Followers

Friday, February 25, 2011

Blue Sunset : Bab 24

            KAMELIA muntah-muntah lagi setelah selesai menjalani rawatan kemoterapi tengahari tadi. Tubuhnya semakin lemah tidak berdaya. Sekuat-kuat semangatnya pun tetap tewas dengan kudrat sendiri. Sehinggakan seorang jururawat terpaksa memapahnya keluar dari bilik air menuju ke katilnya.
            “Sabarlah kak, memang tekak akan jadi loya, badan lemah dan mata pun jadi kelabu setiap kali pesakit jalani kemoterapi.” Pujuk jururawat berbadan gempal itu apabila dilihatnya Kamelia kelihatan lesu tidak bermaya.
            Kata-kata jururawat itu tidak disambut. Kamelia malas mahu mencelah kata-kata itu, kerana hanya dia yang tahu kesakitan yang dideritainya saat ini. Sudah tiga kali dia menjalani rawatan paliatif sejak penyakitnya diketahui.
            Ketika dia dibaringkan di atas katil, dia sempat menangkap kata-kata jururawat yang dikenali dengan nama Syarifah. “Kakak nak saya telefon anak kakak suruh dia datang?” Tanya jururawat itu seakan simpati dengannya.
            Kamelia menggelengkan kepala. “Jangan. Saya tak nak dia tahu.”
            Ditinggalkan sendirian, Kamelia kembali melayan perasaan sepi. Wajah Aqi muncul di kotak fikiran. Sengaja dia tidak mahu memberitahu Aqi tentang rawatan kemoterapi paliatif yang terpaksa dilakukannya. Dia tahu jika Aqi mengetahuinya, tentu anak gadis itu akan semakin susah hati. Sejak akhir-akhir ini, Aqi sering merungut dan kesal kerana tidak dapat menemaninya selalu.
            Kamelia tahu Aqi anak yang baik. Yang sentiasa menyenangkan hatinya. Kerana itu dia tidak mahu membuatkan anak gadisnya terus susah hati dan bimbang. Keadaannya sudah tidak ada harapan lagi untuk pulih. Berpuluh tahun lamanya dia berjuang melawan kanser pangkal rahim yang dideritainya. Kini dia sudah tidak larat lagi. Hidupnya sudah sampai ke penghujung.
            “Kalenjar para-aortik dah merebak pada buah pinggang puan, menyebabkan salur buah pinggang puan bengkak dan berlaku jangkitan. Itu puncanya kenapa puan rasa sakit di bahagian pinggang dan belakang tubuh. Buat masa ini rawatan yang boleh saya cadangkan ialah kemoterapi paliatif untuk mengurangkan kesakitan yang puan alami.” Begitulah penjelasan Doktor Herman setelah dia selesai menjalani biopsi dua minggu yang lalu.
            “Untuk mengurangkan kesakitan?” Dia mengulang kata-kata lelaki itu.
            Doktor Herman terdiam sebentar sebelum merenung wajahnya dalam-dalam. “Kanser puan dah sampai ke peringkat akhir. Sel-sel kanser merebak lebih cepat dari yang sebelum ini. Rawatan radioterapi dan kemoterapi sudah tidak berkesan lagi. Kita hanya boleh berserah pada Allah S.W.T.”Jelas lelaki itu.
            Dia terdiam. Penjelasan lelaki itu diterima dengan hati pasrah, “Terus-terang dengan saya doktor. Berapa lama masa yang saya ada?”
            Doktor Herman tidak terus menjawab. Keluhan lelaki itu meniti keluar. Lelaki itu bagaikan sedang cuba mengolah ayat terbaik yang harus diberi sebagai jawapan.
            “Puan banyakkan berdoa, bertawakal kepada Allah. Saya hanya manusia biasa. Memberi tempoh jangka hayat manusia bukan kerja saya. Itu semua kerja Dia.” Balas Doktor Herman sekaligus menjawab pertanyaannya bahawa dia sudah tidak memiliki banyak masa.
