Followers

Saturday, January 9, 2010

Tiada Sepertimu 4

BAKHTIAR merengus tatkala ternampak kelibat anak gadis itu mengekori Romei dari arah belakang. Zara yang melihat reaksi ayahnya terasa sedikit gugup, serba tidak kena. Mahu saja dia menghilangkan diri ketika itu juga, kalau bukan Romei menarik tangannya separuh memaksa. Entah mengapa, sikap perengus lelaki itu tidak pernah berubah sejak zaman muda sehinggalah ke tua. Agaknya sebab itulah jodoh ibunya dengan lelaki itu tidak kekal lama.
“Ayah dah makan?” Tegur Romei sambil bersalam dengan lelaki itu. Selepas Romei, giliran Zara pula mengikut jejak adiknya. Tangan ayahnya dikucup lembut. Terkelip-kelip mata Bakhtiar memerhatikan sikap Zara.
“Dari mana ni?” Tanya Bakhtiar entah pada siapa. Wajahnya masam kelat.

“Romei baru balik makan dengan Zara, ayah.” Sahut Romei.

“Kak Zara.” Bakhtiar membetulkan. “Apa sedap benar bahasa kamu ni Romei? Zara tu kan kakak kamu,” sambung lelaki itu.

Romei hanya tersengih seraya melirik ke arah Zara. Zara ingin ketawa tapi tidak berani melafazkan di hadapan orang tua itu.

“Ke mana kamu malam semalam Zara?” Tanya Bakhtiar sambil menghalakan matanya ke wajah anak gadisnya.

“Kak Zara demam semalam ayah.” Sampuk Romei tiba-tiba.

Zara terpegun. Dia menjeling Romei, namun anak muda itu selamba sahaja menuturkan kata-kata. Zara mengalihkan pandangannya semula. Hatinya berdebar-debar tatkala matanya berpapasan dengan renungan si ayah.

“Betul kata Romei tu?” Soal Bakhtiar ingin tahu.

Zara terus terdiam. Dia serba salah jadinya. Jari jemari Romei terasa menguis-guis tangan di belakangnya. Dia tahu Romei mahu dia mengiyakan kata-kata itu. Mahu tak mahu Zara mengangguk. Terdengar keluhan kecil keluar dari bibir ayahnya.

“Kalau tak sihat kenapa tak call ayah, beritahu sepatah dua. Apa ayah ni dah tak penting dalam hati kamu?” Bakhtiar kelihatan tidak senang hati.

“Bukan macam tu ayah, Zara tak larat sangat nak telefon ayah masa tu.”

“Mama kamu mana?”

“Mama tak ada ayah. Dia terbang ke Jakarta pagi tadi.” Beritahu Zara perlahan.

Bakhtiar merengus. Memang ragam bekas isterinya itu tidak pernah berubah. Dari dulu asyik sibuk terbang ke sana ke mari. Itulah punca kenapa mereka bercerai dulu. Dia tidak betah beristerikan wanita yang lebih sibuk darinya. Sepanjang perkahwinan mereka dulu, hendak bertemu muka punyalah sukar. Dalam seminggu hanya dua hari dia dapat bersua muka dengan Rubiah. Selebihnya dia hanya mampu mencongak dengan jari.

“Kamu singgah di sini malam ni? Makan dengan ayah,” pelawa Bakhtiar. Hatinya sudah mula sejuk. Lagipun tidak guna dia terus marah-marah jika anak itu sendiri sudah mahu menjenguk muka.

“Err sebenarnya Zara ada kerja lagi lepas ni ayah. Zara nak jumpa kawan,” balas Zara memberi alasan.

Bakhtiar terdiam mendengar kata-kata anak gadisnya. Entah kenapa, kadangkala dirasakan Zara seperti sengaja mahu mengelak dari bertemunya. Kemesraan antara anak dan ayah bagaikan tidak wujud langsung di antara mereka. Kadang-kala dia kesal kerana terpaksa beralah menyerahkan Zara dalam jagaan Rubiah dua puluh tahun yang lalu.

* * * *

MATA Zara dihalakan ke arah sekumpulan pejalan kaki yang melintas petak kuning di hadapan keretanya. Namun sebenarnya dia leka termenung. Ingatannya tertumpu pada raut wajah ayahnya yang muram sewaktu dia meminta diri mahu pulang tadi. Entah kenapa, hatinya rasa tidak sedap pergi begitu sahaja. Namun demi Allah, bukan niatnya mahu mengelak diri dari lelaki itu. Hanya dia yang tidak tahu cara membuka perbualan. Setiap kali dia berhadapan dengan lelaki itu, tidak tahu kenapa, lidahnya lebih betah membisu.

Sewaktu usianya menjangkau tiga tahun, ayahnya menceraikan ibunya dan berkahwin lain. Sejak itu dia jarang-jarang melihat lelaki itu. Maka tak mustahil kalau dia merasakan ada suatu halangan dalam hubungan mereka.

“Mama, kenapa ayah tak tinggal dengan kita?” Pernah suara kecilnya melontarkan pertanyaan itu. Hatinya ketika itu mudah tercuit bila teman-teman sekolahnya dihantar ayah masing-masing. Hanya dia yang sering keseorangan menanti bas untuk pulang ke rumah. Namun riak wajah ibunya tenang sahaja ketika memandangnya.

“Ayah sibuk, tak boleh tinggal dengan kita.” Jawab wanita itu. Jawapan yang sentiasa mudah.

“Habis mama pun sibuk, selalu tinggalkan Zara sorang-sorang kat rumah,” sambungnya. Ketika itu dia terlalu kecil untuk mengerti apa-apa. Ibunya pula hanya tertawa dengan telatahnya. Dan selepas itu perbualan mengenai ayahnya tamat tanpa sempadan. Begitulah selalunya yang terjadi jika dia membawa isu ayahnya di dalam perbualan mereka.

Ketika kereta yang dibawanya melewati sebuah restoran, Zara menghentikan kereta. Matanya tertarik memandang restoran yang dikunjunginya semalam. Entah kenapa, terniat di hatinya mahu singgah minum di situ. Lagi pula dia masih belum berkesempatan mahu merasa makanan di restoran itu apabila Datin Kamisah dan ‘anak ikannya’ terburu-buru balik begitu saja semalam.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!