Followers

Monday, November 22, 2010

Blue Sunset : Bab 3

AQI memasukkan semua sketches yang sudah siap ke dalam sebuah portfolio berbentuk file bag yang agak besar. Sesudah memastikan penampilannya kemas, dia segera melangkah keluar dari bilik.

Di ruang tamu, mata Aqi menangkap kelibat ibunya sedang membawa masuk semangkuk meehon goreng dari arah dapur. Mata Aqi terbeliak. Dia cepat-cepat meluru ke arah ibunya.

“Kenapa mak buat semua ni? Kan Aqi boleh buat sarapan.” Ujar Aqi sedikit kesal. Dia segera menyambut mangkuk berisi meehon itu dari tangan ibunya.

Kamelia sekadar tersenyum. “Hari ni kan Aqi nak pergi interview, biarlah mak yang masak untuk Aqi. Lagipun setakat nak masak meehon ni, mak masih larat nak membuatnya.” Ujarnya sambil meraut wajah anaknya dengan penuh kasih sayang.

Aqi terkelip-kelip memerhatikan wanita itu. Melihat ibunya menceduk meehon ke dalam pinggan di hadapannya, wajahnya bertukar sayu. Namun secepat kilat dia mengubah riak muka. Tidak diizinkan walau sepicing pun wanita itu melihat kesedihan yang terhimpun di wajahnya.

Dia menjamah meehon goreng buatan ibunya dengan wajah riang. Lepas sepinggan, sepinggan lagi dia menambah makannya. Sudah lama dia tidak merasa masakan air tangan ibunya. Kelazatan makanan itu benar-benar terasa meskipun hanya sekadar meehon kosong yang dicampur sedikit sayur-sayuran.

Selesai makan, Aqi segera memandu Volkswagen buruknya keluar dari perkarangan rumah teres di taman perumahan sederhana di kawasan Abdullah Hukum. Dia sempat mencium tangan ibunya dan wanita itu pula tak sudah-sudah berpesan agar dia tenang menghadapi temuduganya nanti.

Di jalanan, nafas tenang Aqi bertukar resah. Dia memandang ke arah jalan raya yang mulai sesak. Meskipun dia cuba keluar lebih awal, tapi melihat jalan raya yang dipenuhi deretan kenderaan yang bersimpang-siur, hati Aqi digamit resah. Dia seboleh-bolehnya mahu sampai tepat pada masanya. Tapi dalam keadaan begini, bolehkah dia sampai tepat ke Sri Anjung Design pada pukul 8.30 pagi? Calm down Aqi. Tenang! Tarik nafas panjang-panjang. Aqi memujuk diri sendiri.

Sambil menunggu kereta di hadapannya bergerak, Aqi memasang siaran radio. Fikirannya yang sarat dan resah dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dari dalam beg sandangnya. Aqi kelam kabut mencapai beg sandangnya. Melihat nama yang terpapar di hadapan skrin telefon bimbitnya, dia tersenyum riang. Doktor Ilani!

“Assalamualaikum. Aqi apa khabar?” Suara Doktor Ilani yang lembut mendayu benar-benar menggembirakan hatinya. Dia memang menyenangi kebaikan hati wanita itu.

“Waalaikumusalam doktor, Aqi sihat. Doktor?”

“Baik alhamdulillah. Aqi kat mana tu? Aqi ingat kan tentang temuduga hari ni dekat Sri Anjung?” Sebut wanita itu.

“Mestilah ingat. Sekarang Aqi dalam perjalanan, tapi kat sini jalan sesak sikit. Dari tadi kereta di hadapan ni tak bergerak-gerak.” Dia merungut kesal.

Ketawa Doktor Ilani meledak. “Don’t worry, tak payahlah rushing sangat. Lagipun kan ada sejam lebih lagi. Saya call ni pun sebab nak ingatkan Aqi, takut Aqi lupa.” Ujar wanita itu.

“Thanks doktor. Insya Allah Aqi tak akan hampakan doktor. Aqi tahu doktor dah banyak bersusah-payah kerana Aqi.”

“Mulai hari ni, Aqi mesti sedia untuk tempuhi apa saja cabaran yang akan datang. Jadilah diri Aqi sendiri biar ke mana sahaja Aqi melangkah. Doa dan restu saya sentiasa untuk Aqi.” Ujar Doktor Ilani.

Dia tersenyum. Hatinya senang mendengar kata-kaa Doktor Ilani. Dia mahu mengatakan sesuatu, tetapi tidak jadi apabila dilihatnya kenderaan di hadapannya mula bergerak. Sebelah tangan Aqi segera memegang stereng keretanya.