            Kamelia mengiringkan tubuhnya ke sebelah kanan. Mengadap pemandangan di luar jendela biliknya yang hanya menampakkan awan putih. Dia terkenangkan Aqi.
“Aqi sayang mak.” Bisikan Aqi yang tak lekang-lekang dari bibir dengan segera menguntum senyumannya. Dia rasa terhibur sekadar mengingatkan kata-kata anak itu.
“Mak pun sayangkan Aqi. Tapi kita dah tak boleh bersama macam dulu sayang! Mak akan pergi tinggalkan Aqi.” Dia berbisik sendirian bagaikan Aqi ada di sisinya. Kelopak matanya terkatup rapat. Entah kenapa tubuhnya benar-benar letih kali ini. Dia hanya mahu tidur sebentar.
*  *  *  *
            Lukhman baru selesai mengambil ubat di kaunter farmasi di tingkat tujuh. Dia berhajat mahu menjenguk Doktor Hazbollah sekadar untuk bertanya khabar. Apatah lagi lelaki itu yang merawat isterinya ketika Jalena dimasukkan ke hospital tempohari.
            Ketika dia mahu menuju ke bilik Doktor Hazbollah, seorang lelaki baru sahaja keluar dari bilik di hadapannya. Langkah Lukhman terhenti. Lelaki yang baru keluar itu turut menoleh ke arahnya. Pandangan mereka bertaut.
            Lukhman menarik nafas panjang. Dia sudah tahu dari Jalena tentang Hakim yang berkerja di hospital itu. Nampaknya pertemuan mereka sudah tidak boleh dielakkan lagi.
            “Apa khabar Hakim? Aku ada dengar dari Jalena, kau kerja kat sini sekarang.” Sapa Lukhman seraya menghulurkan tangannya. Dia tidak mengharapkan Hakim sudi menyambut tangannya. Tapi dugaannya ternyata meleset. Dia agak terkejut melihat lelaki itu mencapai tangannya.
            “Dah sepuluh tahun aku kerja kat sini.” Ujar Hakim dengan wajah bersahaja.
            “Aku dengar kau dah bergelar pakar neuro. Tahniah!”
             “Itu memang bidang yang aku minat sejak dulu. Kau masih kerja kat syarikat kereta tu?” Tanya Hakim pula. Lukhman sekadar mengangguk. Mengiyakan tanpa niat mahu menokok tambah.
            “Hakim, kau masih marah pada aku?” Lukhman tiba-tiba membangkitkan persoalan itu. Hakim menatap lelaki di hadapannya dengan wajah serius.
            “Kenapa kau tanya?”
            “Aku nak minta maaf Hakim. Hati aku takkan senang kalau aku tahu kau belum maafkan aku dan Lin. Kami bersalah pada kau dan Zahar.”
            Hakim terdiam. Wajah lelaki di hadapannya yang penuh berharap direnung dalam-dalam. Ada kejujuran pada kata-kata itu. Tapi dia hanya manusia biasa. Sebanyak mana pun Lukhman cuba memohon maaf, namun ia takkan mengubah apa-apa yang pernah berlaku antara mereka.
            “Kalau kau harap aku akan maafkan apa yang kau berdua buat dulu, maaf Lukhman! Aku tak dapat lakukannya.” Ujar Hakim. Dia mahu beredar dari situ, namun pegangan tangan Lukhman terlebih dahulu sampai di pergelangan tangannya.
            “Kalau kau tak dapat maafkan aku, tak apa aku faham. Tapi tolonglah maafkan Lin. Benarkan dia jenguk anak dia.” Pinta Lukhman.
            Hakim mengeluh berat. Permintaan Lukhman benar-benar mengoncangkan perasaannya. Kali ini fikirannya berbaur. “Kenapa aku harus ikut cakap kau?”
