan kerja, dia memaksa diri. Lagipun dia faham benar sikap Mahira yang selalu marah-marah jika kerjanya terbengkalai.

            “Jun, kau nak ke bilik rehat ke?” Suraya menegur Junaidah yang melewati mejanya. Langkah gadis itu terhenti.

            “Tak, aku nak pergi hantar dokumen ni kat tingkat atas. Bos aku suruh hantar dokumen ni pada Katrina. Kenapa?”

            “Tak adalah, ingatkan nak suruh kau ambilkan air untuk aku, malas benar kaki aku ni nak bergerak.” Dia tersengih.

            “Aku pulak malas nak ke atas. Kerja aku bertimbun lagi kat atas meja tu. Lagipun si Kat tu bukan kau tak tahu perangainya, asyik nak bersembang aje. Hei apa kata kau tolong hantarkan dokumen ni untuk aku?” Junaidah tersengih.

            Suraya terpegun. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Aku suruh dia, dia suruh aku pula. Elok benarlah tu…gumam Suraya sendiri. Dia mengeluh panjang.

            “Takpalah, kau tinggalkan dokumen ni, nanti aku jumpa Kat. Tapi kau kena buat coklat panas untuk aku.” Ujar Suraya.

            Okey no problem, sekarang juga aku pergi buat.” Junaidah segera berlalu. Terpinga-pinga Suraya melihat lenggok tubuh gempal Junaidah yang berayun melangkah ke bilik rehat. Dia menggelengkan kepala. Aku atau dia yang malas sekarang ini? Suraya tersenyum. Melihat dokumen yang terbaring di mejanya, dia menarik nafas panjang. Nampaknya terpaksalah aku merangkak ke tingkat atas.

            Suraya segera melangkah menuju ke arah lift. Butang lift ditekan. Sebaik sampai ke tempat dituju, matanya segera mengintai kelibat Katrina. Namun batang hidung temannya itu tidak kelihatan.

            “Tumpang tanya, Katrina mana?” Tanya Suraya pada seorang lelaki yang sedang bercakap di dalam telefon. Lelaki itu tidak menjawab, sebaiknya jari telunjuknya dihalakan ke suatu arah. Suraya menoleh. Dia terlihat kelibat Katrina sedang berdiri di suatu sudut.

            Namun belum sempat dia mahu menegur Katrina, dia terdengar suara bising-bising datangnya dari bilik Engku Latifah. Suraya tercengang. Apa yang ribut-ribut tu? Dia segera mendapatkan Katrina. Melihat kemunculan Suraya, Katrina terlebih dahulu melangkah pantas ke arahnya.

            “Jom ikut aku ke meja.” Ajak Katrina seraya memegang lengan gadis itu.

            “Kat, kenapa dengan Puan Engku tu? Siapa yang ada dalam bilik tu?”

            Katrina tidak menjawab. Dia tidak mahu membuat apa-apa spekulasi apatah lagi orang yang dilibatkan adalah temannya sendiri. Diam-diam dia melirik ke arah Suraya. Entah kenapa dia yakin, nama yang disebut-sebut tadi adalah Suraya.

            “Kat, aku tanya ni Puan Engku bergaduh dengan siapa?” Suraya tidak puas hati selagi belum tahu. Sebelum sempat Katrina mahu membuka mulut, pintu bilik itu terbuka lebar. Suraya menoleh. Dia tergaman melihat Nashriq keluar dari bilik itu dengan wajah merah padam.

            Apabila anak muda itu melewatinya, Suraya tidak dapat menahan diri dari memanggil nama lelaki itu. Langkah Nashriq terhenti. Dia berpaling. Wajah resah Suraya menjadi sasaran.

            Tanpa disangka, Nashriq tiba-tiba melangkah pantas ke arahnya. Suraya terkejut apabila lengannya dipaut kasar sebelum dihela ke arah pintu keluar. Adegan itu mengejutkan sebahagian besar kakitangan yang ada di situ, termasuklah Katrina sendiri. Dia benar-benar  tidak menyangka, Nashriq akan bertindak di luar dugaan.

            “Lepaskan I, malulah orang tengok.” Bisik Suraya sambil cuba melepaskan pegangan tangan Nashriq. Namun Nashriq tidak mengendahkannya, sebaliknya mengemaskan pegangan tangannya.

Sebaik sampai ke biliknya, tubuh kecil itu ditolak masuk. Suraya sedikit terkejut. Perlahan-lahan matanya mencari wajah Nashriq. Lelaki itu nampak bengang. Apabila mata lelaki itu menjamah wajahnya. Suraya seperti ditikam dengan sebilah belati tajam. Entah kenapa hatinya cemas. Pandangan Nahsriq menakutkannya. Lelaki itu seperti bersedia untuk melontarkan larva kemarahannya. Apa salah aku kali ini? Sebab semalamkah? Pelbagai andaian terbuku di kepala Suraya. Namun tiada satu pun yang mampu merungkai tandatanyanya.

            Mata Nahsriq masih melekat di wajah Suraya. Dia tertanya-tanya sendiri, apakah gadis itu tahu tentang rancangan keluarga mereka? Tak mungkin dia tidak tahu, hati Nashriq berbisik begitu.

            Langkah Nashriq mendekat ke arah Suraya. Suraya nampak cemas. Wajah gadis itu takut-takut mahu berbalas pandang dengannya.

            “Dengar sini, I tak peduli you siapa. I juga tak peduli kalau ayah you pesero utama syarikat ini. Tapi tak ada seorang pun yang boleh memaksa I buat sesuatu yang I tak suka. Tak seorang pun. Mengerti!” Herdik Nashriq berang.

            Suraya tercengang mendengar kata-kata Nashriq. Dia tidak faham maksud kata-kata yang terlontar dari bibir itu.

            “You cakap apa ni Naz?”

            Don’t drag me into this situation Suraya. Jangan salahkan I kalau suatu hari nanti you yang akan menjadi mangsa. Dan jangan salahkan I kalau I bertindak lebih kejam dari apa yang you sangka.”

            Please Naz, I tak faham satu apa pun. Jelaskan pada I apa sebenarnya yang berlaku. Kenapa you marah-marah macam ni?”

            “Tanya ayah you apa yang dia dah rancangkan dengan ibu I. I hendak you tahu, yang selagi I masih hidup, selagi hati I masih membeku, I takkan jatuh cinta dengan sesiapapun, lagi-lagi berkahwin dengannya!” Bentak Nashriq mengejutkan Suraya.

            Dia tersentak. Perkahwinan? Apa maksud Nashriq? Perkahwinan siapa yang dimaksudkan? Gelora hati Suraya semakin menderu. Tubuhnya terasa lemah tiba-tiba. Pening di kepalanya datang lagi.

            “Kalau you tak nak I membenci you, hanya you yang boleh menghalang rancangan ayah dan ibu kita. I berharap pada you saja sekarang ni.” Suara Nashriq tenggelam timbul di telinga Suraya. Pandangannya terasa berbalam. Dia hendak segera keluar. Dia tak ingin Nashriq melihat luka yang terpapar di wajahnya. Namun belum jauh kakinya melangkah, tubuhnya terjelepuk di hadapan Nashriq. Nashriq tergaman.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!