Followers

Tuesday, November 23, 2010

Blue Sunset : Bab 7

MATANYA meninjau ke luar. Memerhatikan dengan asyik ulas-ulas awan yang pelbagai bentuk. Menari-nari di ruang matanya. Namun di antara bentuk-bentuk awan yang diperhatikannya, matanya seperti memandang suatu wajah yang amat dirindui. Yang tetap diingati dan dikenang meskipun dia jauh beribu-ribu batu.

Demi Allah dia rindu pada wajah itu. Dia rindu mahu membelai juntaian rambut anak itu. Kasih sayang yang dirasainya, meskipun tidak dapat dizahirkan tapi akan tetap menjadi bukti bahawa dia seorang ibu. Naluri keibuannya memaksanya merayu dan menangis memohon simpati. Namun ternyata usahanya hanyalah sia-sia. Dia tidak mampu memujuk lelaki itu memberikan sesuatu yang paling dimahukannya.

“I mahukan dia.”

“I takkan benarkan.”

“Dia anak I.”

“Dia juga anak I. Apa lagi yang you tak faham?” Tempelak lelaki itu.

“I perlukan dia dalam hidup I. I tahu I banyak buat dosa pada you dan anak kita. Tapi dah lima tahun you jaga dia. Sekarang giliran I pulak.” Rayunya memohon belas ikhsan lelaki itu.

“Setelah lima tahun, baru you nak ambil dia balik? You ni ada hati perut ke tidak? Apa, suami baru you tu tak boleh bagi you zuriat? Sebab tu you terhegeh-hegeh pada I?”

Airmatanya berlinang tanpa disedari. Menghujani pipinya yang masih menghadap ke arah jendela kapal terbang Boeing 747. Penerbangan selama lapan jam dari Sydney bagai tidak terasa langsung. Dia asyik melamun melayan perasaan yang bergolak dalam diri.

Tangannya tiba-tiba disentuh dan digenggam kemas. Dia berpaling. Senyuman lelaki itu terpamer di hadapan matanya. Namun wajah lelaki itu cepat berubah, membuatkan dia mula teringatkan sesuatu. Cepat-cepat dia menyeka sisa-sisa airmata yang lupa dibersihkan. Hatinya gelisah kerana lelaki itu sudah mengesan kesedihan yang dirasakannya.

“I’m so sorry Man. I tak sengaja.” Ujarnya serba-salah. Dia ragu-ragu mahu menoleh ke arah lelaki itu. Entah kenapa dia bimbang dengan reaksi lelaki itu.

Dagunya tiba-tiba ditarik. Dia terpanar namun hanya mampu membiarkan. Saat mata lelaki itu merenung ke arahnya, dia berusaha bertenang. Nafasnya ditarik perlahan.

“You janji yang you takkan menangis lagi.” Ujar lelaki itu.

Dia tunduk diam. Kata-kata itu membuatkan dia serba-salah. Janji? Ya, dia pernah berjanji begitu dahulu. Berjanji bahawa dia akan melupakan segala-galanya dan memulakan hidup baru. Tapi walau sekuat mana pun dia mencuba, namun memori dukanya tidak mampu diganti atau dibuang begitu sahaja.

Lelaki itu tiba-tiba merangkul tubuhnya. Dia pula melentukkan kepalanya ke bahu lelaki itu. Kelopak matanya terpejam rapat. Cuba menahan getar rasa yang menyerang lubuk hatinya saat ini.

“Kita dah janji akan hidup bahagia.” Bisik lelaki itu.

Kelopak matanya kian berat.

“Walaupun kita berdosa, walaupun kita telah melukakan hati ramai orang, walaupun seluruh dunia membenci kita..tapi kita mesti teruskan hidup ini. Kesilapan kita hanyalah kita menyayangi antara satu sama lain. Maka jika kasih sayang ini adalah kesalahan di mata orang lain, maka hukuman terbaik untuk kita ialah kita harus hidup bahagia. Harus!” Bicara Lukhman membuatkan dia membuka matanya. Kepalanya didongak, memandang sisi wajah suaminya yang turut memandang ke arahnya. Dia ingin mengatakan sesuatu, namun suara pramugari yang mengarahkan mereka mengemaskan ikatan seat belt membuatkan hasratnya terbatal.

Mengetahui mereka sekarang berada di ruang udara Malaysia, hatinya entah kenapa gementar. Hampir lapan tahun mereka berada di perantauan. Lapan tahun dia tinggalkan segala-galanya di Malaysia demi mengikut Lukhman yang diminta menguruskan cawangan syarikat suaminya di Sydney. Dan lapan tahun juga dia menjadi perindu sepi. Sakitnya rindu ini begitu mendera jiwanya. Dan sakit lagi hatinya apabila dirinya dihalang dari menghampiri anaknya sendiri.

* * * *

Dato’ Fuad asyik memerhatikan pergelangan tangannya. Sesekali kepalanya tertinjau-tinjau ke arah balai ketibaan. Dia sedang menanti seseorang, namun setelah sejam terpacak di hadapan Arrival Hall, ternyata orang yang dinanti masih belum muncul diri.

Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi riuh-rendah. Dato’ Fuad menoleh lalu memanjangkan leher. Cuba mencari arah bunyi bising tersebut. Dari tempatnya berdiri, dia melihat sekumpulan lelaki dan wanita sedang berbincang sesuatu tidak jauh dari situ. Beberapa orang dari mereka memegang kamera beresolusi tinggi. Manakala yang lain ada yang memegang mikrofon dan ada juga yang memegang buku nota di tangan masing-masing. Telinganya sempat menangkap beberapa patah perkataan yang tidak jelas kedengaran.

