Followers

Monday, October 15, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 8


            “DANIRA, hantar minuman ni kat meja nombor empat.” Jerit Pak Maidin dari arah dapur. Dia yang sibuk mengutip pinggan mangkuk kotor segera menoleh. Pantas dia mengemaskan meja di hadapannya sebelum mula mengangkat dulang minuman ke arah  kaunter dapur.

            “Kita kena jumpa dia malam ni juga. Urusan di Singapura tu harus dibincangkan dengan dia.” Suara lelaki berambut kerinting di meja nombor empat itu mencuri masuk ke gegendang telinganya.

            “Aku akan bawa masuk senjata tu. Kau jangan bimbang.” Sahut lelaki bercermin mata gelap itu pula.

Dia tersentak mendengarnya. Senjata? Betulkah apa yang didengarinya? Tangannya yang menatang dulang mula menggigil. Namun kakinya digagahi jua ke arah meja bernombor empat itu. Terketar-ketar dia cuba meletakkan dulang minuman di atas meja.

            Lelaki berambut kerinting mendongak memandangnya. Wajahnya disorot tajam. Dia mula gugup. Hatinya membisikkan agar dia cepat-cepat beredar dari situ, namun secepat kilat pergelangan tangannya disentap pantas. Dia terpempan. Lelaki itu masih memandangnya. Tersengih.

            “Dik, abang bukan minta air sirap, abang minta air nescafe suam. Tukar ya sayang.” Bisik lelaki itu sambil melepaskan tawa nakal. Dia pantas mengangguk, lalu cepat-cepat meninggalkan kedua-dua lelaki itu. Nasib baik lelaki itu hanya mahu menukar minuman. Ingatkan apalah tadi!

            “Kenapa ni Nira?” Tanya Pak Maidin yang hairan melihat wajahnya yang gelisah sakan.

“Err..tak ada apa-apa Pak Maidin. O..orang kat meja nombor empat tu tak nak sirap, dia..dia nak air nescafe suam.” Ujarnya tergagap-gagap memberitahu.

            “Oh nak nescafe suam. Kejap Pak Maidin siapkan.” Ujar lelaki itu tanpa mengesyaki apa-apa. Selang beberapa minit kemudian, minuman itu sudah berada di hadapan kaunter. Mahu tak mahu sekali lagi dia terpaksa menghantar minuman itu ke meja yang sama.

Dia cuba bertenang. Nafasnya ditarik perlahan. Biar siapa pun lelaki-lelaki itu, dia tidak boleh membiarkan dirinya berada dalam ketakutan seperti sekarang. Silap-silap haribulan lelaki-lelaki itu mungkin akan mengesyaki sesuatu.

            “Ini airnya encik.” Ujarnya lalu meletakkan gelas nescafe itu di hadapan lelaki berambut kerinting itu. Lelaki itu tersengih memandangnya.

“Terima kasih adik comel.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum. Dia terdiam. Entah kenapa, ketawa kedua-dua lelaki itu menyengat perasaannya. Dia amat pasti kedua-dua lelaki itu bukan orang yang baik.

            “Hah, itupun dia dah sampai.” Lelaki bercermin mata yang duduk di hadapan lelaki berambut kerinting itu tiba-tiba mencelah. Dia turut sama menoleh. Seorang lelaki berjaket hitam gelap sedang menuju ke arah mereka.

Melihat lelaki itu, wajahnya serta-merta berubah. Dia hampir pitam. YA ALLAH! Wajah ayahnya segera terhimbau dalam ingatan. Kejadian yang berlaku hampir setahun yang lalu kini menghambat rasa cemasnya. Pandangannya tiba-tiba gelap. Melihat lelaki itu selamba sahaja melewatinya tanpa memandangnya, dia hanya mampu memejamkan matanya. Nafasnya terlontar resah. Pasrah!

*  *  *  *

            Malam itu dia sukar mahu melelapkan mata. Fikirannya asyik melayang teringatkan lelaki bertatoo yang ditemuinya di warung Pak Maidin petang tadi. Sukar dia mahu percaya yang dia akan bertemu lelaki itu semula. Lelaki yang penuh tanda tanya. Lelaki yang sering membuatkan tidur malamnya terganggu. Kematian ayahnya apakah benar-benar berkait dengan lelaki itu? Salah apakah yang dilakukan ayahnya sehingga dibunuh dengan kejam?

