Followers

Monday, November 22, 2010

Blue Sunset : Prolog

AQI menghentikan kereta Volkswagen kepunyaannya di bahu jalan. Dia menyarungkan beg sandang ke bahunya lalu melangkah laju ke arah sebuah lereng bukit. Nun jauh di hadapannya, pemandangan Kuala Lumpur terbentang indah bagaikan sebuah hamparan lukisan di dada kanvas.

Dia mengambil posisi. Posisi yang sama sejak dua tahun yang lalu ketika dia mula mengenali tempat itu secara tidak sengaja. Ditunjukkan oleh seorang temannya yang tahu dia sedang mencari port yang bagus untuk melukis.

Sesudah melapik tempat duduknya dengan alas kain, dia segera mengeluarkan isi beg sandangnya. Sketches dan beberapa batang drawing pencil dikeluarkan dari dalam beg lalu disepahkan di sisinya.

Dia membuka helaian sketches kepunyaannya. Dia hanya perlu menyiapkan beberapa sahaja lagi lakaran sebelum ditunjukkan pada Iman Khaliq, lelaki yang dikenalinya beberapa minggu yang lalu. Diperkenalkan oleh Doktor Ilani, bekas pensyarahnya di sebuah kolej swasta.

Menurut Doktor Ilani, adiknya Iman mempunyai sebuah syarikat pengeluar jeans yang menjurus kepada penghasilan jeans yang menggunakan paten dan label sendiri. Dan dia ketika itu yang sedang mencari pekerjaan rasa teruja apabila lelaki itu menawarkannya jawatan sebagai pereka.

Kali pertama semasa temuduga, dia gagal menghadirkan diri menyebabkan Sri Anjung Design menawarkan pekerjaan itu kepada orang lain. Tapi tak disangka-sangka, lelaki bernama Iman Khaliq itu menelefonnya baru-baru ini dan meminta dia menghasilkan portfolio rekaan-rekaan yang bakal diterapkan pada jeans-jeans jenama George Essentials yang dipatenkan semula atas nama SAD.

Dia memang gembira dengan tawaran lelaki itu. Apatah lagi dia tahu dengan keadannya, dia sukar diterima bekerja. Malah Doktor Ilani sentiasa mengingatkan dirinya tentang risiko ini.

Perkenalannya dengan wanita itu bermula ketika dia menemui wanita itu beberapa tahun yang lalu, ketika menghadiri temuduga untuk memasuki Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSLSR) di salah sebuah kolej swasta di ibukota.

“Awak ada masalah rabun warna.” Ujar wanita itu seraya melirik maklumat-maklumat dirinya di dalam dokumen yang dikepilkan di dalam fail.

“Saya tahu puan.” Ujarnya perlahan.

Wanita itu mendongak lalu merenung wajahnya.

“Awak tahu kan ini salah satu syarat khas untuk pemohon yang mahu memasuki fakulti ini?” Tanya wanita itu.

Dia tetap jua mengangguk. “Saya tahu puan.”

“Maaf kami tak boleh terima pelajar yang rabun atau buta warna.”

“Tolonglah puan, saya benar-benar berminat nak mengikuti program ni. Saya tahu saya mengalami masalah rabun warna, tapi saya boleh melukis. Saya mampu belajar puan. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh.” Dia merayu wanita itu berkali-kali. Portfolionya yang menghimpunkan semua hasil kerjanya ditunjukkan pada wanita itu.

Usai melihat portfolio itu, wanita itu mendongak ke arahnya. Dahi wanita itu berkerut. “Awak yang lukis semua ni?”

Dia hanya mengangguk. Wanita itu memandang tepat ke wajahnya.

“Boleh saya tahu sejak bila awak ada masalah penglihatan?”

“Sejak kecil lagi puan.”

“Tapi awak mampu membuat lakaran dengan baik. Impossible.” Ulas wanita itu dengan wajah kehairanan. Wanita itu dilihat berbincang sesuatu dengan temannya. Melihat kedua-duanya saling berbisik, entah kenapa ketika itu dia merasakan kedatangannya hari itu hanya sia-sia belaka. Tak mungkin pihak kampus akan sudi menerima seorang yang buta warna sepertinya.

“Sketching yang awak hasilkan bagus. Menarik! Dan saya akui portfolio awak lebih baik dari sesetengah calon lain yang hadir temuduga hari ni. Tapi kami ada peraturan sendiri, we can’t abandon the rule!” Ujar wanita itu.

Dia terdiam. Kata-kata wanita itu tidak mengejutkannya kerana dia sudah menjangka reaksi seperti itu. Ibunya sentiasa berpesan agar tidak terlalu bergantung harap, atau dia akan dikecewakan. Saat itu dia benci mahu mengaku bahawa dia benar-benar kecewa.

“Tapi saya janji, saya akan kemukakan kes awak ni pada pihak kampus ni. Kami akan cuba menilai semula potensi yang awak ada. Lagipun tentu sayang mahu melepaskan seorang gadis yang berbakat seperti awak.” Suara wanita itu bergema semula. Hadir bersama senyuman mesra yang dilontar ke arahnya.

