Followers

Tuesday, April 6, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 3

Berkshire, London. 2008

Dia melangkah perlahan-lahan merentas lorong sunyi menuju ke apartmentnya yang terletak di 62 Harley Street. Bunyi anjing menyalak langsung tidak menggetarkan perasaannya. Seolah-olah dia tidak pernah rasa terganggu dengan bunyi salakan anjing itu. Beberapa bangsa African-America sedang berbual-bual di penjuru lorong ditemani unggun api untuk memanaskan tubuh. Dia terus melangkah tanpa mempedulikan sesiapa. Dia hanya mahu segera sampai ke apartmentnya. Tugasnya di BBC Network sungguh memenatkan dengan beban kerja yang tidak pernah habis.

Helaian daun maple kering yang gugur di kakinya menarik perhatian. Dia mendongak. Langit gelap pekat. Bulan di atas kepalanya nampak lebih besar berbanding bulan di tanah kelahirannya.

Sesekali dia menoleh ke arah Regents Park di sebelah kanannya. Selalunya di waktu petang sehingga ke malam, taman itu dipenuhi pengunjung-pengunjung serta orang-orang di kawasan kejiranan itu. Tapi seawal pagi begini, taman itu kosong dan sunyi sepi bagaikan sedang berkabung di tanah perkuburan. Matanya tiba-tiba menangkap sesusuk tubuh sedang duduk di bangku berkembar di taman itu. Langkahnya serta-merta jadi perlahan.

Tumpuannya terus menuju ke arah lembaga yang sedang duduk. Entah kenapa perasaan hairan menjolok tangkal hati Siapa pula yang berani duduk sendirian di situ menjelang jam 3 pagi? Belum sempat dia mahu berfikir panjang, kakinya tersepak sesuatu. Kepalanya mencerun ke bawah. Melihat setin bir yang telah kosong di jalanan, membuatkan bibirnya tanpa sedar melepaskan keluhan. Dia tunduk menyentuh tin bir itu lalu memasukkannya ke dalam tong sampah berhampiran.

Sekilas matanya kembali pada lembaga tadi. Tapi menyedari lembaga yang dilihatnya tadi kini ghaib entah ke mana, dia terus terpegun. Matanya meliar mengawasi suasana di taman itu, namun tidak ada bayang-bayang sesiapa pun di sana. Ah! Mungkin aku hanya berkhayal, dia mencongak sendiri. Lagipun setelah berada sehari suntuk di pejabatnya, fikiran yang waras pun boleh datang mereng sekali sekala. Dia tersengih! Enggan terus melayan halusinasi yang tidak wujud sama sekali.

Langkahnya terus dihala ke arah anak tangga masuk ke apartmentnya. Apartmentnya hanya berada di tingkat tiga. Dia mengeluarkan segugus anak kunci lalu dimasukkan ke dalam lubang kunci seraya dipusing. Namun belum sempat daun pintu ditolak ke dalam, telinganya menangkap suatu bunyi. Meskipun perlahan namun deria pendengarannya sudah lama dilatih untuk menghidu sebarang bunyi. Cuping telinganya bergerak-gerak. Dia hanya mengintai peluang. Kepalanya ditelengkan sedikit. Suatu bayang hitam muncul di belakangnya.

Saat dikira dan dia mula bertindak. Tubuhnya dibalik pantas, lalu dia mengacukan penumbuknya. Kencang dan deras bagaikan peluru. Namun buku penumbuknya dapat dihalang dengan mudah. Dia mendongak. Saat dia memandang wajah seorang lelaki berpakaian serba hitam berdiri di hadapannya, dia merengus kasar. Sepasang matanya meraut wajah itu dengan dingin. Ternyata dia tidak menyenangi kehadiran lelaki iu.

“Macamana kau boleh ada kat sini? Apa yang kau nak?” Tanyanya dengan nada dingin.

“Kau tak nak jemput aku masuk?” lelaki itu membalas lalu tersenyum tenang.

“Sorry dah terlalu lewat. Aku kena tidur, esok aku nak berangkat ke Winchester.” Ujarnya. Dia memusingkan tubuhnya ingin beredar ke dalam. Namun tangan lelaki itu terlebih dahulu memegang bahunya.

“Aku belum habis cakap.”

“Then talk..five minutes should be enough.” Dia tersenyum sinis.

“Aku bawa pesan dari ibu. Kau kena balik segera.”

“Aku sibuk.”

“Itu bukan apa yang ibu mahu dengar.”