Ayahnya seorang bapa dan suami yang baik. Lelaki itu tidak pernah melakukan kesilapan ataupun mencari musuh dengan sesiapa pun. Semua pelajar-pelajar ayahnya menyayangi lelaki itu. Dia apatah lagi. Tanpa dipinta, sekali lagi airmatanya mengalir laju menuruni cerun pipi.

            “Kak, kenapa kakak nangis?” Naufal tiba-tiba muncul di muka pintu. Menyedari kemunculan adiknya, dia cepat-cepat menyeka airmata yang semakin lebat bertamu.

            “Kenapa belum tidur lagi? Hari dah lewat ni, esok Naufal sekolah.”

            “Naufal dahaga kak. Naufal terasa nak minum.” Ujar anak itu.

Dia terdiam. Matanya dilarikan ke arah jam di dinding biliknya yang sudah menjengah pukul 11.30 malam.

“Tak apalah, Naufal masuk bilik dulu. Nanti kakak bawakan air.” Ujarnya lalu bingkas bangun dari katilnya.

            Dia perlahan-lahan menuruni anak tangga lalu menuju ke tingkat bawah. Kakinya dihela ke suatu arah. Namun sewaktu dia mahu menuju ke arah dapur, telinganya tiba-tiba mendengar suara orang sedang berbual-bual di ruang tamu. Langkahnya terhenti seketika. Entah kenapa, suara yang sedang bercakap-cakap itu membuatkan dia berminat mahu mencuri dengar.

Diam-diam dia mengintai dari sebalik sudut. Di situ dia menemukan kelibat pakcik dan makciknya sedang berbual-bual di ruang tamu. Suara gelak ketawa pakciknya jelas kedengaran.

            “Berjaya juga kita dapat apa yang kita hajatkan Leha.” Gelak Kamal. Musliha turut sama tertawa.

            “Yalah bang, nasib baik otak abang tu bergeliga. Kalau tak saya tak terfikir kita boleh dapat semua harta-harta Adnan dengan Zahlia tu.” Sampuk Musliha pula.

Dia yang bersembunyi di belakang pintu tercengang jadinya. Kata-kata makciknya Musliha membuatkan dia diterpa perasaan hairan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan wanita itu?

            “Sekarang, undang-undang pun tak boleh sentuh kita. Kita dah dapat rumah ni, termasuk duit-duit Adnan dan semua tanah-tanah mereka. Semuanya dalam genggaman kita Leha.” Ujar Kamal.

            “Tapi sah ke tandatangan si Zahlia tu dalam keadaan dia yang gila tu?”

            Kamal ketawa besar. “Bodohlah kamu ni Leha, abang reti la nak buat macamana supaya tandatangan ni jadi sah. Orang akan sangka Zahlia tandatangan semua surat-surat tu sebelum dia jadi gila.”

            Sekali lagi dia tersentak mendengar kata-kata Pak Longnya. Peluh dingin mula memercik di dahinya. Meskipun dia masih muda, namun dia bukannya bodoh. Dia bagaikan dapat menghidu lelaki itu sedang merencanakan sesuatu untuk menganiayai ibunya. Menganiayai mereka semua!

            Tanpa berfikir panjang, dia keluar dari tempat persembunyian dengan niat mahu bersemuka dengan pasangan suami isteri itu.

            Terkejut Kamal dan Musliha sebaik melihatnya tiba-tiba terpacul di situ. Kamal memandang isterinya Musliha. Wanita itu hanya mampu menjongketkan bahunya.

            “Apa maksud Pak Long tadi?” Dia menyoal dengan suara meninggi. Dadanya berombak-ombak memikirkan yang bukan-bukan.

            “Apa bendanya? Kamu ni merepek apa ni Nira?” Lelaki itu tergelak-gelak kecil. Cuba melindungi niat hati yang tersembunyi.

            “Nira dengar Pak Long kata nak ambil semua harta-harta ayah dengan umi. Rumah ni juga. Ini rumah Nira dengan Naufal, bukan rumah Pak Long.” Balasnya kasar.

Kamal menjegilkan matanya. Wajah lelaki itu merah padam menahan marah.