“Doktor, Aqi kena letak telefon. Kereta dah nak gerak tu, nanti Aqi call doktor semula.” Ujarnya.

“Okey dear, drive carefully okay.”

Klik! Doktor Ilani yang pertama memutuskan panggilan. Melihat keretanya jauh ditinggalkan di belakang, Aqi cepat-cepat menekan pedal. Tiba-tiba sahaja kereta di hadapannya menekan brek mengejut.

Aqi tersentak. Matanya tiba-tiba pening melihat warna lampu kereta di hadapannya. Dia kalut menekan brek keretanya. Namun tindakannya tidak cukup untuk menghalang bumper Volkswagennya dari mencium belakang kereta di hadapannya.

Wajah Aqi pucat lesi. Dia tergaman bercampur panik. Melihat kereta itu membunyikan hon lalu berhenti di bahu jalan, dia turut menghentikan keretanya. Dia gugup sebaik melihat pintu kereta di hadapannya mulai terbuka. Sesusuk tubuh tinggi lampai melangkah keluar dari perut kereta lalu menoleh ke arahnya.

Sebaik Aqi terpandang wajah itu, darahnya segera berderau. Ya Allah! Antara banyak-banyak orang di dunia ini, kenapa kereta lelaki itu yang dilanggarnya hari ini? Apakah kerana doa yang dipohonnya, yang menginginkan pertemuan antara dirinya dengan lelaki berwarna-warni itu terjadi?

Wajah dingin itu semakin menghampirinya dengan airmuka berang, Aqi benar-benar kecut perut. Dia tidak berani memandang lelaki itu. Sebaliknya kepalanya ditundukkan ke bawah. Bunyi ketukan yang bertalu-talu di penjuru cermin tingkap Volkswagennya tidak diendahkan. Kali pertama dan kedua, dia tetap tidak berani mengangkat muka. Tapi masuk kali ketiga, keempat dan kelima, ketukan itu semakin kasar dan kuat.

Aqi menahan nafas berkali-kali. Tak boleh jadi ni! Suka atau tidak, lambat atau cepat, dia harus berhadapan dengan lelaki itu. Lagipun dia yang melanggar kereta lelaki itu. Lainlah kalau lelaki itu yang melanggarnya. Boleh juga dia cabut lari sebelum sempat lelaki itu mengecamnya.

Dengan lafaz bismillah, dia memberanikan diri menoleh ke arah lelaki itu. Seperti yang diduga, dahi lelaki itu berkerut sebaik memandangnya. Aqi hanya mampu tersengih menutup gelodak rasa yang membuak-buak bagaikan ombak besar yang sedang menghempas beting pasir. Namun sengihannya yang ala-ala pengemis meminta simpati langsung tidak berkesan. Sebaliknya renungan tajam lelaki itu terus menghujani wajahnya.

* * * *

“Macamana kau bawa kereta ni? Lain kali kalau tak reti memandu, jangan pandu. Naik aje teksi atau bas. Sekarang siapa yang susah?” Herdik Zahar merah padam. Geram betul dia sebaik dia memandang ke arah bumper belakang Toyota Camry kesayangannya yang sedikit kemik.

“Maaf, saya tak sengaja.” Ucap Aqi tergagap-gagap. Gerun hatinya melihat lelaki itu marah-marah begitu di tepi jalan.

“Sengaja ke tak sengaja ke, salah tetap salah.” Rungut Zahar. Dia langsung tidak peduli pada wajah gadis di hadapannya yang pucat lesi. Fikiran dan otaknya ketika ini hanya sarat pada keretanya sahaja.

“So macamana ni? Kita nak selesaikan masalah ni macamana? Cuba kau bagi cadangan sikit.” Tanya lelaki itu dengan wajah garang. Aqi yang kecut perut hanya mampu tunduk. Dia rasa bersalah terhadap lelaki itu. Kerana kecuaiannya, kereta lelaki itu pula yang menjadi mangsa. Terkelip-kelip dia menjeling ke arah bumper kereta lelaki itu. Alah sikit aje tu, takkan nak marah-marah sampai macam tu sekali, gumamnya dalam hati.

“Saya sanggup bayar.” Ujarnya separuh yakin.

Ketawa lelaki itu meletus. Aqi memberanikan diri mengangkat mukanya. Matanya berbalas pandang dengan lelaki yang menjadi cucu Rukiyah yang ditemuinya kelmarin.

“Kau nak bayar? Okey, nasib baik kau fikir macam tu. Kalau tak aku ingat nak buat report polis aje.” Ugut Zahar selamba.