“Kau yakin ke dia sampai hari ni?”

“Mestilah aku yakin. Aku dapat sumber ni pun dari bekas pengurus Jalena sendiri. Khabarnya dia akan sampai dari Sydney petang ini.”

“Entah macamana rupa dia sekarang? Tentu makin cantik.”

“Bos aku dah tempah temubual ekslusif dengan dia malam esok. Rating rancangan kami mesti tinggi malam esok. Jalena masih ramai peminat meskipun sudah bersara dari dunia hiburan.”

Dato’ Fuad hanya mampu mengeluh. Rancangan Lukhman dan Jalena untuk pulang secara senyap-senyap rupanya sudah dihidu oleh wartawan hiburan. Melihat kumpulan wartawan-wartawan hiburan itu semakin bertambah, Dato’ Fuad semakin rungsing. Dia segera menghubungi pemandunya.

“Ali, kejap lagi kau bawa kereta tunggu di hadapan pintu masuk utama. Biar enjin terpasang.” Arah Dato’ Fuad. Sejurus menamatkan perbualan dengan pemandunya, matanya segera terpandang kelibat yang amat dikenalinya. Lukhman?

* * * *

“What do you think?” Tanya Dato’ Fuad sambil melirik ke arah sahabat yang sudah lama tidak ditemui. Lukhman tersenyum lalu mengangguk. Mata lelaki itu masih ralit memerhatikan susun atur rumah dua tingkat itu.

“Nice work.” Sahut Lukhman.

“Aku cari interior designer yang berpengalaman untuk hias rumah ni. Anak saudara aku yang syorkan.” Ujar Dato’ Fuad lagi.

“Terima kasih Fuad. Aku hargai apa yang kau buat.”

“Jangan sebut benda-benda tu lagi. Kau kan kawan aku. Lagipun keadaan Jalena tak mengizinkan untuk dia bersusah-payah. Tapi kalau Jalena tak suka, aku boleh minta interior tu redesign semula.”

Lukhman menggeleng. “It’s okay, no need for that. Lagipun bermula esok kami akan sibuk. Aku akan mulakan kerja aku esok. Jalena ada beberapa interview yang harus dia hadiri. Rumah ni tak lama lagi akan jadi tempat persinggahan saja.” Gurau Lukhman lalu tersenyum.

“Bagaimana kau sendiri?” Dato’ Fuad terkelip-kelip memerhatikan ke arah Lukhman.

“Aku tetap begini. Seperti yang kau nampak.”

“Kau tahu maksud aku Man.”

Lukhman mengangguk. “Aku faham apa yang kau nak tanya. Tapi percayalah, aku dan Jalena baik-baik sahaja. Dia pun dah sembuh.” Tegas Lukhman.

“Baguslah kalau begitu. Kau berehatlah, kita jumpa nanti.” Dato’ Fuad meminta diri untuk beredar. Dia diiringi Lukhman sehingga ke keretanya.

“Fuad, terima kasih sebab tolong kami elakkan diri dari wartawan tadi. I really appreciate what you have done to us.” Sudah dua kali Lukhman mengucapkan terima kasih. Dia benar-benar rasa terhutang budi dengan temannya Fuad yang telah banyak membantu menguruskan kepulangan mereka ke Malaysia.

Dato’ Fuad sekadar mengangguk lalu masuk dalam perut kereta. Sejurus kemudian, kereta Mercedes Benz kepunyaan lelaki itu beredar meninggalkan perkarangan banglo mewah di Taman Semantan.

Sebaik kereta sahabatnya itu menghilang, barulah Lukhman mengangkat kaki masuk ke dalam rumah. Dia menaiki tangga ke tingkat atas lalu membuka pintu sebuah bilik. Di dalam bilik itu, dia menemukan tubuh isterinya sedang terbaring di atas katil dengan mata terpejam rapat. Perlahan-lahan Lukhman menghampiri wanita itu lalu duduk di birai katil. Wajah Jalena yang polos dipandang agak lama. Airmuka wanita itu nampak penat. Lukhman tersenyum. Sebuah kucupan singgah di dahi isterinya.

Sesudah menyelimuti isterinya, dia mengambil kesempatan meninjau suasana di rumah barunya dari beranda di tingkat dua. Pandai Fuad memilih rumah itu untuk mereka berdua. Rumah itu cantik dan terletak di sebuah kawasan perumahan mewah untuk golongan elit. Dan yang lebih penting, rumah itu terletak agak jauh dari rumah-rumah lain. Selama hidup bersama Jalena, dia sudah faham tentang privasi isterinya yang harus dilindungi.

Masa terlalu pantas berlalu. Lapan tahun dahulu mereka tinggalkan segala-galanya di sini. Dia dan Jalena sengaja mencari alasan untuk meninggalkan tempat ini. Jauh dari segala-galanya yang menghantui isterinya dan dirinya sendiri. Tapi setelah lapan tahun, kini mereka pulang. Malah Jalena sendiri meminta untuk pulang ke tanahair. Jauh di sudut hati dia amat memahami akan kerinduan yang menyelubungi fikiran isterinya. Seperti wanita itu, dia juga merindui seseorang di sini. Dan wajah itu semakin kerap hadir dalam mimpi-mimpinya sejak akhir-akhir ini.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!