            “Lin benar-benar rindukan Zahar, Hakim. Dia nak jumpa anak dia. Dulu dia pernah datang cari Zahar, tapi kau halang dia dari jumpa Zahar. Kau nyalakan api kebencian di hati Zahar untuk dia.”
            Wajah Hakim merah padam. Tuduhan Lukhman benar-benar melampau kali ini. Dia mencerlung tajam ke wajah lelaki itu.
            “Aku halang dia sebab aku tak mahu dia tambahkan penderitaan Zahar. Anak itu baru nak belajar terima satu kehilangan. Kehilangan mamanya. Dan Jalena datang untuk apa? Untuk lihat bagaimana Zahar hidup tanpa seorang ibu? Selepas itu apa? Dia akan kembali pada kau dan tinggalkan tanggungjawabnya? Itu yang kau mahu?”
            Lukhman terdiam.
            “Dan satu lagi. Aku tak pernah suruh dia bencikan ibunya sendiri. Tapi Jalena yang membuatkan anak itu membencinya. Sekarang dia tanggunglah akibatnya sendiri.” Getus Hakim kasar.
            Lukhman terdiam. Dia tahu lelaki itu tersinggung dengan kata-katanya.         “Kau tahu kenapa kami berpindah ke Sydney lapan tahun yang lalu? Kami pindah sebab kau dan Zahar, Kim.” Luah Lukhman. Hakim berpaling. Merenung wajah lelaki itu dalam-dalam. Cuba mengungkai maksud kata-kata Lukhman yang kedengaran aneh.
            “Dalam fikiran Lin, dia rasa bersalah pada kau dan Zahar. Dia cuba tebus kesilapannya. Tapi bila kau halang dia dari menemui Zahar, hidupnya jadi tidak tentu arah. Dia kecewa, dia sedih..tapi dia hanya berdiam diri. Hampir lima tahun lamanya dia berkeadaan begitu. Pemurung dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun. Kerjayanya hampir tenggelam ketika itu. Kalau aku tak bawa dia tinggalkan Malaysia ketika itu, dia pasti jadi gila.” Ujar Lukhman.
            “Kenapa kau bagitahu aku semua ni? Kau nak aku beri simpati aku pada Jalena?” Soal Hakim dengan nada sinis.
            Lukhman hanya mampu menarik nafas panjang. “Bukan. Aku cuma nak beritahu kau, yang Jalena hanya manusia biasa. Aku juga hanya manusia biasa. Kita buat kesilapan dalam hidup. Tapi itu tidak bermakna kita tidak layak untuk mendapat peluang kedua.” Ujar Lukhman.
            Hakim terdiam. Kata-kata lelaki itu memakukan seluruh pandangannya ke wajah Lukhman yang kelihatan serius. Tiba-tiba muncul bunyi beberapa tapak kaki berlari ke arah mereka. Serentak kedua-duanya berpaling. Hakim yang terpandang kelibat temannya Herman beserta beberapa orang jururawat, segera menegur lelaki itu.
            “Kenapa?”
            “Ada urgent call kat bilik 7D. Puan Kamelia tak sedarkan diri.” Sahut Herman termengah-mengah lalu meneruskan langkahnya tanpa mempedulikan Hakim. Mendengar nama Kamelia dicanang, Hakim tergaman. Tanpa mempedulikan Lukhman, dia turut mengekori langkah Herman ke suatu arah.
            Lukhman yang memerhatikan keadaan itu segera angkat kaki. Dia tidak mahu menganggu tugas seorang doktor. Tapi baru separuh dia menghayun kakinya, tiba-tiba langkahnya berhenti mendadak. Kamelia? Nama itu tiba-tiba membuatkan dia gelisah. Ah mungkin orang lain! Tak mungkin dia Kamelia yang aku kenali! Bisik hati Lukhman cuba menyedapkan hatinya sendiri.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!