Mata Aqi segera terbeliak sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Report polis? Alamak! Habislah dia kalau pihak polis tahu tentang masalah rabun warna yang dihadapinya. Kemungkinan besar lesen keretanya yang diperolehi secara bersusah payah akan digantung buat selama-lamanya.

“Hah kenapa diam aje ni? Dah tukar fikiran pulak!” Sergah Zahar. Aqi terkulat-kulat memandang lelaki itu.

“Insya Allah saya akan bayar. Awak cakap aje berapa.” Jawab Aqi lembut.

Giliran Zahar pula terkelip-kelip memandang gadis di hadapannya. Nampak muka pun dah tahu lurus bendul macam kayu! Gumam Zahar sambil menarik nafas panjang. Dia mengeluh panjang melihat belakang Toyota Camry yang baru dibelinya lima bulan yang lalu kini calar-balar. Aduh! Sia-sia dia menatang keretanya bagai minyak yang penuh. Datang aje perempuan Volkswagen ni semuanya habis berkecai! Keluh Zahar lagi.

“Kau tunggu sini kejap.” Arah Zahar seraya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam keretanya. Aqi hanya mampu memerhatikan gelagat lelaki itu menghubungi seseorang menggunakan telefon bimbitnya.

“Hello Edri, aku ni Zahar. Tolong beritahu Iman, maybe aku lambat sikit sampai office. No, bukan jalan buat hal tapi orang. Entah perempuan mana entah yang langgar kereta aku sampai kemik.”

Aqi terkedu. Suara lelaki itu berbual singgah satu-persatu ke corong telinganya. Tapi dia kurang senang dengan tutur kata lelaki itu yang kurang bertapis. Kalau lelaki itu bercakap di belakangnya dia tak kisah sangat. Tapi lelaki itu berbual di hadapannya dengan nada suara yang sengaja dikuatkan. Nak suruh aku dengarlah tu, bisik hati kecil Aqi.

Sewaktu lelaki itu masih berbual, Aqi menilik ke arah jam di pergelangan tangannya. Serentak dia gugup. Dah dekat pukul 8 pagi. Kalau dia terus tersekat di sini, bagaimana dia mahu sampai ke Sri Anjung Design? Aqi mula dilanda kerisauan.

Apabila dia mengalihkan pandangan, dia melihat mata lelaki itu sudah berkalih ke arahnya. Dahi lelaki itu berkerut memandangnya. “Bagi kunci kereta kau tu kat aku.” Pinta Zahar.

Aqi terpegun. Untuk apa? Dia ragu-ragu mahu menurut perintah lelaki itu.

“Kau kena drive aku ke pejabat hari ni. Ada orang akan ambil kereta aku tu dan bawa ke bengkel. Sebab semua ini salah kau, jadi kau kena bertanggungjawab.” Ujar lelaki itu.

Aqi tersentak. Macam tu pulak? Tapi mungkin ini lebih baik dari dia terus tersadai di tepi jalan, sedangkan masa terus berlalu detik demi detik. Mahu tak mahu Aqi memaksa dirinya menyerahkan kunci keretanya.

Zahar segera memasuki perut Volkswagen miliknya. Dia terpinga-pinga melihat gerak-geri lelaki itu. Apabila enjin keretanya dihidupkan, Aqi tidak ada pilihan lain. Dia turut memasuki perut kereta lalu duduk di sebelah lelaki itu.

Lelaki itu segera memacu Volkswagennya ke arah jalan raya. Wajah Zahar serius dan bersahaja. Diam-diam Aqi menjeling lelaki itu melalui ekor matanya. Tarikan lelaki itu begitu kuat di matanya. Ada sesuatu pada lelaki itu yang membuatkan dia tidak mampu mengalihkan matanya.

“Siapa nama kau?” Tiba-tiba Zahar bersuara.

Aqi tersentak. Dia langsung tidak menyangka yang lelaki itu akan bertanyakan namanya.

Zahar tiba-tiba menoleh. “Takkan tak ada nama. Atau nak aku panggil kau cik atau puan?” Tingkah Zahar sinis.

“Aqi.” jawab Aqi pantas.

“Aqi? Itu aje ke?”

“Aqila Murni binti Lukhman.” Balasnya. Kali ini dia mencanang nama penuhnya, termasuklah nama ayah yang tidak pernah dikenalinya selama ini.

