Followers

Thursday, March 25, 2010

Sayangku Casper : Bab 22

KETIKA kereta yang dipandu Davian memasuki sebuah kawasan perumahan, Tia yang duduk di belakang tiba-tiba menepuk bahu Davian agak kuat. Davian tersentak. Stereng yang dipegangnya terseret ke kanan. Cepat-cepat dia menekan brek lalu berpaling ke arah Rafique yang ikut berpaling ke belakang.

“Kenapa Tia?” Tanya Rafique.

“Berhenti kat sini aje boleh tak?” Pinta Tia.

“Kenapa? Dah sampai ke rumah awak tu?”

Tia menggeleng. “Rumah saya kat hujung tu sekali tu. Tak apa, saya jalan kaki aje dari sini.” Seru Tia.

“Eh kenapa pulak? Biarlah kami hantar sampai rumah.” Rafique tercengang. Davian juga ikut tertoleh-toleh.

“Maaflah, mak tiri saya tu angin dia lain sikit dari orang normal. Kalau dia nampak awak berdua hantar saya balik, tak senduk melayang, pelengkung dia mesti singgah atas kepala saya ni. Awak berdua hantar saya sampai sini cukup lah.” Ujar Tia seraya membuka pintu kereta. Tapi sebelum sempat dia keluar dari perut kereta, Rafique tiba-tiba memanggil.

“Tia, ayah awak tak tahu ke yang selama ni mak tiri dan kakak tiri awak layan awak buruk macam ni?” Soal Rafique dengan wajah serius. Tumpah rasa simpatinya pada Tia yang kelihatan lurus.

Gadis itu hanya tersenyum memandang ke arah Rafique.

“Apa-apa pun dia mak tiri saya. Isteri ayah saya. Saya tak mahu susahkan hati ayah saya Rafique. Lagipun setakat ni mulut dia aje yang selalu bising, tapi dia tak pernah pukul saya teruk-teruk pun.” Ujar Tia.

“Tapi awak tak patut dilayan begitu.” Bantah Rafique.

“Saya tahu, tapi saya ada beberapa tahun lagi untuk bebas dari hidup saya yang sekarang ini. Saya dah lama bersabar. Bersabar beberapa tahun lagi tak ada hal bagi saya.”

“Maksud awak?” Rafique tertanya-tanya.

“Lepas saya tamat belajar nanti, saya akan tinggalkan rumah tu dan belajar berdikari. Lagipun saya sekarang mana ada duit. Tunggulah saya banyak duit dulu.” Jawab Tia dengan wajah berseri-seri. Membayangkan hasrat hati yang sudah lama disimpannya.

“Bagaimana kalau awak ada peluang untuk tinggalkan rumah sekarang? Awak berani lakukannya?” Duga Rafique. Davian yang berada di samping Rafique mengerutkan dahinya. Dia tidak faham apa relevannya soalan Rafique itu saat ini.

“Saya tak ada duit Rafique.”

“Kalau ada yang sudi bawa awak keluar dari hidup awak sekarang ini, mahu awak lakukannya?” Soal Rafique lagi.

Tia terdiam. Dia jadi bingung dengan kata-kata Rafique. Gila agaknya mamat ni! Tanya yang macam-macam!

“Kenapa? Awak nak bawa saya lari dari rumah ke?” Tia tersengih.

Rafique terdiam. Davian juga ketawa kecil mendengar kata-kata Tia.

“Kalau awak nak ikut, tak ada masalah.” Jawab Rafique lambat-lambat.

Tia ketawa lebih kuat. Dianggapnya kata-kata itu sangat melucukan keluar dari mulut lelaki itu. Hanya Davian sahaja yang tidak meneruskan tawanya. Dia menyiku pangkal lengan Rafique namun tidak dipedulikan temannya itu.

“Jangan nak berguraulah. Saya tak mungkin akan ikut lelaki yang saya tak kenal.” Canda Tia. Dia langsung tidak menganggap kata-kata Rafique itu serius.

Rafique terdiam. Kata-kata Tia ditelan dengan wajah berkerut. Melihat Tia bersedia hendak keluar, cepat-cepat dia memanggil gadis itu semula. Tia menoleh.

“Oh ya sebelum terlupa. Nah!” Tiba-tiba sahaja Rafique menghulurkan sekeping gambar ke arah gadis itu. Tia menyambutnya lalu menatap gambar itu sepintas lalu.

“Macamana gambar ni boleh ada dengan awak?” Tanya Tia dengan wajah hairan.

“Itu gambar awak masa kecil?” Soal Rafique. Sengaja dia menunjukkan gambar itu pada Tia. Itu salah satu cara terpantas untuk da mengetahui kebenaran tentang gadis itu.

Tia tiba-tiba ketawa. “Taklah, ini bukan gambar saya.” Jawab gadis itu.

Rafique dan Davian saling berpandangan. Bukan?

“Habis kalau bukan gambar awak, itu gambar siapa?”

“Ini gambar kakak saya.”

“Kakak?” Rafique keliru. Bukankah usia Tia hampir sebaya dengan Adelie de’ Casper?

“Ya kakak saya, tapi dia dah meninggal dunia. Dia kemalangan masa usia dia tujuh tahun. Gambar ni diambil masa usia dia lima tahun.” Jelas Tia.

Rafique tersentak. Sudah meninggal?

“Tapi macamana awak boleh dapat gambar ni? Rasanya saya tak simpan gambar ni dalam dompet pun. Gambar ni selalunya ada dalam simpanan ayah saya.” Ujar Tia seraya melirik ke arah Rafique yang kelihatan kaku.

“Err..saya nampak gambar ni jatuh dari dompet awak tadi.” Jelas Rafique.

“Ye ke? Peliknya! Tapi tak apalah, terima kasih sebab hantar saya balik. Okeylah, saya nak pergi dulu. Bye.” Sejurus melambai-lambaikan tangannya, gadis itu segera berlalu pergi dari situ. Davian menjeling Rafique yang diam sahaja di sampingnya.

“Apa yang kau fikirkan?” Soal Davian ingin tahu. Dia dapat rasakan, fikiran Rafique sedang melencong jauh. Dan sedikit sebanyak dia boleh menggagak puncanya.

Rafique tiba-tiba berpaling. “Kau rasa dia Adelie yang kita cari?”

Davian tidak menjawab. Nafasnya mendesah.

“Kau sendiri dengar apa dia cakap. Gambar tu bukan gambar dia, tapi gambar kakak dia.” Suara Davian tiba-tiba terhenti. Renungannya singgah kaku di wajah Rafique.

“Kau fikir Adelie memang benar-benar sudah meninggal?” Tanya Davian.

Rafique menggeleng. “Entahlah. Tapi kalau benar, aku mesti cari kubur dia sampai jumpa. Granny tentu sedih kalau dia tahu satu-satunya cucu perempuan dia sudah meninggal dunia.” Keluh Rafique.

“Dia tak bernasib baik, apa nak buat.” Balas Davian.

Rafique terdiam. Matanya melurus ke hadapan. Memerhatikan susuk tubuh Tia yang sedang melangkah ke suatu arah. Fikirannya entah kenapa resah. Granny, Rafique menyesal datang ke mari. Kalau benar cucu granny sudah meninggal, Rafique tak sanggup nak beritahu granny berita buruk ini. Rafique tak mahu granny berduka! Bisik Rafique kesal.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!