Dia tergaman. Terkejut mendengar kata-kata wanita itu. Sukar dia mahu mencerna kata-kata yang terbit dari bibir Doktor Ilani. Namun dia gembira dengan harapan yang diberikan wanita itu walaupun sedikit.

Situasinya sampai ke pengetahuan pihak dekan kolej. Malah Doktor Ilani sendiri bertanggungjawab menyakinkan pihak kolej untuk menerimanya dengan alasan dia amat berbakat. Akhirnya setelah menetapkan beberapa syarat, dia lulus dan diterima masuk. Tapi syarat yang dikenakan oleh pihak dekan ialah, dia harus mendapat purata gred CGPA 3.50 ke atas setiap semester. Hanya dia seorang! Atau dia akan dikeluarkan serta-merta dari kursus seni reka industri yang diikutinya.

Aqi tahu dia sepatutnya tidak boleh merungut. Tuhan telah menarik satu anugerah dari hidupnya, tapi tuhan juga telah menganugerahkan sesuatu yang lain untuknya iaitu bakat untuk melukis. Bakat untuk melakar sesuatu yang indah meskipun ianya tidak berwarna. Dan kesempatan belajar dalam bidang seni reka fabrik di bawah bimbingan Doktor Ilani benar-benar satu kesempatan terbaik buatnya.

Tapi hidupnya bukan semudah yang disangka. Kata-kata Doktor Ilani semuanya benar belaka. Masih ada ramai manusia di dunia ini yang memandangnya sebagai satu objek aneh yang tidak layak dihargai. Hanya kerana kelemahannya, dia dipinggir. Tidak ada mana-mana syarikat pun yang sudi menerimanya bekerja sebaik mengetahui kekurangan yang ada pada dirinya. Berbulan-bulan lamanya dia menganggur. Sehinggalah panggilan Doktor Ilani membangkitkan semula semangatnya.

Dan sejak beberapa hari yang lalu, inilah rutinnya setiap petang. Dia akan menghabiskan masanya di lereng tepi bukit itu menyiapkan lakaran-lakaran bertemakan flora yang diminta oleh lelaki bernama Iman Khaliq. Setelah senja berlabuh, baru dia bersiap-siap untuk pulang. Itupun selepas matahari terbenam di ufuk timur…

When I was growing as a little kid

I dread for sunset to come

And darkness to fill the earth

I was so afraid of being alone

Lying on my small bed waiting for the sun to rise



O Lord I thank thee

For allowing me to see how beautiful the sunset is

Each day colors of the sunset is so different from yesterday

I marvel and is awed by your masterpiece



And throughout my journey

I've learned sunset in life is often rest and peace

Not something to be arfaid of

But something to look forward to

A haven, a sanctuary



Now as I watched the flame of the sun

Slowly changing into grays

Intertwined in blazing but subdued red and orange

I can see the Lord's arms spread across

A sunset telling me I am home

Dia mengalunkan puisi itu di dalam hati seraya memandang ke arah langit kirmizi. Matanya terpaku pada matahari yang kian tenggelam.

“Mak, cantik tak warna matahari tu?”

“Cantik sayang. Warnanya kuning, silau dan kadangkala boleh bertukar merah.”

“Bertukar merah? Kenapa?”

“Bila matahari nak terbenam, warnanya akan bertukar kemerah-merahan menandakan matahari tu dah nak tidur.” Jawab si ibu.

“Warna merah dan kuning tu macamana mak?” Suara kecilnya masih mengalunkan pertanyaan. Namun kali ini ibunya tidak menjawab. Mata wanita itu meratah wajahnya dengan pandangan sayu. Tiba-tiba sahaja tubuhnya dipeluk ibunya sekuat hati. Dia tergaman.

“Maafkan mak Aqi.” Suara ibunya sebak.

“Kenapa mak?”

“Mak bersalah pada Aqi. Mak dah hancurkan hidup Aqi, masa depan Aqi.”

Satu ciuman singgah di dahinya. Dia hanya mampu menatap wajah ibunya dengan pandangan keliru. Masa depan apakah yang dimaksudkan ibunya? Dirinya elok-elok sahaja sekarang ini. Dia tidak ada cacat celanya! Sekurang-kurangnya itulah yang bermain di kepalanya. Tapi bukan pada orang lain. Bukan juga pada ibunya sendiri.

“Mak tak salah apa-apa pun pada Aqi. Aqi tak pernah rasa kekurangan satu apa pun. Hidup Aqi bahagia dengan mak. Aqi tak perlukan sesiapa lagi selain dari mak.” Bisiknya perlahan.

Matanya terus meraut matahari di hadapannya yang kian tenggelam sedikit demi sedikit. Kesuraman warna di matanya juga kian gelap. Kian pudar. Dia merenung warna matahari yang membiru. Itulah dunianya kini. Segala-galanya biru. Biru dalam definisinya sendiri!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!