            “Betul ini rumah kamu dua beradik. Tapi sekarang ni, rumah ni dah jadi hak milik aku. Lagipun kamu kecik lagi, manalah kamu mampu nak uruskan rumah sebesar ni. Tambah lagi mak kamu tu gila!” Herdik Kamal.

            “Pak Long tak boleh sesuka hati nak ambil rumah kami. Ini rumah ayah dengan umi. Dan umi bukannya gila Pak Long. Umi cuma sakit!” Bentaknya tidak mahu mengalah.

            “Memanglah sakit. Sakit gila! Kalau kamu nak tahu Nira, umi kamu tu ada keturunan penyakit gila. Sebab tu gila dia tak baik-baik.” Balas Musliha pula. Lancang dan menyebalkan sesiapa pun yang mendengar.

            “Sampai hati Mak Long cakap macam tu pada umi.” Dia mengesat airmata yang mula bertakung di penjuru matanya. Emosinya meledak mendengar kata-kata penghinaan wanita itu terhadap ibunya.

            “Sudah! Aku tak nak dengar lagi kamu mengarut Nira. Rumah ni dengan harta-harta ayah kamu, semuanya dah jadi milik aku. Faham? Kalau kamu tak percaya, ini buktinya.” Sehelai kertas digoyang-goyangkan di hadapan matanya. Dia terkedu. Dia tidak faham isi kandungan kertas tersebut.

            “Mak kamu dah tandatangan surat penyerahan geran rumah ni termasuk tanah-tanah dia dan semua duit di bank pada aku. Sekarang aku dah sah jadi penjaga kamu dengan Naufal. Kalau kamu tak suka, kamu dengan Naufal boleh berhambus dari rumah ni.” Bentak Kamal.

            Tubuhnya menggigil mendengar kata-kata lelaki itu. Kenyataan yang baru keluar dari bibir Pak Longnya sukar mahu dipercayai. Tanpa disedari, tubuhnya tersungkur lemah ke lantai.

“Kakak!” Jerit Naufal yang tiba-tiba menerpa ke arahnya. Dia segera merangkul tubuh adiknya bersama titis-titis airmata yang tak henti-henti mengalir di pipi.

            “Baguslah dua-dua ada kat sini bang. Dah terlanjur dia tahu, kita halau saja mereka dari sini. Ada kat sini pun, menyemakkan mata saya aje.” Rungut Musliha sambil memasamkan mukanya. Kamal mengangguk setuju.

            Seperti dirasuk, Kamal segera menarik lengannya manakala tangan lelaki itu yang satu lagi memegang tangan Naufal. Musliha menguak pintu selebar-lebarnya. Tanpa belas kasihan, lelaki itu menghumban tubuh-tubuh kecil mereka ke luar rumah. Naufal menangis kuat. Melihat keadaan Naufal, dia segera meluru ke arah adiknya. Tubuh kecil Naufal dirangkul erat, sambil matanya memandang ke arah Kamal.

“Sampai hati Pak Long buat Nira dengan Naufal macam ni. Pak Long langsung tak kasihankan kami?” Tangisnya dalam kesedihan.

            “Kasihankan kamu? Aku cuma kasihankan diri aku sendiri. Kamu dengan mak ayah kamu, tak ada maknanya bagi aku.” Balas Kamal bongkak.

“Mulai hari ni, kamu dengan adik kamu tu aku haramkan pijak rumah ni lagi. Faham?” Herdik lelaki itu lalu menghempas pintu di hadapannya.

Dia terkesima. YA ALLAH! Ke mana mereka harus pergi malam-malam buta begini? Kalau ayah dan uminya masih ada, mereka berdua takkan dibuli begini! Dia memeluk Naufal lebih erat apabila Naufal menangis tidak henti-henti sepanjang malam itu.

1 comment:

Unknown said...

eeeeeeeee,geram nye ngan manusia yang tak tau hukum hakam ALLAH ngan makan harta anak yatim!!!!!dah lah umi sakit cam tu ibarat yatim piatu.hey!'manusia yg tk ade ati perut,kamu saolah meratah darah daging sendiri bile seleweng kan harta2 anak yatim piatu...terlepas di dunia namun,tidak di akhirat n kekadang ALLAH akan bayar cash kat dunia ne...samdol nye manusi!!!

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!