“Aku tak peduli.” Dia mahu melangkah masuk ke dalam. Tapi secara tiba-tiba tubuh lelaki itu menghalang di hadapan pintu. Dia terkejut. Kepantasan lelaki itu membuatkan dia terkedu.

“Aku tak mahu berkasar. Juga tak mahu bergaduh. Tapi kau kena dengar cakap aku.” Lelaki itu masih cuba berlembut. Dia ketawa kecil. Lucu mendengar kata-kata Hadif.

“It’s too late.” Usai berkata dia menolak tubuh lelaki itu. Tolakan kuat itu membuatkan Hadif terhumban ke belakang. Namun lelaki itu cepat-cepat bangkit semula. Hadif membuka langkah. Jurus-jurus ilmu persilatan di dada lelaki itu kini ditayang di hadapannya.

Dia ketawa kecil. “Kau berlagak betul. Kau ingat kau seorang sahaja yang tahu bersilat?” Dia mencebik. Seperti Hadif, dia juga bersedia dengan buah-buah silatnya sendiri yang tidak jauh berbeza dari Hadif. Apatah lagi mereka mempunyai guru yang sama.

Hadif kelihatan tidak peduli. Kata-katanya langsung tidak memberi sebarang reaksi pada diri lelaki itu. Melihaat Hadif hanya bersedia tanpa niat mahu mencabarnya, dia naik berang. Lelaki itu hanya membuang masanya. Sedangkan dia hanya mempunyai lima jam untuk tidur sebelum berangkat ke bandar Winchester untuk membuat liputan satu berita tergempar.

“Sial!” Dia mengherdik lalu menerkam ke arah Hadif. Penumbuk kencangnya singgah, tapi seperti tadi lelaki itu dapat mengelak. Ketika tumbukan kedua sampai, Hadif tiba-tiba meluru ke arahnya lalu melancarkan tendangan berkali-kali ke bahagian abdomennya. Dia tercampak lalu melantun pada dinding. Bibirnya memuntahkan darah. Dia cuba bangun, namun entah kenapa tubuhnya terasa kebas. Sudahnya dia hanya mampu memandang lelaki itu dengan wajah tajam.

Bagaikan menyedari dirinya bukan lagi satu ancaman, Hadif menghampirinya perlahan-lahan. Lelaki itu berteleku di sisinya.

“Aku dah kunci titik-titik pergerakan kau. Tak usah buang masa mencuba, sia-sia aje.” Nasihat lelaki itu. Dia tidak menjawab.

“Aku akan lepaskan kau, kalau kau setuju balik bersama aku ke Malaysia.” Lelaki itu memberi dua pilihan. Dia merengus kasar.

“Kalau aku tak sudi?”

“Terpulang. Tapi kau hanya akan memburukkan keadaan. Kau tahu aku tak boleh benarkan itu berlaku. Ibu kata tugas ini hanya kau yang boleh selesaikan. Balik segera. Dia sedang menanti.” Ujar lelaki itu seraya menghempas sekeping sampul surat ke dada bidangnya.

Sebelum sampul surat itu jatuh, tangannya terlebih dahulu menyambut sampul surat yang dimaksudkan. Dia menoleh. Lelaki yang baru muncul itu sudah berlalu pergi dalam sekelip mata. Dia menggerakkan anggota badannya. Berjaya! Entah sejak bila Hadif membuka titik pergerakannya, dia sendiri tidak pasti. Yang nyata teknik lelaki itu semakin baik dari kali terakhir mereka bertemu dua tahun yang lalu.

Dia melangkah masuk ke dalam apartmentnya. Membawa bersamanya sekeping sampul surat besar yang entah apa isinya. Dia meletakkan briefcasenya ke atas kerusi sebelum tubuhnya dilayang ke arah sofa. Kepenatan yang tadi terasa menyengat, tiba-tiba mengendur dengan kedatangan lelaki itu. Matanya merenung sampul surat yang masih berada di tangan.

Hatinya masih ragu-ragu apakah patut dia membuka sampul surat itu dan melihat isi di dalamnya? Patutkah? Atau perlukah dia bersikap tidak ambil tahu seperti selalu? Tapi setelah sekian lama, tangannya tanpa sedar sudah merungkai sampul surat tersebut. Isi di dalamnya dikeluarkan. Dan sesaaat kemudian, matanya seolah terpaku pada suatu wajah yang tersenyum manis di potret bersaiz 8R itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!