Lelaki itu tidak memberi sebarang komen. Aqi juga tidak tahu bagaimana mahu terus berbual dengan lelaki itu. Sudahnya mereka berdua terus membisu seribu bahasa. Sesekali mata Aqi menjengah ke arah pergelangan tangannya. Melihat masa yang tidak henti-henti berputar, nafas Aqi jadi tidak keruan. Wajahnya kembali resah.

Zahar tiba-tiba berpaling. Melihat kerut di wajah gadis di sampingnya, matanya turut mencerut.

“Kau kenapa?” Tanyanya dengan nada serius.

Aqi tergaman. “Kenapa apa?” Soalnya kebingungan.

Zahar ketawa kecil. “Kenapa muka kau tu nampak macam orang yang baru kena culik dengan alien?”

Aqi terkedu. Kata-kata lelaki itu menyuntik emosi ke dalam dirinya. Alien? Yup memang pada saat ini dia diculik seorang alien yang berupa manusia. Masakan lelaki itu bukan alien, jika pandangan matanya mampu melihat perbezaan pada lelaki itu berbanding yang lain. Bukan alien ke namanya tu?

“Sebenarnya, saya..saya nak pergi interview hari ni. Pukul 8.30, tapi sekarang dah masuk pukul 8.15. Saya bimbang saya lewat sampai.” Aqi memberanikan diri berterus-terang dengan lelaki itu. Besar hasrat hatinya agar lelaki itu memahami keadaan dirinya.

Seperti yang diharapkan, Zahar berpaling ke arahnya. “Kenapa kau tak cakap awal-awal?” Soal lelaki itu.

Sekarang tengah cakaplah ni! Bisik hati kecil Aqi. Namun suara hatinya tidak berani dilontar keluar. Melihat lelaki itu memberhentikan Volkswagennya di tepi perhentian teksi, Aqi merasa sedikit lega. Mujurlah lelaki itu masih sudi bertimbang rasa dengannya.

“Thanks, saya tak tahu nak cakap apa.” Ucap Aqi dengan perasaan gembira.

Lelaki itu menoleh. “Tak payah susah-susah nak ucap terima kasih dengan aku. Aku pun dah lewat ni. Sekarang kau keluar dan tunggu teksi kat situ. Nanti petang lepas kerja, kau datang rumah aku ambil kereta kau ni. Faham?” Ujar Zahar.

Aqi tergaman. Sangkanya lelaki itu memberhentikan kereta di tepi jalan kerana mahu turun. Dia benar-benar tidak menduga yang rupa-rupanya dirinya sendiri yang dihalau dari keretanya sendiri.

“Hah tunggu apa lagi? Kata tadi dah lambat, turunlah sekarang. Jangan nak buang masa kita berdua kat sini pulak.” Tempelak lelaki itu. Aqi terasa dadanya mula berbahang. Namun untuk naik marah, dia langsung tidak berani. Mahu tak mahu dia terpaksa membuka pintu kereta lalu keluar.

Belum sempat dia mahu berkata sesuatu, kereta Volkswagennya terus meluncur laju meninggalkannya. Aqi hanya mampu terpinga-pinga sambil merenung asap berkepul-kepul yang ditinggalkan oleh Zahar. Dia menarik nafas panjang. Samdol betul lelaki ni. Harap muka je handsome! Keluh Aqi.

Melihat sebuah teksi merapati kawasan perhentian teksi itu, Aqi merasa lega. Harapannya tumbuh semula. Jangan bimbang Aqi, mungkin masih sempat! Hati kecilnya memujuk diri sendiri. Lagipun dia yakin lelaki yang akan ditemuinya nanti seorang yang bertimbang rasa dan memahami seperti kakaknya Doktor Ilani. Harap-harap begitulah.

Namun sebaik teksi itu berhenti di hadapannya, Aqi tiba-tiba terpaku. Wajahnya pucat lesi sebaik teringatkan portfolionya yang tertinggal di dalam Volkswagennya. Alamak! Lupa pulak nak ambil, macamana ni? Keluh Aqi mulai kalut. Dia terasa mahu menjerit saat itu juga! Hendak dikejar Volkswagennya di jalanan, bukan dia tahu pun ke mana arah destinasi si pencuri keretanya. Ya Allah! Macamana ni?

“Nak naik ke dik?” Tanya si pemandu teksi yang sedang menantinya.

Aqi mengalihkan pandangan. Dia mengangguk lalu segera memasuki perut teksi. Kali ini dia nekad. Meskipun portfolionya tidak dapat dibawa ke tempat temuduga, namun dia tidak mahu kalah sebelum mencuba. Harap-harap lelaki bernama Iman Khaliq itu dapat menerima penjelasannya kali ini, keluh Aqi penuh berharap.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!